Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri
Mustapa Mohamed diminta berterus terang mengenai punca sebenar kejatuhan tujuh
anak tangga penarafan negara dalam konteks
Daya Saing Global (GCR) 2016-2017.
Laporan terbaru yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) baru-baru ini, menyebut Malaysia berada di
kedudukan ke-25 daripada 138 ekonomi, turun dari tangga ke-18 tahun lepas
tetapi kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara
membangun Asia.
Menurut Mustapa, biarpun
kedudukan terbaharu itu mengecewakan, ia sebaliknya mengukuhkan lagi pendirian
kerajaan untuk mengambil pendekatan sewajarnya pada kadar lebih pantas dalam
usaha mempertingkat daya saing Malaysia.
Selain itu Mustapa juga sewajarnya menjelaskan persoalan
ditimbulkan oleh WEF mengenai piawaian urus tadbir serta pencegahan rasuah di
Malaysia.
Sebagai anggota kanan Kabinet dan teknokrat dilatih sejak
zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, Mustapa juga
perlu memberikan nasihat yang realistik serta praktikal kepada kerajaan.
Mustapa menyalahkan isu persepsi mengenai perkembangan
politik dalam negara serta keadaan ekonomi menjadi sebahagian besar punca
penurunan kedudukan Malaysia dalam laporan daya saing global.
Isu itu timbul berikutan tindakan tidak bertanggungjawab
segelintir pihak yang terus menyebarkan tuduhan tidak berasas.
Wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin semalam menegaskan semua pihak perlu akui bahawa sejak
setahun lalu, isu urus tadbir dan rasuah berkaitan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) muncul sebagai faktor yang mencemarkan nama negara kita di persada
antarabangsa.
Beliau turut mendakwa, persekitaran makroekonomi kita
juga lebih lemah daripada sebelumnya akibat faktor luaran dan dalaman. “Ini
mengakibatkan kadar pertumbuhan ekonomi kita jatuh.
Beliau memetik data Jabatan Perangkaan Negara, ekonomi Malaysia
yang berkembang pada kadar 4.0 peratus tahun ke tahun pada suku tahun berakhir
Jun lalu, berbanding 4.2 peratus dalam suku tahun sebelum itu.
“Sudah lima suku tahun atau 15 bulan berturut-turut,
pertumbuhan ekonomi kita merosot. Kenaikan kadar kepenggunaan awam dan
pertambahan perbelanjaan kerajaan gagal imbangi kejatuhan eksport,” katanya.
Antara punca kemusykilan ialah amalan sesetengah pelabur
asing meminjam modal daripada institusi kewangan tempatan untuk membangunkan
projek mereka.
“Bagi kebanyakan kita, apabila kerajaan menghebahkan
sekian banyak projek pelaburan asing diluluskan, fahaman kita ialah modal asing
mengalir masuk membiayainya.
“Jadi apabila tersiar berita mengatakan syarikat pemaju
hartanah Indonesia, Mulia bercadang meminjam RM1.8 bilion daripada bank-bank
tempatan bagi membangunkan menara singature di kompleks kewangan TRX, Jalan Tun
Razak, kita kehairanan.
“Kemusykilan kita belum terjawab. Sebalik saya mendengar
ada percubaan memaksa bank-bank tertentu dalam sektor Bumiputera-Islam untuk
memberi pinjaman tersebut walaupun mereka keberatan,” katanya.
A Kadir seterusnya berhujah, bahawa sebanyak lebih kurang 10 buah syarikat
negeri China telah mengumpul modal di negara kita dengan melakukan pengeluaran
awam permulaan (IPO). Tetapi harga saham mereka merudum apabila diniagakan di
Bursa Malaysia.
Ada yang jatuh melebihi 80 peratus dan mengalami pelbagai
masalah berkaitan perakaunan.
“Sekarang timbul pula kemusykilan baru yang juga melibat
isu pelaburan. Pada 28 September lalu, agensi Bernama
melaporkan bahawa daya saing global kita merosot tujuh anak tangga dari 18
kepada 25 bagi tahun 2016/17,” tegas A Kadir.
Penarafan ini dikeluarkan oleh WEF yang berpangkalan di
Switzerland. WEF diakui sebagai salah sebuah badan bebas yang berwibawa dalam
kegiatan menggalakkan kerjasama ekonomi antara sektor awam dan swasta.
Setiap tahun, sejak 2004, ia mengeluarkan laporan
bertajuk Global Competitiveness Report yang mengukur daya saing negara-negara
di dunia. Satu lagi kegiatannya ialah menganjurkan WEF setiap
tahun di Davos, Switzerland.
Ada 12 kriteria yang diambil kira oleh WEF bagi mengukur
daya saing sesebuah negara iaitu institusi, prasarana, persekitaran
makroekonomi, kesihatan dan pendidikan utama, pendidikan tinggi dan latihan,
kecekapan pasaran komoditi, kecekapan pasaran buruh, pembangunan pasaran
kewangan, kesediaan teknologi, saiz pasaran, kecanggihan perniagaan dan
inovasi.
Mustapa yang memetik pujian oleh WEF, antara lain,
menyebut: “Dalam kalangan ekonomi membangun, Malaysia terus mendahului
negara-negara serantau dengannya, walaupun mengalami kemerosotan selepas enam
tahun kemajuan.”
WEF bagaimanapun menyebut bahawa Malaysia perlu
memperbaiki urus tadbir (governance) dan memerangi rasuah.
Mustapa mengatakan adalah penting untuk diambil perhatian
bahawa semua negara yang berada di kedudukan di atas Malaysia adalah negara
maju dan berpendapatan tinggi.
Bagi A Kadir pula, di sebalik apa yang dikatakan positif
oleh Mustapa, yang menjadi persoalan
sekarang ialah bukan saja penarafan (ranking) kita jatuh tujuh anak tangga.
Tetapi WEF juga mempersoalkan piawaian urus tadbir serta
pencegahan rasuah di Malaysia.
Kerana itu, apa jawapan sebenar yang sepatutnya
diberitahu kepada rakyat?
Jangan sampai orang biasa yang bukan pegawai tinggi atau
Menteri pula yang terpaksa memberikan jawapan yang sebenarnya.
Adalah tidak elok jika Menteri atau kerajaan dilihat cuba 'menyembunyikan sesuatu' dan tiba-tiba ada pula orang biasa yang terpaksa mengajar
mereka cara memberikan jawapan yang
telus dan meyakinkan!
No comments:
Post a Comment