Saturday, April 10, 2010

MENCARI CALON MIC YANG BOLEH MEMENANGKAN…

Kawasan majoriti orang Melayu. Yang akan turun padang nanti pastinya lebih ramai Melayu. Namun, berasaskan semangat setiakawan Barisan Nasional (BN), kawasan Parlimen Hulu Selangor akan meletakkan calon dari MIC.

Ini bukan suatu perkara baru. Cuma yang diharapkan oleh semua pihak ialah MIC terbuka dalam menentukan calonnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor, tiga hari lalu mengumumkan mengekalkan MIC bagi bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

MIC jangan berfikiran party centric semata-mata. MIC kena fikir UMNO dan MCA yang menjadi komponen penting di Hulu Selangor.

Pada penamaan calon 17 April (Sabtu depan), calon yang diketengahkan BN perlunya yang mesra dan ‘larat’ turun padang – bukan calon yang mengharapkan orang lain bekerja untuknya.

Dia mestilah diterima semua kaum di Hulu Selangor, bukannya calon kitar semula yang terbukti sebelum ini sudah ditolak pengundi kawasan itu.

Sebab dan punca kekalahan calon BN sebelum ini dan kemenangan calon PKR, Dr Zainal Abidin memang boleh dibahaskan. Tetapi ‘rekod kekalahan’ BN di Hulu Selangor itu tidak boleh dicuci lagi.
Kerusi parlimen Hulu Selangor menjadi kosong apabila Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad yang sekian lama menderita sakit meninggal dunia pada 25 Mac. Pada pilihan raya umum Mac 2008, Dr Zainal Abidin yang juga yang pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Besar Selangor ketika beliau bersama UMNO dahulu menewaskan calon BN dari MIC, Datuk G.Palanivel hanya dengan majoriti tipis iaitu 198 undi. Allahyarham memperolehi 23,177 undi sementara Palanivel 22,979 undi.

Sumbangan Palanivel sejak 2008 hingga kini banyak dipersoalkan.

Pada ketika pakatan pembangkang cuba mengulangi kejayaan pilihan raya umum lalu dengan meletakkan calon Melayu, BN pula mengekalkan semangat setiakawan dan semangat 1Malaysia bahawa bukan Melayu tetap boleh mewakili kawasan yang walaupun pengundinya majoriti Melayu.

Sebagai rakyat, pengundi Hulu Selangor perlu membuktikan mereka adalah penyokong semangat perpaduan, bukan kerana kepentingan politik semata-mata.

Mereka juga perlu menunjukkan kepada rakyat di kawasan lain yang mereka mendokong semangat perpaduan melalui 1Malaysia dengan mengundi calon yang ditonjolkan oleh BN.
Kita berharap Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu tidak terlalu taksub untuk meletakkan Timbalan Presiden MIC dan satu-satunya pilihan MIC.

Pergerakan Pemuda Umno sudah menyatakan pendiriannya dengan berharap calon yang akan dipilih bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini dipilih di kalangan mereka yang dapat diterima pengundi muda.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, faktor tersebut perlu diberi perhatian kerana kajian pergerakan itu mendapati pengundi muda di Hulu Selangor bakal manjadi faktor penentu kepada kejayaan BN untuk merampas kembali kawasan berkenaan.

"Kita harap calon yang dipilih itu hendaklah yang mesra kepada orang muda dan pengundi muda. Walaupun kumpulan ini tidak sampai 50 peratus daripada keseluruhan pengundi di situ, tetapi kajian kita mendapati pengundi muda itu boleh menentukan keputusan pilihan raya tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

"Pemuda harap kali ini Perdana Menteri boleh memilih seorang calon yang mesra dengan pengundi muda. Tidak kira calon itu orang muda atau tidak, yang penting ia dapat diterima pengundi muda, bersifat mesra serta mudah mendekati golongan muda," katanya.

Beliau berkata kajian yang dilakukan pergerakan itu baru-baru ini mendapati wujudnya kecenderungan di kalangan pengundi muda untuk menyokong BN tetapi ia bergantung kepada calon yang dipilih.

"Ketika ini soal siapa calon bakal dipilih BN menjadi isu di kalangan pengundi muda. Jadi kita harap calon yang dipilih itu adalah calon yang mesra kepada pengundi muda. Pemuda Umno dan BN akan memastikan kempen yang akan dijalankan nanti dapat mempengaruhi golongan itu," katanya.

Sementara UMNO Bahagian Hulu Selangor dikatakan mahu ketua Pemuda MIC Hulu Selangor V Mugilan dicalonkan mewakil BN bertanding dalam pilihan raya kecil di situ.

Menurut sumber, Mugilan sendiri pun sedar yang bahagian mahukan beliau menjadi calon. Beliau juga adalah timbalan ketua Pemuda MIC pusat.

