Monday, October 3, 2016

TADBIR URUS NEGARA – JANGAN SAMPAI ORANG BIASA AJAR MENTERI, KERAJAAN...


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed diminta berterus terang mengenai punca sebenar kejatuhan tujuh anak tangga penarafan negara dalam konteks  Daya Saing Global (GCR) 2016-2017.

Laporan terbaru yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini, menyebut Malaysia berada di kedudukan ke-25 daripada 138 ekonomi, turun dari tangga ke-18 tahun lepas tetapi kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun Asia.

Menurut Mustapa,  biarpun kedudukan terbaharu itu mengecewakan, ia sebaliknya mengukuhkan lagi pendirian kerajaan untuk mengambil pendekatan sewajarnya pada kadar lebih pantas dalam usaha mempertingkat daya saing Malaysia.

Selain itu Mustapa juga sewajarnya menjelaskan persoalan ditimbulkan oleh WEF mengenai piawaian urus tadbir serta pencegahan rasuah di Malaysia.

Sebagai anggota kanan Kabinet dan teknokrat dilatih sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad,  Mustapa juga perlu memberikan nasihat yang realistik serta praktikal kepada kerajaan.

Mustapa menyalahkan isu persepsi mengenai perkembangan politik dalam negara serta keadaan ekonomi menjadi sebahagian besar punca penurunan kedudukan Malaysia dalam laporan daya saing global.

Isu itu timbul berikutan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang terus menyebarkan tuduhan tidak berasas.


Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin semalam  menegaskan semua pihak perlu akui bahawa sejak setahun lalu, isu urus tadbir dan rasuah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) muncul sebagai faktor yang mencemarkan nama negara kita di persada antarabangsa.

Beliau turut mendakwa, persekitaran makroekonomi kita juga lebih lemah daripada sebelumnya akibat faktor luaran dan dalaman. “Ini mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi kita jatuh.

Beliau memetik data Jabatan Perangkaan Negara, ekonomi Malaysia yang berkembang pada kadar 4.0 peratus tahun ke tahun pada suku tahun berakhir Jun lalu, berbanding 4.2 peratus dalam suku tahun sebelum itu.

“Sudah lima suku tahun atau 15 bulan berturut-turut, pertumbuhan ekonomi kita merosot. Kenaikan kadar kepenggunaan awam dan pertambahan perbelanjaan kerajaan gagal imbangi kejatuhan eksport,” katanya.

Antara punca kemusykilan ialah amalan sesetengah pelabur asing meminjam modal daripada institusi kewangan tempatan untuk membangunkan projek mereka.

“Bagi kebanyakan kita, apabila kerajaan menghebahkan sekian banyak projek pelaburan asing diluluskan, fahaman kita ialah modal asing mengalir masuk membiayainya.

“Jadi apabila tersiar berita mengatakan syarikat pemaju hartanah Indonesia, Mulia bercadang meminjam RM1.8 bilion daripada bank-bank tempatan bagi membangunkan menara singature di kompleks kewangan TRX, Jalan Tun Razak, kita kehairanan.

“Kemusykilan kita belum terjawab. Sebalik saya mendengar ada percubaan memaksa bank-bank tertentu dalam sektor Bumiputera-Islam untuk memberi pinjaman tersebut walaupun mereka keberatan,” katanya.


A Kadir seterusnya berhujah,  bahawa sebanyak lebih kurang 10 buah syarikat negeri China telah mengumpul modal di negara kita dengan melakukan pengeluaran awam permulaan (IPO). Tetapi harga saham mereka merudum apabila diniagakan di Bursa Malaysia.

Ada yang jatuh melebihi 80 peratus dan mengalami pelbagai masalah berkaitan perakaunan.  

“Sekarang timbul pula kemusykilan baru yang juga melibat isu pelaburan. Pada 28 September lalu, agensi Bernama melaporkan bahawa daya saing global kita merosot tujuh anak tangga dari 18 kepada 25 bagi tahun 2016/17,” tegas A Kadir.

Penarafan ini dikeluarkan oleh WEF yang berpangkalan di Switzerland. WEF diakui sebagai salah sebuah badan bebas yang berwibawa dalam kegiatan menggalakkan kerjasama ekonomi antara sektor awam dan swasta.

Setiap tahun, sejak 2004, ia mengeluarkan laporan bertajuk Global Competitiveness Report yang mengukur daya saing negara-negara di dunia. Satu lagi kegiatannya ialah menganjurkan WEF setiap tahun di Davos, Switzerland.

Ada 12 kriteria yang diambil kira oleh WEF bagi mengukur daya saing sesebuah negara iaitu institusi, prasarana, persekitaran makroekonomi, kesihatan dan pendidikan utama, pendidikan tinggi dan latihan, kecekapan pasaran komoditi, kecekapan pasaran buruh, pembangunan pasaran kewangan, kesediaan teknologi, saiz pasaran, kecanggihan perniagaan dan inovasi.

Mustapa yang memetik pujian oleh WEF, antara lain, menyebut: “Dalam kalangan ekonomi membangun, Malaysia terus mendahului negara-negara serantau dengannya, walaupun mengalami kemerosotan selepas enam tahun kemajuan.”

WEF bagaimanapun menyebut bahawa Malaysia perlu memperbaiki urus tadbir (governance) dan memerangi rasuah.

Mustapa mengatakan adalah penting untuk diambil perhatian bahawa semua negara yang berada di kedudukan di atas Malaysia adalah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Bagi A Kadir pula, di sebalik apa yang dikatakan positif oleh Mustapa,  yang menjadi persoalan sekarang ialah bukan saja penarafan (ranking) kita jatuh tujuh anak tangga.

Tetapi WEF juga mempersoalkan piawaian urus tadbir serta pencegahan rasuah di Malaysia.

Kerana itu, apa jawapan sebenar yang sepatutnya diberitahu kepada rakyat?

Jangan sampai orang biasa yang bukan pegawai tinggi atau Menteri pula yang terpaksa memberikan jawapan yang sebenarnya.

Adalah tidak elok jika Menteri atau kerajaan dilihat cuba 'menyembunyikan sesuatu' dan tiba-tiba ada pula orang biasa yang terpaksa mengajar mereka cara  memberikan jawapan yang telus dan meyakinkan!