Thursday, October 7, 2010

MALAYSIA BUKAN LAGI NEGARA BEBAS, MERDEKA

Seorang penyokong fanatik Anwar Ibrahim menjerit dan meminta supaya bekas pembantu Anwar Ibrahim, Muhammad Rahimi Osman berhenti daripada mengadakan sidang media dan keluar dari sebuah restoran di Klang semalam.

Jangan nak larikan perhatian dengan mengatakan kes penyangak menghentikan sidang media di Klang semalam, sebagai kes terpencil.

Kita semakin meluat dengan kumpulan atau pihak tertentu yang semakin menunjukkan aksi bersifat gangsterisme dan keangkuhan kaum.

Kenapa mereka kini berani dan sanggup mengambil tindakan seolah-olah undang-undang di tangan mereka?

Apakah negara ini kini dikawal oleh ‘Orang Anwar’ dan kita tidak bebas lagi untuk menyatakan sesuatu yang kita rasa benar dan perlu dinyatakan kepada awam?

Juga apakah negara ini kini dikawal oleh ‘gangster’ yang boleh menghentikan sesuatu majlis begitu sahaja hanya kerana dia atau kumpulan itu daripada penyokong penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Apakah Malaysia ini bebas dan berdaulat? Jika demikian kenapa sewenang-wenangnya ada orang menggunakan kuasa dan ‘keberaniannya’ untuk menghentikan sidang media dengan begitu mudah?

Apa akan jadi kelak jika cara ini dijadikan contoh dan kumpulan seperti ini semakin berleluasa?

Apakah negara Malaysia kini seperti dalam filem Tamil di mana penyangak boleh lakukan apa sahaja dan polis tidak mampu bertindak apa-apa.

Sungguh menyedihkan membaca berita bahawa sidang sidang akhbar oleh bekas pembantu kepada Anwar dipaksa dihentikan begitu sahaja selepas diganggu sekumpulan lelaki sebaik sahaja mahu bermula.

Cara kekerasan yang digunakan oleh kumpulan berkenaan amat kasar dan tidak sewajarnya berlaku.

Laporan Bernama yang dipetik Berita Harian Online menyebut, semasa wartawan sedang sibuk menunggu apa yang bakal diutarakan olehMuhamad Rahimi Osman, di dalam satu bilik di sebuah restoran di sini kira-kira 4.05 petang semalam, mereka dikejutkan dengan jeritan suara "Oi Sudahlah Rahimi Sudahlah" dan "Keluar, Keluar" berulang kali.

Kumpulan lelaki itu meminta Rahimi supaya menghentikan sidang akhbar itu dan tidak membuat dakwaan terhadap Anwar yang kini sedang dibicarakan di atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mereka juga mengambil kesempatan memburuk-burukkan Muhamad Rahimi, yang juga seorang ahli perniagaan, di hadapan media yang sedang menunggu kenyataan daripadanya.

Bagaimanapun, Rahimi kemudian mengambil keputusan untuk menghentikan sidang akhbar itu pada jam 4.30 petang dan beredar daripada bilik itu yang bukan sahaja panas kerana gangguan daripada pihak luar tetapi kerana lebih daripada 30 pengamal media bersesak-sesak dalam bilik itu.

Bukan Rahimi sahaja yang bimbang dengan keselamatannya tetapi pihak media yang khuatirkan keselamatan mereka turut bergegas keluar dan merasa lega apabila melihat beberapa anggota polis telah berada di luar restoran itu untuk mengawal keadaan.

Walau apa juga tujuan Rahimi memanggil sidang media itu ia adalah hak beliau untuk bercakap tetapi dengan memaksa dihentikan sidang media itu dengan kekerasan membuatkan kita tertanya-tanya, tidak bebas lagikah Malaysia ini?

Juga pertanyaan, siapa yang berkuasa di Malaysia sekarang? Gangster? Penyokong Anwar? Kumpulan daripada kaum tertentu?

Perasaan kita – bangsa Melayu – semakin dicabar meluat-luat.

Kementerian Dalam Negeri dan polis jangan berdiam diri.

Jangan sampai rakyat takut dan merasakan mereka ‘tidak bebas dan merdeka’ lagi di bumi Malaysia!

