Monday, October 12, 2015

PAKATAN HARAPAN – PAS AKAN BUAT PUSINGAN-U DEMI PUTRAJAYA?

 

"PAS tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Amanah yang ditubuhkan bekas pemimpin parti itu kerana "pengkhianatan"....pengkhianat parti lebih teruk daripada musuh." 
- Presiden PAS,Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Pakatan Harapan berdepan dengan cabaran besar, khususnya daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) dalam usahanya cuba memasukkan semua parti pembangkang ke dalam pakatan itu.

Kenyataan-kenyataan pemimpin PAS sebelum ini tidak berpihak kepada usaha PKR yang berusaha menarik parti itu ke dalam Pakatan Harapan.

Untuk bekerjasama dengan PKR seperti di Selangor dan beberapa negeri lain mungkin tidak sukar bagi PAS.

Pada 23 September 2015 lalu, PAS secara rasmi membuat kenyataan dengan memutuskan untuk tidak menyertai Pakatan Harapan yang baru dibentuk oleh PKR, DAP dan Amanah.


Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata parti  itu hanya akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR.

“PAS menghormati hak mana-mana pihak untuk merangka agenda politik tersendiri. Walaubagaimanapun PAS tidak akan terlibat dengan Pakatan Harapan,” katanya menerusi kenyataan.

PAS berdepan dengan dua parti yang dianggap musuh ketika ini – DAP dan Amanah- yang mana menurut pemimpin PAS, sukar untuk mereka ‘duduk semeja’ dan bekerjasama dalam pilihan raya.

Ini dibuktikan daripada kenyataan ,  Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi bahawa PAS sama sekali tidak boleh bekerjasama dengan pengkhianat parti itu , merujuk kepada Amanah.

Dengan melabel mereka yang menyertai Amanah sebagai “pengkhianat-pengkhianat PAS’, Nasrudin berkata label itu perlu dikekalkan sehingga mereka bertaubat dan sedar dengan tindak-tanduk mereka.

“Pengkhianat mesti dikekalkan rasa bersalahnya disepanjang zaman sehingga ia menyesal dan kembali bertaubat kepada Allah SWT. Mengiktiraf pengkhianat akan menghilangkan rasa bersalah mereka yang terlibat. Ini sangat tidak baik untuk sebuah perjuangan, tegasnya dalam satu kenyataan 23 September lalu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan PAS tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang ditubuhkan bekas pemimpin parti itu kerana "pengkhianatan",

Menyifatkan perbuatan Amanah mengkhianati perjuangan mereka, presiden PAS itu berkata pengkhianat parti lebih teruk daripada musuh.

Hadi berkata, PAS sedia bekerjasama dengan pihak lawan, namun tidak akan melakukan perkara sama terhadap pengkhianat parti.

"Orang yang khianat pada perjuangan tiada pilihan sama ada dia balik atau dihapuskan, dia bertaubat. Ini cara perjuangan Islam, tak boleh orang yang ada rekod khianat perjuangan, tak boleh sama sekali," katanya melalui rakaman video yang dikongsi melalui laman Facebook PAS.

Rakaman video tersebut merupakan sedutan sesi soal jawab antara Hadi dan peserta program Mukhayyam Tarbawi PAS kawasan Machang di Rusila, Terengganu pada 3 September lalu.

Semalam, mesyuarat khasMajlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR membuat keputusan supaya keahlian Pakatan Harapan akan diperluaskan.

Ia sebagai untuk cuba memasukkan PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), serta parti pembangkang dari Sabah dan Sarawak.

Resolusi itu dibuat mesyuarat khas parti itu, dipengerusikan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali membacakan resolusi itu selepas selesai mesyuarat selama dua jam yang diadakan di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam semalam.

"Kami membuat resolusi untuk menjemput PAS, PSM juga parti daripada Sabah dan Sarawak untuk menyertai kami," katanya.

Mesyuarat tersebut diadakan selepas petisyen khas oleh 25 ahli MPP meminta dibincangkan mengenai status gabungan parti pembangkang baharu itu yang ditubuhkan bulan lalu oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara.

Azmin juga menasihatkan semua parti pembangkang agar tidak bercakaran sesama sendiri.

"Biarkan parti masing-masing selesaikan hal mereka sendiri secara dalaman dan jangan cuba masuk campur urusan parti lain. Jika kita terus berbalah, maka rakyat akan hilang keyakinan kepada kita untuk menawan Putrajaya," katanya.

Azmin berkata, rundingan dan perbincangan akan diteruskan dalam cubaan untuk mendapatkan lebih ramai pihak menyertai platform mereka yang sama.

"Kami akan terus berhubung dengan mereka yang sealiran fikiran dengan parti," katanya.

Susulan pembentukan Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS, parti Amanah dan DAP menghadapi risiko bertanding 3 penjuru selepas PAS menganggap Amanah dan DAP sebagai lawan mereka.
Kedudukan semakin rumit apabila semalam, presiden Amanah,  Mohamad Sabu berkata Amanah sedia untuk bertanding 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa.

Namun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada PAS sepenuhnya berunding bagi memastikan pembangkang hanya akan bertanding satu lawan satu dalam pilihan raya tersebut.
"Sebenarnya hal pilihan raya ni kami belum bincang lagi. Kita cuba yang terbaik untuk mengelaknya, tetapi jika terpaksa, apa boleh buat," katanya.
Mat Sabu berkata, Amanah kini memberikan tumpuan kepada pengemasan struktur parti serta mendaftar keahliannya.

"Kami fokus kepada pembentukan kawasan dan cawangan serta penambahan keahlian sekarang ini," katanya.

Malah, Abdul Hadi tidak menolak kemungkinan parti Islam ituakan bergerak sendiri berdasarkan senario dalaman parti itu.


Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan PAS akan bersendirian lagi selepas ini susulan kedudukan parti itu dalam gabungan parti pembangkang baharu yang bakal terbentuk masih tidak pasti.
"Dalam politik tiada yang mustahil," beliau dipetik berkata pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Kuala Terengganu pada 9 September lalu.
Menurut Hadi, parti itu pernah bergerak sendiri sebelum ini tanpa bergantung dengan mana-mana parti komponen. Katanya, pengalaman tersebut secara tidak langsung mematangkan PAS.

"PAS pernah berdikari. PAS juga pernah bersama dengan parti komunis sebelum merdeka. Kita pernah dengan sosialis. PAS pernah bersama kerajaan campuran pada 1970 dengan Umno-Perikatan dan menyertai koalisi pemerintah Barisan Nasional (BN) pada 1974.
"PAS juga pernah bersendiri. Pernah pada 1982 semua ahli Parlimen PAS dalam kerajaan Kelantan tiada. Hanya tinggal Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tapi kini sudah 20 tahun lebih kita perintah Kelantan. DAP baru satu penggal saja menjajah," katanya.
Kini kita hanya mempu menunggu sama ada PAS akan membuat pusingan U dengan alasan tersendiri menyartai Pakatan Harapan atau tegas dengan kata-kata akan bergerak sendiri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.