Wednesday, October 22, 2008

SEKAT WARTAWAN CARA ISLAM?




Cara Kerajaan Pas Kelantan melayani wartawan Berita Harian (BH) mungkin boleh dipelajari oleh kerajaan negeri lain di bawah pembangkang.

Apabila sahaja tidak sehaluan, halanglah wartawan sesuatu akhbar itu daripada membuat liputan.

Tidak boleh memberikan pandangan kedua atau mengkritik biarpun apa yang dikatakan itu benar belaka!

Yalah...kerajaan Pas Kelantan dikatakan kerajaan contoh dan sedang dijadikan model oleh kerajaan negeri lain yang dikawal pembangkang.

Jadi apabila tindakan menghalang wartawan membuat liputan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, kerajaan negeri lain seperti Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang pun patut ambil iktibar.

Mungkin tindakan ini cara Islam yang tidak boleh dipertikaikan!

Mengejutkan sekali apabila persidangan DUN Kelantan tidak membenarkan wartawan Berita Harian membuat liputan persidangan hari ini selepas mendapati akhbar itu yang tidak menyiarkan sebarang ralat terhadap apa yang didakwanya sebagai laporan tidak tepat.
Segala-galanya berhubung titah ucapan Sultan Kelantan yang disiarkan kelmarin bertajuk Sultan Murka Kerajaan Pas Gagal Tadbir Kelantan.

Inilah sikap Pas sebenarnya, dalam mereka melaung-laungkan kononnya mereka mengamalkan demokrasi, apabila ada akhbar menegur atau tidak sealiran dengan mereka, membuat liputan pun tidak boleh.

Menghairan sekali kerana dibandingkan dengan akhbar Harakah yang dari muka depan hinggalah ke belakang ‘membelasah’ kerajaan Barisan Nasional dan sesetengahnya memburuk-burukkan ahli politik tertentu, wartawannya masih dibenarkan membuat liputan, termasuk di Parlimen.

Langkah Persidangan DUN Kelantan kali ini mengingatkan saya kepada kekecohan pada sidang DUN tahun lepas apabila wartawan Sinar Harian, turut dijadikan ‘mangsa’.
Ia berkaitan dengan usul memboikot persidangan berkenaan yang membuatkan ada pihak mahu memboikot akhbar berkenaan.

Namun, hari ini Sinar Harian jelas dijadikan alat parti berkenaan untuk menyampaikan maklumat untuk parti dan Kerajaan Pas Negeri Kelantan.
Saya rasa tidak mungkin Parlimen Malaysia mahu belajar daripada Dewan Undangan Negeri Kelantan cara-cara untuk melayani wartawan.

Biarpun beberapa wartawan akhbar, blog atau laman berita internet menghentam Speaker atau juga timbalannya, belum pernah ada sekatan seperti DUN Kelantan itu dilakukan terhadap wartawan.

Sejauh ini sejak saya berdampingan dengan Dewan Rakyat atau Dewan Negara bermula 1984, saya tidak pernah dengar ada wartawan di halang membuat liputan.
TIdak tahulah sebelum itu.

Menurut Speaker Dewan, Mohd Nassuruddin Daud, selepas membaca akhbar BH semalam dan mendapati tiada ralat disiarkan berhubung laporan akhbar itu kelmarin, “Mengikut Perkara 14 Peraturan Dewan saya mengambil keputusan agar wartawan daripada akhbar itu tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang dewan bersidang,” katanya.

Beliau menyatakannya pada sidang DUN ketiga (Belanjawan) di Kota Bharu semalam.
Kelmarin Drs Zainuddin Awang Hamat (Pas-Limbongan) mendesak supaya akhbar BH memohon maaf dan wartawannya ditegah daripada membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri ekoran tajuk muka depan akhbar itu yang dianggapnya mencemarkan imej kerajaan dan Sultan Kelantan.

Syor Zainuddin itu disokong beberapa anggota Pas lain, sehingga memaksa Mohd Nassuruddin menenangkan keadaan dan memberi tempoh kepada akhbar itu untuk meminta maaf dalam siarannya esok, atau tindakan sewajarnya akan diambil.

Ekoran kenyataan Mohd Nassuruddin hari ini, wartawan BH Khairul Anuar Abdul Samad diarahkan pihak keselamatan pejabat kerajaan negeri agar meninggalkan kawasan bangunan itu.
Ketika ditemui di luar sidang dewan, Khairul berkata beliau menerima keputusan itu namun tidak berpuas hati dengan keputusan melarang wartawan akhbar berkenaan membuat liputan sepanjang dewan bersidang.

“Selama ini kami membuat liputan mengenai perkara yang perlu dihebahkan oleh kerajaan negeri, dan kami juga melaporkan maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat.

Katanya beliau tiba untuk membuat liputan sidang dewan pada jam 9 pagi dan pihak keselamatan meminta beliau agar tidak berada di dalam bangunan kerajaan negeri mengikut arahan Speaker Dewan.

SPIN TITAH UNTUK TUTUP KELEMAHAN

Saya membaca kedua-dua versi laporan oleh Berita Harian dan Harakahdaily yang jelas membicarakan mengenai sikap Sultan Kelantan terhadap kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.
Ia berkaitan titah Sultan Kelantan ketika merasmikan majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Yang Pertama Dewan Undangan Negeri Kelantan yang Ke-12 di Kota Bharu, Isnin lalu.

Berita Harian (BH) membawa tajuk “Sultan murka kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan” sementara Harakahdaily pula “Sultan tegur kerajaan pusat lambatkan projek pembangunan di Kelantan”.

Kedua-duanya menerbitkan berita pada Selasa 21 Oktober 2008 (20 Shawwal 1429 Hijrah).
Pertama saya ingin timbulkan kehairanan saya terhadap waktu penyiaran berita pada Harakahdaily.

