Friday, November 12, 2010

ISU SOSEJ BABI DEDAHKAN MANUSIA DUA IDENTITI

"KDN kena siasat bagaimana seorang warganegara boleh mempunyai dua identiti yang berbeza dan mesti siasat sama ada pemberian dokumen rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak betul atau pemberian kepada pendaftaran nikah kahwin tak betul...tidak mungkin kedua-duanya betul..salah satu mesti palsu...ini membabitkan masalah keselamatan dalam negeri," - Zulkifli Noordin

Akhbar pada 5 November lepas melaporkan seorang ibu, Angela anak Jabing membuat aduan bersama sayap wanita Parti Keadilan Rakyat kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Anak itu - Basil - dirotan 10 kali di tapak tangannya kerana memakan nasi goreng dengan sosej babi yang dibekalkan oleh ibunya.

Isu itu kali pertama didedahkan pada sidang media yang dianjurkan oleh PKR di Kuching di mana Angela Jabing, ibu kepada pelajar Sekolah Rendah St Thomas itu mendakwa seorang guru merotan anaknya kerana membawa makanan tidak halal ke sekolah.

Lantas timbul beberapa persoalan membabitkan identiti anak dan bapa kepada anak berkenaan serta status agamanya selain tindakan susulan majlis agama Islam.

Pertama, membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah. Wajarkah guru merotan murid berkenaan kerana kesalahan itu? Atau dia dirotan kerana pelajar berkenaan beragama ‘Islam’?

Kedua, kenapa pelajar berkenaan dirotan. Perdebatan dan pertikaman lidah berlarut di Dewan Rakyat sejak dua hari lalu sama anak itu Basil - yang dipelihara oleh ibunya yang beragama Kristian - adalah seorang Islam.

Ketiga, apakah keluarga berkenaan beragama Islam? Dan jika sudah keluar Islam, apakah bapa kepada anak itu menggunakan dua identiti?

Keempat, kenapa apabila membuat laporan mengenai anak perlu menggunakan sayap wanita PKR. Apakah jika tiada parti pembangkang dalam laporan itu Jabatan Pelajaran tidak menerima laporan sedemikian?


Di Sarawak dan Sabah, yang pastinya walaupun namanya Islam tetapi tidak semestinya seseorang beragama Islam.

Semalam, persoalan ketiga, iaitu sama ada keluarga berkenaan Islam atau tidak, sudah terjawab. Beginda Minda, bapa kepada pelajar 10 tahun yang dirotan itu mendakwa bahawa beliau bukan beragama Islam.

Beginda berkata pada tahun 2004, apabila dia memohon MyKad, beliau telah menukar namanya semula kepada Beginda Anak Minda. Di sijil kelahirannya, tiada agama dicatatkan untuk Beginda.

Laporan The Star memetik Beginda sebagai berkata: ““Saya akui, saya pernah memeluk Islam sebelum ini. Tetapi pada 1999, saya sudah tukar agama. Sekarang saya bukan Islam,” kata Beginda.

Beginda anak Minda pernah menggunakan nama Nor Azman Abdullah sebelum ini.

Zulkifli Noordin mendapat perhatian oleh pemerhati dan petugas media di luar dewan tentang isu yang dikupasnya pada Persidangan Parlimen, Kuala Lumpur, kelmarin. (10 November 2010).

Malah di Dewan Rakyat kelmarin, Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Nordin meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN)menyiasat taraf kewarganegaraan Beginda atau Nor Azman Abdullah, yang anaknya dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Menurutnya, Nor Azman pernah bertanding atas tiket PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili dengan menggunakan nama Islam "Nor Azman Bin Abdullah atau Beginda" semasa Pilihan raya Negeri Sarawak 2001.Namun, Nor Azman tewas teruk, dengan memperoleh 173 undi, kepada calon Barisan Nasional (BN) Toh Heng San (3,845 undi).

Menurutnya, Nor Azman turut bertanding bagi kerusi Parlimen Kapit atas nama yang sama mewakili PKR semasa pilihan raya umum pada 1999, tetapi hanya mendapat 843 undi berbanding lawannya dari BN Alexander Nanta Linggi yang mendapat 12,157 undi.

"KDN kena siasat bagaimana seorang warganegara boleh mempunyai dua identiti yang berbeza dan mesti siasat sama ada pemberian dokumen rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak betul atau pemberian kepada pendaftaran nikah kahwin tak betul...tidak mungkin kedua-duanya betul..salah satu mesti palsu...ini membabitkan masalah keselamatan dalam negeri," katanya.

Zulkifli yang pernah mengenali Nor Azman semasa menjadi antara peguam kes perbicaraan Anwar pada 1998, berkata pihak Berkuasa Agama Negeri Sarawak dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu menjalankan siasatan menyeluruh sama ada "Nor Azman atau Beginda" telah melakukan jenayah murtad.

Zulkifli berkata, sijil perkahwinan dikeluarkan pada 29 Julai 2009 sedangkan perkahwinan berlangsung pada 25 Disember 1999 iaitu setahun selepas kes Anwar, ketika Beginda seorang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menentukan status agama Beginda.

