Sunday, November 16, 2008

MESEJ PENTING DARIPADA NAJIB

Ahli UMNO kini berdepan dengan tiga pilihan dalam menghadapi ujian memilih pemimpin bagi masa depan UMNO.

Ia terpakai dalam semua bidang pemilihan, sama ada peringkat tertinggi parti atau juga bahagian.

Tiga pilihan itu membabitkan ‘kawanku’, ‘poketku’ atau ‘negaraku’.

‘Kawanku’ bermaksud seseorang ahli memilih kerana dia melihat seseorang calon itu rapat atau baik dengannya. Dengan kata lain dia boleh ‘terjah’ bila-bila masa.

‘Poketku’ bermakna ahli memilih pemimpin kerana sebab-sebab ‘ada kira-kira’, wang dan kedudukan atau lebih tepat habuan; dan
“Negaraku’ bermaksud ahli UMNO menolak kedua-dua di atas dan memilih pemimpin yang mampu memberikan sumbangan untuk negara tanpa mengira sama ada ia kenal serta mendapat habuan daripada pemimpin berkenaan.

Masalah politik wang yang diperkatakan sekarang hanya melihatkan ahli dan pemimpin yang memilih kepentingan ‘poketku’.

Dalam Islam disebut bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima tetapi dalam politik pertandingan, tangan yang member itu sebenarnya lebih hina daripada yang menadah.

Ini kerana kadangkala, tiada pun ada yang menadah tetapi tangan yang member pula bersikap ‘over’ untuk mendapatkan pencalonan dan sokongan.

Bercakap mengenai tiga pilihan ahli ini saya merasakan wajar sekali kita semua merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak kelmarin bahawa, “Tidak ada gunanya kita menang jadi ketua bahagian tetapi semua kerusi DUN dan Parlimen kita tersungkur” hendaklah dijadikan iktibar.

Najib tidak merujuk kepada sesiapa atau bahagian mana tetapi mesejnya jelas bahawa kemenangan merebut jawatan ketua UMNO bahagian tidak berguna jika parti tewas dan terlepas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Perdana Menteri juga menekankan bahawa kedudukan sebagai pemimpin atasan tidak akan membawa sebarang makna jika parti tidak mempunyai kuasa untuk memerintah.
Jelas sekali kenyataan ini juga boleh diterima pakai untuk perebutan jawatan tinggi parti yang akan berlangsung pada pemilihan Mac 2009 akan datang.

Tegas Najib: “Tidak ada maknanya kita jadi pemimpin atasan parti kalau parti kita tidak berkuasa.”

Beliau menyatakan perkara ini pada Perhimpunan Agung Tahunan Kedua Veteran UMNO Malaysia Ipoh malam kelmarin Najib menegaskan, jika UMNO mahu mengembalikan kekuatan dan bangkit daripada kekalahan seperti di Perak, semua pihak mesti kembali kepada asas perjuangan - parti lebih penting daripada perjuangan peribadi.

Tahniah kepada Najib yang berusaha memberikan peringatan itu dalam kedudukan di mana UMNO kini dikatakan parah kerana politik wang dan perkara-perkara berkaitan penyalahgunaan kuasa serta pilih kasih.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perjuangan jujur dan ikhlas sebagaimana yang diamalkan oleh veteran UMNO membawa maksud amat mendalam kerana ia langsung tidak melibatkan sebarang ‘kira-kira’.

Tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan perjuangan orang dulu adalah suci kerana sanggup berkorban apa saja untuk kepentingan parti manakala kepentingan diri ditolak ke tepi.
‘‘Jauh sekali pemimpin terdahulu minta apa-apa... yang ada cuma salam perjuangan. Tidak ada istilah salam kosong atau salam bersisi.

‘‘Dulu, tudung Wanita UMNO yang berwarna merah itulah yang dijadikan tempat untuk menadah sumbangan demi perjuangan parti,” ujar beliau.

Kata Najib, walaupun masa dan keadaan sekarang sudah jauh berubah, namun ahli parti mesti terus menghayati nilai perjuangan murni golongan veteran itu demi kebaikan UMNO.
Jelas sekali bahawa pilihan yang ada di tangan ahli UMNO kini hanya ‘negaraku’ dan menolak ‘kawanku’ apalagi ‘poketku’.

Hanya dengan nasihat, berpesan dan menggambarkan betapa hodohnya politik wang oleh pemimpin UMNO dapat menerapkan budaya ‘tolak politik wang’.

Pedulikan sesetengah pemimpin yang enggan bercakap mengenainya kerana mereka berat untuk mengatakannya kerana ‘mengamalkannya’ tetapi yang lain hendaklah tidak henti-henti ‘tarbiyah; kepada ahli UMNO mengenai bahayanya politik wang kepada UMNO.

Juga, tidak salah kalau menggunakan veteran UMNO untuk lebih kehadapan dalam mendidik dan menasihat ahli UMNO menolak politik wang kerana hanya ahli UMNO dapat membersihkan UMNO daripada karat politik wang.

RAMASAMY SENGAJA CARI PASAL

Jangan terjerat dengan kritikan Prof. P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang yang mendakwa UMNO punca berlakunya ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan kerajaan.

Dia sebenarnya hanya ingin membuka jalan supaya perdebatan dibuat dengan memburukkan UMNO dan kononnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dipengaruhi UMNO.

Ramasamy sebagai bekas pensyarah pasti tahu punca sebenar tetapi dia tidak bodoh seperti yang diakatakan oleh Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Beliau hanya mahu membuka gelanggang supaya JPA atau apa sahaja agensi kerajaan yang berkaitan pengambilan kakitangan supaya ‘terbuka’ dan dengan mengatakan UMNO terbabit adalah taktik biasa parti lawan.

