Thursday, December 23, 2010

ANWAR BOHONG, NAZRI TEMPELAK – HISHAM BAGAIMANA?


Gara-gara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mencabarnya agar membuktikan yang APCO Worldwide ada hubungan dengan Israel, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kepala Batas pada 19 Disember lalu, menjawab dan menganggap keputusan menggantung beliau daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan adalah sikap penakut kerajaan Barisan Nasional.

Menurut Anwar, Hishammuddin berkata, pakatan pembangkang belum membuktikan ugutannya untuk mendedahkan hubungan antara APCO dengan agensi keselamatan Israel, Shin Bet, meskipun beberapa kali berjanji untuk mendedahkannya.

“Dedahkan. Apa yang dia takut sangat?” kata Hishammuddin dan hasilnya, Anwar menyindir Hishammuddin dengan berkata menteri itu “buta” fakta.

“Umno tahu saya ada bukti, mereka terlalu takut bahawa saya ada bukti, bahawa saya ada maklumat. Oleh sebab itu, Azmin Ali, Sivarasa dan Karpal Singh digantung bersama saya. Apa kesalahan mereka lakukan? Saya yang membuat dakwaan,” kata Anwar.

Anwar mendakwa kerajaan pimpinan Najib takut segala maklumat yang didedahkannya akan dimasukkan dalam penyata dan laporan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Itu kata dan cara Anwar.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata dalam surat bertarikh 19 Ogos itu, firma berkenaan dengan jelas menafikan pembabitannya dalam mencipta slogan 1Malaysia, sekaligus menafikan kenyataan Anwar yang mengaitkan slogan itu dengan firma berkenaan.

Malah, Nazri menyifatkan Anwar berbohong!

"Jadi jelaslah Anwar telah menipu di dalam Dewan, dan inilah bukti yang terpenting sekali untuk membuktikan Anwar menipu," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen semalam.

Nazri berkata beliau menerima akuan bersumpah daripada Robert M. Shrum, seorang warga negara Amerika Syarikat yang merupakan pakar strategi dan perunding dalam banyak kempen politik di pelbagai peringkat termasuk sebagai penasihat kanan pada 1999 dalam kempen Perdana Menteri Israel Ehud Barak.

Nazri berkata, dalam akuan bersumpah itu, Shrum yang terlibat dalam kempen One Israel pada masa itu, menafikan penglibatan APCO sekaligus mengukuhkan lagi penafian firma berkenaan dalam suratnya itu mengenai sebarang pembabitan dalam kempen "One Israel".

"Anwar ada sebut Ehud Barak dan One Israel dalam ucapan dia, tapi di sini jelas menunjukkan orang yang bertanggungjawab itu (Robert M. Shrum) menafikan apa yang disebutkan oleh Anwar mengenai penglibatan APCO dengan One Israel," katanya.

Nazri juga menafikan dakwaan kononnya Anwar tidak diberi hak untuk membela diri dan mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataannya yang mengaitkan konsep 1Malaysia dengan "One Israel".

Dengan kandungan surat yang dihantar oleh firma perhubungan awam, APCO Worldwide kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, ia dijadikan asas untuk menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan.

Nazri mengulas mengenai penggantungan Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar kepada Dewan kerana mengaitkan konsep 1Malaysia dengan "One Israel".

Katanya Anwar telah beberapa kali diberi peluang itu sejak penasihat Parti Keadilan Rakyat itu mengeluarkan kenyataan berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat pada Mac lepas, namun tidak menggunakan kesempatan itu, sebaliknya terus mengaitkan konsep 1Malaysia dengan "One Israel".

"Dia diberi hak untuk membela diri pada 22 April lalu, iaitu hari yang saya bentang usul untuk merujuk dia ke jawatankuasa, sebelum kita mahu luluskan usul itu dia telah diberi hak untuk bela diri.

"Sebelum itu pun pada 17 Mac selepas dia buat kenyataan itu kita bagi dia seminggu untuk membela diri dan menarik balik kenyataan dia tapi dia pilih untuk serang kita lagi tanpa beri bukti-bukti," katanya.

Persoalannya sekarang, apa tindakan Kementerian Dalam Negeri terhadap pemimpin parti pembangkang itu yang sengaja merosak dan mencemarkan nama negara.

Tuduhan Anwar terhadap kerajaan berat dan boleh menjejaskan Malaysia di mata dunia. Malah banyak negara Islam sedang memerhatikan kita apakah benar ada ‘hubungan’ dengan Israel sedangkan Malaysia antara negara paling lantang menentang dasar negara itu.
Jika Anwar berbohong seperti dikatakan Nazei, apakah beliau hanya wajar dikenakan tindakan penggantungan di Dewan Rakyat sahaja?

Tidakkah tuduhan Anwar itu berat dan jika dia benar berbohong, apakah tindakan undang-undang yang boleh dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri?

Apakah Hishamuddin sekadar mampu membuat cabaran kepada Anwar sahaja?