Monday, March 23, 2009

ORANG MELAYU UMNO BENTENG TERAKHIR

Tidak tahulah sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak adalah benteng terakhir tetapi yang pasti orang Melayulah, khususnya UMNO pastinya menjadi benteng terakhir.

Apapun, saya bersetuju jika Najib diminta memastikan mana-mana calon yang diketahui mengamalkan politik wang dan menang dalam pemilihan UMNO kali ini, tidak dilantik menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menganggap Najib adalah peringkat terakhir pemulihan UMNO yang memegang kunci memastikan calon-calon pengamal politik wang tidak diberi ruang dan jawatan dalam Kabinet beliau.

Katanya, jika calon-calon pengamal politik wang masih terlepas dan terpilih untuk menang, maka UMNO akan hilang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Selain pandangan Dr Mahathir, satu tulisan sebagai respon kepada posting saya 21 Mac lalu iaitu, “Nasib Mohd Ali di tangan Najib” yang ditulis oleh sritribuana, cukup menarik untuk direnungi bersama.

Kata sritribuana (saya perturunkan penulisan asal tanpa sebarang suntingan):

Pesanan Untuk Najib: Jangan Ulangi Kealpaan Pak Lah.

Manusia dilahirkan dengan nafsu dan sifat tamak haloba. Mustahil rasuah boleh dihapuskan secara total. Walaubagaimana pun ia boleh dikurangkan dengan berbakalkan komitmen yang sesungguh hati untuk tidak akan bertolak ansur dalam perkara ini.

Sekiranya tidak ada komitmen dan ketegasan, rasuah akan membudayakan masyarakat.Akhirnya ia akan menjadi amalan yang normal, malah boleh diterima sebagai amalan dan budaya yang wajib ditaati dulu kini dan selamanya.

Dalam isu memerangi rasuah, peri pentingnya ialah pihak atasan perlu mengambil langkah yang tegas. Tanpa belas ehsan.

Demi kepentingan ugama,bangsa dan negara. Langkah bijak Singapura boleh dijadikan teladan bagaimana mereka memerangi rasuah dengan jayanya. Menu yang diguna-pakai oleh pemimpin mereka ialah ketegasan dan keberanian.

Hasil keberanian para pemimpin atasan mereka untuk bertindak dengan tegas tanpa memilih bulu,(without fear or favour) Singapura tidak dihantui oleh perasuah. Menikmati kemakmuran ekonomi.sosial dan politik yang harmoni dan terkawal.


Sebenarnya sedar atau tidak kita ada dua entiti untuk bertindak; keberanian eksekutif untuk bertindak dan keduanya ialah menerusi ‘criminal justice system’ telah sedia ada dinegara kita.

Perdana Menteri dengan kuasa eksekutif boleh bertindak dengan segera memecat, secara sopan menasihati supaya melepaskan jawatan, terus tidak melantik atau melantik semula ( reappointing) menteri dan mana-mana administrator yang pada pandangan umum mempunyai rekod yang boleh menjuruskan kepada persepsi ramai bahawa orang berkenaan adalah perasuah.

Perdana Menteri harus meletakkan satu tanda aras(benchmark) atau standard. Walaupun dalam system pengadilan kita mengatakan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah di Mahkamah Jenayah (Innocent till proven guilty is in a criminal court) tetapi apabila seseorang itu terlibat dengan jawatan dimana kredibiliti dan integriti menjadi taruhan, orang sebegini pun tidak layak diberi jawatan.


Entiti kedua ialah melalui pendakwaan jenayah secara agresif di mahkamah. Di sini memerlukan pembuktian yang mampu merentasi sempadan keraguan. Agenda politik harus diketepikan. Kalau tidak keadaan akan bertambah buruk.

Keupayaan sebegini wajid dikedepankan untuk menzahirkan keinginan yang ‘sesungguh hati’dalam usaha membebaskan Negara dari kemelut rasuah.

