Showing posts with label UMNO. Show all posts
Showing posts with label UMNO. Show all posts

Wednesday, May 17, 2017

JANGAN MARAHKAN MCA, UMNO LEBIH DAHULU BEKERJASAMA DENGAN PARTI KOMUNIS…


Parti Komunis Malaya (PKM) yang dikaitkan dengan negara China membunuh kira-kira 10,000 orang, termasuk 5,900 anggota keselamatan, semasa zaman Darurat dari tahun 1948 hingga 1960.

Itu belum yang terbunuh hingga akhir 1990-an apabila selepas itu PKM dibubarkan.

Ahad lalu, bekas diplomat Malaysia, Dennis Ignatius menimbulkan kebimbangan mengenai  keputusan parti MCA, rakan komponen UMNO dalam Barisan Nasional (BN) kerana menghantar pemimpinnya untuk latihan kader di China.

Kebimbangan ini wajar kerana suatu ketika sebelum hubungan agak akrab Kuala Lumpur-Beijing dijalinkan, kebimbangan kepada pengaruh komunis begitu mendalam di kalangan rakyat dan pemimpin negara ini.

Malah, undang-undang negara seperti Undang-undang Darurat 1948 yang dikuatkuasakan oleh kerajaan penjajah British selain tahanan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan untuk mereka yang disyaki menjadi ahli atau tali barut komunis.

Masih jelas diingatan kita bagaimana undang-undang itu membolehkan kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia menahan sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam kegiatan komunis.

Melalui penguatkuasaan undang-undang 1948 itu, pasukan keselamatan dibenar menggeledah rumah kediaman, memindahkan penduduk ke penempatan baru atau memagar kawasan kampung yang disyaki penduduknya membantu pengganas komunis.

Malah masih jelas diingatkan kita bekas pemimpin UMNO seperti Tan Sri Abdullah Ahmad, Tan Sri A Samad Ismail dan Abdullah Majid pernah ditahan pada lewat 1980-an yang dikaitkan dengan kegiatan subversif (yang menyebabkan mereka dikaitkan sebagai ejen komunis).

Kita tidak mudah lupa bahawa ketika merdeka pada 31 Ogos 1957 darurat masih lagi berkuatkuasa.Malah ketika pembentukan Malaysia pafa 16 September 1965, komunis tetap bermaharajalela.

Kerajaan menamatkan darurat pada 31 Julai 1960, selepass menanggap ancaman komunis semakin berkurangan. Pengunduran mereka ke sempadan utara, khususnya sempadan Tanah Melayu-Thailand menjadikan ‘perang melawan komunis berlegar di kawasan itu’.


Kegiatan komunis yang berterusan di kawasan sempadan akhirnya terhenti apabila  pucuk pimpinan PKM  bersedia menandatangani Perjanjian Damai di Haadyai 2 Disember 1989 melalui persetujuan tiga pihak iaitu PKM, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand.

Perjanjian bersejarah berkenaan dilihat sebagai tamatnya episod peperangan bersenjata kerajaan Malaysia dengan komunis selama 41 tahun.

Pemimpin dan penyokong PKM dikatakan sudah mengembalikan taat setianya kepada Yang di-Pertuan Agong, menjunjung Parlembagaan Malaysia selain undang-undang negara,

Itu ikrar mereka dan tiada bukti jelas sejauh mana ketaatan itu dipenuhi!!!

Maknanya hanya baru dua dekad ke belakangan ini sahaja, komunis tidak dianggap bahaya tetapi tetap diperhatikan pengaruhnya.

Dekad selepas merdeka hingga ke akhir 1980-an, komunis dilihat sebagai sesuatu yanh sangat berbahaya. Pemimpin negara sering mengaitkan komunis dengan kesatuan sekerja, tunjuk perasaan, parti politik kekirian dan sebagainya.

Komunisme adalah sama bahayanya dengan pelampau Islam tetapi kini nampaknya Tentera Negara Islam (IS) dianggap jauh lebih bahaya daripada komunis.

Tun Razak (kanan) dan Mao Zedong pada 1974.
Malah kebimbangan mengenai ‘kesan domino’ akibat pengaruh komunis yang merebak dari China ke beberapa negara utara Malaysia seperti Vietnam (Utara dan Selatan), Laos dan Kemboja senelu ini begitu membimbangkan kita.

Peperangan memerangi komunis di negara ini begitu ketara, malah ia jelas menjadi salah satu agenda negara. Filem ‘Bukit Kepong’ mnjadi antara kayu pengukur bagaimana benci dan meluatnya rakyat Tanah Melayu dan Malaysia kepada komunis.

Malah pada Jelajah Semarak di Kubang Pasu malam semalam, bekas Perdana Menteri menyatakan kebimbangannya dengan ‘dasar terbuka Malaysia’ terhadap China. Negara besar itu masih mengamalkan sistem politik berteraskan komunisme, walaupun dasar ekonomi dan perdagangannya kini lebih mirip ekonomi bebas.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangannya, ia pastinya ada asas, apa lagi kini MCA – parti orang Cina - sebuah parti komponen BN berani pula mengadakan perjanjian dengan Parti Komunis China (CPC),

Apa yang dibimbangi oleh Dr Mahathir turut disuarakan semalam oleh PERKASA mengenai kemungkinan  penyusupan komunisme dalam perjanjian MCA ada kebenarannya.

PERKASA melahirkan kebimbangannya dengan tindakan MCA yang memeterai perjanjian kerjasama dengan CPC. Tindakan itu dilihat akan enyebabkan kemasukan masuk pengaruh dan memperluaskan ideologi komunisme.

