Sunday, May 17, 2009

MULAKAN EPISOD BARU

Malaysiakini kata mengelirukan.
Ia berkaitan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bawa Datuk Ahmad Said kekal Menteri Besar.

Siapa yang mahu Ahmad Said digantikan? Pucuk pimpinan UMNO dan Putrajaya? Jawapnnya tidak.

Jadi siapa sebenarnya yang keliru?
Pucuk pimpinan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pusat tidak keliru.
Mungkin yang keliru ialah mereka yang mahu Ahmad ditukarkan.
Inilah sebenarnya kumpulan yang keliru dan kalau ada agenda demikian yang dilakukan secara tersusun atau terancang, ia bukan agenda UMNO, BN atau Putrajaya.
Malaysiakini tengah hari semalam menyebut, kenyataan Muhyiddin itu agak mengelirukan kerana selama ini memang ada ADUN BN di negeri itu yang mendesak supaya Ahmad diganti.

Apakah kenyataan Muhyiddin yang dipersoalkan itu tidak tepat? Apakah Muhyiddin bercakap melalui keputusan dan pendirian peribadinya?

Saya fikir apa yang dikatakan oleh Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri itu pendapat seluruh kepimpinan UMNO dan pentadbiran Putrajaya.

Kalau tidak puas hati nanti tanya Perdana Menteri dan Pengerusi BN pula esok atau lusa.

Semalam, Exco kerajaan negeri, Datuk Mohd Zaabar Adib berpendapat kemelut politik Terengganu kelihatan semakin reda sejak kebelakangan ini.

Katanya, kemelut yang berlaku sejak lebih sebulan lalu tidak akan selesai jika ada pihak yang berkeras mahu mempertahankan prinsip masing-masing.

"Kalau ada yang tidak memikirkan keutamaan bersama kemelut ini akan berlanjutan. Kemelut ini merugikan rakyat, saya berharap ia dapat diredakan segera. Tetapi sudah nampak ia semakin reda. Kita serahkan kepada pimpinan Umno untuk menyelesaikan kemelut tersebut," katanya.

Benar kata Mohd Zaabar dan pengumuman Muhyiddin itu sewajarnya menjadi panduan agar kemelut politik Terengganu yang tercetus apabila 10 ADUN BN tidak menghadiri sidang DUN setelah tiga daripada mereka menerima SMS yang berunsur ugutan, terus reda.

Ia ada kaitan dengan desakan sekumpulan ADUN BN yang rapat dengan Datuk Seri Idris Jusoh yang mahu Ahmad Said diganti.

Polemik itu wujud berikutan ura-ura Adun BN akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Said pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) April lepas, tetapi ia tidak berlaku.

Sebenarnya semua pihak tidak perlu keliru kerana Muhyiddin sudah menjelaskan, tiada sebarang cadangan untuk menukarkan Ahmad Said daripada jawatan menteri besar.

Bercakap di Kuala Terengganu semalam, Muhyiddin yang juga Timbalan presiden Umno berkata, isu pertukaran menteri besar Terengganu tidak pernah berbangkit sebelum ini.

Timbalan Presiden Umno itu berkata perubahan jawatan Menteri Besar Terengganu itu tidak pernah berbangkit serta dibincangkan sebelum ini.

"Siapa kata (ada perubahan jawatan Menteri Besar Terengganu). Setakat ini, saya tak dengar apa-apa," katanya ketika diminta mengulas desas-desus kononnya akan ada perubahan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu tidak lama lagi.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berharap dengan penjelasan itu, situasi politik Terengganu akan bertambah baik kerana yang lebih penting ialah untuk melihat Umno dan BN bertambah kuat di negeri itu terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata jika ada perselisihan faham, ia perlu diselesaikan secara baik kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan negeri itu selepas diberi kepercayaan oleh rakyat.

Dengan kedudukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu akan mengadakan pertemuan dengan semua 24 ADUN BN yang bertelagah di negeri serta ketua-ketua Umno bahagian Rabu ini, penyelesaian terhadap kemelut itu perlu dicari.

Bagi saya, kalau ia menjadi kudis dan barah, potong terus, jangan disimpan lagi.

Sesiapa juga yang nampak akan menyumbang kepada perpecahan, Hishamuddin patut gugurkan mereka.

Jangan ada kompromi kerana barah yang sudah ada akan membesar dan kelak akan ‘meletup’ dari dalam yang boleh memusnahkan UMNO Terengganu.

