Monday, May 7, 2012

SHAMSUL ISKANDAR ANGGAP FATWA SEBAGAI 'MEMESONGKAN AKIDAH ORANG ISLAM'...

 
"Kita mesti ada kebebasan untuk menyatakan pendirian dan pendapat dengan berani walaupun berdepan dengan risiko...Kita akan minta penjelasan daripada majlis fatwa supaya tidak dilihat fatwa ini akan memosong pemikiran orang Islam," - Shamsul Iskandar Md Akin

Shamsul Iskandar Md Akin anggap Fatwa Majlis Fatwa Hal Ehwal Agama Islam Malaysia semalam yang memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru hara dan kekacauan dalam negara sebagai boleh memesong akidah orang Islam?

Berikutan itu, Ketua pergerakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu menuntut penjelasan terperinci berhubung fatwa yang dikeluarkan mengenai penyertaan perhimpunan dan demonstrasi berkenaan.

Katanya, jawatankuasa Majlis Fartwa Kebangsaan itu perlu menjelaskan kerana keputusan tersebut mungkin dibuat dengan hanya berdasarkan laporan media arus perdana.

Menurut Shamsul lagi, jika diperlukan, beliau sedia mengemukakan maklumat lanjut berhubung perhimpunan BERSIH 3.0 kepada jawatankuasa majlis fatwa memerlukannya.

Keputusan dibuat hanya berdasarkan laporan media arus perdana?

Apakah ahli atau jawatankuasa Majlis Fatwa ini kalangan yang terlalu bergantung kepada media arus perdana?

Apakah mereka ‘begitu cetek pemikiran dan tindakan mereka’?

Pengerusi Jawatankuasa majlis itu, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata semalam, jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas.

 "Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama. Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu di Sepang.

Sehubungan itu, katanya umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.

Apakah dengan mengatakan sanggup membekalkan maklumat itu Shamsul Iskandar berpandangan bahawa Majlis itu mengeluarkan fatwa sewenang-wenangnya?

Apakah itu juga bermakna Shamsul Iskandar pertikaikan keupayaan dan fungsi majlis Fatwa Kebangsaan?

Apakah Shamsul Iskandar lupa siapa mereka yang menjadi ahli jawatankuasa majlis berkenaan?

Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdiri daripada:

i. Seorang pengerusi yang dilantik oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) di kalangan ahlinya;

ii. Mufti tiap-tiap negeri yang mengambil bahagian atau seorang yang mewakili Negeri dalam Hal Ehwal Agama Islam; 

iii. Lima orang alim ulama yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja; dan,

iv. Seorang ahli yang beragama Islam dari Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-undang atau dari profession undang-undang yang dipilih dan dilantik oleh Majlis Raja-Raja; Mengikut Perkara 13 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia menyatakan bahawa tiap-tiap ahli melainkan Pengerusi dan Mufti-Mufti hendaklah daripada calon-calon yang diperakukan oleh Perdana Menteri, selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun, tetapi ia adalah layak dilantik semula. Ia hendaklah memegang jawatan selama tempoh yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

Sementara sebarang keputusan atau pengeluaran hukum/pandangan syarak yang dibuat, ia adalah hasil muzakarah melalui dua cara:

 i. Arahan Mesyuarat Majlis Raja-Raja. Proses pengeluaran hukum/pandangan syarak ini bermula apabila Mesyuarat Majlis Raja-Raja menitahkan supaya Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengeluarkan hukum atau pandangan syarak tentang sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat. Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa akan diadakan dan apabila Mesyuarat bersetuju mengeluarkan hukum atau pandangan syarak, maka hukum atau pandangan syarak berkenaan akan dirafa’kan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja melalui Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Hukum atau pandangan syarak yang telah diterima oleh Majlis Raja-Raja tersebut akan dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa/Perundingan Syarak Negeri-negeri tanpa boleh dipinda dan seterusnya akan diwartakan oleh negeri berkenaan sebagai fatwa.

 ii. Tanpa Arahan Mesyuarat Majlis Raja-Raja.  Proses pengeluaran hukum atau pandangan syarak ini adalah melalui permohonan dari masyarakat Islam atau pihak-pihak tertentu. Isu yang dikemukakan akan dikaji, disediakan satu kertas kerja berkaitan dan kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian Syariah atau Mesyuarat Panel Kajian Akidah mengikut kategori isu yang dibincangkan. Seterusnya satu kertas kerja berserta keputusan Mesyuarat Panel Kajian Syariah / Akidah akan dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Keputusan dan pandangan yang diputuskan dalam Muzakarah ini akan dibawa ke Jawatankuasa Fatwa / Perundingan Syarak Negeri-negeri dan negeri boleh meminda keputusan tersebut atau menerimanya tanpa pindaan. Maka seterusnya dilakukan proses pewartaan sebagai fatwa di peringkat negeri-negeri.

Amat jelas bahawa dengan mengeluarkan kenyataan bagaikan mempersoalkan pengeluaran hukum dan pandangan syarak itu, Shamsul Iskandar bagaikan mempertikaikan keputusan, apalagi beliau berhujah bahawa:

a. Perhimpunan BERSIH 3.0 – bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil – mempunyai tujuan yang baik; "Kalau kita ambil pendekatan seperti ungkapan yang mengatakan 'mencegah lebih baik daripada mengubati' dan 'berkata benar walaupun pahit', adalah wajib (sertai perhimpunan).

b. Kita mesti ada kebebasan untuk menyatakan pendirian dan pendapat dengan berani walaupun berdepan dengan risiko. “Kita akan minta penjelasan daripada majlis fatwa supaya tidak dilihat fatwa ini akan memosong pemikiran orang Islam," katanya.

Tidak tahulah apakah yang ada dalam benak dan pemikiran anak muda PKR sehingga fatwa sebegini pun sanggup dipertikaikan.

Atau apakah kerana mahu membuktikan ‘tidak merasa berdosa’ berhimpun dan tidak mahu menerima kenyataan bahawa mereka 'dalam keadaan bersalah' menyebabkan kalangan muda dalam PKR sanggup mempersoalkan keputusan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sedemikian?