Mugilan dikatakan pemimpin akar umbi yang rapat dan mudah didampingi pemimpin UMNO bahagian. Beliau mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin UMNO, malah orang UMNO menganggap Murigan bagaikan orang Umno, bukan MIC.

Mugilan dikatakan aktif terlibat di peringkat belia dan kini merupakan naib pengerusi majlis belia daerah Hulu Selangor. Mugilan ialah penyandang jawatan exco majlis belia daerah selama lapan tahun sejak 1997, selain menjadi naib pengerusi sejak 2005.

Yang penting, UMNO Bahagian itu menerima dengan terbuka keputusan pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan MIC bertanding di situ.

Cumanya, UMNO Bahagian itu menolak Datuk G Palanivel yang juga timbalan presiden MIC, dicalonkan semula.

Kenapa calon BN memerlukan seseorang muda yang boleh ‘ketengah-ketepi’?
Ini kerana pakatan pembangkang yang akan diwakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyenarai pendekkan tiga nama sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya kecil Hulu Selangor 25 April ini.

Mereka ialah, Datuk Zaid Ibrahim, Dr Halili Rahmat dan Shamsul Iskandar Md Akin.
Ketiga-tiganya mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihan raya umum tetapi hanya Zaid pernah menang tetapi atas tiket UMNO pada pilihan raya umum 2004 di Kota Bharu.

Dr Halili adalah calon pilihan PKR kerana beliau adalah anak tempatan iaitu dari Batang Kali manakala Zaid berasal dari Kelantan dan Shamsul Iskandar dari Negeri Sembilan.

Dr Halili yang merupakan pakar bedah saraf Melayu yang pertama dilihat sebagai calon yang paling sesuai. Walaupun beliau pernah bertanding di DUN Batang Kali dan tewas tetapi dalam konteks pilihan raya kecil ini, sentimen tempatan memainkan peranan yang sangat besar.

Bagaimanapun PKR mempunyai satu masalah besar. Dr Halili disifatkan sebagai seorang ahli politik yang keberatan. Dia dikatakan menerjunkan diri dalam kancah ini kerana hubungannya dengan Anwar Ibrahim dan sangat komited dengan perjuangan politik Anwar.

Dr Halili masih berkhidmat sepenuh masa sebagai pakar bedah saraf dan ini menghindarnya daripada bergerak sepenuh masa sebagai ahli politik. Apatah lagi dengan kedudukan tempoh pilihan raya umum hanya tinggal tidak sampai tiga tahun sahaja lagi, Dr Halili merasakan tempoh untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat dengan kerjaya sepenuh masanya sebagai seorang doktor tidak akan menyatu dengan baik.

Sementara Zaid yang outspoken atau bersikap berterus terang dikatakan sesuai dengan ‘keterbukaan PKR’ selain bergalaman sebagai wakil rakyat. Cuma masalah Zaid ialah dia bukan anak tempatan.

Zaid yang perwatakan urbannya mempunyai begitu ramai rakan dari kalangan peguam Cina dan juga usahawan Cina mungkin menjadi satu aset kepada PR untuk meraih sokongan pengundi Cina yang berjumlah 16,900 orang atau mewakili 26.3% daripada keseluruhan pengundi yang berjumlah 64,500 orang.

Tetapi jika PKR mahu mengambil kira undi Melayu yang berjumlah 32,000 orang atau 52.7% daripada keseluruhan pengundi, calon yang terbaik bagi mereka selain Dr Halili ialah Shamsul Md Akin.

Bukan sahaja beliau seorang peguam muda tetapi aura kepemudaan yang diwakilinya dan juga gayanya yang mewakili orang kampung boleh menjadi satu aset kepada PR.

Siapa pun calon dari PKR, ia akan diketahui pada 13 April, Selasa ini, iaitu empat hari sebelum hari penamaan calon pada Sabtu depan.

Berdasarkan kemungkinan calon-calon PKR itu, Mugilan tetap mampu mencabar kerana beliau bermula dari bawah dan berkawan dengan semua orang di akar umbi.

Selain Mugilan, koordinator Putera MIC, P Kamalanathan turut disebut-sebut menjadi calon di situ.

Apapun, sehingga kelmarin MIC dilaporkan hanya mencalonkan Palanivel untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Ketua Penerangan UMNO bahagian Hulu Selangor, Yusof Nawawi, menyatakan mengenai calon: "Kalau Datuk Palanivel tidak dicalonkan semula, maka Mugilan adalah calon terbaik untuk menggantikannya."

Ini kerana Mugilan adalah anak tempatan di Hulu Selangor dan juga seorang pemimpin Pemuda MIC pusat, katanya.