Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang esok akan memutuskan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri boleh mengetepikan sapina yang menghendaki mereka menjadi saksi dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Isnin (28 September 2011) Ketua Pembangkang itu memfailkan dua afidavit jawapan terhadap permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sapina ke atas mereka.
Afidavit-afidavit tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan S.N. Nair & Partners di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Beberapa blog mengulas mengenai isu sapina ini namun blog rbf mempertikaikan posting oleh Mohd Sayuti Omar (MSO) melalui blog beliau bahawa di rumah malam ini Najib ada diadakan sembahyang hajat berkaitan sebutan mahkamah ini.
Kata MSO: “Najib yang mulanya mengatakan dia tidak gentar untuk berhadapan dengan Anwar tiba-tiba merubah "keberanian" apabila enggan hadir ke mahkamah dengan memohon mengenepikan sepena untuk menjawab persoalan bakal ditimbul oleh para peguam Anwar. Saya difahamkan waktu ini ada majlis solat hajat dan tahlil di kediaman rasmi Najib Razak di Putrajaya atau di Jalan Duta, Kuala Lumpur?”
Berikutan itu blogger rbf dengan tajuk "Bertaubatlah Sayuti Omar" menafikan ada majlis sembahyang hajat berkenaan apabila blog berkenaan menyebut: “Hari ini sekali lagi Sayuti berbohong pasal Datuk Seri Najib. Dalam tulisannya yang terakhir di blog malam ini , dia mengatakan yang dia difahamkan pada malam ini Datuk Najib dan isteri mengadakan majlis sembahyang hajat untuk memohon agar keputusan mahkamah esok menyebelahinya dalam kes permohonannya mengenepikan sapina dari Anwar Ibrahim . “
Menurut rbf, bagi kita orang islam melakukan sembahyang hajat bagi memohon sesuatu daripada Allah, itulah sebaik-baiknya. Tetapi apa yang ditulis Sayuti malam ini bukannya dengan niat yang baik. Dia tulis dengan niat buruk. Dia nak beritahu kepada dunia betapa takutnya Datuk Najib untuk menghadapi keputusan mahkamah esok.
Rbf berkata apa apa yang ditulis Sayuti tidak benar. Ini kerana tidak ada sebarang majlis sembahyang hajat di rumah PM malam ini (semalam). Pada malam ini (semalam) Datuk Seri Najib tidak ada di rumah pun kerana menghadiri satu majlis perkahwinan di Hotel One World Bandar Utama.
Dua minggu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan Selasa minggu lalu (29 September 2011) sebagai tarikh pendengaran permohonan pasangan tersebut untuk mengetepikan sapina yang mengkehendaki mereka hadir sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Najib dan Rosmah memfailkan permohonan tersebut melalui peguam mereka pada 21 September lalu.
Dalam afidavit jawapan terhadap permohonan Najib, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan, Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Khairil Anas Jusoh ketika ditemui pasukan pembelaan pada 25 Mei lalu memberitahu bahawa Mohd. Saiful Bukhari ada bertemu dengan Najib pada 24 Jun 2008 selama satu jam.
Bagaimanapun, pada Selasa lalu (29 Septembe 2011), Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan hingga esok untuk permohonan Anwar itu.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan setelah peguam, Datuk Ghazi Ishak yang mewakili pasangan itu memaklumkan bahawa mereka baru mendapat afidavit jawapan ketua pembangkang itu pagi ini.
Menurut Ghazi, pihaknya memerlukan masa untuk mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada perlu untuk memfailkan afidavit balasan atau tidak.
Ketika bertemu dengan pasukan pembelaan pada 12 Ogos lalu, Najib tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung pertemuan tersebut.
Sementara bagi permohonan Rosmah, Anwar dalam afidavit jawapannya pula menyatakan, pihaknya memohon penjelasan berhubung pertemuan antara Penaung Permata Negara Malaysia itu dengan rakan baik mangsa yang juga bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman.
Pertemuan tersebut dimaklumkan kepada barisan pembelaan oleh Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar sewaktu sesi temu bual pada Mei lalu.
Selain itu, pegawai penyiasat kes, Supritendan Judy Blacious Pereira dalam keterangannya di mahkamah menyatakan ada mengambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah daripada Rosmah yang secara tidak langsung menunjukkan wanita itu mempunyai pengetahuan mengenai kes tersebut.
Oleh yang demikian, Anwar menyatakan, berdasarkan fakta-fakta tersebut dan pertemuan yang berlaku, kehadiran Najib dan Rosmah di mahkamah adalah bagi memberi penjelasan dan bukanlah untuk menunjukkan terdapatnya konspirasi.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di Kuala Lumpur antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Pada perbicaraan kes liwat pertama pada 1998, lima individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat permohonan yang sama dan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut.
Berkaitan kes ini, apa yang menarik, MSO mengatakan beliau sudah dapat mengagak apa yang bakal diputuskan oleh mahkamah jam 2:30 petang esok.