Pendakwaan tidak seharusnya terikat dengan pengaruh dan kehendak politik mana-mana pihak. Sebelum ini keadaan begitu memang wujud kerana BPR tidak bebas.Sekarang sudah berbeza. BPR sudah pun dinobatkan sebagai SPRM.

Sebuah badan bebas. Komuniti mengharapkan SPRM menjadi makanisma yang telah diberi tanggungjawab, tentunya amat bertanggungjawab melaksanakan tugas untuk kepentingan rakyat secara berkesan.


Tidak dinafikan bahawa perasuah perlu mendapat pembelaan apabila mereka didakwa. Mereka boleh mendapat khidmat dari mana-mana peguam. Itu hak mereka. Itu bukan isu yang kita hendak lontarkan disini.

Mahkamah adalah bertanggungjawab mendengar setiap kes. Isu sebenarnya ialah pastikan jangan ujud ‘kangaroo court’ dalam Palace of Justice.


Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri, awal-awal lagi sudah diberi dua peluang keemasan oleh Allah S.W.T untuk membukti serta mezahirkan kesungguhan beliau membenteras rasuah secara agresif. Beliau gagal melaksanakan sumpah dan janji beliau bukan kepada rakyat Malaysia sahaja tetapi juga janji beliau kepada Allah S.W.T.

Kes pertama ialah berhubung tuduhan rasuah terhadap Kasitah Gadam. Persoalannya kenapa sehingga sekarang kes berkenaan masih tertangguh?

Kes kedua ialah Isa Samad, orang kanan dalam UMNO dan kabinet yang telah didapati bersalah mengamalkan politik wang oleh Lembaga Disiplin Parti. Abdullah hanya menjadi penonton.Tidak melakukan apa-apa tindakan yang positif samada membuat pengumuman terbuka supaya Isa Samad berhenti atau diberhentikan,tetapi membiarkan perkara ini menjadi perdebatan yang hiruk-pikuk daripada rakyat. Isa akhirnya, melepaskan jawatan menteri secara ‘paksa rela’ disebabkan kemarahan rakyat.

Dato Seri Abdullah Ahmad Badawai selaku Perdana Menteri dengan cuainya terlepas dua peluang keemasan tersebut. Atas kealpaan itulah masyarakat mendapat persepsi bahawa beliau adalah pelindung kepada perasuah.

Kemurkaan Allah S.W.T. seterusnya ialah apabila Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengimport pemain-pemain politik yang dikitar semula sebagai komposisi pentadbiran dalam UMNO dan juga kabinet. Tan Sri Rahim Tambi Chik, Tan Sri Muhd Muhammad Taib, Tengku Adnan Mansor telah menjadi liabiliti kepada organisasi UMNO.

Selain itu, Brig.General Husainey(Setiausaha Kerja UMNO) dan Hafarizam peguam UMNO yang masih mentah tentang perjuangan bangsa juga menyumbangkan kecelakaan kepada UMNO.

Apa kurangnya pula Annuar Musa? Hari ini Kelantan kalah teruk dalam PRU, esoknya dianugerah Tan Sri.. Tokoh politik Kelantan yang kontroversi, menobat Sultan Kelantan di padang bola di Ketereh. Hingga kini UMNO Kelantan kebuntuan strategi akibat kerenah Tan Sri Annuar Musa.

Ringkasnya, YAB. Perdana Menteri gagal memenuhi sumpah dan janji beliau kepada Allah dan rakyat semasa menanggung tugas. Beliau juga gagal ‘Mencari Damai Abadi’.

JANGAN GANGGU NAJIB

Ada beberapa pihak mengatakan proses peralihan kuasa Datuk Sari Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib sukar dilakukan kerana faktor diri Najib.

Tiada pula mengatakan sebahagiannya juga kerana faktor diri Abdullah.

Bagi saya, yang mengatakan demikian kerana merasakan Abdullah wajar dikekalkan kerana sebab-sebab yang dikaitkan dengan diri Najib, bukan kerana diri Abdullah.