Jangan salahkan MCA sahaja kerana sejak 2014, pada satu majlis di Beijing, pada 13 September 2014, CPC  mengakui ia memberi keutamaan kepada hubungannya dengan UMNO, sekali gus akan mengeratkan hubungan dua hala antara China dengan Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Biro Pertama Jawatankuasa Pusat Jabatan Antarabangsa CPC, Zhang Xuy I dilaporkan Mingguan Malaysia bahawa  keutamaan itu jelas terbukti dalam hubungan cemerlang antara Beijing dengan Kuala Lumpur sejak 40 tahun lalu.


"Pemimpin dari kedua-dua negara turut meletakkan keutamaan kepada hubungan dua hala ini dengan mewujud hubungan pada peringkat tertinggi serta kerjasama dalam banyak sektor dan usaha sama," tegas beliau kepada kumpulan wartawan Malaysia.

Jadi apa peliknya mengenai hubungan CPC dengan MCA jika UMNO sendiri sudah memulakan langkahnya?

Menurut Zhang lagi, hubungan rapat antara CPC dan UMNO merupakan asas utama kepada hubungan sangat cemerlang China-Malaysia. "Wujud suasana saling mempercayai antara CPC dengan UMNO, yang membolehkan pertukaran lawatan antara pemimpin dan pegawai dapat kerap dilakukan.

"Ini meningkatkan lagi hubungan jangka panjang antara kedua-dua parti utama, apatah lagi CPC dan UMNO berkongsi kepentingan bersama terhadap melihat kemajuan di kedua-dua negara," tambah beliau.

Sudah pasti dalam kedudukan sebegini, UMNO tidak akan menegur atau melarang MCA melakukannya. MCA hanya ikut rentak UMNO dalam hubungannya dengan CPC.

“Perjanjian dan kerjasama ini tentunya akan membawa masuk pengaruh dan memperluaskan ideologi komunisma yang amat berbahaya kepada negara,” demikian kata PERKASA.


Hendaknya, PERKASA jangan amalkan ‘double standard’ dengan menegur MCA semata-mata kerana hubungan rapat UMNO-CPC juga sudah lama terjalin.

Tidak perlulah PERKASA mempertikaikan MCA atau meminta kerajaan supaya mencurigai hubungan itu kerana Putrajaya sendiri merestuinya.


Soalan “Mengapakah kerajaan membenarkan perkara begini berlaku?” yidak lagi relevan untuk disuarakan oleh Timbalan Presiden PERKASA, Datuk Sirajuddin H Salleh (gambar atas) kepada MCA.

Yang patut ditanya ialaah UMNO dan seluruh kepimpinannya kerana UMNO terlebih dahulu meneroka kerjasama dengan CPC. Cuma mungkin MCA dan CPC mengadakan perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, budaya, kepakaran, strategik, pembangunan kampung dan aspek lain.

Sirajuddin sewajarnya turut mempersoalkan jika kerajaan telah lupa apa yang dilakukan komunis terhadap negara ini pada masa lalu.

“Lupakah pemimpin pemimpin BN, UMNO dan NGO Melayu betapa ribuan anggota askar Melayu dan keluarga mereka yang terkorban dan menderita bertempur di zaman darurat dahulu, dengan puak kominis yang tentunya berkiblatkan Beijing dan Mao Zedong?” katanya semalam.


Tuduhan seperti dilakukan terhadap MCA sebagai ‘musuh dalam selimut’ juga sepatutnya ditujukan kepada UMNO selain menggesa Wisma Putra, pihak tentera dan polis serta NGO untuk membantah sekeras-kerasnya tindakan UMNO dan  MCA itu.

Memanglah dalam konteks hubungan negara dengan negara ia dibuat oleh Wisma Putra tetapi bagaimana hubungan antara parti dengan parti dan di kalangan NGO?

 Jika  PERKASA boleh  menuntut supaya kerajaan membatalkan kerjasama MCA-CPC ini, bagaimana pula kerjasama antara UMNO-CPC?

Mengajak Pemuda Umno, PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Persatuan Bekas Perajurit dan NGO lslam lain supaya segera bangun menentang kesekongkolan MCA-CPC ini demi masa depan negara bukan langkah bijak.


Langkah bijak sebeenarnya ialah memerangi kerjasama UMNO-CPC selain kerjasama MCA-CPC.

Monday, December 19, 2016

PINDAAN AKTA 355 – APA YANG TERSURAT DAN TERSIRAT MENURUT UMNO

 

"Kononnya akan ‘bersatulah penyokong UMNO dan PAS’ gara-gara persetujuan melalui Akta 355 ini...jika benar mahukan perpaduan sepatutnya tersangat penting ialah antara Islam dan bukan-Islam demi survival Malaysia."

Baca tiga petikan ini untuk faham kenapa usaha meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 dilepaskan oleh UMNO kepada Presiden PAS untuk mengusulkannya di Dewan Rakyat.

Selepas membaca nilai sendiri kesannya.

1.      Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan: "Ia (RUU) adalah satu pengikat antara perpaduan kita dengan PAS dan ia adalah satu perkara yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak mahu ditanyakan apakah yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia, kita tak boleh nak jawab kalau kita tak sokong akta 355.”

2.      Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom: “Kenapa undang-undang persendirian? Kenapa kerajaan tak bawa terus? Kita ada kekangan-kekangan kita, kita ada SOP kita. Kalau kerajaan bawa kita kena konsenses 14 buah negeri dibawa kepada kabinet kemudian ke Majlis Kebangsaan (Hal ehwal) Islam seterusnya Majlis Raja-raja.”

3.      Ahmad Maslan: “...rang undang-undang itu selepas ini akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan selaku pemerintah negara.”

Dan melalui tiga perkara yang tersurat ini Ahmad Maslan berhujah komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi boleh berkata tidak kepada rang undang-undang persendirian yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta 355.

