Saturday, January 21, 2012

RAYUAN SAIFUL - APA PULA HELAH BARU ANWAR?

Apakah akan ada helah baru Datuk Seri Anwar Ibrahim serta rakan-rakan yang menyokongnya selepas Pejabat Peguam Negara semalam memfailkan notis rayuan Mohd. Saiful Bukhari terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau 12 hari lalu?

Sehari selepas keputusan Mahkamah Tinggi membebaskannya, Ketua Pembangkang, itu menyatakan beliau tidak risau sama ada pihak pendakwa membuat rayuan atau tidak berhubung pembebasannya daripada pertuduhan liwat.

Sambil menegaskan bahawa rayuan itu bukan urusannya, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, beliau tahu bahawa ia diperuntukkan dalam undang-undang dan perlembagaan.

Beliau berharap tidak akan ada campurtangan jika Peguam Negara membuat rayuan. Campur tangan siapa agaknya yang dimaksudkan Anwar.

Apakah isu campurtangan ini akan menjadi senjata Anwar mempertahankan dirinya selepas ini setalah pada perbicaraan sebelum ini beliau meminta tangguh dan melakukan ‘pelbagai alasan’ untuk melengah-lengahkan perbicaraan?

Pada 9 Januari lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati tiada bukti kukuh Saiful bagi menyokong keterangan.

Mohamad Zabidin berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Selepas meneliti bahan bukti, Mohamad Zabidin berpendapat mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada saksi pendakwa pertama, Saiful tidak terjejas.

Di peringkat pembelaan bagi kesalahan seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain.

Apa yang dapat dilihat sejauh ini, peguam utama kepada Anwar, Karpal Singh dan Majlis Peguam sudah menggesa Peguam Negara agar tidak memfail rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu berkata sebagai peguambela beliau juga berhak, berdasarkan keterangan, menggesa AG agar tidak membuat rayuan.

Sekalipun rayuan dibuat bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim supaya AG mengemukakan rayuan, Karpal Singh berkata sebagai peguambela beliau juga mempunyai hak menggesa AG supaya tidak berbuat demikian.

"Cukup malang perkara berkenaan telah berlarutan hingga ke peringkat ini buat Saiful, tetapi sebaiknya negara dan semua terlibat menghentikan penghinaan terhadap Anwar dan keluarganya dan terus bergerak menangani isu-isu politik yang lebih penting yang menyentuh setiap orang," katanya.

"Perbicaraan ini dipanggil ibu segala perbicaraan di Malaysia dan saya kira tiga tahun (perbicaraan) adalah cukup lama dan ia perlu dihentikan demi kebaikan semua," katanya di rumahnya semasa pesta Pongal di George Town baru-baru ini.

Ternyata apa yang cuba disekat dan dihalang bagi membolehkan Saiful merayu tidak berjaya dan di sebalik keputusan pembebasan dan pelepasan Ketua Pembangkang, Jabatan Peguam Negara semalam tetap memfailkan notis rayuan Saiful berdasarkan keterangan dan undang-undang, malah tidak mengikut emosi atau pengaruh mana-mana pihak.

"Keputusan memfailkan notis rayuan ini membolehkan jabatan ini memperolehi penghakiman bertulis Yang Arif Hakim dan rekod prosiding perbicaraan daripada Mahkamah Tinggi. Ini seterusnya mengetahui dengan jelas alasan-alasan penuh keputusan yang Arif Hakim," kata jabatan itu.

Saiful sudah pasti menyambut baik tindakan Peguam Negara itu dan berharap laporan pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat mahkamah tertinggi menurut undang-undang akan terlaksana.

"Saya dan keluarga saya juga ingin menyatakan disini bahawa dengan pemfailan Notis Rayuan tersebut, hak untuk aduan saya sebagaimana laporan polis yang saya buat pada tahun 2008 didengar dan melalui proses keadilan sehingga ke peringkat Mahkamah yang tertinggi menurut undang-undang adalah terlaksana," katanya melalui laman blog yang disiarkan pada pukul 5.54 petang semalam.

Kepada Mohd Saiful dan keluarganya, masih ramai rakyat Malaysia yang berharap beliau akan mendapat pembelaan sewajarnya.

Dan proses pembelaan itu sudah bermula mulai semalam, Jumaat 20 Januari 2012.

Kita berdoa Allah akan menunjukkan siapa benar dan siapa berbohong dalam kes liwat Anwar terhadap Saiful ini.