Tuesday, March 13, 2012

JAWATANKUASA PEMANDU PAS MENGARUT, MEMBELAKANGKAN SULTAN...

Azizan dilemahkan oleh PAS Pusat dengan penubuhan Jawatankuasa Pemandu...

Apakah Datuk Seri Azizan Razak begitu takut jawatan Menteri Besar terlepas daripada tangannya apabila menyokong penubuhan Jawatankuasa Pemandu?

Apakah PAS bersikap setiakawan dengan PKR dan DAP apabila mengumumkan wakil kepada jawatankuasa berkenaan?

Sah kini Azizan terpaksa menerima hakikat, beliau hanyalah Menteri Besar 'Wayang Kulit'.

Azizan hari ini cuba menunjukkan 'gembira dalam dukanya' apabila cunba menunjukkan kononnya wujud  'perpaduan dalam PAS' apabila mempertahankan peranan atau fungsi Jawatankuasa Pemandu PAS dengan mengatakan jawatankuasa pemandu yang ditubuhkan PAS pusat hanya akan menjadi penasihat kepada kerajaan negeri yang diterajui parti itu.

Menteri Besar Kedah itu berkata beliau tiada masalah untuk bekerjasama dengan jawatankuasa itu kerana jawatankuasa itu tidak akan mencampuri urusan pentadbiran negeri.

"Contohnya kalau dalam manifesto yang kita buat adalah kurang, maka mereka (Pemandu) mungkin akan suruh kita tambah dan kalau kita tak buat lagi, mungkin mereka akan bagi nasihat kepada kita. "Saya gembira dengan penubuhan jawatankuasa ini," katanya di pejabatnya di Alor Setar hari ini.

Tetapi anggota Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Gurun Dr Leong Yong Kong membantah penubuhan sebuah jawatankuasa oleh PAS untuk memantau pentadbiran Menteri Besar dan menyifatkannya sebagai satu konsep "mengarut".

Wakil rakyat Barisan Nasional daripada MCA itu berkata urusan pentadbiran negeri seharusnya dirujuk oleh Menteri Besar kepada Sultan Kedah dan bukannya kepada jawatankuasa itu.

"Sebagai seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Kedah, saya membantah sepenuhnya langkah tidak berperlembagaan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Leong berkata jawatankuasa itu dianggotai individu dari luar Kedah dan ini tidak seharusnya berlaku.

"Ianya satu konsep yang benar-benar mengarut," katanya. Dr Leong juga mempersoalkan kenapa DAP dan Parti Keadilan Rakyat yang merupakan rakan PAS dalam pakatan pembangkang tidak membantah penubuhan jawatankuasa itu yang tidak mempunyai sebarang wakil daripada kedua-dua parti berkenaan.

PAS semalam mengumumkan pelantikan bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman daripada parti itu bagi mengetuai jawatankuasa berkenaan, yang dibentuk oleh PAS sebagai satu jalan penyelesaian kepada krisis kepimpinan dalam pentadbiran negeri Kedah yang diterajui parti itu.

Ia ekoran tindakan dua anggota exco kerajaan negeri daripada PAS untuk dilantik semula kerana dilaporkan tidak yakin dengan kepimpinan Azizan.

Kedua-duanya bagaimanapun bersetuju menerima pelantikan itu selepas campur tangan PAS pusat.

PAS cuba mempertahankan jawatankuasa dengan mengatakan penubuhan jawatankuasa pemandu itu bukanlah sesuatu yang pelik sebaliknya pernah berlaku di Kelantan pada 1990 dan beliau merupakan seorang daripada anggota jawatankuasa itu.