NIK AZIZ – ASAL UMNO/BN TIDAK MAHU

Tidak apa dengan DAP atau PKR. Jangan dengan UMNO.
Entahlah apa dah jadi dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Asalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) beliau tidak setuju. Dengan PKR, terutamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP boleh saja!
Bagi Nik Aziz , UMNO penipu hangit.
Semalam, beliau tidak tidak mahu sebarang perbincangan diadakan antara pakatan pembangkang dan BN bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau tidak yakin kaedah perbincangan antara kedua-dua pihak yang bertentangan itu dapat menyelesaikan krisis berkenaan.
Jelas bagi Nik Aziz, beliau tidak percaya dengan perbincangan kerana "Jalan paling baik ialah bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak," katanya di Kota Bharu
Bincang dan dengarlah dulu cadangan daripada orang lain.

Mentang-mentang bergelar Tok Guru, Nik Aziz main veto sahaja pandangan orang lain.
Nik Aziz mengulas kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden BN, untuk bertemu dengan pemimpin pembangkang dalam usaha menamatkan kemelut politik Perak.

Pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang dilaporkan mahu beliau menetapkan tarikh pertemuan itu tetapi mereka berpendirian bahawa jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis politik itu ialah dengan membubarkan DUN Perak agar pilihan raya negeri dapat diadakan.
Sebelum ini Nik Aziz menegaskanpendiriannya untuk menolak pembentukkan kerajaan perpaduan dengan UMNO walaupun ia menjadi topik hangat menjelang muktamar agung parti itu, Jun ini.

Nik Abdul Aziz menegaskan, beliau tidak percaya bahawa UMNO benar-benar ikhlas untuk bekerjasama dengan Pas.

Dengan jelas lagi terang beliau berkata: "Tidak boleh, saya dengan UMNO, saya tidak percaya keikhlasan dia (UMNO) sebab dia telah tipu Pas masa dulu. Disebabkan itu, Pas telah berpecah kepada tiga ada yang sokong dan saya tergolong dalam orang yang menyokong masuk Barisan Nasional (BN), ada pula yang menjadi Hamim dan Berjasa.

"Apa jaminan mereka tidak akan 'tendang' kita lagi, bila kami 'ditendang' dulu, kami cuma jadi orang yang tolak kereta buruk UMNO, bila hidup kami ditinggalkan 'makan asap dan selut' dia," katanya pada sidang akhbar pada 13 Mei lalu.

Sebelum ini akhbar melaporkan Nik Abdul Aziz bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat BN memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran.

Cadangan pembentukan kerajaan perpaduan itu diketengahkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Mac lalu, bagaimanapun ia ditentang oleh banyak pihak termasuk, Nik Abdul Aziz.

Pada bulan lepas, Abdul Hadi menarik balik cadangan tersebut dengan alasan kepimpinan negara telah bertukar dan pihaknya perlu melihat perkembangan terbaru sebelum ia diteruskan semula.
Isu pembentukan kerajaan perpaduan juga menjadi polemik berpanjangan menjelang pemilihan parti itu yang mana golongan pro-Anwar Ibrahim menolak cadangan tersebut, manakala golongan konservatif dilihat lebih terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO.

Jelas pendirian Nik Aziz sama saja dengan ‘anak didiknya’ Datuk Husam Musa yang sanggup menemui Tengku Razaleigh Hamzah.

Malaysiakini menyebut, Naib Presiden PAS, itu mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan parti komponen BN untuk menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Yang pasti kini bagi Nik Aziz dan Husam, apa saja atas nama UMNO dan BN mereka akan menolaknya.

Alasannya bukan kerana UMNO dan BN tetapi kerana Anwar.
Husam sudah mengaku dia kawan Anwar dan apa lagi mahu dikata? Ini kerana melalui kerajaan perpaduan, Anwar tidak mungkin jadi Perdana Menteri.

Dan sebagai orang kuat Anwar, Husam tidak akan berkompromi dengan UMNO dan BN, malah suara Husam sebenarnya adalah suara bapa politik yang mendidiknya – Nik Abdul Aziz Nik Mat.

