Thursday, December 11, 2008

RM400 JUTA UNTUK TERENGGANU

Besar maknanya untuk rakyat dan negeri Terengganu.

Sebahagian besar wang wang royalti minyak itu akan digunakan untuk tujuan pengurusan dan pembangunan negeri selain disimpan dalam simpanan tetap.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said pernah meluahkan perasaannya bahawa selepas mengambil alih kerajaan negeri, tidak banyak lagi wang tinggal, bukan sahaja dalam kantong Perbendaharaan Kerajaan Negeri tetapi juga UMNO.

Dan apabila Kerajaan Pusat bersetuju untuk membayar tambahan royalti minyak kira-kira RM400 juta yang akan disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Negeri lusa (Sabtu), ia membawa kelegaan kepada negeri berkenaan.

Bayaran itu adalah tambahan selepas pembayaran royalti lima peratus daripada pengeluaran 400,000 tong minyak sehari atau lebih RM50 bilion setahun dari telaga minyak yang terdapat di perairan negeri ini.

Walaupun harga minyak mentah telah menurun namun kerajaan negeri bakal menerima royalti minyak daripada kerajaan Persekutuan," katanya semalam.

Pada 5 Nov lalu, Ahmad berkata Kerajaan Terengganu dijangka menerima bayaran royalti minyak kira-kira RM2 bilion mulai Mac tahun depan.

Ini berikutan Kementerian Kewangan telah mengambil langkah-langkah perlu dalam proses untuk membayar royalti kepada kerajaan negeri.

Bayaran wang royalti itu akan diterima secara terus daripada Petronas dua kali setahun bermula Mac tahun depan.

Sebelum ini kerajaan negeri menjangka memperoleh bayaran royalti minyak pada September lalu tetapi oleh kerana terdapat beberapa masalah teknikal yang masih belum diselesaikan, bayaran tersebut hanya akan diperoleh Mac depan.

Kerajaan Terengganu bakal menerima bayaran royalti minyak kira-kira RM3 bilion secara terus daripada Petronas bagi hasil pengeluaran tahun depan jika harga bahan mentah itu kekal pada paras sekarang.

Jumlah itu berdasarkan royalti lima peratus daripada pengeluaran 400,000 tong minyak sehari atau lebih RM50 bilion setahun dari telaga minyak yang terdapat di negeri itu oleh Petronas.

Sebelum itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, berkata, telaga minyak Terengganu menghasilkan minyak kualiti premium jenis Sweet Crude pada harga melebihi AS$100 atau lebih RM349 setong.

Harga setong minyak jenis Sweet Crude dari telaga minyak Terengganu adalah tinggi kerana kandungan sulfur yang rendah dan sesuai digunakan untuk semua jenis kenderaan.

''Royalti untuk pengeluaran minyak Terengganu tahun ini telah dibayar oleh Petronas kepada Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, kita cuba dapatkan bayaran secara terus daripada Petronas bermula Mac tahun depan.

''Mengikut amalan, pembayaran royalti minyak dibuat dua kali setahun iaitu suku pertama pengeluaran pada Mac, manakala suku kedua pada September setiap tahun," katanya.

Pengurusan dan perancangan perbelanjaan kesemua wang royalti termasuk yang akan dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan akhir tahun ini bakal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.

Berikutan persetujuan pembayaran itu, cadangan daripada jabatan-jabatan negeri untuk bajet tahun depan sedang dipertimbang dan dimuktamadkan.

BUKAN AZIZ SATTAR SEORANG SAHAJA...

Pejuang seni, termasuk artis perlukan perhatian sewajarnya daripada kerajaan.

Jangan menganggap mereka penghibur semata-mata. Mereka menceriakan rakyat dan sumbangan ini besar kerana kadangkala rakyat mampu melupakan seketika kesedihan dan kesulitan mereka apabila terhibur.

Sebagai insan seni yang bergantung hidup kepada bakat anugerah Allah, mereka adalah manusia ‘bebas’ yang tidak menuntut perkara yang bukan-bukan seperti orang politik atau rakyat yang mengharapkan subsidi.

Perkara ini perlu diberikan perhatian dan semestinya dijalankan secara bersepadu oleh beberapa kementerian, khususnya Kementerian Penerangan dan Kementerian dan Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta jabatan.

Kita sering mendengar artis susah dan menderita.