Apapun, apabila Mohd Sayuti Omar memperkatakan “Kenapakah Proses Penggantian Abdullah dengan Najib Sukar’, penulisan itu menyuarakan pandangan pihak-pihak yang rapat dengan Abdullah tetapi menggunakan blok penulis yang jelas menyokong PAS untuk menghemburkan rasa dan perasaan mereka.

Tulisan 18 Mac 2009 itu antara lain mengatakan “Sesekali timbul rasa kesian dan simpati kepada Mohd Najib Razak. Betapa sukarnya untuk beliau menjadi perdana menteri ke-enam, bagi mengganti Abdullah Ahmad Badawi. Proses yang dilaluinya penuh kawat berduri. Jalannya berliku-liku, bengkang bengkok dan berbonggol-bonggol; tidak segampang proses yang dilalui oleh bekas-bekas PM sebelum ini dan PM yang ada kini.”

Membaca baris ini jelas kenapa proses itu tidak menjadi ‘gampang’ kerana Abdullah sendiri atau orang-orangnya tidak mahu Abdullah meletakkan jawatan. Tidak seperti PM sebelum ini, apabila membuat keputusan, diri mereka sendiri yang membuat keputusan dan orang sekelilingnya perlu menghormati.

Kata Sayuti: “Jalan yang dilalui Najib ini sungguh sukar dan bukan mudah. Belum pernah berlalu dalam proses penggantian ini terpaksa diadakan pelan peralihan khas. Belum pernah berlaku tekanan ke atas bakal perdana menteri sampai membangkitkan soal jenayah dan membongkar mengenai sifat dan perangai isteri yang bakal menjadi wanita pertama negara. Dan menariknya peralihan ini juga turut menggunakan pakar pecah dan perintah yang terkenal sejak tahun 1969 lagi!

Satu sejarah, tidak pernah berlalu penentangan terbuka kepada bakal perdana menteri yang melibatkan orang di luar Umno, rakyat sendiri. Tetapi dalam kes Najib ini rakyat dari semua lapisan dan profesional turut sama mempertikaikannya. Lebih mengedukan lagi sampai ada yang terang-terang menggesa Yang di-Pertuan Agong agar tidak melantik Najib. Sanjungan yang diperolehi oleh Barack Obama daripada rakyat Amerika tidak berlaku kepada Najib di Malaysia.

Halangan ini sungguh perit bagi Najib.”

Soal pokok ialah apabila cuba mempertahankan yang lama tanpa mahu memberikan ruang kepada yang baru sudah pasti akan berlaku usaha memburuk-burukkan yang baru. Memang Najib cuba diburukkan dengan pelbagai cara dan usaha ini pula dilakukan secara tersusun dan penuh agenda.

Yang nyata, dalam proses peralihan kuasa Abdullah-Najib ini, saya melihat Abdullah terus cuba dipengaruhi dan minta-meminta supaya Abdullah terus dikekalkan. Banyak sms saya terima masih menganggap Abdullah wajar dikekalkan.

Kalau demikian, buat apa proses pemilihan UMNO dilakukan tanpa Abdullah mempertahan kan jawatan? Kenapa tidak meminta Abdullah mempertahankan jawatan?

Lagipun Najib sudah dinobatkan sebagai pemenang satu-satunya bagi jawatan Presiden UMNO – yang lain hormatilah keputusan.

Apakah ini tidak menggambarkan rakyat dan orang Melayu?

Lagi satu, seperti ada rangkaian menyekat Najib antara penyokong Abdullah dengan pembangkang apabila ada suara dan blog bagaikan ditaja oleh ‘juak Abdullah’ mahu menyekat Najib dan pemain utamanya semakin hari semakin jelas.

Tuduhan dan kaitan terhadap Najib mengenai ‘ayat-ayat jampi bertulis jawi atau kayu atau batu dibungkus dengan kertas di meja Abdullah’ adalah perbuatan jahat yang sengaja untuk menggugat Najib.