HISHAMUDDIN ‘BUKAN TOK BOMOH BAGUS’

(Sembang Ahad)

Gara-gara ‘ribut dalam cawan’ politik Terengganu, PAS meminta supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan.
Selain itu PAS menganggap ‘sms ugut bunuh tidak real’ dan mengaitkan dengan Datuk Idris Jusoh, bekas Menteri Besar Terengganu.
Juga PAS mempersoalkan perlantikan Datuk Seri Hishamuddin Hussein sebagai ‘bomoh yang tidak akan menyelesaikan masalah’.
Apakah kenyataan seperti ini juga yang diminta oleh sesetengah pemimpin UMNO apabila melakukan pelbagai tindakan yang jelas seakan mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO lumpuh?

Tidakkah pemimpin BN dan UMNO melihat ini modal kempen yang besar bagi PAS pada musim kempen menghadapi pilihan raya ke 13 kelak?
Apakah pemimpin UMNO Terengganu bersifat kalau ‘aku tidak dapat, biar semua tidak dapat’ dan tidak sanggup berkorban demi parti?

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Mustafa Ali berkata kelmarin, sejak penubuhan kerajaan baru selepas pilihanraya umum ke 12, Mac 2008, negeri Terengganu tidak putus-putus menghadapi masalah.

Ia disebabkan terdapat dua kumpulan dalam UMNO Terengganu iaitu kumpulan yang menyokong bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan kumpulan yang menyokong Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Apakah Mustaffa cuba menyalahkan pihak tertentu dalam soal ini atau beliau mahu menyatakan bahawa pihak istana sudah berusaha untuk menyelamatkan politik Terengganu tetapi pemimpin UMNO sendiri yang sabotaj usaha istana itu?

Kenapa istana saya dikaitkan?
Umum tahu bahawa bekas Menteri Besar sebelum ini tidak diperkenankan dan apabila orang lain dilantik, usaha menjatuhkan Menteri Besar sekarang terus dijalankan. Inipun umum tahu Cuma mungkin Ibu Pejabat UMNO dan pentadbiran Putrajaya cuba buat-buat tidak tahu atau sengaja buat tidak tahu.

Gerakan itu boleh disekat kalau ada peringatan semasa ke semasa supaya jangan ganggu pentadbiran Datuk Ahmad Said.

Bagi Mustaffa, kes penangkapan Dr Ramzi adalah satu tamparan kepada Idris dan kumpulannya kerana Dr Ramzi merupakan bekas Setiuasaha Politik Idris.

Beliau menganggap ugutan bunuh melalui SMS yang berlaku pada 13 April 2009 itu adalah satu ugutan yang bukan sebenar, sengaja diada-adakan dan dirancang oleh pihak tertentu.

“Datuk Ramzi ditahan oleh polis kerana disyakki terlibat dengan yang mengugut ‘bunuh’, walaupun sudah dibebaskan, tetapi beliau (Ramzi) telah dicari polis dan tidak menyerah diri sehingga ditangkap,” kata Mustafa dalam sidang media di pejabat Perhubungan PAS Terengganu kelmarin.

“Pada saya, ugutan bunuh ini tidak ‘real’ (bukan sebenar) dan ‘orchestrated’ (diada-adakan dan dirancang), tapi cukup untuk mengelirukan masyarakat tentang apa yang berlaku,”jelasnya.

Beliau berkata masalah diantara dua kumpulan UMNO Terengganu yang bertelingkah tidak akan dapat diubati walaupun menjemput ‘bomoh’ dari luar.

“Tok bomoh dalam (Terengganu) semua tak layak nak selesaikan masalah, panggil tok bomoh luar, (Dato’ Seri) Hishamudin Hussein datang, saya tak fikir (dia boleh selesaikan),”katanya.

Apabila ditanya apakah saranan beliau dalam menghadapi kemelut UMNO Terengganu yang tidak akan selesai itu, beliau berkata cara yang terbaik adalah “bubar mendahului Perak”.

“Dubar Dewan (Undangan Negeri Terengganu), tak boleh nak selesai, tak boleh nak jalan, tak boleh apa, bubarlah!,”katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS berkata apabila di bubarkan Dewan Undangan Negeri, UMNO akan bersatu.

Katanya masalah perpecahan UMNO boleh di selesaikan dengan pilihanraya kerana menurutnya UMNO boleh disatukan dalam menghadapi pilihanraya untuk melawan Pakatan Rakyat.

Itu pandangan pemimpin PAS Terengganu dan tidak semestinya diikuti atau dipatuhi oleh UMNO Terengganu dan UMNO Pusat.

Cadangan bubar DUN Perak pun tetap diperbahaskan walaupun isu Menteri Besar negeri itu lebih kronik berbanding Terengganu!.