Dia cari pasal bersebab – supaya UMNO diperlekehkan kerana di Pulau Pinang, musuh sebenar Pakatan Rakyat, khususnya DAP bukan lagi Gerakan atau MCA tetapi UMNO.

Orang UMNO Pulau Pinang kena bijak berpolitik.

Hakikatnya, ‘orang politik’ tidak pernah dipedulikan oleh kakitangan kerajaan, malah amat sukar untuk seseorang memohon kerja jika membawa surat sokongan daripada parti khususnya UMNO.

Biarlah kalau beliau mahu mengkritik ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan kerajaan kerana matlamatnya bukan ikhlas tetapi bermotifkan politik.

Mungkin kita boleh bertanya beliau, bagaimana perkhidmatan polis dan tentera?

Kenapa tidak ramai orang bukan Melayu berkhidmat dengannya?
Kenapa Melayu sahaja menyertai perkhidmatan berkenaan?

Dengan kedudukan sedemikian, bolehkah kita membua andaian membuta tuli bahawa orang bukan Melayu, khususnya kalangan anak muda tidak menyertai polis dan tentera kerana enggan berbakti mempertahankan Malaysia?

Dengan kata lain mereka tidak setia dan tiada semangat cintakan negara?
Apakah orang bukan Melayu tidak kecil hati atau tersinggung kalau kita tegaskan sedemikian?

Apa pulalah komen Ramasamy nanti?

Pemimpin UMNO jangan cepat melatah dan kalau mahu menjawab pun biarlah dengan fakta supaya boleh menjelaskan kepada seluruh rakyat bahawa bukan-Melayu bukan berminat sangat dengan perkhidmatan awam.

Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kelmarin, beliau yang juga Exco Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi & Inovasi memang sengaja mahu mencetuskan rasa tidak puas hati daripada wakil-wakil pembangkang Barisan Nasional (BN) apabila megatakan kerajaan pakatan pembangkang berhasrat untuk melihat semua kaum mendapat hak dan peluang yang sama untuk menyertai sektor awam di negeri itu agar wujud taburan peluang pekerjaan yang seimbang bagi semua kaum.

Ramasamy bukan melakukannya untuk memperjuangkan bukan-Melayu memasuki perkhidmatan awam tetapi lebih kepada bagaimana meletakkan UMNO dalam keadaan serba salah dan boleh terjerut dengan kenyataannya.

Bagi saya ulasan Pensyarah di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman yang berkata masalah kekurangan orang bukan Melayu dalam sektor awam berpunca daripada masalah skim gaji yang tidak menarik, lebih jelas.

Malah sektor kerajaan juga tidak membayar bonus sebanyak sektor swasta dan faktor ini turut menyebabkan orang bukan Melayu tidak berminat untuk berkhidmat dalam kerajaan walaupun kehadiran mereka amat dialu-alukan, katanya.

Saya fikir apa yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam adalah jelas apabila beliau mengatakan pelantikan penjawat awam di peringkat Pusat dan negeri dijalankan oleh suruhanjaya perkhidmatan yang bebas daripada sebarang campur tangan termasuk politik.

Suruhanjaya yang terlibat dengan pengambilan penjawat awam seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Suruhanjaya Perkhidmatan Undang-Undang, Suruhanjaya Perkhidmatan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan di setiap negeri adalah badan yang bebas daripada politik.

Kerana itu, menurut beliau, isu ketidakseimbangan kaum yang dikatakan berlaku dalam sektor awam termasuk di Pulau Pinang bukan berpunca daripada dasar kerajaan atau campur tangan politik.

Namun beliau tidak menolak ketidakseimbangan itu mungkin disebabkan kekurangan permohonan daripada kaum bukan bumiputera. Kalau bilangan pemohon jawatan awam adalah lebih banyak di kalangan satu-satu kaum, maka kebarangkalian untuk kaum itu menyertai sektor awam sudah semestinya lebih tinggi berbanding kaum lain.

'Ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam mungkin disebabkan kekurangan permohonan daripada kaum bukan bumiputera,” seperti dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Ismail menegaskan, penilaian terhadap seseorang calon yang memohon jawatan awam adalah berdasarkan merit dan pelantikan yang dijalankan juga tidak mempunyai kaitan dengan unsur politik.

''Merit merupakan kriteria yang diutamakan untuk menilai seseorang calon yang memohon jawatan awam dan bukannya mengenai politik.

Setiausaha SPA, Datuk Lamien Sawiyo pula berkata, SPA akan menjalankan kajian berasaskan data saintifik dan akademik bagi mengenal pasti punca kurangnya permohonan daripada kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam.

Kajian seumpama itu penting memandangkan pandangan banyak pihak berhubung masalah itu hanya berdasarkan persepsi.

“Sebenarnya, kita di SPA telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk meningkatkan penyertaan kaum bukan Melayu dalam Perkhidmatan Awam dan jawatankuasa ini dipengerusikan oleh timbalan pengerusi SPA.

“Salah satu langkah yang telah dikenal pasti ialah untuk menjalankan kajian persepsi psikologi dan kita telah berunding dengan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk melaksanakan kajian ini,’’ katanya.

Katanya, pada masa ini, SPA sedang menyediakan terma-terma kajian yang bakal digunakan untuk dibincangkan dengan EPU sebelum kajian itu dijalankan yang mungkin siap dalam masa setahun dan dilaksanakan oleh pihak berkecuali termasuk pihak universiti.