Sunday, March 10, 2013

LEWAT, LIWAT, RM1 JUTA & KONSPIRASI POLITIK - DAKWAAN TIDAK BERKESAN

 “Pendedahan lewat selain kononnya konspirasi akan menyebabkan orang akan tetap tertanya-tanya bagaimana seorang bapa yang turut hadir dalam masjid ketika sumpah laknat dibuat oleh Saiful begitu lambat mengubah pendirian dan cerita mengenai (keburukan) anaknya sendiri?"

Mungkin Nik Aziz antara orang yang boleh tidur nyenyak sekarang. Kenapa? PAS akan menang lagi di Kelantan?

Bukan, tetapi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu amat yakin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri tanpa sebarang keraguan, khususnya dalam kes liwat.

Anwar dibebaskan pada 9 Januari 2012 dan kes ini kini berada di peringkat rayuan.

Mohd Saiful Bukhari yang mendakwa Anwar meliwatnya sebelum ini membuat sumpah laknat berkaitan kes liwat itu, dengan ditemani bapanya Azlan Mohd Lazim. Nik Aziz amat percaya dakwaan terhadap tuduhan liwat akan diselesaikan satu persatu selepas ini susulan pengakuan bapa Saiful itu.

Azlan mendedahkan bahawa anaknya itu diperalatkan oleh pihak tertentu bagi menjatuhkan Anwar menerusi kes liwat kedua. Namun kenapa lewat sangat pengakuan dibuat dalam kes liwat ini?

Kelmarin bapa Saiful tampil memberi keterangan bahawa kes liwat yang melibatkan anaknya dengan Anwar adalah satu 'konspirasi politik jahat' untuk memburukkan nama pemimpin utama pakatan pembangkang itu. Berikutan ‘pendedahan’ itu.

 

Nik Aziz berkata: "Pendustaan satu masa akan terbongkar, menteri berdusta pun akan terbongkar. Takkan Anwar upah bapa Saiful sedangkan menteri lebih banyak duit dari dia (Anwar). Alhamdullilah semakin hari, nama Anwar semakin bersih sekarang dan insya-ALLAH selepas ini dia akan bebas daripada sebarang tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya."

Demikian tegas Nik Aziz kepada media selepas menghadiri majlis bersama veteran Pas di Jalan Dato Lundang di Kota Bharu, pagi semalam.

Saiful percaya apa yang dilakukan bapanya itu adalah perbuatan sengaja ditimbulkan bagi mengalih perhatian masyarakat daripada isu 'pengkhianat negara' berikutan kes pencerobohan pengganas Sulu di Sabah ketika ini.

Memanglah bagi kita, kenyataan Azlan secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang mengejutkan. Kita pastinya tertanyatanya kenapa baru sekarang perkara ini ditimbulkan.

Apakah perbuatan ini sengaja diadakan pembangkang untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu yang lebih besar berlaku di negara ini, iaitu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah sambil Anwar turut dikaitkan?

Pembangkang lupa bahawa jika mereka ‘silap dan salah’ dalam memainkan isu ini, mereka bukan sahaja kantoi tetapi rakyat akan menghukum mereka, khususnya Anwar dengan teruk.
 
Seorang peguam serta kolumnis media tempatan, Syahredzan Johan yang mengatakan pendedahan bapa Saiful itu dilihat tidak akan membawa implikasi undang-undang.

Sebaliknya, ia boleh menjadi "modal politik", oleh kerana Azlan bukan merupakan saksi dalam kes liwat Anwar-Saiful.


Dengan kata lain, tindakan bapanya itu pagi kelmarin tidak akan membawa apa-apa kesan. "Beliau bukan merupakan saksi yang memberi keterangan dalam kes ini. Keterangan semua saksi sudah didengar... kes ini kini di peringkat rayuan. Daripada segi perundangan, ia tidak akan memberi kesan, untuk membantu (defendan kes ini)," katanya.

Ketika ditanya sama ada akan memberi kesan kerana boleh diambil telah menghina mahkamah, Syahredzan dari Majlis Peguam berkata, ia bergantung pada pihak kerajaan jika mahu berbuat demikian.