“Hanya selepas itu, kesimpulan boleh dibuat mengapa anaknya itu dirotan,” kata Nazri.

Persoalan kedua juga semakin jelas apabila Beginda turut menyatakan anaknya itu bukan beragama Islam. Anaknya dilahirkan pada 8 Mei 2000. “Anak saya beragama Kristian. Dia dibesarkan mengikut agama ibunya,” katanya.

Mengenai persoalan kedua, sekolah berkenaan kemudian memohon maaf kepadanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, arahan itu ekoran keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada arahan itu bertentangan dengan perjanjian 18 Perkara Sarawak ketika negeri di pulau Borneo itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, jika seseorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu juga semestinya beragama Islam.

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari (gambar kanan) berpendapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak boleh masuk campur menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah di Sarawak itu. Katanya, ini kerana, di bawah kerangka federalisme yang diterima oleh perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri.

"Jadi dalam soal ini negeri mempunyai bidang kuasa; Jakim tidak boleh masuk campur. Lagi pun di sisi perlembagaan, JAKIM sepatutnya berada di bawah Majlis Raja-Raja, bukan kerajaan persekutuan.

"Tapi malangnya ini tidak berlaku. Semua agensi Islam persekutuan dikuasai oleh Umno/kerajaan," katanya mengulas arahan supaya Jakim menyiasat status agama budak itu yang bapanya dikatakan Islam manakala ibunya pula Kristian.

Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) pula menyatakan pendapat berlainan. Presidennya. Zainul Rijal Abu Bakar (gambar kiri) pula berpendapat, walaupun dinyatakan dalam perjanjian 18 Perkara Sarawak bahawa tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak), tetapi enakmen agama tetap wujud di negeri itu.

"Walaupun dinyatakan begitu dalam perjanjian (18 perkara) itu, tetapi undang-undang itu ada. Misalnya enakmen agama dan kekeluargaan Islam," katanya.

Mungkin dalam konteks ini jika JAKIM tidak mempunyai kuasa atau kerajaan negeri tidak mempunyai peruntukan mengenainya, kini terletak di tangan Yang Di-Pertuan Agong sama ada perlu bertindak di atas inisiatif baginda sendiri.Apakah Agong akan bertindak dalam kes ini?

Yang menjadi persoalan lain ialah:

1. Apakah ketika ini murtad hanya perkara kecil dalam konteks negara Malaysia?

2. Berapa ramai lagi yang mempunyai dua identiti seperti ini dan wajarkah mereka dibiarkan dalam keadaan sedemikian? Apakah dengan mempunyai dua identiti sebegini akan berlaku 'penipuan' seperti didedahkan Zulkifli? Tidakkah ia membahayakan keselamatan negera?

3. Jakim atau badan-badan lain seperti PERKIM mungkin memantau yang memeluk Islam daripada mereka yang daif dan dalam golongan miskin tetapi bagaimana yang kaya, ada nama dan berpangkat? dan,

4. Mengislamkan seseorang atau keluarga - apakah dilakukan dengan sewenang-wenang umpamanya kerana kepentingan tertentu seperti kepentingan politik (lihat apa yang berlaku di Gua Musang baru-baru ini ) tanpa tindakan susulan menjamin kedudukan ekonomi seseorang mualaf itu stabil atau sebaliknya.

Kerana itu, sudah sampai masanya PERKIM atau mana-mana juga pihak termasuk parti politik untuk melihat kembali pendekatan dakwah dan tindakan susulan mereka agar kejadian murtad tidak sewenang-wenangnya berlaku.

Juga persoalan asas dalam kes pelajar di rotan kerana membawa nasi goring dan sosej babi ialah dalam soal murid dan sekolah, PKR juga cuba mengambil milage politik.
Apakah kehidupan manusia di Malaysia hari ini segala-galanya ditafsir secara politik?

Jika dipupuk budaya sebegini, ia boleh membawa kepada kebencian dan syak-wasangka yang akan mudah semakin menular dalam kehidupan sehari-hari di kalangan rakyat.

Jika tiada kesudahannya, perpaduan dan keharmonian rakyat akan tercabar.

1 Malaysia bukan sekadar melaung dan menegakkan jari telunjuk semata-mata tetapi ia turut membabitkan soal-soal lebih jauh khususnya dalam soal beragama dan penguatkuasaan.

ZAID – ANWAR TIDAK LAYAK JADI PEMIMPIN NEGARA

Kemelut pemilihan dalam PKR kini bertukar menjadi perang peribadi antara dua anak Ibrahim – Anwar dan Zaid.

Banyak pihak mahukan Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail campur tangan bagi menyelesaikan ‘perang’ antara mereka berdua.\

Namun sehingga ini Wan Azizah membisu. Apakah sindrom bisu itu membuktikan Wan Azizah sebenarnya presiden boneka?

Apakah Wan Azizah bersikap mendiamkan diri daripada membuat kenyataan dan menangani permasalahan parti berkemungkinan kerana serba salah – antara kesetiaan terhadap parti atau sayangkan suami.

