Tuesday, January 14, 2014

KANGKUNG - LAWAK DICIPTA UNTUK MENGATAKAN NAJIB 'BODOH' DAN LEMBIK


Tak cakap salah, cakap pun salah!

Dengan membuka mulut untuk memberikan contoh kepada penduduk di Kemaman, Najib dipersendakan.

Apakah dengan memberikan contoh ‘harga sayur seperti kangkung yang baik dan turun’ adalah sesuatu yang terlalu rendah pada pemikiran Najib?

Sebagai Perdana Menteri beliau memberikan contoh yang dekat dengan rakyat.

Dalam keadaan penduduk di Kemaman yang rata-ratanya menjalankan aktiviti kehidupan sebagai rakyat biasa,  tidak mungkin atau tidak seharusnya  Najib mahu memperkatakan perkara yang jauh daripada mereka.


Tolonglah, contoh sebegini bagi orang Kuala Lumpur atau Putrajaya mungkin ‘lekeh’ tetapi untuk penduduk Kemaman rasanya tidaklah teruk sangat. Oklah maknanya tu.

Lagi pun yang penting bagai Najib ialah cuba memberitahu orang ramai di Padang Astaka itu bahawa bukan semua harga naik disebabkan oleh kerajaan apabila mengatakan "...ada yang dah turun, kangkung yang dulunya naik sekarang sudah turun.”

Apabila Najib menyebut "Bila turun kenapa tak puji kerajaan, masa naik dipersalahkan kerajaan," tidaklah dirujukkan kepada kangkung semata-mata.

Ambil contoh harga minyak, apabila dinaikkan bising satu Malaysia tetapi apabila kerajaan menurunkannya semua senyap. Bagai ‘tikus jatuh ke beras’.

Saya kecewa apabila ada blogger yang terikut-ikut dengan mainan atau spin pembangkang dan pihak-pihak tertentu yang mahu perkecil dan menunjukkan Najib seperti seorang yang ‘bodoh’.

Malah melalui chats kumpulan-kumpulan tertentu melalui Whatsapp, mereka turut terikut-ikut dengan pembangkang dan pihak-pihak tertentu yang cuba memperlekehkan Najib.

Atas dasar atau asas apa mahu serang Najib?

Pembangkang merasa tertekan apabila Perdana Menteri turun padang dan bertemu rakyat, apalagi menyerahkan sendiri bantuan.

Untuk menutup kelemahan dan ketidakupayaan mereka, pembangkang dan pihak-pihak yang tidak mahu rakyat menyanjungi Najib mencari perkara yang boleh mereka spinkan.


Kebetulan kangkung antara yang disebut oleh Perdana Menteri dan mereka menggunakan sayuran itu sebagai rujukan utama. Sedangkan banyak lagi contoh lain yang disebut.

Kenapa tidak ambil ikan sebagai contoh dengan mengatakan Najib kempen makan ikan?

Perkara penting yang dilakukan pembangkang ialah kononnya kerajaan tidak melihat isu lebih besar dari segi kenaikan harga.

Apakah sejauh ini ada cadangan bernas daripada pembangkang seperti yang dilakukan oleh kerajaan melalui pelbagai cara seperti memperbanyakkan KR1M, bantuan untuk tanaman musnah, operasi membanteras kenaikan harga, kempen dan sebagainya?

Pembangkang hanya tahu mempersoal, memperlekeh, mempersenda dan memainkan sentimen rakyat. Itu sahaja!

Di sebalik semua itu Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan sedar mengenai kos sara hidup semakin meningkat dan telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

Jadi tidak adil menyalahkan kerajaan semata-mata apabila berlaku kenaikan harga barangan. Ini kerana kerajaan telah dan sedang melakukan pelbagai inisiatif dalam usaha mentransformasikan ekonomi negara bagi memastikan rakyat sentiasa menikmati kehidupan lebih baik.

"Kerajaan sentiasa bersama rakyat. Janganlah dipersalahkan kerajaan kalau harga barang naik, dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pula dimomokkan sebagai 'Barang Naik'," katanya.


Beliau menjelaskan harga barangan meningkat kerana pelbagai sebab dan factor termasuk keadaan semasa, ekonomi dunia, faktor cuaca serta fenomena cuaca ekstrem yang menyebabkan barangan mengalami kekurangan bekalan.

“Bukan semua harga naik sebab kerajaan. Harga ikan naik sebab ikan kurang, harga sayuran naik disebabkan bekalan kurang.

Masa harga (barangan) turun, tak puji kerajaan tetapi masa naik, kerajaan dikeji,” katanya.

Najib berkata kerajaan sedar bahawa kos sara hidup semakin meningkat dan kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengurangkan bebanan rakyat.

Hakikatnya semua tahu faktor yang mendorong ke arah kenaikan harga barang sementara kerajaan terus berusaha mencari jalan dengan pelbagai cara dan pendekatan untuk mengurangkan beban rakyat.

Cuma sedikit menghairankan ialah Menteri atau Timbalan tiada yang bersuara mengenai ‘isu kangkung’ ini, kecuali Khairy Jamaluddin.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan isu itu tidak perlu dibesarkan.

“Tak perlu kecoh tentang kangkung. Najib bagi contoh bukan semua benda naik harga. Ada yang naik sebab faktor cuaca dan lain-lain. Rasional sedikitlah,” katanya yang dipetik melalui laman mikro, Twitter, semalam.


Betul tu Khairy!

Jangan kita terikut-ikut dengan pihak yang sengaja mahu memperbesarkan perkara kecil untuk mengatakan kononnya Perdana Menteri Malaysia ini ‘bodoh’ dan tidak berbuat sesuatu menangangi masalah rakyat.

Kita berharap Najib tidak kecewa atau tersentuh dengan sindiran seperti ini.

Ini  kerana lawak ini sengaja dicipta untuk mengatakan Perdana Menteri Malaysia sebagai 'dungu' dan lemah macam kangkung!