Tuesday, May 2, 2017

WAHAI HADI, PARTI MANAKAH MAHU JADIKAN PAS ‘HOTEL’, BATU LONCATAN?


Parti pembangkang manakah yang mahu jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ untuk dijadikan batu loncatan demi pilihan raya?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti ‘hilang akal’ apabila menyifatkan parti pembangkang lain sebagai hanya mahu menggunakannya untuk menang pilihan raya.

Begitu angkuh dan sombong sekali Hadi meletakkan PAS seolah-olah sebagai parti pembangkang yang segala-galanya  dominan daripada parti lain?

Atas apa kekuatan PAS, Hadi menunjukkan kesombongannya?

Apakah dengan bertanding 80 kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14), Hadi boleh mendabik dada dengan menjangkakan PAS  boleh menang 50 kerusi Parlimen?

Apakah jumlah itu mempu mengatasi DAP atau pakatan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini?

Isunya apakah kemenangan PAS yang mendapat 21 kerusi (kini 14 sahaja selepas 6 ke AMANAH dan seorang ke PKR) daripada 73 kerusi yang dipertandingkan olehnya pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu hasil usaha dan sokongan ahlinya semata-mata?

Bagaimana pula dengan PKR yang menang 27 kerusi (kini 28 selepas seorang melompat dari PAS) daripada 99 kerusi, apakah prestasinya kurang baik kerana tidak mendapat kerjasama PAS?

PAS mendabik dada ia ada 165 kawasan, dan 7,000 cawangan. Sementara pembangkang lain pula tidak ada kawasan serta tidak ada cawangan.

PAS mendakwa ia mempunyai ahli hampir satu uta orang dan parti lain tidak sehebatnya,  namun bukankah keputusan PRU13 boleh dijadikan ukuran sebenarnya?

Kenapa DAP bertanding sebanyak 51 kerusi tetapi menang 37 kerusi?

Tidakkah PAS menang di kebanyakan Parlimen di Pantai Barat kerana bantuan bukan Melayu dan sebagainya?
  
Apa akan terjadi kali ini dengan bantah banyak pihak kepada keputusan PAS membentangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 di Dewan Rakyat?

Juga apakah PAS sedar bahawa bantahan rakyat melalui kempen parti AMANAH terhadapnya selain penolakan rakyat kepada PAS atas beberapa sebab lain,  akan menjejaskan undi terhadapnya pada PRU14 kali ini?

Apakah Hadi bermimpi di siang hari dan menyusahkan jentera PAS di beberapa negeri tertentu kerana bertanding sendirian?

Selain itu di atas kekuatan apa sehingga Hadi berani mengingatkan ahli parti dan entiti politik lain bahawa PAS bukanlah 'hotel persinggahan' untuk dijadikan batu loncatan?
Bukankah dalam setiap bentuk kerjasama, khususnya bertanding dalam pilihan raya, parti politik akan berunding untuk menentukan kerusi serta calon yang diletakkan dalam pilihan raya?

Apakah DAP, AMANAH, PKR atau parti paling baru, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia )PPBM) cuba menipu PAS dalam setiap rundingan?

Kenapa kali ini, belum pun rundingan muktamad, Hadi sudah ‘berleter panjang’? Kenapa  kemarahannya menjadi-jadi, sedangkan banyak perkara masih boleh dibincangkan.

Apakah ini bermakna bahawa kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sudah tidak boleh dipakai lagi dan Hadi menggunakan kuasa ‘vetonya’ untuk menghentikan perbincangan dan perundingan itu?


Pada kenyataannya kelmarin, Hashim mengatakan PAS belum  menutup pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan parti Islam itu. Malah katanya, "Jika DAP atau AMANAH atau mana-mana pihak lain yang bersedia untuk mematuhi syarat-syarat kami, kami masih boleh bekerjasama. "Kami masih terbuka mengenainya.”

Pada sidang media selepas menghadiri muktamar sayap muslimat PAS ke-57 di Alor Setar, Hashim menegaskan syarat PAS itu adalah Islam mesti menerajuinya.

Namun kenyataan Hadi dengan sendirinya membatalkan kenyataan Hashim yang mempunyai ‘jiwa dan perasaan lebih lembut dan terbuka’ berbanding sikap Hadi yang ‘keras dan tertutup’.

Lebih jauh Hadi mengatakan pembangkang lain bersifat oportunis atau gemar mengambil kesempatan dan menjadikan PAS sebagai pangkalan persinggahan atau tangga untuk dipanjat.

Walaupun Hadi ada menyebut perbuatan ini turut dilakukan oleh ahli partinya tetapi kenyataan ini  jelas perbuatan yang merendahkan keupayaan parti pembangkang lain, seperti Hadi membawa atau melafazkan suara ‘orang lain’ dalam isu ini.