Menghairankan sedikit ialah jika Harakahdaily sebagai akhbar elektronik tidak menyiarkan berita berkenaan pada hari Isnin (hinggalah jam 12 malam), sebaliknya ia disiarkan pada Selasa bagaikan menjawab apa yang dilaporkan Berita Harian.

Apakah Harakahdaily tidak melihat isu "Sultan tegur Kerajaan Pusat" sebagai tidak penting?

Bukanlah berita dalam Harakahdaily ini sebagai jawapan kepada BH? Malang sekali jika Titah Baginda cuba dispin untuk dijadikan jawapan kepada kritikan.

Perkara kedua, ialah soal isi berita penting.

BH menyiarkan berita dengan laporan bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra menegur kerajaan Pas Kelantan kerana masih gagal mengurus dan membangunkan negeri Kelantan dengan cekap, termasuk dalam pengurusan hasil serta kewangan.

Sultan Kelantan turut mengingatkan kerajaan negeri supaya memartabatkan institusi masjid dan tidak menggunakannya untuk kepentingan pihak tertentu.

Harakahdaily pula melaporkan Tuanku Ismail Petra melahirkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa projek kerajaan Persekutuan yang belum dilaksanakan di Kelantan.
Antaranya pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra Kedua yang mana sehingga hanya mencapai kemajuan 10 peratus, biar pun perletakan batu asas sudah lebih setahun berlalu.
Menurut Harakahdaily, oleh itu baginda mahu kerajaan pusat mempergiatkan semua projek pembangunan dalam rancangan Malaysia Ke-9 memandangkan pelaksanaannya begitu perlahan.

Daripada apa yang dilaporkan, kebimbingan Sultan Kelantan adalah projek-projek yang dibawakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk memajukan rakyat dan negeri Kelantan.
Ini termasuklah projek-projek lain yang dalam pelaksanaan seperti pembinaan kampus utama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli juga perlu diambil perhatian.

"Beta juga mendapat maklum Kelantan adalah di antara negeri yang disenaraikan dengan projek hub halal dalam RMK-9 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM17 juta, bagaimanapun ia juga belum dilaksanakan," titah baginda.

Baginda menyarankan kerajaan negeri memberi penekanan ke atas pelaksanaan hub halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal di negeri ini.
Baginda turut menyarankan kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu-Kuala Krai dan pelebaran jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

"Sukacita beta mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu-Kuala Krai dan pelebaran Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

"Beta difahamkan, pelabuhan tidak disenaraikan sebagai projek infrastruktur di bawah ECER di Kelantan. Bagaimanapun, beta dimaklumkan kerajaan negeri meluluskan tiga projek pembinaan pelabuhan Tok Bali, pangkalan bekalan luar pesisir Kemasin dan pangkalan bekalan Kuala Besar.

"Beta berharap kerajaan boleh memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini," titah baginda sambil melahirkan rasa amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan dana khas sebanyak RM32.1 juta bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat menerusi Projek D'Raja Kelantan.

Menurut Baginda, pembangunan tersebut begitu penting bagi memastikan segala program yang dirancang di bawah Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Tumur (ECER) berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

Tambahnya dalam pelan induk ECER, kerajaan pusat telah merancang untuk melaksanakan sebanyak 53 projek utama di Kelantan.
Jelas di sini, saranan adalah untuk mempercepatkan projek-projek yang sudah diluluskan, walaupun Kelantan bukan ditadbir BN.

Saya ulangi, Kelantan bukan ditadbir oleh BN tetapi Kerajaan Pusat berusaha melaksanakan projek penting termasuk jambatan berkenaan.
Selama lebih 18 tahun, apakah Kerajaan Pas Kelantan mampu membina jambatan berkenaan, membina kampus UMK atau juga lebuh-lebuh raya yang dimaksudkan?

Hakikatnya, Baginda turut menegur Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang melaksanakan bandar raya Islam sejak 2006. Menurut Baginda, perancangan dari aspek kebersihan dan keselamatan perlu dinilai semula kerana beta melihat beberapa elemen belum mencapai matlamat.

“Beta berharap MPKB memberi fokus kepada elemen terbabit bagi menjamin pencapaian matlamat itu."
Jangan lupa, perkara ini juga ditegur Baginda pada persidangan tahun lepas yang membawa erti MPKB gagal memenuhi saranan Tuanku Ismail Petra!

Soal-soal lain banyak lagi. Dan sekali lagi tahun ini Baginda membangkitkan soal Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan Kelantan yang tidak kukuh apabila mengalami defisit akaun hasil disatukan pada akhir 2007 sebanyak RM326.34 juta berbanding RM155.86 juta pada akhir 2003.

Juga, saranan supaya Enakmen Perbadanan Menteri Besar Kelantan serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan agar dikaji semula supaya tidak wujud pertindihan dan persaingan.

Baginda juga mencadangkan kerajaan negeri tidak boleh terus bergantung kepada sumber hasil sedia ada. Usaha perlu digembleng untuk meneroka punca hasil baru dalam setiap sektor untuk membiayai kos pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat.
Tidakkah perkara ini turut ditimbulkan tahun lepas?

Tengku Ismail Petra juga menegur mengenai masalah tanah terbiar di seluruh Kelantan yang ketika ini mencapai keluasan 21,458 hektar dan 910 hektar saja yang dibangunkan.

Malah Baginda mahukan kerajaan negeri mengambil peluang daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.5 bilion untuk memulihkan tanah terbiar bagi menjamin bekalan makanan negeri khususnya dan negara amnya.

Soal lain yang turut ditekankan oleh Baginda ialah menyarankan kerajaan negeri turut menekankan pelaksanaan pembangunan hab halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal.