Thursday, December 29, 2016

PPBM 'LEBIH BERNASIB BAIK' BERBANDING AMANAH HADAPI PRU14?

 

AMANAH boleh buat kenyataan apa sahaja kerana mungkin mereka merasakan kedudukan lebih kuat berbanding parti baru dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) yang tidak mempunyai kekuatan setara mereka ketika ini.

Mungkin juga oleh kerana AMANAH mempunyai enam kerusi di Dewan Rakyat, mereka merasakan ada kelebihan berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Namun, dalam konteks realitinya, PPBM mungkin akan lebih ‘bernasib baik’ berbanding AMANAH.

Kenapa penulis mengatakan demikian?

Pertama, AMANAH mempunyai dua musuh yang baharu dibentuk olehnya sendiri selepas penubuhannya, iaitu musuh tradisinya UMNO dan musuh baharu yang kini tidak boleh bertentangan muka, iaitu PAS;

Kedua, AMANAH membawa 'lari' enam kerusi yang dimenanginya ketika berada dalam PAS dan realitinya, kemenangan enam pemimpin AMANAH menggunakan jentera PAS untuk menang di kerusi berkenaan.

Mungkin juga ia hasil sokongan dua parti pembangkang lain, iaitu PKR dan DAP – membolehkan Ahli Parlimen AMANAH berada di kedudukannya sekarang;


Ketiga, rekod AMANAH sedikit tercalar apabila kalah di dua pilihan raya kecil Parlimen – Sungai Besar dan Kuala Kangsar – tempoh hari walaupun dibantu oleh DAP, PKR dan pemimpin yang keluar UMNO (sebelum penubuhan BERSATU).

Ini bermakna bahawa AMANAH gagal dalam ujian pertama mereka. Dua calon AMANAH gagal mendapatkan undi yang diharapkan.


Namun di sebalik itu, AMANAH membuktikan sebagai parti baru mereka memiliki potensi. Malah di dua kerusi Parlimen ini, AMANAH bertembung secara bersemuka dengan UMNO dan bekas rakan parti mereka, PAS.

Berbalik kepada PPBM, ia memang parti baru yang ‘membawa lari' hanya satu kerusi Parlimen dan ‘dua kerusi DUN' iaitu satu masing-masing di Kedah dan di Johor. Satu lagi kerusi Parlimen 'dibawa lari' ke Sabah oleh Datuk Seri Mohd Shafie Afdal di Semporna.

PPBM tidak bermusuh dengan PAS dan kini sudah membentuk persefahaman untuk kerjasama dengan DAP, PKR dan AMANAH sendiri bagi hadapi pilihan raya akan datang.

Musuh mereka adalah UMNO dan Barisan Nasional seperti juga PAS dan HARAPAN.

Dalam konteks ini, PPBM mempunyai kelebihan kerana sokongan daripada penyokong HARAPAN adalah solid, juga mungkin daripada penyokong PAS, di kawasan yang PAS tidak bertanding.

Perundingan untuk kerjasama pilihan raya antara PPBM dan PAS sedang berjalan dan dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh seminggu dua ini.

Selain itu, penyokong PPBM adalah di kalangan bekas ahli UMNO, ahli UMNO yang ‘marahkan’ pemimpin UMNO serta rakyat umum yang mahukan perubahan.

Dengan kata lain yang membenci dan menentang PPBM hanyalah ‘penyokong UMNO totok’ dan daripada Barisan Nasional yang ‘setia’.

PPBM tidak banyak musuh berbanding AMANAH yang selain PAS, UMNO dan BN, juga mungkin parti PKR yang bimbang kerusi mereka akan diambil atau diserahkan kepada AMANAH.

Berikutan itu, AMANAH sewajarnya jangan mendabik dada dan cuba menjadi pengatur kerusi untuk berdepan pilihan raya umum akan ndatang.

Khalid...AMANAH mahu 40 kerusi Parlimen
Kenyataan PAS bahawa AMANAH mungkin 'mencuri' kerusi PKR seperti didakwa oleh PAS kelmarin akan menyebabkan timbul kebimbangan di kalangan pemimpin PKR. Namun itu dakwaan semata-mata.

Juga jangan sampai PPBM, PKR atau DAP ‘terasa hati’ kerana mereka sudah ada musuh tradisi dan musuh baru – UMNO, BN dan PAS – kelak akan menyulitkan mereka.

Pemimpin seperti Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad jangan membuat kenyataan akhbar yang boleh mengguris hati dan menimbulkan syak-wasangka di kalangan pemimpin PAKATAN dan PAS.

Khalid tidak wajar menyatakan bagi pihak HARAPAN bahawa ia bercadang membenarkan parti Islam (PAS) itu “mengetuai” pembangkang di Kelantan dan Terengganu.

Pengarah Komunikasi AMANAH amat tidak wajar untuk mengatakan,  “Jika PAS mahu turut serta, sudah tentu kami akan benarkan mereka ‘mendahului’ di Kelantan dan Terengganu.” kerana rundingan mengenai kerusi belum pun bermula.

Jangan terlalu ke hadapan kerana PAS akan lebih ‘dengar’ apa dikatakan oleh PPBM daripada AMANAH DAN kerana itu PAS sanggup duduk berunding dengan PPBM.

PPBM juga akan berunding dengan PKR untuk kerusi di mana PPBM tidak menghadapi masalah dengan DAP kerana PPBM dan DAP tidak akan bertindih dalam menentukan kerusi pilihan raya.
 
PPBM akan bertanding di kawasan majoriti Melayu dan bagi kawasan bercampur, PPBM tidak akan ‘menagih’ kerusi berkenaan, kecuali ditawarkan.

Lalu timbul persoalan, di mana AMANAH akan mendapat kerusi untuk bertanding sehingga menyasarkan 40 kerusi Parlimen pada PRU14?

Memanglah Khalid boleh mengatakan sudah mengenal pasti 40 kerusi Parlimen yang mereka  berminat turunkan calon selain dirasakan ada harapan dan peluang untuk menang.

Sekali lagi, soalnya siapa akan beri atau tawarkan kerusi kepada AMANAH?

DAP? Tidak sekali-kali kerana kerusi mereka memang ekslusif untuk kerusi majoriti bukan Melayu dan Islam.

Kerusi yang ada adalah majoriti Melayu dan Islam di pinggir bandar dan di luar bandar. Kerusi ini terpaksa dibahagi-bahagikan pula di kalangan PKR, AMANAH dan PPBM.

Apa yang nyata, sejauh ini jika dilihat kepada PAS, ia hanya sanggup berunding dengan PKR dan PPBM sahaja. Jadi, apa nak jadi kepada AMANAH?.


Jaminan oleh Timbalan Presiden Salahuddin Ayub (gambar kiri) bahawa diputuskan AMANAH secara prinsipnya,  tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sekutu politiknya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sedikit melegakan berbanding kenyataan Khalid.

Apapun, ia tertakluk kepada perbincangan bersama parti pembangkang lain pada masa depan.

Pendirian Salahudin ini berbeza dengan pendirian Khalid kelmarin yang tegas mengatakan AMANAH tegas mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi Parlimen, termasuk yang dimiliki PKR dan PAS.

"Setakat ini apa yang saya faham AMANAH berada dalam Pakatan Harapan maka saya boleh memberikan jaminan bahawa AMANAH tidak akan bertanding mana-mana kerusi PKR kerana PKR adalah rakan kita dalam HARAPAN dan BERSATU," demikian kata Salahuddin semalam.

Beliau berkata ada banyak kemungkinan id mana perundingan kerusi-kerusi yang boleh dibincangkan umpamanya kerusi-kerusi baru yang mungkin boleh dibuat  pertukaran, (misalnya) PKR boleh ambil kerusi parlimen manakala AMANAH tanding di kerusi DUN.
  
Apapun timbul persoalan, ikhsan siapa dan daripada siapa kerusi yang mereka akan bertanding untuk bagi 34 kerusi daripada enam (6) yang mungkin mereka pertahankan sekarang?

Apakah PAS merelakan enam kerusi mereka yang ‘dibawa lari’ oleh bekas pemimpinnya untuk dipertandingkan atas tiket AMANAH?

Rasanya tidak. Apa akan jadi?

Nampak gayanya PKR dan PPBMlah harapan AMANAH untuk dapatkan kerusi melalui pintu belakang jika mahu dilakukan melalui perundingan.

PPBM sudah pasti perlu mendapat ‘ikhsan PAS dan PKR’ untuk dapatkan kerusi. Mungkin kerusi Parlimen Pagoh dan kerusi Dewan Undangan Negeri dimiliki Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak disentuh. Bagaimana yang lain?

Muhyiddin...Ahli Parlimen Pagoh
PPBM pastinya akan juga mengintai kerusi di Terengganu, Kelantan dan Kedah serta Pahang, selain Johor yang dikatakan ‘power base’ PPBM.

Untuk mendapatkan kerusi berkenaan, PPBM perlu berunding dengan PAS selain PKR dan AMANAH.

Isunya apakah PPBM sanggup menyerahkan kerusi yang ‘difaraidkan oleh PAS’ untuk mereka kepada AMANAH sedangkan mereka tahu PAS cukup ‘berang' dengan AMANAH?

Mana lebih baik PPBM bertanding dengan sokongan penuh PAS, atau menyerahkan kepada AMANAH yang mungkin akan disabotaj oleh PAS untuk kalahkan AMANAH.

Jika AMANAH kalah, kemungkinan UMNO akan menang dan matlamat mengalahkan BN tidak kesampaian. Berikutan itu, persetujuan mengenai kerusi antara PAS-PPBM akan sia-sia sekiranya diserahkan pula kepada AMANAH.


Inilah sebenarnya hakikat dan dilema AMANAH yang juga menjadi dilema PPBM yang perlu diatasi dengan baik bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.