Thursday, December 3, 2015

HARAP NAJIB JAWAP SENDIRI ISU DERMA RM2.67B ELAK TOHMAHAN BERTERUSAN...


Rakyat Malaysia dan yang berminat dengan isu kontroversi derma RM2.67 bilion yang dimasukkan ke akaun Perdana Menteri pastinya menunggu hari ini untuk mengetahui jawapannya.

Jawapan yang tertangguh begitu lama diharapkan akan mengurangkan sedikit ‘keriuhan politik’ selain menghapuskan tuduhan dan tohman kepada Perdana Menteri.

Harapan ialah Perdana Menteri dapat meyakinkan semua pihak, khususnya rakyat bahawa derma yang disalurkan ke akaun bank peribadinya tidak digunakan untuk peribadi.

Pada 5 November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata jawapan akan diberikan di Dewan Rakyat mengenai isu berkenaan.

Hari ini 3 November adalah hari terakhir sesi persidangan Dewan Rakyat penggal ini dan hari inilah janjinya isu RM267 bilion itu akan dijawab.

Banyak persoalan dan banyak juga keraguan yang ditimbulkan, bukan sahaja oleh pembangkang tetapi di kalangan orang UMNO sendiri.

Antara persoalan:

1.      Siapa sebenarnya penderma berkenaan?
2.      Apakah benar ia derma atau ada niat atau hasrat lain oleh penderma?
3.      Ke mana RM2.67b itu disalurkan? Semuanya kepada Barisan Nasional (BN)?
4.      Benarkah semua parti dalam BN mendapatnya?
5.      Benarkah kebanyakan calon BN mendapat habuan daripada derma itu?
6.      Apakah semua RM2.67b itu di belanjakan?
7.      Apakah isu ini bukan suatu skandal seperti didakwa oleh media luar?
8.      Kenapa sehingga ini tiada tindakan, seperti saman kepada pihak-pihak yang membuat ‘tuduhan’?

Dalam usaha menjawab ini, Azalina menjelaskan, adalah baik untuk mengumpul semua soalan dan dijawab sekali gus, hari ini.


Namun yang juga menjadi pertanyaan ialah apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak akan menjawab sendiri persoalan berkenaan.

Ini kerana Anggota Parlimen Pengerang pada 5 November lalu, enggan mengesahkan sama ada Najib akan menjawab sendiri isu ini.

“Sama ada perdana menteri akan jawab atau seseorang daripada Jabatan Perdana Menteri, ia bawah bidang kuasa khas perdana menteri,” katanya ketika ditanya sama ada Najib sendiri akan menyentuh perkara itu.

Jika Najib tidak menjawab sendiri, sudah pasti ramai yang tidak akan berpuashati. Najib akan dituduh ‘pengecut’ walaupun jawapan yang disediakan itu tetap sama sahaja, walau sesiapa yang menjawabnya.

Selain itu, kalau Najib tidak menjawabnya di Dewan Rakyat, akan ada pihak yang tidak berpuashati kerana soalan tambahan atau soalan lisan tidak boleh ditanya terus kepada beliau.

Lagipun Dewan Rakyat dilihat sebagai tempat paling sesuai untuk membersihkan dirinya.

Bagi saya, kalaupun Najib menjawab sendiri soalan, rasa tidak puashati di kalangan pihak-pihak tertentu akan tetap wujud, apalagi jika ada soalan perangkap dikemukakan oleh pihak-pihak tertentu.

Perangkap juga ialah apakah BN atau calonnya yang menerima habuan derma ini berbelanja lebih daripada dihadkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu. Ini akan membuka ruang kepada pembangkang untuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihanraya.

Satu perkara yang juga menjadi musykil ialah apakah masa yang diperuntukkan itu benar-benar cukup bagi menampung soalan-soalan balas yang akan dikemukakan.

Ini kerana Azalina sudah mengatakan bahawa sukar bagi ahli parlimen mendapat peluang bagi menyoal atau meminta penjelasan berhubung apa yang akan diperkatakan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan SaifulWan Jan berkata, dengan meletak agenda itu pada hari terakhir sesi Dewan Rakyat adalah tanda keengganan Najib untuk menjawap pengkritiknya.

Perlu ada lebih banyak masa diperuntukkan untuk sesi soal jawab," kata Wan Saiful.

Beliau juga menuduh Najib  tidak serius mahu menjawab soalan. Menurutnya, jika Perdana Menteri serius, perkara itu tidak ditolak ke belakang hingga ke hari yang terakhir.

Menurut Wan Saiful, masa yang terhad diperuntukkan juga akan menyukarkan Najib untuk meyakinkan pengkritiknya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Wan Saiful menegaskan, dalam usaha untuk kekal berkuasa, Perdana Menteri perlu meyakinkan ahli-ahli Umno tanpa menjadi liabiliti kepada parti, selain meyakinkan rakyat.

Penganalisis politik Azmi Hassan bagaimanapun berkata beliau percaya bahawa Najib akan menawarkan "sesuatu yang baru" dalam jawapannya esok.

Apa yang dimaksudkan oleh Azmi itu kita sama-sama tunggu untuk mendengar daripada Najib.
Jika selepas memberikan jawapan tetapi masih ada pihak kurang yakin, terpulanglah kepada mereka.

Selain menjawab kepada Dewan Rakyat, Najib juga akan berdepan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM sudah pun merakamkan kenyataan daripada ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dan Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin di luar negara, pada Ahad lepas mengenai syarikat itu dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata SPRM masih menunggu Najib untuk memberi respons terhadap perkara itu.

Kita berharap jawapan Najib kepada SPRM nanti tiada h bezanya dengan jawapan di Dewan Rakyat hari ini.

Ini kerana hanya ‘jawapan yang konsisten’ akan membuktikan Najib tidak berselindung dalam isu yang memeningkan banyak pemimpin UMNO ketika berdepan dengan rakyat atau penyokong mereka di peringkat akar umbi.