Saturday, October 29, 2011

MTUC TIDAK WAJAR BERI AMARAN, UGUT PERDANA MENTERI

Ternyata kini Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bermain politik apabila mula mengugut kerajaan dengan mengatakan ia akan ‘menjadi penentu dalam arah aliran sokongan ketika pilihan raya umum ke 13 nanti’.

Adalah tidak wajar kenyataan itu dibuat pada ketika MTUC dan kerajaan masih boleh berunding mengenai pindaan Akta Kerja 1955 yang menjadi kontroversi sekarang.

MTUC mahu pindaan itu ditarik balik kerana ia membabitkan 5.7 juta pekerja.

Adalah perbuatan yang ‘kurang ajar’ tindakan MTUC itu lebih-lebih lagi ketika masih ada ruang untuk berunding.

Tindakan memberi amaran keras kepada Perdana Menteri semalam menggambarkan betapa MTUC kini bermain politik dan memang berpihak kepada pembangkang dan isyarat yang diberikan itu bagaikan meniup gendang perang pada ketika jalan penyelesaian masih terbuka luas.

MTUC boleh menegaskan kekecewaan mereka dengan tindakan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia yang bertegas dengan pendirian membawa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat awal bulan ini.

Walaupun sudah diluluskan di Dewan Rakyat minggu pertama bulan ini tetapi sementara menunggu giliran perbahasan Dewan Negara, banyak perkara boleh dibincangkan.

Sebaliknya Setiausaha Agung MTUC Abdul Halim Mansor pada sidang media di Subang Jaya semalam member amaran keras kepada Perdana Menteri sambil membuat ugutan.

Tegas Abdul Halim : “Kami minta perdana menteri mendengar permintaan kami, suara kami bagi pihak 5.7 juta pengundi (pekerja). Ada 5.7 juta pekerja yang berdaftar.Ini isyarat kami kepada beliau.”

Apa erti pelawaan atau ajakan jika membuat ugutan?

Abdul Halim mendakwa badan induk kesatuan sekerja yang dianggotai 390 gabungan mewakili 802,323 ahli telah merancang untuk mengadakan piket peringkat nasional pada 3 November ini.

MTUC mengesahkan bahawa piket itu, yang kedua selepas tindakan di kawasan bangunan Parlimen pada 3 Oktober lalu, akan diadakan 20 lokasi di seluruh negara.

MTUC mendakwa Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2011 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu akan memberi laluan mudah kepara pelabur dan majikan mengambil rakyat Malaysia sebagai pekerja yang dikenali sebagai "Kontraktor Untuk Buruh' berbanding tenaga kerja kekal (untuk memahami isu Kontraktor Untuk Buruh ini sila baca di sini).

Kesatuan itu dikatakan sudah menghantar surat kepada Najib dan timbalannya minggu lepas berhubung permohonan mereka mendesak pertimbangan semula pindaan berkenaan Akta Kerja, namun sehingga kini belum mendapat respons.

“Sekiranya masih lagi tiada jawapan, kemungkinan besar kami akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini,” sambil berkata MTUC lebih rela menyelesaikan kemelut ini secara domestik berbanding melibatkan pihak luar.

Namun begitu, sekiranya ia menemui jalan buntu, pihaknya akan membawa isu ini ke Persidangan Serantau Pertubuhan Tenaga Buruh Antarabangsa di Kyoto, Jepun pada 4 Disember ini.

Difahamkan, sebanyak 107 pertubuhan bukan kerajaan dalam dan luar negara menyokong pendirian MTUC, memprotes pindaan Akta Kerja 1955, yang membolehkan kontraktor tenaga kerja dianggap sebagai majikan yang sahih.

SI BANGSAT PENYANGAK SUKAN WAJAR DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS

Celaka dan bangsat mereka yang melakukan kerja menjual tiket yang diberikan subsidi oleh kerajaan negeri.

Subsidi itu menggunakan wang rakyat dan tidak wajar dijadikan keuntungan untuk poket sendiri.

Memang penyangak sukan seperti ini tidak wajar jadi anak Terengganu!

Pada ketika peminat sukan begitu berharap masalah harga tiket tinggi dapat diatasi, mereka mengambil peluang menjual tiket yang disubsidi dan mengaut keuntungan dengan mudah.

Mungkin ada yang mengambil peluang apabila persatuan membenarkan seseorang membeli hingga 10 tiket.

