Thursday, November 29, 2012

UMNO SUDAH BERUBAH, BERSEDIA HADAPI PILIHAN RAYA...

 "Semenjak lebih 50 tahun lalu, parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali temali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif," 
- Datuk Seri Mohd Najib Razak


Umno, parti yang diketuai Datuk Seri Najib Tun Razak sejak Mac 2009, sudah mengalami perubahan sepenuhnya.

Ia kini bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang akan diadakan tahun depan.


Mesej Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri disambut dengan laungan perwakilan parti agar Parlimen dibubar sekarang bagi mendapatkan mandat rakyat.

 "Umno sudah berubah (sepenuhnya)," kata Presiden Umno dan Perdana Menteri ini memulakan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno (AGM) 2012 di Dewan Merdeka hari ini.

Ketika Najib mengajukan soalan sudah bersedia tiga kali, perwakilan dan pemerhati yang membanjiri Dewan Merdeka melaungkan, "bubar, bubar, bubar..."

Dengan senyuman Najib menjawab,"sudah bersedia? Sudah bersedia? Sudah bersedia? Disambut perwakilan "sudah". “Bila? Esok? Tahun depan?," tambah Najib.

Beliau mahu dan yakin Umno akan kembali bersidang di Dewan Merdeka tahun depan dengan membentuk kerajaan.


Pesanan penting Najib ialah pemimpin parti itu yang bakal dinamakan sebagai calon pada pilihan raya akan datang supaya tidak menjadi 'pemimpin bermusim'.

Ini bermakna calon yang dipilih itu hendaklah sentiasa bersikap rendah diri, berwibawa dan bersifat pemimpin sejati.

"Rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihan raya.


"Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di Kuala Lumpur, hari ini.


Menurut Najib lagi, pemimpin Umno perlu sentiasa ikhlas dan bekerja keras demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.


Presiden  UMNO itu juga berpesan, jangan cuba-cuba mahu bereksperimen untuk menukar kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana Barisan Nasional (BN) merupakan parti yang terbukti relevan sepanjang zaman sebagai pilihan utama.

"Semenjak lebih 50 tahun lalu, parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali temali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif," katanya dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno ke-66 di Dewan Merdeka.

Menurut Najib, BN sebagai parti pemerintah pada hari ini sentiasa bergerak ke hadapan dengan pelbagai kaedah demi memenuhi kehendak rakyat.

"Pokoknya kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya," ujar Najib.

Meskipun katanya, jarum-jarum politik pembangkang mencucuk rakyat untuk memberi peluang kepada pembangkang, "ini adalah risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji."

Datuk Seri Najib Razak memberi amaran kepada pembangkang supaya berhenti menggunakan agama untuk memperdaya rakyat dan berjanji UMNO akan terus memperjuangkan Islam di Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden UMNO berkata, parti itu sentiasa tegar dalam memperjuangkan Islam di negara ini.

"Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.

"Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan  mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

"Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.

Najib kemudian menyindir pembangkang yang menabur pelbagai janji manis dalam misi merampas tampuk pemerintahan.

"Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut," kata Najib.

"Kita akan kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat dan kita akan kembali berhimpun di dewan ini tahun depan dengan membentuk kerajaan," kata beliau lagi.

"Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum yang bakal diadakan.

"Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu.

"Beringatlah, Pilihan Raya Umum ke-12 Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik Umno dan Barisan Nasional," kata beliau.

Kata Najib, "apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha."

Mandat Kerajaan Pusat akan berakhir 28 April depan.

Ketika berucap pada sesi Taklimat Presiden kelmarin, Najib dikatakan mengesahkan PRU13, yang sebelum ini.

Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan sebagai "ibu segala pilihan raya", tidak akan diadakan bulan depan.

AGM Umno tahun ini dilihat akan memberi tumpuan dan fokus mendalam ketika seluruh negara bersiap sedia untuk menghadapi PRU13. BN dan Umno, pada tahun 2008, diketuai oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi.