Monday, April 13, 2009

PERJELASKAN KONSEP SATU MALAYSIA

Malaysian Malaysia konsep yang hodoh, berteraskan dendam kesumat dan membalas dendam.
Malaysian Malaysia yang diilhamkan di Singapura dan diimport oleh DAP bertujuan menyaingi dasar Bumiputera dan kepentingan orang Melayu.

Saya menulis konsep ini secara panjang lebar melalui buku saya ‘Putera Mahkota UMNO’ (1995) dan sewajarnya ditolak oleh semua kaum kerana ia bersifat chauvinis.

Gerakan halus oleh pembangkang dan sekutunya bertujuan memecahbelahkan masyarakat dan dengan sendirinya akan menidakkan kuasa raja-raja Melayu serta kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi.

Sedangkan Satu Malaysia adalah pendekatan Datuk Seri Najib untuk meneruskan dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti mengutamakan kedudukan agama Islam untuk orang Melayu serta menjaga kepentingan Cina dan India dalam menghormati kewujudan sekolah vernakular.

Hakikatnya, Malaysian Malaysia sangat berbahaya jika dilihat daripada sudut kelangsungan orang Melayu dan pribumi yang mana kedudukan raja-raja Melayu dicabar, kedaulatan Islam diperkotak-katikkan selain kedudukan bahasa Melayu disamaratakan.

Kerana itu, rakyat Malaysia terutama bumiputera terus mempertahankan kedudukan agama Islam dan kehormatan raja-raja serta bahasa Melayu demi mengekalkan keharmonian negara.

Bagi Satu Malaysia, kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak perlu menjelaskannya dalam apa juga saluran dan kumpulan siaraya yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri perlu melakukan kerja perhubungan awam mengenai subjek ini.

Jangan harapkan ahli politik yang menyokong Najib menjelaskannya kerana ia akan menjadi ‘tawar’.

Semua anggota Kabinet, pemimpin parti BN dan keseluruhan jentera parti perlu menyambut konsep ini. Sesi penerangan besar-besaran perlu dijalankan segera dan jangan sampai wawasan Najib ini menjadi ‘sejuk’.

Jabatan dan agensi kerajaan perlu proaktif dan jayakannya seperti era Tun Dr Mahathir Mohamad mempopularkan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’.

Kementerian Penerangan yang diterajui Datuk Seri Rais Yatim, saya yakin mampu melakukan kerja seperti ini kerana usaha pihak tertentu termasuk pembangkang untuk menyamakan konsep Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia mesti segera dihentikan.

Bukan sahaja ia bertujuan mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini tetapi ia dua konsep bertentangan.

Tidak tahulah kedudukan PAS sekarang mengenai konsep Malaysian Malaysia tetapi dahulu, PAS menentang sekeras-kerasnya kerana ia mengancam kedudukan orang Melayu, Bahasa Melayu, malah juga kedudukan agama Islam dalam konteks agama rasmi di negara ini.

Jadi tidak hairanlah kalau beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin UMNO menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai konsep tersebut tidak mengetepikan hak bumiputera dan Melayu seperti termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi Pemuda UMNO, konsep Satu Malaysia adalah komitmen Najib dan kerajaan dalam memelihara keharmonian kaum berpaksikan kesejahteraan serta pertumbuhan ekonomi.

"Dalam konsep ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) langsung tidak mengetepikan hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum malah selari dengan Perlembagaan apalagi ia mementingkan sama rata dan sama rasa tetapi cenderung menafikan peruntukan Perlembagaan,".

Puteri UMNO pula berpendirian, pihak pembangkang tidak harus membangkitkan isu kesamarataan yang sebenarnya bukan menjadi keutamaan dalam konsep Satu Malaysia.
Puteri UMNO menganggap perbuatan pembangkang menyamakan konsep Malaysian Malaysia dan Satu Malaysia sebagai agenda jahat.

Sedikit sebanyak ia akan memberi kesan kepada perpaduan serta hubungan kaum di negara ini sekali gus merosakkan konsep yang matlamatnya ialah supaya rakyat Malaysia bersatu, berpadu dan bersama-sama membangunkan negara.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), menegaskan, bumiputera dan Melayu yang mewakili 60 peratus komposisi penduduk di negara ini sedia berdepan mana-mana pihak demi mempertahankan konsep Satu Malaysia yang menjaga kehormatan Perlembagaan itu.

"Ini bukan Singapura. Ini Malaysia yang mana rakyatnya berjanji setia kepada raja dan negara. Kita mempunyai kedaulatan undang-undang, jadi jangan derhaka.

"Jika ada sesiapa yang cuba samakan Satu Malaysia dengan Malaysian Malaysia, Perkasa dan kaum bumiputera akan bangkit menentang mereka," kata Presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) mengingatkan, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan Najib masih menghormati dan mengiktiraf kepentingan semua pihak dengan mendahulukan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi ikatan kesejahteraan kaum selama ini.

"Jadi, jika ia disamakan dengan Malaysian Malaysia, ia salah dan berbahaya. Jangan terkeliru dengan dakyah DAP dan penulis blog yang tidak bertanggungjawab," ujarnya.

BBPM meminta kerajaan memantau gerakan halus ini sama ada menerusi media perdana mahu pun blog serta mengambil tindakan bagi menghentikan penyebaran sentimen yang mampu menggugat keharmonian kaum itu.