"Pihak penaja mengenakan syarat penajaan yang ketat bagi memastikan
keputusan menaja pelajar adalah betul dan tepat di samping pelajar
menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang."
Sekiranya tiada tindakan diambil, pihak penaja tidak dapat mencapai
objektif penajaan dan ia juga tidak adil bagi pelajar yang tidak
mendapat penajaan tersebut...” - Mohamed Khaled Nordin
Apa masalahnya? Menganiaya pelajar?
Tidak profesional?
Siapa menganianya siapa? Berapa ramai lagi menunggu untuk mendapat peluang yang sama…
Berkali-kal sudah diberikan amaran. Pelajar dan ibu bapa pun sudah diberitahu bahawa mereka 'menggali lubang kubur sendiri kalau sertai perhimpunan Bersih 3.0'.
Yang pasti dan tidak boleh dipertikaikan lagi ialah mana-mana pelajar yang mendapat pinjaman dan tajaan pendidikan adalah tertakluk kepada perjanjian pinjaman dan tajaan itu.
Malah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan semalam bahawa sekiranya pelajar melanggar perjanjian itu, tindakan boleh diambil seperti menarik balik pinjaman dan tajaan yang diberikan.
Beliau mengulas mengenai nasib dua pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang dikenal pasti terlibat dengan perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara April lepas.
Tindakan yang bakal diambil ke atas pelajar yang masing-masing berasal dari Durian Burung, Kuala Terengganu dan Rhu Renggeh, Marang bakal diketahui selepas mesyuarat lembaga pengarah yayasan itu berlangsung dalam masa terdekat.
Semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dilaporkan berkata pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan kedua-dua pelajar degil itu berikutan rakaman yang diperoleh serta dimuat naik sendiri dalam laman sosial kepunyaan kedua-dua pelajar itu.
Ahmad Said kesal kerana masih ada pelajar yang tidak mengambil iktibar dan pengajaran terhadap tindakan menarik balik serta merta pinjaman sembilan pelajar sebelum ini kerana kesalahan menyertai demostrasi haram di luar negara.
Berikutan itu, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dan mengarahkan Yayasan Terengganu (YT) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah kerana terlibat dengan Perhimpunan Bersih di Dataran Merdeka April lalu.
Sehubungan itu siasatan terperinci perlu dilakukan agar tiada pelajar terlepas daripada tindakan undang- undang kerana secara jelas mereka cuba mencabar Kerajaan Negeri dengan terlibat kegiatan sedemikian.
“Meskipun kita telah berulang kali melaungkan amaran supaya tidak terlibat dengan demonstrasi haram dan bercanggah dengan undang-undang negara, tetapi masih ada yang tetap berdegil dan balasan kepada mereka yang terlibat adalah bakal berdepan dengan hukuman sewajarnya.
“Justeru, bagi mereka yang didapati bersalah, serta-merta pinjaman yang dibuat melalui Kerajaan Negeri akan ditarik.
Terserah kepada mereka bagaimana untuk meneruskan pengajian akibat tindakan kurang bijak mereka sendiri,” katanya.
Menurutnya, pihaknya kini sedang menunggu laporan lanjut berhubung penglibatan pelajar di negeri ini dalam perhimpunan Bersih yang mencetuskan huru-hara yang disertai parti pembangkang di ibu negara April lalu.
Teganuku kelmarin melaporkan, dua pelajar didapati terlibat dengan Perhimpunan Bersih 3.0, dan ternyata ketegasan Yayasan Terengganu (YT) menarik balik pinjaman ke atas sembilan pelajar yang menyertai perhimpunan haram di Mesir tahun lalu belum cukup memberi pengajaran berguna kepada yang lain.
Kesudahannya, pelajar yang sedang menuntut di Trefound Educare di sini itu, diberikan surat tunjuk sebab dan nasib mereka bakal diketahui sebaik mesyuarat lembaga pengarah berlangsung dalam masa terdekat.
Difahamkan, salah seorang pelajar berkenaan mempunyai pertalian keluarga dengan salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti pembangkang di negeri ini.
Menurut Timbalan Pengarahnya (Pendidikan), Mohd Razali Mahmud, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan kedua-dua pelajar ‘degil’ itu berikutan rakaman yang diperoleh serta dimuat naik sendiri dalam laman sosial kepunyaan kedua-duanya.
“Kita kesal dan kecewa kerana masih ada pelajar tidak ambil iktibar terhadap tindakan kita (YT) menarik serta-merta pinjaman sembilan pelajar sebelum ini kerana kesalahan menyertai demonstrasi haram di luar negara.
“Selain itu, kita dalam proses mengumpul bukti kukuh untuk mengaitkan beberapa lagi pelajar kerana terdapat laporan ada antara pelajar di bawah tajaan dan pinjaman YT turut serta dalam demonstrasi yang disertai parti pembangkang,” katanya.
Masing-masing dua pelajar yang sedang menuntut di pusat latihan milik kerajaan negeri berasal dari Durian Burung, Kuala Terengganu dan Rhu Renggeh, Marang.
Mohd Razali berkata, sewajarnya pelajar menumpukan perhatian terhadap pelajaran untuk lulus dengan cemerlang, sekali gus berjaya memperoleh pekerjaan yang diimpikan, namun masih ada yang bertindak kurang bijak kerana taksub dengan parti politik tertentu.
“Kita harap lepas ini pelajar lebih berhati-hati dan memahami dengan jelas surat perjanjian yang ditandatangani ketika memohon pinjaman dan tajaan pendidikan kerana tindakan tegas akan diambil jika didapati terlibat dengan kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.
Menurut Menteri Pengajian Tinggi: "Pihak penaja mengenakan syarat penajaan yang ketat bagi memastikan keputusan menaja pelajar adalah betul dan tepat di samping pelajar menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang." Sekiranya tiada tindakan diambil, pihak penaja tidak dapat mencapai objektif penajaan dan ia juga tidak adil bagi pelajar yang tidak mendapat penajaan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Kongres India Muslim Malaysia bahagian Pasir Gudang di Masai semalam.
Katanya kementeriannya tidak akan melindungi pelajar terbabit kerana mereka tertakluk kepada undang-undang negara walaupun bebas berpolitik di luar kampus selaras dengan Pindaan Akta Universiti Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2012.
"Apa jua tindakan mereka di luar kampus adalah di luar bidang kuasa kita," tegas Khaled.