Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang esok akan memutuskan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri boleh mengetepikan sapina yang menghendaki mereka menjadi saksi dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Isnin (28 September 2011) Ketua Pembangkang itu memfailkan dua afidavit jawapan terhadap permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sapina ke atas mereka.
Afidavit-afidavit tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan S.N. Nair & Partners di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.
Beberapa blog mengulas mengenai isu sapina ini namun blog rbf mempertikaikan posting oleh Mohd Sayuti Omar (MSO) melalui blog beliau bahawa di rumah malam ini Najib ada diadakan sembahyang hajat berkaitan sebutan mahkamah ini.
Kata MSO: “Najib yang mulanya mengatakan dia tidak gentar untuk berhadapan dengan Anwar tiba-tiba merubah "keberanian" apabila enggan hadir ke mahkamah dengan memohon mengenepikan sepena untuk menjawab persoalan bakal ditimbul oleh para peguam Anwar. Saya difahamkan waktu ini ada majlis solat hajat dan tahlil di kediaman rasmi Najib Razak di Putrajaya atau di Jalan Duta, Kuala Lumpur?”
Berikutan itu blogger rbf dengan tajuk "Bertaubatlah Sayuti Omar" menafikan ada majlis sembahyang hajat berkenaan apabila blog berkenaan menyebut: “Hari ini sekali lagi Sayuti berbohong pasal Datuk Seri Najib. Dalam tulisannya yang terakhir di blog malam ini , dia mengatakan yang dia difahamkan pada malam ini Datuk Najib dan isteri mengadakan majlis sembahyang hajat untuk memohon agar keputusan mahkamah esok menyebelahinya dalam kes permohonannya mengenepikan sapina dari Anwar Ibrahim . “
Menurut rbf, bagi kita orang islam melakukan sembahyang hajat bagi memohon sesuatu daripada Allah, itulah sebaik-baiknya. Tetapi apa yang ditulis Sayuti malam ini bukannya dengan niat yang baik. Dia tulis dengan niat buruk. Dia nak beritahu kepada dunia betapa takutnya Datuk Najib untuk menghadapi keputusan mahkamah esok.
Rbf berkata apa apa yang ditulis Sayuti tidak benar. Ini kerana tidak ada sebarang majlis sembahyang hajat di rumah PM malam ini (semalam). Pada malam ini (semalam) Datuk Seri Najib tidak ada di rumah pun kerana menghadiri satu majlis perkahwinan di Hotel One World Bandar Utama.
Dua minggu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan Selasa minggu lalu (29 September 2011) sebagai tarikh pendengaran permohonan pasangan tersebut untuk mengetepikan sapina yang mengkehendaki mereka hadir sebagai saksi pembelaan pada perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Najib dan Rosmah memfailkan permohonan tersebut melalui peguam mereka pada 21 September lalu.
Dalam afidavit jawapan terhadap permohonan Najib, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menyatakan, Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Khairil Anas Jusoh ketika ditemui pasukan pembelaan pada 25 Mei lalu memberitahu bahawa Mohd. Saiful Bukhari ada bertemu dengan Najib pada 24 Jun 2008 selama satu jam.
Bagaimanapun, pada Selasa lalu (29 Septembe 2011), Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan hingga esok untuk permohonan Anwar itu.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan setelah peguam, Datuk Ghazi Ishak yang mewakili pasangan itu memaklumkan bahawa mereka baru mendapat afidavit jawapan ketua pembangkang itu pagi ini.
Menurut Ghazi, pihaknya memerlukan masa untuk mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada perlu untuk memfailkan afidavit balasan atau tidak.
Ketika bertemu dengan pasukan pembelaan pada 12 Ogos lalu, Najib tidak memberikan sebarang kenyataan berhubung pertemuan tersebut.
Sementara bagi permohonan Rosmah, Anwar dalam afidavit jawapannya pula menyatakan, pihaknya memohon penjelasan berhubung pertemuan antara Penaung Permata Negara Malaysia itu dengan rakan baik mangsa yang juga bekas Setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman.
Pertemuan tersebut dimaklumkan kepada barisan pembelaan oleh Datuk Mumtaz Begum Abdul Jaafar sewaktu sesi temu bual pada Mei lalu.
Selain itu, pegawai penyiasat kes, Supritendan Judy Blacious Pereira dalam keterangannya di mahkamah menyatakan ada mengambil keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah daripada Rosmah yang secara tidak langsung menunjukkan wanita itu mempunyai pengetahuan mengenai kes tersebut.
Oleh yang demikian, Anwar menyatakan, berdasarkan fakta-fakta tersebut dan pertemuan yang berlaku, kehadiran Najib dan Rosmah di mahkamah adalah bagi memberi penjelasan dan bukanlah untuk menunjukkan terdapatnya konspirasi.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya yang berusia 26 tahun itu di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di Kuala Lumpur antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Pada perbicaraan kes liwat pertama pada 1998, lima individu termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat permohonan yang sama dan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes tersebut.
Berkaitan kes ini, apa yang menarik, MSO mengatakan beliau sudah dapat mengagak apa yang bakal diputuskan oleh mahkamah jam 2:30 petang esok.
“Sesuatu yang bakal mengejutkan orang ramai dijangka berlaku esok. Mungkin satu lagi sejarah perundangan akan tercatat di negara ini. Mungkin...? Apa yang bakal berlaku esok semua pihak hendaklah menerimanya. Janganlah ada tunding menudnign jari kerana hendak mempertahankan benang basah. Baik Anwar maupun Najib tenanglah menerima keputusan mahkamah, “ demikian kata MSO melalui blognya.
No comments:
Post a Comment