“Sesuatu yang bakal mengejutkan orang ramai dijangka berlaku esok. Mungkin satu lagi sejarah perundangan akan tercatat di negara ini. Mungkin...? Apa yang bakal berlaku esok semua pihak hendaklah menerimanya. Janganlah ada tunding menudnign jari kerana hendak mempertahankan benang basah. Baik Anwar maupun Najib tenanglah menerima keputusan mahkamah, “ demikian kata MSO melalui blognya.
Sunday, October 2, 2011
PAS BELUM LAYAK KE PUTRAJAYA…USAH MIMPILAH!
Semalam PAS menyambut tahunnya ke 60.
Sempena sambutan itu, ilmuan Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengatakan malam semalam, ada dua prasyarat PAS untuk ke Putrajaya.
Pertama PAS perlu kerangka politik lebih besar dan kedua perlu ikon yang boleh diterima ramai seperti Dr Burhanuddin Helmy.
Maknanya, tokoh PAS yang ada sekarang bukan kelas yang mampu menawan Putrajaya.
Dengan kata lain, apakah Dr Asri member isyarat kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atau juga Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agar janganlah dok mimpi ke Putrajaya kalau pemimpin PAS macam sekarang!
Itu belum sebut pasal Mohamad Sabu lagi yang dah ‘mencemarkan imej PAS’ sehinggakan PAS beberapa negeri tidak minat dengan pemimpin berkenaan.
Bagi Dr Asri, PAS yang menyambut ulang tahun penubuhan yang ke-60 hari ini memerlukan kerangka politik lebih besar dan pemimpin-pemimpin yang boleh diterima oleh semua rakyat jika mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat kelak.
Mengakui PAS sudah matang dalam arena politik, namun menurut bekas mufti Perlis itu, parti Islam tersebut perlu melahirkan ikon yang boleh diterima setiap lapisan masyarakat jika ingin terus kekal relevan.
Bercakap pada forum perdana sambutan 60 tahun PAS di Dewan Millenium di Kepala Batas, malam tadi Dr Asri berkata, parti yang kini diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang memerlukan tokoh ikon terutamanya untuk mendapatkan kepercayaan rakyat berbilang kaum.
“PAS perlu mewujudkan atau gilap seorang tokoh yang bukan sahaja diterima ahli PAS tetapi orang di luar PAS, kalau kita lihat terdapat 60 peratus pengundi yang belum membuat keputusan.
“PAS perlu seorang tokoh yang bukan sahaja disebut nama sudah dikenali macam Burhanuddin al-Helmy... hebat, bukan sebut nama orang dah kenal, tapi rakyat juga lihat dia layak untuk jadi perdana menteri,” katanya.
Burhanuddin merupakan pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Hari ini PAS meraikan sambutan enam dekad kewujudannya di Kepala Batas — tempat kelahiran parti Islam ini dan rakan komponen Pakatan Rakyat.
Kata Dr Asri, tokoh ikon itu akan membantu PAS bersama Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.
“PAS mesti wujudkan tokoh ikon ini, ini perlu untuk ke Putrajaya, PAS perlu wujudkan tokoh di kalangan PAS sendiri,” katanya.
Dr Asri turut menasihatkan PAS supaya membentuk kerangka politik yang lebih besar.
Beliau turut memberi cadangan agar kepimpinan tertinggi PAS tidak melibatkan diri dalam hal-hal remeh yang boleh diselesaikan di peringkat bawahan.
“PAS perlu kerangka politik yang baru, PAS perlu wujudkan kerangka yang lebih besar... kerangka Malaysia bukan kerangka Kelantan.
“Umno bukan piawaian untuk PAS buat perbandingan, PAS perlu berada di tempat lebih tinggi,” katanya. Asri turut menekankan agar kepimpinan PAS terus mempertahankan dasar Islam walaupun dikritik pihak tertentu.
“PAS sudah mencapai usia matang kerana bersedia mendengar pandangan yang berbeza, saya melihat PAS telah berjalan di atas landasan sehingga dunia Islam menyedari tentang kebangkitan Islam.
“Pemimpin-pemimpin dalam PAS perlu terus mempertahankan dasar Islam, PAS perlu realistik dan ketepikan retorik politik, PAS juga perlu bergerak ke hadapan dengan lebih terbuka dan memahami Islam secara meluas,” katanya.
Jadi, amat jelas kalau ikut Dr Asri, yang turut tidak layak selain Presiden, Musyridul Am, atau juga Naib-Naib Presidennya, termasuk Datuk Husam Musa dan Salehuddin Ayob serta barisan pemimpin lain.
Mungkinkah pemimpin muda dalam PAS dalam pembikinan dan boleh diketengahkan?
Atau ajak sahaja Dr Asri untuk menyertai PAS dan bentuknya jadi ikon.
Apa kata anda?
Subscribe to:
Posts (Atom)