Bagi penyangak ini mereka mungkin berpakat atau membelinya beberapa kali dan hasilnya mendapat pada jumlah yang banyak.

Difahamkan, sebanyak 10,000 tiket dijual secara terbuka sementara 20,000 tiket lagi diagihkan melalui Dewan Undangan Negeri.

Menurut laporan, tiket bersubsidi berharga RM25 bagi perlawanan akhir Piala Malaysia antara Terengganu dan Negeri Sembilan hari ini, dijual di pasaran gelap di Kuala Terengganu pada harga RM45 kelmarin.

Tiket untuk perlawanan akhir itu berharga RM50 tetapi kerajaan Terengganu menampung separuh daripada kos untuk 30,000 tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Terengganu.

Geram dan menyedihkan apabila terdapat penjual tiket berlegar-legar untuk mencari peminat yang sanggup membayar pada harga yang lebih tinggi itu.

Malah ada dakwaan ‘orang dalam persatuan’ membuat kerja itu.

Seorang penyokong Terengganu, Rosamiza Omar, 45, berkata beliau terpaksa membeli tiket itu walaupun pada harga yang tinggi memandangkan tiket telah habis dijual sejak kelmarin.

"Sebaik sahaja mengetahui tiket habis dijual, saya pergi pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri untuk mendapatkannya di sana kerana difahamkan setiap pejabat DUN dan Parlimen dibekalkan dengan 500 tiket. Bagaimanapun apabila sampai di sana saya dimaklumkan tiket tersebut masih belum diterima, jadi saya terpaksa beli daripada penjual berkenaan," katanya.

Seorang kakitangan PBSNT ketika ditemui wartawan kelmarin enggan mengulas mengenai penjualan tiket di pasaran gelap itu kerana ia di luar kawalan persatuan.

Semalam, kerajaan negeri mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyiasat dengan segera dakwaan bahawa terdapat orang dalam persatuan itu menjadi dalang menyalurkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia kepada ulat tiket.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat berkata, tindakan tegas akan diambil jika perkara itu didapati benar-benar berlaku.

Beliau berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab dan ingin mengaut keuntungan mudah dengan menjual tiket yang telah disubsidi kerajaan negeri itu menyusahkan banyak pihak serta menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong bola sepak di negeri ini.

"Saya kesal jika benar perkara ini berlaku, dan siasatan menyeluruh akan dilakukan bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan, dan kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat,” katanya.

Rozi berkata, perkara sebegitu tidak wajar berlaku kerana pengagihan turut dilakukan di seluruh 32 Dewan Undangan Negeri dan lapan Parlimen, dengan setiap kawasan diperuntukkan 500 tiket.

"Kerajaan negeri memberi subsidi sebanyak RM25 bagi tiket perlawanan akhir kepada rakyat negeri ini untuk membolehkan lebih ramai yang datang untuk menyokong dalam perlawanan akhir nanti,” katanya.

Selasa lepas, Terengganu mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus untuk 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket sebanyak RM50.

Bagaimanapun, ia menimbulkan kekecohan apabila tiket berkenaan habis dalam tempoh dua jam pada hari pertama ia dijual Rabu lepas.

Sewajarnya ini menjadi pengajaran kepada persatuan dan kerajaan negeri yang membelanjakan lebih RM700,000 bagi tujuan subsidi tetapi ada pihak yang ‘menangguk di air keruh.

Oleh Teganuku

3A + KALLANG MAMPU RANAPKAN BENTANG HOBEN JANG HOBEN...

http://teganuku.blogspot.com/

Serang habis-habisan sudah sebati dengan corak yang diamalkan jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim dan amat sesuai untuk pasukan Peteh.

Taktik itu pastinya akan diteruskan pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2011 menentang Negeri Sembilan yang dikemudikan Shukor Adan malam ini.

Mengapa tidak?

Terengganu mempunyai penyerang tiga serangai iaitu 2 Abdul + 1A (Abdul Manaf Mamat, Abdul Hadi Yahya dan Ashaari Shamsudin) selain tendangan berbisa Joseph Kallang Ti.

Selain itu jangan lupa dengan Ahmad Nordin Alias berusia 26 tahun yang menjaringkan gol kemenangan Terengganu ketika menentang Kelantan bagi membawa pulang Piala FA.