Sebagai Presiden yang sah dan dipilih, bukan dilantik atau melantik seperti Anwar, Wan Azizah seharusnya menyatakan pendirian. Apakah dalam keadaan parti yang berkrisis seperti ini Wan Azizah masih tunduk kepada bayangan suaminya?

Yang pasti, dengan hanya membisu, Wan Azizah perlu menilai dirinya sendiri apakah beliau wajar meneraju PKR. Bukankah jika tidak berupaya – kerana faktor apa sekali pun - masanya sudah tiba bagi beliau melepaskan jawatan Presiden dan membuka ruang kepada orang lain menerajuinya.

Atau Anwar sendiri dilantik sebagai Presiden?

Semalam Datuk Zaid Ibrahim mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar menjadi pemimpin negara, jika pakatan pembangkang memerintah.

Ini kerana penasihat PKR itu hanya pandai mereka cerita terhadap individu yang tidak disukainya tanpa sebarang bukti.

Itu sahaja sebabnya? Atau Zaid tahu sebab lain tetapi tidak mahu memperkatakannya di hadapan rakyat.

Di Kota Bharu semalam, Zaid yang menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata beliau hairan dengan perbuatan Anwar yang menyerang peribadinya.

"Saya hanya ingin bertanding dan pada waktu yang sama ada laporan mengenai kecacatan timbul pada pemilihan parti di peringkat cabang parti, jadi saya suarakan perkara itu. Apabila saya bersetuju untuk bertanding, tiba-tiba hal peribadi saya diserang, saya perlu jawab untuk pertahankan diri saya. Saya tidak tahu apa yang dia takut, saya bukannya masyhur seperti dia yang terkenal seluruh dunia," katanya di kediamannya.

Menurut Zaid adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan parti untuk menyiasat laporan mengenai dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pemilihan dan bukan dirinya yang harus membuktikan kepada Anwar mengenai penyelewengan itu.

"Saya rasakan inilah taktik kepimpinan parti untuk alihkan isu sebenar dari mata umum, dengan menyerang saya. Hakikatnya bukan saya seorang sahaja yang bersuara, ada lagi pemimpin parti lain menyuarakan masalah yang sama," katanya.

Jari sedang ditudingkan kepada Anwar dan Azmin Ali bahawa badai yang melanda PKR adalah 100 peratus berpunca daripada mereka berdua malah Gobala telah menjangkakan perkara itu akan berlaku sejak tiga tahun lalu.

Seorang lagi Naib Presiden parti yang juga pengerusi PKR Negeri Perak Mustafffa Kamil Ayub turut mendesak supaya pemilihan parti yang bermula 29 Oktober lepas dibatalkan kerana dakwanya berlaku kepincangan dan beliau berjanji akan mengambil "tindakan" sekiranya memorandumnya kepada parti tidak dilaksanakan.

Tempoh 48 jam yang diberikan kepada parti oleh Mustaffa tamat petang semalam. Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Molly Cheah berkata pemilihan itu tetap akan diteruskan.

Melihat kepada pertelingkahan kedua-dua pemimpin atasan PKR itu semakin serius, seorang ahli PKR meminta Datin Seri Wan Azizah Ismail sebagai Presiden untuk campur tangan.

Pada pendapat calon Naib Presiden PKR, N. Gobalakrishnan, Wan Azizah boleh memperbetulkan segala kekalutan dalam proses pemilihan pemimpin parti itu yang berpunca daripada tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali.

Pensyarah Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia berkata: "persoalannya sekarang ialah adakah Wan Azizah sanggup menyanggah Anwar dan Mohamed Azmin serta mengutamakan kepentingan parti?."

Sivamurugan berkata tindakan mendiamkan diri, juga membuat orang bertanya adakah Wan Azizah boleh diibaratkan seolah-olah menyokong gesaan Zaid supaya Anwar dan Mohamed Azmin berundur dari PKR.

Persoalan lain yang timbul ialah apakah pemilihan MPP parti itu mampu memberikan nafas baru kepada PKR serta menjadikannya benar-benar menepati fungsinya sebagai parti pembangkang yang berkesan?

Pemilihan MPP yang berakhir 21 Nov ini menyaksikan 131 daripada keseluruhan 218 cabang bakal mengadakan pemilihan mereka bagi menentukan nasib kepimpinan baru yang akan menerajui parti bagi tempoh 2010-2013.

Dengan banyak persoalan tidak berjawab, jelas PKR bukan parti telus dan demokratik seperti didakwa pemimpin mereka.

Dan dengar dakwaan Zaid serta Mustaffa tidak terjawab dan diselesaikan, PKR akan berdepan dengan lebih banyak masalah selepas pemilihan ini.

Kepimpinan Anwar dalam parti akan turut dipersoal kerana bak kata Zulkifli Nordin, Anggota Parlimen Bebas kawasan Kulim-Bandar Baharu, Ketua Pembangkang itu tidak mengamalkan prinsip demokrasi kerana memegang jawatan dalam parti tanpa perlu melalui sebarang pemilihan.