Persoalan seterusnya yang ditimbulkan Sayuti ialah: “Kenapa ramai yang tidak suka kepada Najib? Saya tidak berniat untuk menghuraikan satu persatu di sini kerana ia sudah lama tertanam dalam kepala setiap daripada orang yang tidak sukakannya. Baik ianya bersifat persepsi atau realiti tetapi itulah yang berlaku.

Ataupun kesukaran ini adalah pedoman bahawa Najib tidak sempat menjadi perdana menteri ataupun kalau beliau menjadi perdana menteri nanti akan membawa kecelakaan kepada Umno dan negara?”

Dua perkara di sini. Pertama, ramai tidak suka dan kedua, jika jadi Perdana Menteri akan menyebabkan kecelakaan kepada UMNO dan negara.

Jawapan pertama, untuk ‘ramai tidak suka’ ialah tidak benar sama sekali kerana Najib dipilih sebulat suara dan tiada penentangan daripada orang Melayu dan UMNO.

Yang bersuara mengenai Najib ialah suku sakat Abdullah dalam UMNO dan pembangkang.
Jawapan kepada perkara kedua akan menyebabkan ‘kecelakaan’ adalah tuduhan berat yang amat meragui keupayaan Najib.

Saya tidak fikir orang PAS yang baik seperti Sayuti boleh membuat tuduhan sebegini sekiranya tidak dipengharuhi oleh pandangan pihak ketiga yang mahu mempertahankan Abdullah.

Betul juga kata Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri baru "tidak bertanggungjawab dan berniat jahat".

Naib presiden Umno itu berkata cadangan berkenaan jelas mahu menimbulkan kegelisahan di kalangan anggota Umno khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Siapa yang menimbulkan pandangan ini? Jawapannya bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Beliau dilantik oleh Abdullah walaupun tidak bertanding pilihan raya dan tidak mampu pun menjadi Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu.

Apakah beliau berdendam dengan Najib?

Kenyataan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa pendedahan dibuat akhbar Peranchis, Liberation yang membuat tohmahan membabitkan bakal Presiden Umno Dato' Seri Najib Tun Razak dengan pembunuhan Altantuya Shaaribu perlu dibersihkan kerana dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia.

"Jadi dalam kes Najib itu, apabila dituduh begitu hebat, dia senyap, maka amat sukar bagi rakyat untuk membersihkan diri bakal Perdana Menteri itu.Oleh itu beliau mesti membersihkan dirinya. Katanya Nabi Muhammad saw sendiri menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan dan tidak melarang sahabat yang lain daripada bertanya,” kata Nik Aziz.

Nik Aziz mengakui ia adalah tohmahan tetapi memerlukan jawapan.
Jawapan ialah buat apa menjawab tohmahan yang akan menimbulkan perbincangan berjela-jela tanpa penghujung. Serahkan kepada mahkamah membuat keputusan.

Persoalan kepada Nik Aziz, apakah beliau menjawab semua tuduhan terhadap diri dan keluarganya seperti sifat Nabi Muhammad?

Bagi saya segala-galanya ini – tuduhan terhadap Najib dan tidak mahu Najib menjadi PM - tidak akan wujud dan berlaku jika Abdullah sendiri tidak flip-flop dalam tindakannya maju melepaskan jawatan.

Kenapa PM terdahulu boleh melepaskan jawatan dengan rela hati dan menyediakan permaidani merah untuk penggantinya sedangkan Abdullah pula membina jalan berduri untuk Najib?

Juga, kenapa Abdullah tidak ‘menutup mulut juak-juak yang menyokongnya’ untuk menjamin Najib dan UMNO tidak diserang?

Sepatutnya Najib tidak diganggu dan Sayuti juga wajar pertahankan Najib seperti beliau pertahankan Khairy Jamaluddin kerana peranan yang akan dimainkan oleh Najib lebih besar – Perdana Menteri Malaysia Keenam!