Amat jelas jika dilihat kepada hujah Ahmad Maslan RUU adalah satu pengikat perpaduan UMNO-PAS apabila beliau menyebut, “satu pengikat antara perpaduan kita (UMNO) dengan PAS”.

Walaupun tiada kerjasama politik tetapi UMNO membuktikan betapa pentingnya ikatan perpaduan antara parti itu dengan PAS.

Kerana inilah  mungkin parti komponen dalam BN tidak diberikan penerangan yang sejelas-jelasnya mengenai tujuan pindaan dan kenapa diberikan hak kepada PAS untuk membawa usul berkenaan.


Jika benar ia amat penting untuk Melayu dan Islam, UMNO sebagai parti memperjuangkan dua perkara itu mesti ambil tanggungjawab untuk membawa usul.

Namun demi perpaduan UMNO-PAS, UMNO sanggup berdepan kritikan rakan komponennya, selain rakyat bukan Islam.

UMNO bimbang menerangkan kepada rakan komponen bahawa ia mempunyai biat untuk berbaik dengan PAS kerana akan dilihat mementingkan kesepakatan Melayu dan Islam.

Salahkah? Memang UMNO memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan memartabatkan Islam.

Dengan berselindung sebegini, lebih menimbulkan syak wasangka dan kini sudah didedah dan diakui mengenai wujudnya usaha perpaduan itu.

Yang juga menjadi pertanyaan ialah kenapa dalam banyak-banyak pemimpin UMNO atau Ahli Parlimen UMNO yang pastinya Islam, Hadi yang menjadi pilihan?

Bukankah ini antara perkara yang dibangkitkan oleh parti komponen?

Juga kenapa ahli UMNO membisu apabila pemimpin mereka yang tidak kurang Islam berbanding Hadi diketepikan begitu sahaja sebaliknya pucuk pimpinan memilih Hadi untuk membentangkan usul berkenaan?

Tidak beranikah pemimpin UMNO dan rata-rata ahli UMNO untuk memperkatakan hal ini dan mempersoalkan ‘kenapa pilih Hadi’ kepada pucuk pimpinan?

Jika  menteri UMNO atau Ahli Parlimen UMNO yang bentangkan usul pindaan ini, rasanya tidak akan timbul masalah besar.

Hadi di mata orang Islam dan bukan Islam tidaklah mempunyai rekod cemerlang. Hadi yang terbukti terpalit dengan AMANAH HADI dan dilihat gagal memperjuangkan Hudud sebenarnya hanya mendatangkan masalah kepada UMNO dan kerajaan apabila dibenarkan membentangkan usul bagi pihak UMNO. Kini sudah jelas menjadi isu gara-gara ‘perpaduan’ seperti yang disebut Ahmad Maslan itu.

Fahamkah pemimpin UMNO dan Ahmad Maslan sendiri bahawa penentangan sejauh ini bukan mengenai tujuan dan kandungan Akta 355 tetapi kenapa Hadi yang mengusulkannya?

Fahamilah ketakutan bukan Islam kepada Hadi dan PAS dan jangan pula UMNO dan pucuk pimpinannya ‘sesat’ hanya kerana kepentingan UMNO untuk ‘bersepadu’ dengan PAS.

Semua pemimpin komponen BN dan pembangkang sejauh ini menghormati kedudukan Islam di Malaysia, Jangan bersyak-wasangka mengenai perkara ini.

Pemimpin komponen BN juga faham mengenai kedudukan Islam. Jangan anggap bantahan mereka terhadap Hadi bermakna mereka mengkhianati perjuangan Barisan Nasional (BN).

Jangan anggap mereka tidak tahu bahawa tokoh undang-undang tersohor almarhum Prof Ahmad Ibrahim (bekas ketua pengajian undang-undang di beberapa universiti dan mantan Peguam Negara Singapura di bawah PAP yang diterajui mendiang Lee Kuan Yew seperti DAP di Malaysia) telah menulis perkara ini dalam tajuk: "Islam Dalam Perlembagaan" dengan menegaskan: Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan.

Mereka juga tahu bahawa Kuan Yew pun tidak menentang akta ini ketika dibentangkan di Dewan Rakyat kerana memang ia bertujuan menjatuhkan hukuman terhadap orang Islam semata-mata.

Tetapi jangan pula jadikan parti komponen sebagai ‘anak sendiri yang terpinggir dan terbuang’ sebaliknya PAS yang sah ‘anak tiri’ tetapi diberikan keistimewaan dan ditatang bagai minyak yang penuh.


Kenapa jadi begini?

Di kalangan parti komponen pun mereka dapat melihat betapa UMNO kini semakin terdesak dan bimbang dengan hakisan sokongan orang Melayu dan Islam. Mereka tahu dan bukan buta serta pekak.

Negara Malaysia adalah negara berbilang kaum dan Islam agama rasmi yang diakui oleh seluruh rakyat dan parti.

Apa yang lebihnya PAS berbanding MCA, MIC atau Gerakan dan parti-parti di Sarawak dan Sabah dari segi sumbangan kerusi Parlimen kepada BN?

Apakah kerana mereka pemimpin ‘kafir’ dan Hadi ‘Islam bergelar Tok Guru’ serta PAS pula ‘Parti Islam’? Rekod kemenangan pilihan raya PAS pun baik sangat.

PAS kini hanya ada 14 kerusi Parlimen berbanding parti-parti komponen Bn yang lain?

MCA mempunyai 7 kerusi, MIC (4), Gerakan (1), Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (14), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (1), Parti Demokratik Progresif Sarawak (4), Parti Rakyat Sarawak (6), Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) (3), Parti Bersatu Sabah (4) dan Parti Rakyat Bersatu Sabah (1).

Jumlah kesemua yang membantu UMNO memerintah ialah 45 kerusi. Bukankah jumlahnya lebih tiga kali ganda?

jadi apa sangat istimewanya cuba mendapat sokongan PAS?