Malah seorang lagi pemain, iaitu Ismail Faruqi Asha'ri walaupun mungkin hanya menjadi pemain gantian juga amat berpotensi menghasilkan gol.

Pada ketika peminat bolasepak memperkatakan mengenai 'Tandukan Bersiri' Hairuddin Omar yang menjadi ketua peledak Negeri Sembilan selain pemain sayapnya Shahurain Abu Samah, pertahanan Hoben Jang Hoben ternyata begitu bimbang dengan empat pemain Terengganu yang mampu menjaringkan gol walau dari arah mana sekali pun.

Tonggak pertahanan Negeri Sembilan Norhafiz Zamani Misbah dengan gandingannya di benteng pertahanan Hoben Jang Hoben seperti Aidil Zafuan, Qhairul Anwar Roslani dan Irwan Fadli Idrus bbegitu bimbang dengan ancaman jentera serangan Terengganu yang dilihat antara yang paling ber bahaya pada saingan kali ini.

Malah Aidil Zafuan mahu merantai pergerakan dua penyerang Terengganu, Abdul Manaf t dan Abdul Hadi habis-habisan malam ini.

"Yang paling penting, pergerakan mereka berdua bersama dua lagi tonggak Terengganu, Ashaari (Samsudin) dan Joseph (Kalang Tie) perlu dirantai habis-habisan," kata Aidil.

Abdul Hadi yang baru semusim bersama Terengganu, muncul pemenang Kasut Emas Liga Super musim ini dengan 25 gol, manakala Ashaari Shamsuddin terbukti hebat apabila meraih gelaran yang sama musim lalu.

Abdul Manaf pula tidak boleh dipertikaikan apabila dua jaringannya di Shah Alam dan satu di Kuala Terengganu, sudah cukup untuk menamatkan 'Misi 33' Selangor pada peringkat separuh akhir.

Untuk rekod, Abdul Manaf setakat ini berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan Piala Malaysia, 15 gol dalam Liga Super dan tujuh gol Piala FA.

Dengan Ashaari memiliki kemahiran menggelecek, Abdul Manaf bijak menghidu peluang dan Abdul Hadi tangkas di depan jaringan, ketiga-tiga pemain ini juga diharap mampu merobek pertahanan Negeri Sembilan sebelum membolosi kubu Farizal Marlias.

Ashaari yang lebih banyak beraksi di posisi sayap, dianggap sebagai 'arkitek' dalam pasukan Terengganu menerusi hantaran- hantaran tepat yang kerap dilakukannya.

Bagi Irfan, taktik menyerang membuahkan hasil pada saingan suku akhir menentang Kelantan dan separuh akhir menewaskan Selangor, seterusnya membawa pasukan Terengganu ke final.

“Corak menyerang akan digunakan pada 30 minit awal permainan walaupun saya sedar kedua-dua pasukan bakal beraksi sama pantas dalam perlawanan akhir ini, “katanya selepas sesi latihan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam semalam.

Walaupun demikian, pertahanan Terengganu yang diketuai Marzuki Yusof tidak boleh alpa dengan kelincahan Hairuddin.

Pada edisi 2009, Hairuddin yang dipinjamkan ke Negeri Sembilan lantaran kelabnya ketika itu, T-Team tidak layak beraksi dalam kempen Piala Malaysia, berjaya menjaringkan gol menerusi tandukan menarik, sekali gus mengecewakan Kelantan 3-1 di pentas final.

Ketika menyarung jersi Kelantan musim lalu pula, Hairuddin yang dikenali dengan gelaran 'Hai-O' tiba-tiba bertukar watak menjadi 'api dalam sekam' buat Negeri Sembilan apabila tandukannya berjaya menyamakan kedudukan buat The Red Warriors sebelum jaguh Pantai Timur itu menang 2-1.

Malah, Hairuddin belum kehilangan bisanya musim ini apabila dia berjaya menanduk masuk tiga lagi gol bagi membantu Negeri Sembi- lan mara ke final ketika menentang T-Team dan Felda United dalam aksi suku akhir dan separuh akhir sebelum ini.

Apapun, Terengganu tidak sanggup tunggu lebih lama dan dengan ‘pasukan emas’ edisi kedua selepas 2001, Terengganu mampu melakar sejarah malam ini untuk menambah satu lagi koleksi piala berprestij Liga Malaysia iaitu Piala Malaysia selepas Piala FA 2011.