Susah dan menderita bukan bermakna sakit dan pendapatan yang semakin menurun tetapi juga soal-soal lain seperti masalah rumah tangga dan sebagainya.

Kita banyak mendengar masalah artis menghadapi perceraian dan perpisahan. Mereka ada anak dan keluarga.

Sewajarnya bantuan bukan dalam konteks geran, kemudahan pinjaman dan wang ringgit semata-mata. Ia juga mungkin dalam konteks kemudahan mendapatkan peguam, khidmat nasihat atau juga persatuan yang aktif.

Apapun, langkah Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW), Datuk Mohd Shafie Apdal semalam meluangkan masa kira-kira 30 minit melawat pelakon veteran Datuk Aziz Sattar dihargai.

Mohd Shafie yang turut ditemani Pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim; Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim dan Presiden Seniman, Datuk Mustafa Maarof menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Aziz.

Pelakon berusia 83 tahun itu, yang cukup popular dengan filem Bujang Lapok dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, kelmarin kerana serangan asma.

Terdahulu, Seniman turut menyampaikan sumbangan bernilai RM500.

Melihat kepada keperihatinan beliau jelas KPKKW sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa golongan artis apatah lagi pelakon veteran itu banyak memberikan sumbangan kepada industri hiburan tempatan.

Menurut Shafie, kementerian bukan hanya prihatin apabila artis ditimpa musibah tetapi kami memberikan sokongan kepada mereka setiap masa.

KUALA TERENGGANU – PENGIBAR PANJI-PANJI BN (Bahagian Akhir)

Siapa juga nama yang diserahkan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan dipersetujui oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), dia akan menjadi pembawa panji-panji BN dan UMNO .

Nama calon BN perlu diumumkan lebih awal bagi mengelak spekulasi dan ‘perebutan berterusan’.

UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri sudah mengenal pasti senarai nama calon untuk mewakili BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan. Penamaan calon pada 6 Januari 2009.

Pada pilihan raya umum lalu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Allahyarham Datuk Razali Ismail menang dengan majoriti 628 undi apabila memperoleh 32,562 undi menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu (31,934 undi) dan calon bebas Maimun Yusuf, 89, mendapat 685 undi.

Lima nama yang kini disebut-sebut sebagai bakal calon termasuk Wan Ahmad Farid yang merupakan Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Nama lain yang disebut ialah Bendahari Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Roslan Awang Chik; bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Che Mat Jusoh; Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Mohd. Sabri Alwi dan Ketua Sektor (Akademik) Jabatan Pendidikan Negeri, Zuber Embong.

Di pihak Pakatan Rakyat, antara nama disebut-sebut sebagai calon ialah Wakil rakyat Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, ahli perniagaan Dr Mohd Khazani Abdullah, dispekulasi sebagai calon parti itu termasuklah Mustafa, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali serta timbalannya Datuk Wan Mutalib Embong dan bekas calon Mohamad Sabu, yang juga Naib Presiden PAS.

Mohamad Sabu yang ditonjolkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mungkin tidak dicalonkan kali ini kerana faktor ‘orang luar’.

PAS dikatakan sukar menentukan calonnya kerana Mustafa Ali turut menunjukkan minat dan jika beliau tidak dicalonkan, dia dikatakan akan menyokong ‘orangnya”.

PAS Terengganu dikatakan tidak akan melayan ‘kerenah PAS Pusat’ dalam menentukan calon dan kemenangannya kali ini dan ini sudah pasti akan menyebabkan kumpulan yang menyokong pencalonan Mohamad Sabu akan merasa tersisih.

Di pihak BN, Wan Ahmad Farid dikatakan sebagai calon pilihan paling sesuai untuk setelah kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang kosong selepas penyandangnya, Datuk Razali Ismail meninggal dunia.

Banyak pihak meramalkan faktor calon menjadi penentu kepada kemenangan kali pada ketika Pakatan Rakyat sedang pening memikirkan calon sesuai sebagai pertaruhan mereka.

Kemenangan bagi BN pada pilihan raya ini amat bermakna pada ketika rakyat yang sebelum ini menolak BN-UMNO sebenarnya sudah insaf bahawa janji-janji pembangkang pada pilihan raya umum lalu sukar untuk ditunaikan.

