Tuesday, January 27, 2009

UMNO - JANGAN SAMPAI GILA MEROYAN

Tak apalah, biarpun sudah terantuk baru tergadah, setidak-tidaknya pemimpin UMNO peringkat atasan, khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak mulai sedar bahawa masalah satu orang – apalagi pemimpin juga ketua atau satu bahagian UMNO - bukan kes terpencil.

Selama ini Ibu Pejabat UMNO melihat kes-kes yang ada kaitan dengan isu pemilihan UMNO seperti perbuatan menyogok, pilih kasih dan ada orang ‘langgar’ Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian atau Naib Bahagian sebagai perkara biasa.

Namun apabila kes Datuk Nasarudin Hashim membawa kepada keputusan beliau meninggalkan UMNO gara-gara kesan pemilihan UMNO, semua pihak khususnya UMNO Perak jadi tidak menentu.

Gila meroyan dibuatnya!

Sewajarnya tindakan cepat oleh Timbalan Presiden UMNO mengadakan perjumpaan khas dengan semua wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak bagi menyatakan kesetiaan mereka untuk terus bersama parti walau dalam apa jua keadaan sekali pun, dialu-alu dan disokong.

Perjumpaan di kediaman Timbalan Perdana Menteri di Jalan Langgak Duta di Kuala Lumpur malam semalam itu bagaimanapun tidak dihari semua wakil rakyat UMNO
Apa pun, semua yang hadir menyatakan komitmen masing-masing untuk terus bersama parti termasuk beberapa wakil rakyat yang tidak dapat hadir kerana berada di luar negara.

''Mereka yang tidak hadir ini telah menghubungi saya sendiri dan menyatakan komitmen mereka terhadap parti dan akan terus setia, '' kata Najib.

Antara mereka yang berada di luar negara ialah Datuk Seri Raja Ahmad Raja Omar.

“Saya hubungi Datuk Seri Najib untuk menyatakan komitmen saya kepada UMNO. Benar semua apa yang beliau nyatakan semalam, “ katanya kepada saya melalui telefon pagi ini.

Cuma beliau sedikit terkejut apabila Pengerusi Perhubungan UMNO/BN Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali menafikan akan meletakkan jawatan.

Mohd Tajol semalam menafikan desas-desus bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.

Khabar angin bertiup kencang ekoran tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota itu keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin.

Soalnya siapa menyuruh beliau meletakkan jawatan atau beliau membuat kenyataan kerana rasa bersalah dan gagal menyelesaikan masalah UMNO di Perak? Masalahnya bukan yang terjadi kepada Nasarudin sahaja – ramai lagi.

Mereka yang menjadi mangsa pertelingkahan di Perak menganggap Mohd Tajol banyak ‘melepaskan tangan’ untuk menyelamatkan dirinya.

Kalaupun Mohd Tajol sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, tidak menyatakan bahawa beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan Nasaruddin keluar daripada UMNO hakikat yang perlu diterima ialah beliau memang wajar dipersalahkan.

“Kita masih berusaha untuk berbincang dengan beliau," katanya dan menambah UMNO negeri akan membuat kajian bagi mengenalpasti punca Nasaruddin bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai PKR.

Sekali lagi Mohd Tajol membuat kenyataan bagaikan seseorang yang ‘gila talak’ sedang Nasarudin sudahpun dibelai oleh ‘kekasih barunya’.

Inilah sikap UMNO, mengambil tindakan selepas berlaku kejadian yang tidak diingini. Apakah yang dilakukan terhadap ADUN UMNO lain. Sudahkah beliau berjumpa dengan yang diuar-uarkan akan mengambil tindakan yang sama?

Melalui posting saya semalam, saya mengatakan ada menerima sms daripada rakan menggelarkan dirinya WIP bahawa Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin, Datuk Fakir Adam dan Datuk Hamdi akan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, salah seorang akan dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru bagi menggantikan Menteri Besar sekarang yang mewakili PAS.

sms itu menyebut, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan sedang mengumpul kekuatan pemimpin Melayu dalam PKR untuk diketengahkan sebagai usaha mengumpul keyakinan orang Melayu menyokong matlamatnya – menumbangkan BN.

Bagi saya kenyataan Mohd Tajol bahawa “masalah ini tidak libatkan BN tetapi cuma libatkan UMNO kerana dia (Nasaruddin) keluar UMNO dan kita akan buat kajian untuk mengetahui kenapa,” tidak tepat.

Ia adalah komponen BN dan dengan keluarnya Nasarudin, BN Perak kini kehilangan satu kerusi dan sedikit sebanyak menjejaskan moral parti komponen lain dengan tindakan bekas ADUN UMNO itu.

Najib hanya boleh berharap bahawa khabar-khabar angin yang menyatakan ada beberapa lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang akan keluar parti akan lenyap.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan, apa yang disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak kebelakangan ini tidak benar.

Ini kerana, tegas beliau, semua wakil rakyat hadir menyatakan pendirian masing-masing kepadanya.

Kini Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.