Thursday, April 21, 2011

TERENGGANU BANTU KELANTAN UNTUK BEKALAN AIR?

http://teganuku.blogspot.com/

Kira-kira 200 penduduk Pasir Puteh berpiket buat kali kedua apabila perkhidmatan bekalan air bersih gagal diselesaikan di hadapan pejabat AKSB, petang 18 April lalu di Pasir Puteh.

Terkejut juga dengan berita ini!

Tiba-tiba sahaja Kerajaan PAS Kelantan berkata pihaknya akan berunding dengan kerajaan Terengganu untuk pembelian lima juta liter air sehari dari daerah Besut.

Terkejut bukan sahaja kerana tiba-tiba sahaja kerajaan Kelantan mengumumkan demikian tetapi permintaan dibuat ketika PAS Terengganu begitu bersungguh-sungguh berusaha menggugat kepimpinan Barisan Nasional di negeri ini melalui slogan 'PAS Ganti UMNO'.

Apa pun, kerajaan Terengganu perlu memikirkan permintaan ini dari segi kemanusiaan kerana tujuan bekalan air itu dipohon ialah menampung keperluan penduduk di kawasan Semerak di Pasir Puteh.

18 April lalu, kira-kira 200 penduduk daerah Pasir Puteh berpiket secara aman buat kali kedua di hadapan pejabat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di bandar itu, petang semalam apabila tuntutan memorandum yang dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 7 April lalu tidak mendapat maklum balas positif daripada pihak kerajaan negeri.

Mereka berkumpul selama setengah jam bermula pukul 4.00 petang dengan disertai Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MKPM) Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Penduduk terbabit mengangkat sepanduk sinis "Terima Kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan Kami Rakyat Pasir Puteh bersyukur atas keprihatinan kerajaan mengatasi masalah air penduduk - Daripada Rakyat Jajahan Pasir Puteh," selain melaungkan "Kerajaan Negeri Bohong."

Zawawi berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyuntik lebih banyak dana untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air bersih kepada penduduk, selain telus dalam perbelanjaan pinjaman mudah berjumlah RM510 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat bagi tujuan berkenaan.

Apa pun itu masalah antara rakyat Kelantan dengan kerajaan PAS Kelantan!

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar Kelantan, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, berkata langkah mendapatkan bekalan dari terengganu adalah sebagai satu alternatif mengatasi masalah air yang dihadapi penduduk di Semerak.

Kawasan iyu terletak di hujung daerah Pasir Puteh dan bersempadan dengan Besut.

Sehingga ini, kerajaan Terengganu belum menyatakan pendirian mereka mengenai permintaan Kelantan ini.

Yang pasti kerajaan pimpinan Datuk Seri Ahmad Said rasanya akan memberikan perhatian mendalam dan menilai dengan baik dari sudut membekalkan air kepada penduduk di sekitar Pasir Puteh khususnya.

Sebagai negeri berjiran pastinya Terengganu akan menilai dari semua aspek kelebihan membekalkan air kepada beberapa kawasan di Pasir Puteh kerana ia bukan sahaja membantu negeri jiran tetapi juga meringankan beban rakyst Kelantan dalam keperitan.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu semalam, Mad Anizam berkata kos untuk pembelian air berkenaan belum diketahui.

Pada masa ini, syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendapatkan bekalan air dari Loji Rawatan Air Merbau Chondong untuk disalurkan ke kawasan Semerak dan juga seluruh daerah Pasir Puteh dan Machang.

Md Anizam juga berkata bagi memastikan Loji Rawatan Air Wakaf Bunut yang membekalkan air ke sekitar bandar Pasir Puteh termasuk sekolah-sekolah dan Hospital Tengku Anis tidak lagi mengalami masalah penurunan air sehingga menjejaskan penyaluran air, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pasir Puteh telah diarah menyediakan pelan khas.

Mengulas mengenai masalah air di Ayer Lanas, Jeli, beliau berkata masalah air di kawasan itu dijangka dapat diselesaikan penghujung Mei ini.

Beliau berkata kerja menaik taraf Loji Rawatan Air di Ayer Lanas sedang giat dilaksanakan untuk mengeluarkan sehingga 10 juta liter sehari keperluan air bersih berbanding 2.6 juta liter sehari sebelum ini.

Katanya kerajaan pusat telah memberikan RM520 juta kepada Kelantan sejak 2001 bagi membaiki sistem bekalan air di Kelantan.