Pengerusi BN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelamrin menggesa parti itu bekerja keras jika ingin memenangi pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu pada bulan depan. “Kita mahu menang. Kita mahu menang. Kita mesti ada keyakinan, sebab itu kita kata boleh menang. Kita ada sokongan kuat dan kita perlu bekerja keras,”" katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BN kelmarin.

Ditanya oleh wartawan sekiranya ada pengundi akan beralih arah untuk menyokong pembangkang, beliau berkata:

"Tidak buat masa sekarang. Awak tahulah politik, awak tidak dapat meramal bagaimana pengundi ingin beralih arah. Mereka mempunyai kecenderungan beralih arah sekalipun pada minit-minit terakhir, sama ada ke arah kita (BN) atau lawan."

Yang nyata ia bukan mudah untuk menang kerana pada pilihan raya lalu, hanya satu kerusi Dewan Undangan Negeri dimenangi oleh BN, melalui MCA di DUN Bandar.

Sementara bagi tiga DUN kali BN kecundang, malah Dun Ladang yang mulanya dikatakan selamat turut jatuh ke tangan PAS dengan majoriti 31 undi.

Bagi dua DUN lain, iaitu Wakaf Mempelam yang menjadi kubu PAS, parti itu menang dengan majority 2, 193 dan DUN Batu Buruk pula, PAS mendapat majoriti 1,161 undi.

Wakil rakyat Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi disifatkan oleh PAS sebagai tokoh paling layak yang boleh melawan semua calon Barisan Nasional, termasuk Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh,

Ketua penerangan PAS kawasan Batu Burok, Azmi Mohd Yassin dipetik Malaysiakini sebagai berkata Dr Syed Azman adalah calon terbaik PAS untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Katanya, ahli jawatankuasa pusat PAS itu menepati semua ciri calon yang sesuai untuk membawa parti itu ke ambang kemenangan, tambahnya. Menurutnya, Dr Syed Azman, orang yang ada personaliti, ketokohan dan berpendidikan. Beliau juga sudah dikenali di kalangan pengundi tempatan.

Dr Syed Azman tokoh muda dan pengalaman sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu selama empat tahun mulai 1999,

Sementara Dr Mohd Khazani ialahbekas pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), yang dikatakan ‘dekat’ dengan Mustafa Ali kini mengetuai Significant Technologies Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terlibat dalam teknologi tinggi gentian optik.

Badan Perhubungan Umno negeri akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan senarai calon yang difikirkan layak untuk bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti.

Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan bakal calon ketika mengadakan lawatan ke Terengganu, esok.

Wan Ahmad Farid yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, yakin BN dapat mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN dengan sasaran majoriti empat angka.

“Pembangkang tidak mempunyai isu yang kuat baik di peringkat negeri mahupun pusat. Walaupun tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kuala Terengganu milik pembangkang, namun untuk peringkat Parlimen, BN memperoleh majoriti kemenangan yang besar kecuali di Wakaf Mempelam,” katanya.

Yang penting ialah, pada mesyuarat Umno bahagian Kuala Terengganu yang diadakan malam semalam, pelbagai perkara turut dibincangkan termasuklah penubuhan beberapa jawatankuasa bagi memperkuatkan jentera pilihan raya parti itu menjelang hari pengundian hari pengundian yang telah ditetapkan pada 17 Januari depan.

"Banyak perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut. Kami menubuhkan beberapa buah jawatankuasa sebagai jentera kami. Kekuatan jentera juga masih sama seperti sebelum ini, tiada yang berubah," kata Wan Ahmad Farid.

ISU PPP - JANGAN CEPAT MELATAH

Isunya Parti Progresif Penduduk (PPP), mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dipinda dan Barisan Nasional (BN) enggan melakukannya.

Kerana isu ini PPP mengugut akan keluar BN jika Akta ISA tidak dipinda sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

Sejauh ini PPP tidak membawa cadangannya ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN, termasuk mesyuarat terbaru BN, sebaliknya diluahkan secara terbuka.

Presiden PPP Datuk M. Kayveas tidak hadir pada mesyuarat terbaru Selasa lalu dan menghantar wakilnya.

Akibatnya? Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn, Selasa membuat kenyataan umum: “Jika itu pilihan mereka, apa yang kami boleh buat ?”

Dan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi BN mengatakan PPP bebas membuat pilihan untuk keluar daripada BN jika itulah pilihan mereka mengundang persepsi yang berbeza-beza.