Benar ada jurang yang jauh antara presiden MCA, MIC dan Gerakan serta beberapa parti lain berbanding Hadi dari segi amalan (melihat dari sudut Islam).

Namun jika benar mahukan perpaduan di negara Malaysia dan antara masyarakat, sepatutnya bukan antara Islam dengan  Islam semata-mata tetapi pupuklah persefahaman dan tolerasi yang tinggi antara Islam dan bukan-Islam. Ia tersangat penting demi survival bangsa dan Malaysia yang sebahagian besarnya orang Islam.

Setakat untuk bawa usul ke Dewan Rakyat yang kemudian diambil alih oleh parti kerajaan (UMNO atau BN) seperti yang Hadi lakukan sebanyak dua kali sebelum ini bukan ada apa-apa pun.

Mungkin jika diadakan perundingan daripada kalangan UMNO dan komponen, hasilnya lebih baik dan disokong oleh bukan Islam, seperti mana Kuan Yew menyokongnya pada 1964 dan 1965.

Bukan mahu merendahkan martabat Hadi tetapi kalau setakat “Bangun, Baca dan Tngguh, kemudian Duduk” seperti pada 26 Mei  dan 24 November lalu, ahli parlimen biasa boleh buat. Malah tidak keterlaluan, kalau budak pejabat atau mat dispatch yang boleh membaca dan dilatih tata cara mengemukakan usul di Dewan Rakyat, jika diminta, mampu melakukan kerja seperti itu.


Cumanya ada sedikit tambahan pada bacaan pada 24 November itu iaitu menambah had hukuman penjara daripada 3 tahun kepada 30 tahun maksimun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan kepada maksimum 100 sebatan Syarie.

Apapun, masih banyak perkara yang dipersoalkan mengenai perkara yang diusulkan oleh Hadi itu dan dijangkakan akan ada perbahasan panjang apabila ia menjadi rang undang-undang nanti.

Lurutan daripada usul Hadi itu, Speaker Dewan Rakyat akan membuat huraian pada sesi (mesyuarat dewan) akan datang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(5).

Dalam konteks proses rang undang-undang persendirian itu, beberapa peraturan mesyuarat perlu diteliti dan menjelaskan mengenai prosedur biasa pembentangan sesuatu usul sebelum ia diangkat menjadi rang undang-undang.

Apabila sudah buat keputusan yang mana sekiranya majlis (anggota dewan) mengizinkan rang undang-undang itu, barulah ia dicap, bermakna apabila dicap barulah sudah sah ia dibaca kali pertama.

Namun, ia belum lagi berakhir di situ kerana rang undang-undang yang telah dicap itu diagih pula dalam dewan dan akan diangkat kepada menteri yang bertanggungjawab untuk menteri berkenaan membuat satu penyata.

Apabila menteri membuat penyata dan diangkat di dalam dewan baru ada perbahasan lagi, selepas itu baru nanti diangkat ke bacaan kedua. Ini bermakna panjang lagi prosesnya.

Ahmad Maslan sendiri menjawab persoalan ini apabila mengatakan selepas ini rang undang-undang itu akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan selaku pemerintah negara.

Bermakna selepas ini fungsi Hadi sudah habis, jadi apa perlunya sampai mengeruhkan suasana untuk diserahkan usul untuk Hadi bentangkan?

Awal Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut memaklumkan kerajaan persekutuan akan "mengambil alih"  RUU yang dibawa Hadi bagi meminda Akta 355.

Bagaimanapun ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO, Presiden UMNO itu tidak menjelaskan bagaimana RUU itu bakal "diambil alih" oleh kerajaan.

Menghairankan apabila perkara penting sebegini,  seperti juga isu 1Malaysia Development Berhad langsung tidak disentuh.

Mungkin tidak penting untuk pemimpin dan UMNO mengetahui banyak mengenainya, atau ia memang rahsia antara pemimpin tertinggi UMNO dan PAS. Dengan kata lain, tidak baik untuk dibincang atau dipanjangkan.

Namun, apa yang berlaku di Muktamar PAS berbanding PAU 2016 dalam konteks RUU 355 ini?

Pada muktamar PAS 2016 ia dibahas dan diperkatakan hinggakan ada amaran agar parti lain jangan gagalkan pindaan Akjta 355 ini.

Malah bukan Islam ‘dipertikaikan pendirian mereka’ dalam isu ini, sedangkan PAU2016 tidak pun menganggap ia sesuatu yang penting, walaupun isu ‘berbaik dengan PAS’ ada di sebut pada perhimpunan itu.

Paling aneh, pada  Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke 15 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur semalam,  Ahmad Maslan masih  menyelar komponen BN kerana mempertikaikan kenapa usul itu diberikan kepada Hadi untuk dibentangkan.

"Sebelum ini kita dengar MCA tak suka dengan RUU 355, MIC menentang RUU355, Gerakan juga menentang RUU 355. Apabila kita tanya kenapa mereka menentang? Mereka jawab macam mana kami tak tentang, sebab Hadi Awang yang bawa.


"Jadi selepas ini Datuk Seri Jamil Khir yang bawa dan kita akan sokong beliau. MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain tidak boleh kata tidak bila kerajaan bawa RUU 355," katanya.

Beginikah cara UMNO berurusan dengan parti komponen BN?

Juga beginikah cara UMNO menjalinkan perpaduan dengan PAS dengan tidak mengambil pandangan parti  komponen terlebih dahulu sebaliknya umum dahulu dan kemudian paksa komponen BN untuk menerima apa yang UMNO mahu lakukan  dengan PAS?

Ahmad Maslan juga mengingatkan:“...ia adalah satu perkara yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak mahu ditanyakan apakah yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia, kita tak boleh nak jawab kalau kita tak sokong akta 355".

