Wednesday, May 23, 2012

'MUSANG BERBULU AYAM’ DI PEJABAT AG – MENTERI KABINET BERTANGGUNGJAWAB TIDAK SEDAR?

"Tentu beliau ada alasan kuat dan kekuatan moral. Belum pernah dalam sejarah, ketua pendakwa selesai kes terus 'menyeberang'. Tentu ini memberi kekuatan kepada kes. Orang dalam kerajaan sedar bahawa kekotoran dalam kerajaan dia tidak ingin pertahan semua...,ramai lagi rakan Yusof di Pejabat Peguam Negara 'yang mempunyai sikap yang sama'...
- Datuk Seri Anwar Ibrahim

Kes bekas pegawai kanan di Pejabat AG membela Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes pendakwaan Bersih 3.0 bukan kecil.

Bukan mengatakan bekas pegawai kerajaan ini bersifat MUSANG BERBULU AYAM tetapi 'pusingan 360 darjah' dari menjadi pendakwa kepada pembela Anwar sebagai sesuatu yang AMAT MENGEJUTKAN.


Dan bukan juga mahu percaya cakap Anwar 100 peratus bahawa ramai lagi dipejabat AG akan menyertainya tetapi apakah Perdana Menteri dan menteri yang bertanggungjawab menyedari apa yang ‘sedang berlaku’ di jabatan itu?

Perdana Menteri tak kisah? Menteri tak kisah? UMNO/Barisan Nasional tak kisah?

Bolehkah kita katakan atau membuat andaian bahawa banyak kes pendakwaan yang tertangguh membabitkan pemimpin pembangkang berlaku berkaitan faktor seperti ini?

Kalau tidak benar, perlu ada penjelasan!  Apakah pejabat AG ini ‘larangan untuk rakyat mengetahui mengenai kerja-kerjanya’?

Mengejutkan apabila Ketua Pembangkang berkata bekas Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden tentu mempunyai alasan kuat untuk mewakili beliau dalam kes berhubung perhimpunan BERSIH 3.0.

Mohd Yusof yang membuat keputusan 'dalam masa yang singkat' semalam bersedia mewakili Anwar yang didakwa mengikut mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0.

Mohd Yusof yang membela Anwar dalam kes berkaitan perhimpunan 28 April, menjelaskan beliau tidak mempunyai hubungan politik dengan ketua pembangkang itu tetapi sekadar menjalankan tugas sebagai seorang peguam profesional.

"Saya seorang peguam dan setiap orang berhak berbuat demikian. Saya tidak teragak-agak atau mempunyai masalah untuk mengambil kes ini," katanya kepada pemberita ketika mengulas kehadiran mengejut beliau di Mahkamah Sesyen semalam sebagai anggota pasukan pembelaan Anwar.

Mahkamah Tinggi pada 9 Jan lepas memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mohd Yusof, yang mengetuai pendakwaan pada perbicaraan kes liwat kedua ketua pembangkang itu sebelum ini, berkata beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan sesiapapun ketika bersetuju mewakili Anwar.

Mohd Yusof, yang bersara Februari lepas, berkata Anwar menghubunginya pada kira-kira 10 malam semalam, dan beliau tidak teragak-agak menyertai pembelaan.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai bantahan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dengan mengatakan tidak mempunyai sebarang masalah peribadi dengan Abdul Gani, sambil enggan mengulas lanjut.

Anwar menggunakan persetujuan Mohd Yusof itu dengan berkata tindakan tersebut membawa makna besar kepadanya kerana Yusof merupakan bekas pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara.

"Tentu beliau ada alasan kuat dan kekuatan moral. Belum pernah dalam sejarah, ketua pendakwa selesai kes terus 'menyeberang'. Tentu ini memberi kekuatan kepada kes. Orang dalam kerajaan sedar bahawa kekotoran dalam kerajaan dia tidak ingin pertahan semua," kata Anwar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam.

Malah, penegasan Anwar bahawa ramai lagi rakan Yusof di Pejabat Peguam Negara 'yang mempunyai sikap yang sama' memerlukan siasatan lanjut.

Golongan berkenaan kini "menunggu masa untuk bersama saya," kata Anwar lagi.

Kita tunggu apa reaksi Perdana Menteri dan Jabatan Perdana Menteri selepas ini!