"Dari segi soal menghina mahkamah, saya rasa akan ada sedikit kesan... ia bergantung kepada peguam kerajaan," kata beliau lagi. Menjawab soalan sama ada ini kes pertama seorang bapa, dalam kes ini Azlan, membuat pendedahan sedemikian,

Syahredzan berkata, "dari segi sifat kes ini, saya melihat ini kali pertama." "Tetapi kalau kes-kes melibatkan pengadu dan saksi yang memberi keterangan kemudian mengatakan sebaliknya pernah berlaku," katanya.

Menarik apa yang diperkatakan oleh Syahredzan itu kerana memang bapa Saiful Bukhari bukan saksi dan tidak ada mengena dengan kes yang dibicarakan. Malah, kalau Saiful sendiri yang mendedahkan sedemikian, ia memang akan menguntungkan Anwar.

Namun Saiful dengan tegas mengatakan dia tetap dengan pendiriannya malah mendakwa bapanya yang dipergunakan untuk membersihkan nama Anwar.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian turut berpendapat, jika ada pihak lain mengatakan dakwaan wujud dalang berhubung kes liwat melibatkan Saiful dan Anwar, ia tidak mendatangkan apa-apa kesan.

Sebaliknya, jika dakwaan dibuat Saiful sendiri, ia akan mendapat perhatian rakyat dan boleh dianggap serius kerana melibatkan individu yang menjadi pemusatan dalam kes rayuan ini.

Malah menurut Sivamurugan, jika benar wujud konspirasi seperti yang didakwa, perkara itu akan dimaklumkan oleh anak dan bapa secara bersama.

"Apa dilakukan bapa Saiful (Azlan Mohd Lazim), tidak memberi impak kerana ia dilihat bercanggah dengan pendedahan Saiful. Sukar untuk melihat apakah yang mahu disampaikan oleh Azlan. Jika benar seperti yang didakwa, sudah pasti ia akan didepani bersama, bukan secara sendirian kerana anaknya yang terlibat," katanya.

 Malah, bagi Timbalan Dekan berkenaan, wujud unsur politik apabila sesi pendedahan tersebut turut ditemani orang kuat PKR.

Sivamurugan berkata kenyataan Azlan juga seperti wujud perkara politik kerana pada waktu ini, Anwar berdepan pelbagai cabaran apabila namanya dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Apa pun kita serahkan kepada polis kerana polis akan memanggil Azlan dalam masa terdekat untuk mengambil keterangan berhubung kenyataannya kelmarin.

Sejauh ini PKR menafikan membayar RM1 juta kepada bapa Saiful yang membuat pendedahan mengejutkan kelmarin namun, seorang pemimpin kanan parti itu yang didakwa mendalangi perkembangan itu menegaskan, beliau "bangga" kerana dapat membantu parti dan pemimpinnya.

"Ya, saya mengaku saya terlibat, saya yang menguruskan... saya bangga. Jadi apa isunya? "Sebab saya pemimpin parti, memang saya bangga kerana dapat membantu parti dalam menghadapi situasi seperti ini... bapa Saiful datang jumpa kami, kami menyambut," kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata semalam langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebab dan tujuan Azlan membuat keterangan sedemikian.





"Dalam kes itu, Azlan tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, dan kalau adapun, keterangan yang dia bagi kepada pihak polis adalah keterangan yang tidak jelas. Jadi, keterangan itu tidak bernilai dan tidak boleh diguna pakai," katanya.


Kes ini menarik kerana bukan sahaja pertelingkahan Saiful - Anwar tetapi kini Saiful-Azlan ( bapanya) selain kemasukan secara langsung Johari Abdul yang mungkin mengheret perbicaraannya lebih panjang. Sebenarnya lebih lama perbicaraan dijalankan, akan lebih banyak lagi pendedahan keburukan Anwar.

Sedangkan Anwar seboleh-bolehnya mahu kes rayuan ini diselesaikan segera dan dia berada di pihak yang ‘benar’ bagi meyakinkan pemimpin pembangkang khususnya daripada PAS bahawa beliau bersih daripada liwat.

Namun pendedahan lewat selain kononnya konspirasi akan menyebabkan orang akan tetap tertanya-tanya bagaimana seorang bapa yang turut hadir dalam masjid ketika sumpah laknat dibuat oleh anaknya begitu lambat dan boleh mengubah pendirian dan cerita mengenai keburukan anaknya sendiri?