Terima kasih kerana ingatan itu namun cara Ahmad Maslah menyebut apa yang akan berlaku di Padang Masyar terhadap yang tidak menyokong Akta 355  nampaknya  mirip kepada cara PAS mempengaruhi orang Islam menyokong mereka.

Apapun, peringatan itu juga perlu diberitahu kepada pemimpin UMNO dan kerajaan bahawa selain Akta 355, tanggungjawab untuk meringankan beban rakyat dalam menghadapi kos kehidupan yang semakin meningkat, kemiskinan rakyat, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa yang kini rakyat sendiri mulai faham dan sedar mengenainya juga perlu ditangani.

Persoalannya, begitu terdesak sekalikah meminta sokongan orang Melayu dan Islam sehingga menyatakan soal Padang Masyar  sebegini?

Atau apakah ini sengaja dituju kepada orang Islam yang menentang pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Hadi atau bertujuan mempersoalkan niat dan keyakinan orang Islam lain?

Atau apakah Ahmad Maslah cuba membidas pemimpin AMANAH serta pemimpin Islam dalam parti lain seperti PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia kerana menentang cara Akta 355 ini diusulkan?

Ahmad Maslan boleh menegaskan beliau selaku anggota parlimen Pontian, apalagi anggota kepimpinan lantikan Najib menyokong akta itu seratus peratus, namun memaksa orang lain untuk ‘bersetuju dengannya’ walaupun Padang Masyar disebut, sedikit sukar untuk mengubah pendirian mereka.

Mungkin begitu jugalah dengan pemimpin bukan Islam membabitkan komponen BN. Cara Ahmad Maslan memberikan rasional menggunakan Padang Masyar supaya menyokong usul Hadi ini ternyata lemah.

Sama seperti kenyataan Jamil Khir yang berhujah bahawa  kerajaan tidak membawa RUU itu sejak awal kerana terikat dengan pelbagai kekangan dan prosedur,  juga menggambarkan kelemahan UMNO dan kerajaan.

Mungkin hadirin yang hadir pada majlis mesyuarat agung di PWTC semalam hanya jenis akur dan tidak mahu berdebat panjang dalam isu mengapa kerajaan sejak dulu lagi tidak bertindak membawa RUU tersebut.

Lagipun mereka semua penyokong UMNO dan mestilah ‘wala’ kepada apa sahaja keputusan atau perkara yang ditetapkan pemimpin tertinggi meraka.


Jawapan Jamil Khir bahawa ada kekangan-kekangan dan ada SOP bahawa jika kerajaan yang membawa usul itu maka perlu ada konsenses 14 buah negeri dibawa kepada Kabinet kemudian ke Majlis Kebangsaan (Hal Ehwal) Islam seterusnya Majlis Raja-raja, yang jelas membuktikan usaha untuk meminda Akta 355 itu dibuat tergesa-gesa.

Untuk apa pindaan yang akan melibatkan lebih 15 juta orang Islam (separuh penduduk Malaysia ) cuba dilakukan melalui cara ‘kelam kabut’  kalau bukan kerana terdesak demi perpaduan dengan PAS?

Apabila Ahmad Maslan mengakui usul Hadi ini demi kepentingan perpaduan dengan PAS, amat nyata apa  yang dijelaskan oleh Jamil Khir sudah terbatal sama sekali.

Jangan berklu-klek (flip flop) lah pemimpin UMNO. Lebih baik berterus terang biar rakyat faham daripada rakyat marah kerana cuba mencari jawapan kepada perkara yang tidak benar.

Alasan "Majlis Raja-raja tak boleh bawa kalau tak ada konsenses 14 buah negeri tapi melalui undang-undang persendirian dimana hanya satu negeri atau satu orang bangun bawa undang-undang persendirian," jelas membuktikan UMNO mahu suatu kemenangan segera dari segi politik.

Sanggup makan mi segera walaupun tahu membahayakan kesihatan, bukannya makan mi yang direbus atau dimasak yang mungkin mengambil masa yang lama sedikit tetapi berkhasiat.

Ini yang tersurat yang tanpa disedari ditonjolkan oleh Jamil Khir.

Namun yang sah dan nyata ialah bukan Raja-Raja Melayu yang mendesak atau terdesak tetapi UMNO yang sebenarnya terdesak dan mendesak parti komponen BN lain menyokong usul Hadi.

Isunya kenapa tergesa-gesa dan kini niat dan perkara baik sudah tersangkut-sangkut dan menimbulkan polimik yang tidak berkesudahan. Memburukkan keadaan penjelasan Ahmad Maslan dan Jamil Khir semalam tidak mencerahkan isu, sebalikya mengesahkan banyak telahan sebelum ini.

Persoalannya, sukarkah mendapat konsensus 14 negeri jika diperjelaskan dari awal kerana ia memang berniat baik? Dengan memulakan niat yang baik akan menyebabkan perjalanan usaha yang baik itu diredhai Allah.

Dan bukankah dengan cara yang baik itu  jika dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja nampak UMNO dan kerajaan ikhlas dan melalui saluran yang betul dan memuaskan semua pihak, termasuk komponen BN?

Jangan sama sekali kaitkan pindaan Akta 355 dengan Majlis Raja-Raja yang kelak akan menggambarkan kononnya tiada kesatuan antara mereka.

Kerana tergesa-gesa dan tidak mengikut saluran sewajarnya, MCA semalam mempersoalkan cara rang undang-undang Syariah kontroversi itu diususlkan yang disifatkan oleh pemimpinnya bukti berlakunya konspirasi politik agar ia diluluskan dengan cepat.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA,  Ti Lian Ker merujuk kepada kenyataan Jamil Khir itu berkata  kenyataan Jamil adalah bukti konspirasi politik untuk memintas hak negeri dan Majlis Raja-Raja.

