Tuesday, May 22, 2018

ROYALTI – PAS JANGAN BERSIKAP ‘LEBIH SUDU DARIPADA KUAH’



Sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad mudah lupa atau Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu mengambil hati Perdana Menteri - tidaklah dapat dipastikan.

Tetapi yang dapat dipastikan ialah Perdana Menteri pada pertemuan peribadi atau berkumpulan sama ada di Putrajaya atau di Terengganu sebelum ini, tidak pernah menyatakan jika ada royalti minyak untuk kerajaan Terengganu, ia  boleh melebihi 10 peratus.

Malah dalam membentuk Manifesto HARAPAN, Dr Mahathir meminta supaya jangan diletakkan persen atau peratus dalam tuntutan royalti. Perkataan lebih sesuai ialah ‘value equivalent’ atau nilai setimpal.

Maknanya ialah royalti akan dibayar mengikut harga petroleum semasa.

Berikutan itu dengan permintaan HARAPAN Terengganu untuk memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat - menggunakan royalti sebanyak 10 peratus bukan value equivalent - bagi memudahkan rakyat memahami dipersetujui oleh HARAPAN Pusat bahawa 10 peratus adalah nilai paling baik untuk tuntutan royalti di Terengganu.

Jadi persoalannya ialah apakah Timbalan Presiden PAS itu mahu menunjukkan bahawa Dr Mahathir lupa dan ‘nyanyuk’ apabila dipetik sebagai berkata royalti minyak untuk negeri pembangkang – termasuk Terengganu akan dibayar sebanyak  20 peratus?

Sebagai rakyat Terengganu bodohlah saya kalau menolak jika benar Kerajaan Pusat dan Petronas bersedia membayar 20 peratus.

Dr Mahathir pernah menjelaskan dalam pertemuan peribadi dengan beliau di Yayasan Perdana sebelum ini bahawa Putrajaya dan Petronas tidak mampu untuk berbuat sebanyak itu.

Jadi sedikit pelik apabila Timbalan Presiden PAS berkata pada 20 Mei lalu bahawa “Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyambut baik dan penuh syukur di atas kesediaan Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia untuk meneruskan pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus sebagaimana kenyataannya yang terbaru.”

Di manakah Perdana Menteri membuat kenyataan kesediaan untuk memberikan royalty sehingga 20 peratus?

Malah, menurut Tuan Ibrahim, persetujuan itu selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU14 lepas dan disahkan oleh Dr Mahathir..

“Dengan kesediaan YAB Tun M ini, PAS berharap amalan politik balas dendam sebagaimana yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu tidak lagi diikuti,” kata beliau.

Bagi PAS, kesediaan (kononnya) terbaharu daripada Dr Mahathir  itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi contoh di peringkat antarabangsa susulan peralihan kuasa yang damai selepas PRU14.

Persoalannya, apakah hanya kerana ‘dapat royalti minyak sebanyak 20 peratus’ baharu PAS merasakan akan wujud hubungan baru antara kerajaan negeri pimpinan Pusat dengan Putrajaya.

Sedangkan hakikatnya, banyak lagi projek-projek yang dirancang dan sedang dilaksana memerlukan tumpuan Putrajaya dan jika sebaliknya, mungkin projek-projek itu akan tergendala atau dibatalkan terus.


Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu perlu menerima hakikat bahawa kerajaan Posit sejauh sudah menghormati Konsep Federalisme, berlapang dada dan tidak pernah menghukum Terengganu, gara-gara penarikan bayaran royalti dahulu.

Ia bersebab dan nyata, gara-gara kehilangan RM432 juta ketika pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Putrajaya tidak lupa kepada semua peruntukan-peruntukan perkapita lain yang layak diterima oleh Kelantan dan Terengganu.

Malah, PAS sewajarnya tidak terlalu menekan bagaikan  ‘terlebih sudu daripada kuah’ dalam projek-projek sedia ada dan telah  diluluskan melalui Rancangan Malaysia ke-11.

Ini termasuk LPT3, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, lebuhraya jajaran tengah (Central Spine Road) dan juga projek keretapi Pantai Timur (ECRL).

Kerajaan Pusat, sesuai dengan Manifesto HARAPAN, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk ditunaikan termasuk kajian semula terhadap ECRL.

Jadi, PAS tidak sewajarnya terlalu ‘laju untuk menasihat atau mencabar Putrajaya’ walaupun dengan kata-kata manis dan pujukan seperti projek ECRL yang kononnya bagi PAS tidak harus dibatalkan tapi dirunding semula kos dan perjanjiannya agar ia menepati piawaian kewangan yang sihat.

Jangan cuba menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Pusat tidak mengamalkan prinsip dan amalan menghormati konsep demokrasi dan Federalisme kerana Dr Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kini mewakili parti berbagai kaum dan fahaman tahu menilai dan menghormati pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan  yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat.

Kita berharap PAS bersabar dan pastinya Putrajaya tidaklah begitu teruk dan zalkim sehingga sanggup untuk mengenepikan peruntukan yang perlu disalurkan  mengikut sistem dan undang-undang sedia ada.