Monday, June 27, 2011

BERSIH 2.0 UNTUK GULING NAJIB, BUKAN KERANA PILIHAN RAYA!

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perhimpunan haram 9 Julai ini sebenarnya digerakkan oleh pihak yang tidak sabar untuk berkuasa dan bukannya kerana pilihan raya di negara ini tidak bersih.

Tepat dan benar. Sebenarnya mereka mahu menggulingkan Perdana Menteri melalui cara jalanan bukan pilihan raya.

Niat mereka untuk menjamin Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Betapa hinanya cara mereka. Betul kata Perdana Menteri, jika pilihan raya di negara ini tidak bersih, tentunya pembangkang tidak akan dapat berkuasa di lima negeri pada pilihan raya umum yang lepas.

Kata Najib pada perasmian Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP) ke-58 di sini, Ahad.: "Kalau kita boleh manipulasi semua pilihan raya ini, baik semua negeri dikuasai oleh Barisan Nasional (BN). Kita bukan orang yang manipulasi pilihan raya. Kita tidak rela berkuasa melainkan kita didokong oleh rakyat. Itu Barisan Nasional. Kita hanya rela berkuasa kalau rakyat bersama kita, tetapi janganlah buat sesuatu yang menimbulkan huru-hara dalam negara semata-mata mereka hendakkan kuasa politik," katanya.

Yang sebenarnya 'Tok Dalang' himpunan itu bimbang mereka akan kalah dalam pilihan raya akan datang. Kalau kalah, usahkan nak ke Putrajaya, ke kampung pun ditolak rakyat.

Kenapa saya katakan demikian?

1. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin hilang pengaruh dan keyakinan rakyat kerana kes liwatnya sukar untuk beliau pertahankan;

2. Isu video seks semakin kusut untuk beliau tepis, apalagi gambar dan laporan oleh pakar membuktikan 99.9 peratus, beliau adalah pelakonnya;

3. Kedudukan pembangkang semakin bercelaru apabila PAS mengubah perjuangannya dari negara Islam kepada negara kebajikan kerana parti itu tidak ada bezanya dengan perjuangan DAP dan PKR apabila menolak negara Islam;

4. Kejayaan Barisan Nasional membela dan membawa keyakinan kepada rakyat melalui dasar-dasarnya menyukarkan pembangkang; dan

5. Kekuatan Najib secara individu dan dasar-dasarnya menjadikan pembangkang hilang arah dan sukar menggugat dasar 'mendahului rakyat' oleh kerajaan.

Amat jelas jika pembangkang dan penyokongnya mempunyai keberanian, mereka patut bertanding dalam pilihan raya daripada menganjurkan perhimpunan haram yang akan mewujudkan huru hara di dalam negara.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata tindakan kumpulan pengacau itu mengadakan perhimpunan haram itu adalah untuk mendapatkan kembali sokongan yang mereka dapat semasa pilihan raya umum 2008 memandangkan kini momentum sokongan rakyat kembali berpihak kepada BN.

Amat jelas, seperti kata Najib, momentum politik berada di pihak BN dengan kemenangan dalam pilihan raya demi pilihan raya kecil yang mana BN sudah ubah rekod itu berbanding selepas pilihan raya (umum) 2008. Malah, BN juga menang pada pilihan raya negeri di Sarawak.

Benar kata Najib bahawa untuk mendapatkan kuasa ia tidak boleh selesai di jalanan kerana kuasa politik ditentukan rakyat dan jika mereka benar-benar mempunyai keberanian ingin berjuang untuk rakyat, mereka perlu bertanding dalam pilihan raya.