Ia dianggap  pengkhianatan semangat konsesus BN  dengan tidak menghormati 14 negeri dan Raja-Raja Melayu diabaikan daripada diambil pandangan mereka.

Sangat nyata kini yang tidak bersatu adalah dalam kalangan UMNO dan BN sendiri.

Dan kerana terdesak untuk dapatkan sokongan orang Melayu dan Islam bagi menghadapi pilihan raya akan datang, UMNO sanggup melakukan apa sahaja, termauk menyerahkan kepada Hadi untuk membentangkan usul pindaan Akta 355.

Kononnya akan ‘bersatulah penyokong UMNO dan PAS’ gara-gara persetujuan melalui Akta 355 ini.

Benarkah demikian? Kenapa pemimpin PAS asyik mengatakan dalam pilihan raya akan datang mereka akan tetap menjatuhkan UMNO dan kerajaan BN?

Benarkah Akta 355 membawa persefahaman baik UMNO dan PAS, khsuusnya di negeri-negeri yang menjadi perebutan antara mereka seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah?

UMNO mendapat malu daripada strategi menggunakan Hadi dan kini terpaksa mencari jalan ‘memperbaiki kerosakan teruk yang sduah dilakukan oleh mereka sendiri’.

PAS pula mendapat untung apabila UMNO terpaksa berdepan dengan masalah dalaman BN sendiri apabila banyak parti yang menentang cara usul itu dikemukakan.

Inilah sebenarnya hasil daripada yang tersirat, selain kenyataan-kenyataan yang mendedahkan sendiri apa niat UMNO dan kerajaan BN yang tersurat dalam perkara berkaitan pindaan Akta 355 ini.

Hadi kini boleh tersenyum lebar dan memanglah ia suatu kepuasan dan sejarah kemenangan untuk dirinya dan PAS.

Tuesday, December 13, 2016

KERJASAMA - APA ADA PADA PPBM SEHINGGA PKR, DAP DAN AMANAH BEGITU TERUJA?


Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) bukan parti besar orang Melayu dan ‘tidak se gah’
UMNO, PAS atau AMANAH untuk dibimbangi oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Banyak pemimpin UMNO memperkecilkan keupayaan PPBM sebelum ini dan akhir-akhir ini sahaja sesetengah pemimpin mereka menunjukkan sedikit perubahan ke arah kebimbangan.

Namun kebimbangan itu bukan kerana mampu membentuk menjadi kerajaan sama ada di Putrajaya atau negeri, sekadar mungkin akan kehilangan beberapa kerusi tertentu jika UMNO tidak berwaspada.

Jadi, apabila PPBM mula mengintai kerajasama dengan PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) yang ketika ini disertai oleh PKR, DAP dan AMANAH, ada beberapa pihak, khususnya PAS mulai bimbang akan menyebabkan pakatan yang diimpi dibentuk mereka – Blok Ketiga – akan tergugat.

Pemimpin PPBM sebelum ini secara terang-terangan mengatakan mereka sudah melanjutkan rundingan dengan parti-parti pembangkang untuk membentuk pakatan dan menetapkan agenda baru untuk "menyelamatkan Malaysia".

Sementara HARAPAN memanaskan idea berkenaan, walaupun mereka sedar PPBM dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO yang mungkin mengamalkan budaya yang tidak jauh daripada amalan bekas parti mereka.

PAS pula sudah menyatakan dengan jelas tidak akan bekerjasama dengan BERSATU jika mereka menyertai HARAPAN kerana parti Islam itu menganggap DAP dan AMANAH sebagai musuh.

Hari ini, 13 Disember 2016 HARAPAN dan PPBM dilaporkan  akan memutuskan untuk menggunakan satu daripada empat pilihan dalam hal membentuk pakatan pilihan raya.

Itu kata Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa satu mesyuarat peringkat tertinggi antara empat parti itu akan diadakan hari ini  di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.


Penting sangatkan PPBM sehingga PKR, DAP dan AMANAH memberikan perhatian sebegitu rupada sedangkan PPBM hanya ada kerusi tunggal di Dewan Rakyat berbanding dengan PKR sebanyak 29 kerusi, DAP (37) dan AMANAH pula 7 kerusi?

Biarpun diperkecilkan oleh UMNO dan sekutunya, hakikat PPBM kini ialah:

1.      Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sedikit pengalamannya apabila pernah menjadi Pengarah Pilihan Raya untuk UMNO dan BN. Pengalamannya berbanding pemimpin UMNO lain, selain Presiden UMNO dan Pengerusi BN kalau pun tidak lebih tetapi setanding.

Kerjasama yang dirundingkan hari ini ialah bagi tujuan pilihan raya. Kerana kekuatan dirinya, UMNO terpaksa bermain dengan politik serangan peribadi, iaitu ‘kes wanita’, walaupun hakikatnya dalam UMNO sendiri kes seperti ini ‘adalah rahsia yang diketahui ahli dan umum’, khususnya di kalangan pemimpin tertentu;

2.      Kepimpinan PPBM walaupun tidak sehebat UMNO yang memiliki barisan kepimpinan Naib Presiden yang ‘gah’ termasuk Timbalan Perdana Menteri, mempunyai hasrat dan tujuan yang sama itu memenangi pilihan raya;

3.      Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang terdiri daripada kalangan menteri, Menteri Besar dan mereka yang ‘terpilih’ dan kalangan ‘orang istimewa’  memang berkuasa dan mempunyai kedudukan tinggi. Namun apakah mereka ‘dipandang tinggi’ oleh rakyat?

