Tuesday, December 1, 2009

UMNO KINI BUSUK HINGGA KE USUSNYA?

Bekas Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menulis dengan nada keras mengenai masa depan UMNO.

Katanya, masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan UMNO.

Apakah Presiden UMNO ketika ini, Datuk Seri Mohd Najib Razak gagal memulihkan UMNO?

Dr Mahathir berkata beliau mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja tetapi tetap member amaran kemungkinan orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO.

Harakahdaily yang memetik tulisan Dr Mahathir berkata ketika semua media menyuluh apa yang berlaku dalam PAS, Tun Dr Mahathir menulis dalam blognya bahawa seorang bekas pemimpin kanan UMNO bercadang untuk menyokong PAS kerana "UMNO busuk hingga ke ususnya."

"Umno busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi," kata bekas pemimpin kanan UMNO itu kepada Mahathir sebagaimana yang ditulis beliau dalam blognya.
"Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

" Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga," tulis Mahathir lagi.

Berikut adalah tulisan penuh Mahathir dalam blognya Chedet yang disiarkan pada 30 November 2009 jam 12:07 tengahari.

1. Pilihanraya Umum ke-13 hanya dua tahun lagi. Saya sedang meneliti reaksi rakyat terhadap UMNO dibawah pimpinan baru. Saya terkejut. Saya terkejut kerana seorang bekas pemimpin UMNO yang kanan telah meluahkan perasaannya dengan berkata "UMNO is rotten to the core" (UMNO busuk hingga ke ususnya).

2. Beliau telah berkata yang beliau sedang memikir untuk menyokong PAS. Beliau juga berkata beliau telah bertemu ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang telah bersara dan mereka sependapat dengannya.

3. UMNO busuk daripada peringkat terendah hingga ke peringkat tertinggi katanya. Di cawangan, ketua cawangan hanya berjuang untuk mengekal dirinya sebagai ketua sahaja. Kenapa? Sebabnya majoriti ketua cawangan dapat jadi pengerusi Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dengan elaun tertentu dan kuasa untuk mengagih peruntukan. Berpeluang juga untuk jadi kontraktor Kelas F untuk projek kecil di luar bandar.

4. Untuk menentukan dirinya tidak dicabar ketua cawangan tidak akan benarkan sesiapa yang lebih terpelajar daripadanya masuk UMNO cawangannya. Lebih daripada itu kebanyakan peruntukan untuk jadi ahli UMNO, yang mana dia mesti melalui cawangan, tidak akan dilayan. Tujuannya ialah supaya cawangannya tidak mempunyai banyak ahli kerana mereka tetap akan menimbulkan masalah dan sukar dikawal, bahkan sukar disogok pun.

5. Sebab itu tidak ramai ahli profesional yang dapat menjadi ahli UMNO. Sebaliknya semakin ramai daripada pemimpin PAS terdiri daripada doktor, peguam, jurutera dan lain-lain profesyen.

6. Oleh kerana ketua cawangan biasanya tidak memiliki pelajaran yang tinggi dan beliau menentukan ahli lain dalam cawangannya mempunyai ilmu pengetahuan yang lebih rendah daripadanya, maka apabila ketua terpaksa berhenti kerana sebab-sebab tertentu, maka penggantinya akan terdiri daripada yang kurang berkebolehan daripadanya. Dengan itu kualiti kepimpinan akan merosot sepanjang masa.

7. Tentu ada cawangan yang tidak seperti ini tetapi pengecualian hanya mengesahkan keadaan yang sebenar.

8. UMNO, kata bekas pemimpin kanan ini sekarang dipimpin oleh perasuah. Mereka menjadi ahli Majlis Tertinggi kerana sogokan wang. Orang ramai tidak akan serah nasib mereka kepada perasuah.

9. Penempatan perasuah dalam Kerajaan dan badan-badan lain juga memburukkan lagi imej UMNO. Sudah tentu perasuah akan dipilih sebagai calon UMNO dalam Pilihanraya Umum ke-13. Jika mereka diberi kemenangan maka negara akan dapat Kerajaan perasuah. Sebab itu beliau tidak akan sokong UMNO sebaliknya akan menyertai dan menyokong parti lawan. Katanya lagi hingga kini separuh daripada orang Melayu tidak merasai nikmat kerana Kerajaan-Kerajaan pimpinan UMNO menidakkan hak mereka sedangkan mereka juga orang Melayu walaupun mereka menyokong parti lawan. Mereka yang menyokong parti lawan bertambah sejak (Tun) Abdullah kerana ramai daripada ahli UMNO sendiri sudah tidak percaya kepada UMNO.

10. Yang tinggal katanya ialah orang yang berkepentingan yang berharap mendapat sesuatu kerana menyokong UMNO. Mereka ini bukan nasionalis dan mereka tidak boleh diberi kepercayaan.

11. Banyaklah lagi hujah-hujahnya akan sebab-sebab UMNO tidak lagi akan diberi peluang untuk memerintah negara yang disayangi olehnya. Saya tidak akan hurai lebih lanjut. Hanya yang saya ingin sebutkan ialah pendapat beliau sudah menular ke semua peringkat orang Melayu, bahkan ahli UMNO juga.

12. Rakan-rakan dalam Barisan Nasional semuanya berpecah dan lemah. Mereka tidak mampu menjayakan Barisan Nasional.

13. Masa semakin singkat untuk memperbaiki keadaan ini. Saya mencatat maklumat ini untuk pengetahuan umum sahaja.

Benarkah UMNO berada di tahap seperti disebutkan oleh Dr Mahathir ini?


BICARA ANWAR - JANGAN TUNDA LAGI…

Diharap tiada lagi penagguhan selepas ini. Keadilan perlu bagi kedua-dua pihak. Bukan yang menuduh sahaja memerlukan pembelaan tetapi juga yang tertuduh.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dibersihkan daripada segala tuduhan oleh bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Kegagalan Anwar dalam permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadap Saiful hari ini membuka jalan kepada mahkamah menetapkan perbicaraan kes liwat Anwar selama sebulan mulai 25 Januari hingga 25 Februari tahun depan.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan tarikh itu setelah menolak permohonan Anwar dengan alasan laporan perubatan dalam kes itu tidak boleh dijadikan asas untuk mahkamah membatalkan pertuduhan .

Hakim juga menyatakan bahawa hanya dengan menunjukkan sebahagian pasukan pendakwa raya pada kes ini adalah sama dalam kes liwat 1998 tidak cukup untuk mahkamah menyatakan pasukan pendakwa raya berat sebelah dan tuduhan kali ini berniat jahat.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan , 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.