1. Kata-kata itu tidak boleh diterjemahkan sebagai Abdullah sudah menghalau PPP daripada BN tetapi PPP boleh menilai sendiri kedudukannnya dalam BN kerana ia hak PPP;

2. Kalaupun kenyataan Abdullah dianggap ‘kasar’ dan seakan menghalau PPP, keputusannya juga terletak kepada PPP sama ada keluar secara sukarela dan tidak akan dipecat seperti yang berlaku kepada parti USNO pada awal 1980-an;

3. Sewajarnya PPP mengemukakan cadangannya kepada Majlis Tertinggi BN terlebih dahulu dan BN pula meminta dan meneliti apakan perkara-perkara yang perlu dipinda dalam akta tersebut sebelum membuat keputusan sama ada PPP wajar kekal atau sebaliknya dalam BN.


4. Akta ISA boleh disemak semula mengikut kepentingan dan keperluan semasa dan tidak rigid. Cadangan supaya dipinda tidak salah dan perlu diselesaikan dengan semangat BN bukan melalui ugutan atau amaran.

Hakikatnya, ugutan yang dibuat oleh PPP untuk meninggalkan BN sedikit pun tidak menjejaskan parti memerintah, sebaliknya ia akan kembali memperkuatkan BN pada masa depan. Bak kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tindakan pemimpin parti kecil itu yang terus mengugut untuk keluar daripada BN nyata telah melemahkan PPP sendiri.

"Jadi kalau PPP nak keluar daripada BN, silakan. Saya sokong keputusan Pengerusi BN berhubung hal ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Seri Negeri di Air Keroh semalam.

Apapun, BN dilihat perlu diperkemas dan dimantapkan, dan pastinya Kayveas sepatutnya tidak membuat ugutan atau gertakan sementara BN jangan terburu-buru menghukum.

Ini kerana bukan PPP sahaja yang mahukan Akta ISA dipinda, Parti Gerakan yang juga komponen BN pada 12 Oktober lalu, turut meminta kerajaan meminda Akta ISA bagi memperkukuhkan lagi sistem demokrasi di negara ini. Presidennya, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, pindaan akta itu perlu merangkumi segala perlindungan hak asasi manusia.

Pada sidang akhbar selepas menamatkan Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional Ke-37 selama tiga hari di Wisma PGRM, Kuala Lumpur, beliau menyifatkan akta-akta yang memerlukan tahanan tanpa bicara di mahkamah hendaklah dipinda dan segala perlindungan hak asasi manusia hendaklah dimasukkan.

Berikutan terdapat banyak perbezaan pandangan mengenai ISA, Tsu Koon mencadangkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa atau pasukan petugas khas membincangkan mengenai pindaan akta tersebut.

Yang membezakan tindakan antara PPP dan Gerakan ialah PPP mengugut keluar BN tetapi Gerakan tidak sampai ke tahap itu.

Soal sama ada Kayveas mempunyai dua pilihan sama ada boleh meletakkan jawatan sebagai Presiden parti atau membawa parti itu keluar BN juga tidak timbul.

Kayveas sepatutnya terlebih dahulu mengemukakan cadangan apakah perkara atau bidang yang perlu dipinda dan tidak timbul msama ada perlu mendapatkan konsensus dan sokongan dengan mengadakan referendum di kalangan ahli peringkat akar umbi untuk keputusan keluar BN atau sebalinya.

Kelmarin, Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata pelbagai isu sensitif dibincangkan tetapi tidak perlulah disenaraikan.

"Kita mengambil sikap terbuka dan memahami bahawa kami semua (parti-parti komponen) (terletak) di bawah satu parti besar BN dan kami juga bertanggungjawab kepada banyak perkara secara bersama.

"Kerajaan yang wujud adalah yang berkongsi kuasa berasaskan konsensus iaitu kita mengamalkan tanggungjawab bersama, maka dengan itu tidak ada perkara yang sensitif yang tidak dibincangkan," katanya.

Abdullah berkata, tidak ada sesiapa yang membangkitkan atau membuat kenyataan mengenai isu mahu keluar daripada BN pada mesyuarat berkenaan. Beliau berkata mesyuarat membincangkan langkah dan usaha yang mahu dibuat untuk mengadakan Konvensyen BN pada Februari depan.