Apa kurangnya anggota kepimpinan pusat PPBM yang juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan ‘bersih’ berbanding sebilangan ahli MKT UMNO yang terpalit dengan berbagai perkara;

4.      Setiausaha Agong UMNO dan Setiausaha Kerja UMNO memang dua insan yang hebat dan sumbang mereka kepada UMNO diakui penting. Di sebalik itu, Setaiusaha Agung PPBM yang juga bekas pemimpin UMNO dan masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, mungkin kurang pengalaman dan kedudukan, namun bertungkus-lumus membawa PPBM ke arah satu kedudukan dan darjat yang lebih tingi;

5.      Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abu Jalil mempunyai pengikut yang ramai tetapi apakah kesemuanya bekerja keras dan sukarela untuk parti? Shahrizat dibelenggu oleh banyak perkara yang dilihat negatif oleh sesetengah pihak, walaupun ia sekadar persepsi.

Ketua Srikandi PPBM...Anina Saadudin.

     Berlainan dengan wanita PPBM dengan jumlah yang kecil. Namun, jumlah ahli yang kecil tidak bermakna tiada sokongan kerana banyak wanita kini mengeluh dengan kedudukan kos kehidupan yang tinggi, ‘belanja dapur yang melambung’ serta berbagai isu wanita yang lain, sudah semestinya kalangan wanita akan melihat, apa perjuangan wanita PPBM sebenarnya berbanding perjuangan Wanita UMNO yang dilihat sebagai ‘pelengkap jentera parti semata-mata’;

6.   Ketua Pemuda UMNO tidak ada tolak banding hebatnya hingga mengumumkan dirinya mahu bertanding ke sukan antarabangsa. Pemuda UMNO juga dilihat sebagai ‘pelengkap jentera UMNO’. Namun dengan berbagai skandal melibatkan rasuah di Kementerian Belia dan Sukan serta ‘kehidupan mewah dan glamour’ pemimpin muda dalam UMNO ini, apakah ia akan memberikan kelebihan kepada pemuda PPBM?

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidaklah ‘sekarisma’ Khairy Jamaluddin, namun dia ada rancangannya sendiri untuk ‘Selamatkan Malaysia’.

Dan di sebalik semua itu, jangan lupa penasihatnya adalah bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dan Tun Dr Mahathir Mohamad sudah pasti amat mahir dengan ‘sepak terajang politik Malaysia’.

Jadi janganlah yang ‘berhingus dalam politik’ cuba mengajar beliau atau menasihatkan beliau supaya belajar politik membangkang atau menjadi sebahagian pembangkang.


Secara keseluruhannya kini yang paling nyata diperhatikan rakyat terhadap apa juga parti ialah dasar perjuangan pada saat dan ketika ini (at this juncture).

Pada ketika UMNO dilihat dan dituduh MEMPERTAHANKAN NAJIB, kepimpinan PPBM pula dilihat mahu ‘Selamatkan Malaysia’ daripada gejala rasuah dan penyelewengan serta kepayahan hidup rakyat.

Rakyat melihat perkara ini dan mungkin DAP, PKR dan AMANAH tertarik untuk bekerja dengan ‘parti kecil’ ini kerana faktor di atas, bukan kerana ramainya ahli atau banyaknya cawangan PPBM.

PPBM bernafas dan bergerak melalui penyokongnya yang bukan semesti ahli partinya. Rakyat memberikan sokongan kepada PPBM, bukan seperti UMNO oleh seramai tiga juta ahlinya.

Kalaupun PPBM tidak mempunyai ibu pejabat yang tersergam indah seperti di PWTC atau bangunan baru yang akan dibina, atau melalui Bahagian dan cawangan UMNO yang bertaburan di Semenanjung dan Sabah, PPBM disokong oleh orang Melayu di Semenanjung sahaja kerana di Sarawak, rakan sekutunya pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sedang bergerak cergas.

Kita ingin melihat sejauh mana rundingan hari ini akan membuahkan hasil kerana pengumuman rasmi diikuti dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara PPBM  dan HARAPAN dijangka diadakan pada sebelah petang.

Soal penting yang dikatakan oleh Mukhriz ialah HARAPAN dan PPBM sudah menunjuk dan  memberikan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan bersama-sama jika mempunyai cukup kerusi.

Tidak mengapa kalau pun cara sebenar membentuk kerjasama itu masih belum diputuskan. Namun hasrat dan matlamat sudah jelas dan itulkah sebenarnya inti daripada pertemuan hari ini.

"Kami ada beberapa pilihan, ia hanya akan diketahui opsyen mana akan dipilih (esok)," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Dengan kata lain, petang ini akan dikethui apa bentuk kerjasama antara meraka, sama ada:

-        HARAPAN plus PPBM;
-        PPBM menyertai HARAPAN;
-        Membentuk sebuah gabungan baru bersama; atau
-        Satu lagi bentuk kerjasama lain.
-         
Apa yang penting, selain mewujudkan kerjasama dan strategi menghadapi pilihan raya. idea keseluruhan adalah demi  memastikan cara terbaik membentuk kerajaan baru.

Amat nyata kerjasama ini bukan untuk jangka masa pendek tetapi usaha ‘Selamatkan Malaysia’ bagi suatu tempoh yang panjang sebagai parti pemerintah demi memastikan rakyat berbagai bansga  berada dalam keadaan lebih baik berbanding sekarang. 

Tuesday, October 18, 2016

SELEPAS RUU 355 DARI NOMBOR 4 KE NOMBOR 7, UMNO PALING TERASA BAHANGNYA?


Sekali lagi tekanan adalah di atas bahu Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri dan pemimpin tertinggi UMNO yang lain.

Ini kerana UMNO  akan menyerahkan kepada Presidennya, Datuk Seri Najib Razak bagi menentukan sama ada parti Melayu itu akan menyokong usul rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
  
Hari ini, Dr Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa menentukan sama ada RUU itu akan dibahaskan atau tidak.

 “Kita serahkan sepenuhnya pada speaker,” katanya.