Apakah Hadi tertelan umpan oleh parti tertentu yang sengaja mahu melihat pertelingkahan wujud sesama pembangkang dan Hadi dijadikan sebagai ‘suara mereka’ kerana Hadi mudah memakan umpan?


Hadi yang selama ini menegur parti lain kononnya campur tangan dalam urusan partinya sejak beberapa hari kebekalangan ini turut menyentuh ‘tubuh badan’ parti pembangkang lain dengan kasar dan tidak beretika.

Apabila Hadi menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyiasat parti politik yang ada di negara ini untuk memastikan sama ada mereka mematuhi perlembagaan atau sebaliknya, membuktikan Hadi kini sanggup mengheret parti lain untuk diadili secara terbuka.

Menurut Hadi antara aspek yang perlu diteliti adalah kepatuhan pihak terbabit kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan selain menghormati perlembagaan atau tidak?

Apa hak Hadi mempertikaikan kewujudan, perlembagaan dan perjuangan pembangkang lain, kalau pun tidak berteraskan Melayu-Islam sebagai tidak mematuhi perlembagaan?

Kenapa sampai begitu jauh Hadi mempertikaikan parti lain yang mengambarkan beliau bersedia melakukan apa sahaja demi menjada persefahaman beliau dengan seseorang.

Kenapa Hadi mudah dipengaruhi dan kali ini sangat mudah dibaca turur-kata dan tindakannya?

Kata-kata Hadi :"Contoh, Islam agama rasmi - dia hormat ke tidak? Raja berpelambagaan, dia hormat ke tidak? Bahasa Melayu, (Islam) agama rasmi, dia hormati ke tidak? Hak bumiputera Melayu jawa bugis orang asal semenanjung, bumiputera Sabah Sarawak ada hak istimewa yang perlu dihormati, mereka hormat ke tidak?" membawa seribu makna yang tersirat.

Walaupun tidak menamakan secara khusus parti yang dimaksudkannya, Hadi dipercayai merujuk kepada DAP yang suatu ketika dulu pernah menjadi sahabat PAS.


Walau kepada siapa ditujunya, kenapa sekarang Hadi timbulkan isu ini dan apakah ketika bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang sebelum ini, termasuk DAP kenapa  isu ini tidak dilontarkan?

Apakah Hadi sebelum ini ‘separuh sedar’ dan kini sudah sedar selepas memakan umpan dan sanggup menjadi ‘burung kakak tua’ kepada pihak tertentu?

Kata-kata dan tindakan Hadi tidak sekadar kepada DAP tetapi dia juga menyerang  Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PPBM.

Kritikan Hadi terhadap PPBM ialah parti itu tidak mempunyai arah ketentuan dalam aspek kepimpinan.

Pada 29 April lalu, Hadi menegaskan, selepas dibuat penilaian, “PPBM tak ada ketentuan arah kepimpinan. Tak tahu siapa makmum, siapa imam. Sebab itu kita buat keputusan tak ada hubungan dengan PPBM," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar presiden di Muktamar Tahunan PAS Ke-63 di Alor Setar.

Jadi siapa Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Moahamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir kepada Hadi? Lebih rendah kedudukan mereka daripada beliau?

Kenyataan Hadi ini turut melupuskan gambaran yang dinyatakan oleh Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS masih berunding dengan PPBM.

Kenyataan Hadi mengenai PPBM ini langsung tidak mengiktiraf mengenai wujudnya kepimpinan negeri dan bahagian serta cawangan PPBM yang ‘tumbuh bagai cendawan di musim hujan’ di negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Melaka serta Pulau Pinang.


Amat nyata Hadi menganggap PAS ‘super kuat’ berbanding parti pembangkang lain untuk menghadapi PRU14 dan keyakinan itu mungkin kerana kedudukannya yang lebih selesa kerana dibantu banyak perkara oleh UMNO dan BN.
  
Malah, kali ini tidak sukar untuk dibaca bahawa walau apa kata dan penafian PAS kononnya tidak mempunyai persefahaman dengan UMNO, yang nyata dengan penolakan PAS bekerjasama dengan PH untuk merobohkan UMNO/BN, PAS sebenarnya sedang mempertahankan dan menegakkan kerajaan BN untuk terus memerintah.

Bagi PAS,  RUU355 adalah satu-satu yang terpenting di Malaysia ketika ini berbanding perkara lain -  perjuangan menentang kemiskian, keperitan rakyat, rasuah, penyelewengan atau juga kleptokrasi – yang PAS mesti ditegakkan.

Dan yang nyata bagi Hadi dan PAS, yang boleh membantunya  ketika ini hanyalah satu-satunya iaitu - Najib Razak!!!