CALON ORANG ASLI UNTUK PERSENDA KU LI?

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November depan sebagai tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.45 kawasan Galas, jika ada pertandingan, manakala penamaan calon pada 26 Oktober ini.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata semalam SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 28 September lepas berhubung kekosongan kerusi DUN Galas, Kelantan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima pada 27 Sept.

Pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan berikutan wakil rakyat, Chek Hashim, 46, daripada PAS, meninggal dunia akibat barah usus.

Pada pilihan raya umum 2008, Allahyarham berjaya merampas DUN Galas yang terletak dalam kawasan pilihan raya Parlimen Gua Musang daripada Barisan Nasional (BN), mengalahkan calon BN Mohd Saufi Deraman, dengan majoriti 646 undi.

Pada ketika SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi, dua kenyataan PAS Kelantan semalam menarik perhatian.

Kenyataan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa bahawa parti itu sedia memilih calon daripada kalangan Orang Asli untuk bertanding pada pilihan raya kecil bagi DUN Galas membawa banyak makna.

Kata Husam ini tidak mustahil jika ada calon yang sesuai dan setelah diambil kira komitmen masyarakat Orang Asli terhadap PAS.

Beliau mengulas kenyataan ketua masyarakat Orang Asli dari Galas, Pandak a/l Panjang Ey bahawa pihaknya mempunyai jentera gerak gempur parti sendiri untuk membantu kempen pilihan raya itu dan tidak mahu parti politik mengganggu dan masuk berkempen di kawasan penempatan Orang Asli.

Husam memberi alasan PAS menerima calon dari semua pihak dalam menghadapi pilihan raya selaras dengan dasar parti itu untuk semua.

Namun kenyataan Husam selalunya ‘penuh bermakna’. Apakah Husam sengaja menyatakan PAS bersedia meletakkkan calon Orang Asli sebagai mempersendakan UMNO dan Barisan Nasional yang mencadangkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding di situ?

Atau PAS awal-awal sudah merasakan mereka akan kecundang dan daripada menanggung malu meletakkan calon mereka, PAS Kelantan lebih rela ‘menggadaikan maruah’ dengan meletakkan calon Orang Asli.

Kenyataan Husam berbeza dengan kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa PAS sudah ada calon.

Nik Aziz mengatakan pihaknyta tidak akan memberi kemenangan percuma jika Tengku Razaleigh menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu biarpun Anggota Parlimen tersebut pernah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berhubung isu tuntutan royalti minyak.

"Tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza," katanya semalam. Nik Aziz mengatakan PAS sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan.

"Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita tunjuk secara fizikal dan praktikalnya di Kelantan, yang mneyebabkan orang Melayu, orang Cina pun sudah tertarik," tambahnya.

Apakah Nik Aziz akan tertarik dengan cadangan Husam untuk meletakkan Orang Asli jika Tengku Razaleigh menjadi calon.

Kita sama-sama tunggu nanti.

Apapun, pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama dan Suku Tahun Kedua 2010 yang telah dikemaskini sehingga 27 Sept lepas.

Beliau berkata Galas mempunyai 11,553 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 11,426 pemilih biasa dan 127 pemilih pos.

Katanya daripada jumlah itu, 7,125 orang (61.63 peratus) terdiri daripada kaum Melayu, Cina (2,317), India (185), Bumiputera Sarawak (10), Orang Asli (1,889) dan lain-lain (27).

Beliau berkata 11 buah sekolah, sebuah balai rawatan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang kesemuanya mengandungi 25 saluran tempat mengundi.

Wan Ahmad berkata Ketua Jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Abdul Hamid dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya selain tiga Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan.

Katanya SPR akan menggunakan Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang sebagai pusat penamaan calon dan Dewan Pusat Sivik Gua Musang sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

Beliau berkata kira-kira RM1.3 juta diperuntukkan bagi menjalankan pilihan raya kecil itu berikutan kawasannya luas dan melibatkan empat pusat mengundi yang perlu menggunakan perkhidmatan helikopter. Katanya 323 petugas terlibat sepanjang pilihan raya kecil itu.