“Kita serahkan kepada Perdana Menteri bagi menentukan, pada situasi yang telah ditentukan,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Parlimen.

Pada 4 Jun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata berkata RUU yang dibentangkan Presiden PAS sebelum ini dibuat atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya beliau  menerima arahan itu selepas melaporkan maklumat yang disampaikan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak membantah untuk usul Hadi itu dibahaskan.

Katanya, maklumat bertulis 'tiada bantahan' itu telah disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Jamil Khir Baharom. 

Satu laporan oleh PAS pada 14 Oktober lalu mengatakan RUU yang dikemukakan oleh PAS itu telah dimasukkan dalam senarai usul yang akan dibentangkan pada 4 November ini.

laporan blog hambali1.blogspot.my Sepytember lalu.
Usul itu  dijangka mencetuskan perdebatan hangat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berulang kali memberi jaminan bahawa usul pindaan tersebut tidak bertujuan melaksanakan hukum hudud.

Ia hanya mahu meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pesalah kecuali hukuman mati.

Berikutan itu banyak pihak, termasuk komponen parti BN termasuk MCA, Gerakan, MIC dan beberapa parti di Sarawak dan Sabah menentang pindaan tersebut yang dikhuatiri akan membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

Pindaan yang dibentangkan Presiden PAS lepas itu bertujuan memberikan kuasa lebih kepada mahkamah syariah membicarakan kesalahan jenayah melibatkan orang Islam dan menjatuhkan hukuman lebih berat.

Ia dilihat sebagai usaha awal PAS memperkenalkan hukum hudud di Kelantan.

Ada sesetengah laporan mengatakan rang undang-undang persendirian itu perlu menunggu sebelum ia diketahui bila boleh dibentangkan.


Tidak dipastikan berapa lama ia perlu menunggu.

Semalam Hadi dilihat meletakkan harapan yang tinggi kepada Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO  untuk menyokong usul itu. "Insya-Allah," kata Hadi apabila ditanya pemberita di Lobi Parlimen semalam.

Hadi juga ditanya adakah RUU itu akan dibentangkan hari ini (semalam) , beliau hanya menjawab 'Insya-Allah'.

Ahli Parlimen Marang itu kemudiannya tergesa-gesa memasuki kereta sebelum meninggalkan bangunan Parlimen.

RUU itu memerlukan 112 undi untuk diluluskan dengan majoriti mudah. Umno (86) dan PAS (14) mempunyai 100 kerusi, manakala 24 wakil rakyat pembangkang beragama Islam iaitu PKR (16), Amanah (6) dan DAP (2). Pindaan perlembagaan memerlukan majoriti dua pertiga atau 148 undi. 

Terdapat 130 wakil rakyat beragama Islam di Dewan Rakyat.

MCA pada Ahad berikrar akan memastikan RUU berkenaan tidak akan dibahaskan di Parlimen walaupun disenaraikan sebagai perkara keempat dalam kertas aturan mesyuarat.

Menurut laporan media hari ini, walaupun ia disenaraikan sebagai perkara keempat dalam agenda semalam (17 Oktober 2016), usul ‘kontroversi’ itu kini telah diturunkan ke senarai nombor tujuh dalam kertas perintah bagi sesi terakhir Parlimen tahun ini.

Ia diturunkan apabila lebih banyak usul kerajaandimasukkan dalam senarai. Lazimnya, usul kerajaan didahulukan berbanding usul persendirian.

Dengan kedudukan di bawah senarai itu, ada kemungkinan usul Hadi tidak akan dibawa ke Dewan.

Malah, ia mungkin terus ditolak lebih bawah pada kertas perintah itu berikutan hari-hari akan datang.

Bermula minggu depan, debat parlimen akan memberi tumpuan kepada Bajet 2017 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Jumaat ini.


Perbahasan hanya akan beredar kepada perkara-perkara lain pada dua hari terakhir sesi Parlimen ini, yang berakhir pada 24 November.

Jika usul itu terus ditolak ke bawah, peluang Hadi adalah hanya jika beliau memohon kerajaan menaikkannya.

Hari juga , meskipun sidang Dewan Rakyat masih berlarutan, Presiden PAS itu tengahri tadi dilihat meninggalkan persidangan hari ini.


Beliau hanya berdiam diri ketika diajukan soalan mengenai usul persendiriannya yang telah diturunkan ke senarai nombor tujuh dalam kertas perintah bagi sesi terakhir Parlimen tahun ini.

Malah anggota parlimen Marang itu juga hanya tersenyum ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan sebelum kereta yang dinaikinya meninggalkan Dewan Rakyat.

Dengan kenyataan terbaharu Dr Ahmad Zahid ini, kini ‘bola di kembalikan ke kaki’ UMNO untuk menentuan kedudukan RUU itu.

Hadi boleh tersenyum dan menunggu tetapi apa yang akan terjadi kepada UMNO dan pemimpin yang disebutkan ada kaitan dengan RUU, sekiranya ia ternyata gagal dibentangkan seperti yang sudah diwar-warkan?

Apakah ‘bahangnya’ akan terpaksa ditanggung oleh UMNO, gara-gara mahu menunjukkan ‘setia kawannya ingin berbaik-baik dengan PAS’?

Blog ini  pernah menyebut perkara ini sebelum ini kerana bimbang UMNO akan terpalit dan menyebabkan kerengganan dengan parti komponen lain gara-gara ‘mahu berbaik dengan PAS’ kerana sebab-sebab politik.

Malah, bukan sahaja parti komponen BN yang akan memberikan tekanan kepada UMNO dan pemimpinnya.


Rakyat dan penyokong kedua-dua belah – penyokong UMNO dan penyokong PAS – akan menilai apa yang sedang berlaku dan apa sebenarnya ‘mainan politik UMNO’ ketika Pilihan Raya Umum ke -14 semakin hampir.