Monday, May 28, 2012

FATHUL BARI, KAMU MENDERHAKA & TIDAK LAYAK MASUK SYURGA!!!!


"Adakah PAS itu sempurna sehingga melayakkan parti politik tersebut menjanjikan syurga kepada para ahli dan pengundinya?Adakah kuasa politik boleh menjanjikan sesuatu yang setaraf dengan Allah SWT?" - Fathul Bari Mat Jahaya

Kamu siapa Fathul Bari Mat Jahaya?

Masih mentah dan tidak layak untuk mencabar pandangan atau ‘fatwa Nik Aziz’.

Kamu tidak mampu menyaingi ilmu dan pengalaman Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Musyridul Am PAS yang sudah mengeluarkan banyak ‘fatwa’ sebelum ini.

Kalau kail kamu panjang sejengkal, jangan lautan mahu diduga.

Janganlah nak memandai meminta PAS menarik balik 'fatwa' mengatakan individu yang mengundi parti itu akan mendapat balasan syurga.

Memang benar apa yang kamu katakan bahawa hanya Allah SWT yang berhak menawarkan ganjaran syurga dan bukannya PAS. Tetapi kedudukan kamu lebih rendah daripada Musyridul Am PAS yang dianggap ‘nabi’ oleh penyokong PAS.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), kamu Fathul Bari tidak boleh mengatakan bukan-bukan kepada Nik Aziz.

Tidak wajar kamu mengatakan perbuatan menawarkan syurga itu ‘terkeluar daripada ajaran Islam’ kerana Nik Aziz sudah mengajar Islam bertahun-tahun.

Malah setiap pagi Jumaat di sekitar bangunan PAS Kelantan dipenuhi manusia mendengar ajaran ‘Tok Guru’ yang sudah berdekad lamanya.

Kamu juga tidak wajar mengatakan “PAS  yang lahir daripada sistem demokrasi Barat hanyalah sebuah parti politik dianggotai oleh manusia biasa serta tidak lari daripada melakukan sebarang kesilapan” kerana ‘Tok Guru PAS” semuanya maksum.

Kamu tidak layak mencabar mereka apa lagi mempersoalkan PAS dengan pertanyaan seperti : “Adakah Pas itu sempurna sehingga melayakkan parti politik tersebut menjanjikan syurga kepada para ahli dan pengundinya?”

Fathul Bari, kamu berdosa besar dan menderhaka kepada 'Tok Guru' kerana  ‘menghukum PAS’ apabila mengatakan demi kekuasaan, Pas sanggup menjanjikan syurga.

Lebih-lebih lagi mempersoalkan PAS dengan mengatakan “ Adakah kuasa politik boleh menjanjikan sesuatu yang setaraf dengan Allah SWT?”

Tindakan kamu meminta PAS menarik tarik balik kenyataan “undi PAS boleh masuk syurga” juga sebagai perbuatan terkutuk dan boleh terkeluar dari Islam!

Mungkin pendapat kamu sama dengan Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi (kanan) yang menegaskan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu sebagai fatwa propaganda.

Malah, lebih jauh Dr Sulaiman mengatakan fatwa propaganda itu suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.

Berdosa besar Profesor Jurusan Akidah, Mazhab dan Firaq, Universiti Ummul Qura, Mekah itu.

Dr Sulaiman seperti juga kamu wahail Fathul Bari tidak sepatutnya mengkritik Nik Aziz yang disifatkan sebagai “tidak sepatutnya keluar daripada mulut orang yang berakal, lebih-lebih lagi dari seorang muslim yang peka dirinya diawasi Allah dalam setiap percakapan serta perbuatan.”

Bagi Nik Aziz oleh kerana ‘syurga itu milik PAS’ dia lupa bahawa syurga adalah nikmat, rahmat dan kelebihan yang dikurnia Allah kepada sesiapa yang dapat melaksanakan tuntutan ubudiyah bukan kepada mana-mana pengundi.

Sementara UMNO yang dianggap Nik Aziz sebagai wajar menerima neraka dan azab Allah kerana ahli dan penyokongnya ‘ sesat, kufur atau syirik.’

Jadi kepada Fathul Bari, cepat-cepatlah insaf dan kembali kepada jalan yang benar iaitu menyokong PAS kerana laluan ke syurga itu lebih mudah berbanding UMNO yang dianggap parti sesat.

Kerana itu pemimpin PAS marah sangat dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said apabila mengatakan PAS adalah parti ajaran sesat sedangkan pengundi PAS dijanjikan syurga oleh Nik Aziz.