Saturday, August 6, 2011

KEDUDUKAN DR HASSAN BAGAI TELUR DI HUJUNG TANDUK

"JAIS perlu tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan JAIS sendiri yang berkeliaran pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap.,," - Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

”Walaupun PAS mengatakan akan membuat pendirian rasmi berhubung serbuan ke atas majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama esok. Kedudukan Dr Hassan Ali kini bagai telor di hujung tanduk.

PAS yang terpaksa memelihara perasaan DAP dan PKR akan berbuat sesuatu bagai menarik ‘rambut dalam tepung’.

PAS seboleh-bolehnya tidak mahu DAP terutamanya ‘terkedu’ dengan tindakan dan tuduhan Dr Hassan dan mereka rela menghukum Dr Hassan daripada mengeruhkan hubungan antara parti dalam kerajaan Selangor.

Janji Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa esok akan diketahui keputusan atau pendirian PAS mengenai perkara ini hanya untuk pengesahan sahaja.

Tuan Ibrahim mahukan “JAIS dapat tampil ke depan untuk menjelaskan keadaan sebenar dan hasil siasatan untuk mengelakkan fitnah terhadap gereja, kerajaan Selangor, nama baik Islam dan JAIS sendiri yang berkeliaran di bulan Ramadhan yang mulia ini. Mohon maaflah sekiranya tersilap.”

“Sememangnya Islam melarang kita melakukan fitnah terhadap sesuatu perkara, tetapi di waktu yang sama jangan kita melakukan sesuatu yang boleh mengundang fitnah,” nasihat beliau.

Semua pihak pasti menunggu pendirian PAS Pusat kerana PAS Selangor kini bercelaru selepas pemimpin PAS Selangor mengecam Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Ali berkaitan perkara itu.

Dr Hassan sudah memberikan penjelasan kepada PAS Pusat mengenai perkara ini dan sebagai salah seorang ahli mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat, beliau juga akan menghadiri mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat yang dijangka diadakan esok.

Dr Hassan ketika ini mungkin sudah menagak apa keputusan PAS Pusat terhadapnya, bukan kerana beliau mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi lebih daripada itu, beliau turut mengaitkan program anjuran Harapan Komuniti itu dengan usaha memurtadkan umat Islam.

Pada ketika PAS Selangor masih menuntut penjelasan Dr Hasan berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam pada majlis makan malam muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz, mengatakan semua rumah ibadat tidak boleh diceroboh dan sebarang bentuk pencabulan tidak dibenarkan melainkan dengan “kuasa dan hak.”

Nik Abduh berkata setiap rumah ibadat perlu sentiasa dijaga dan dihormati.

Kelmarin, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri Khalid Samad berkata, pihaknya juga menunggu laporan Jabatan Agama Islam Selangor mengenai serbuan itu yang turut disertai polis.

Malah PAS Selangor berkata akan memanggil DR Hasan berhubung dakwaan ada usaha mahu memurtadkan orang Islam dalam program anjuran Harapan Komuniti itu.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pula memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor bagi mendapatkan nasihat menyelesaikan perkara itu. Beliau berkata langkah itu akan diambil sebaik sahaja menerima laporan JAIS.

Nik Abduh – anak Nik Aziz - bagaimanapun menegaskan sekiranya ada bukti mengaitkan dalam usaha untuk memurtadkan orang Islam tindakan boleh dilakukan tapi mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Dari sudut Islam semua rumah ibadat termasuk gereja tidak boleh ada apa-apa pencabulan kecuali dengan kuasa dan hak yang dibenarkan selain mempunyai bukti yang kukuh, baru ia (serbuan) boleh dilakukan.

“Kita tidak boleh membunuh kecuali dengan hak, kita tidak boleh mencuri kecuali dengan hak, sama seperti rumah ibadat...rumah ibadat ini perlu dijaga, kalau nak buat serbuan perlu ada bukti yang kukuh,” katanya kepada The Malaysian Insider hari ini.