Hujan Lebat yang dijangka melanda Pantai Timur hingga lusa, boleh menyebabkan kawasan rendah dan tebing sungai mungkin dinaiki air.
Membaca berita hujan sederhana dan kadangkala lebat dijangka berlaku di Kelantan,

Antara 1972 - 1974, banjir membawa rezeki kepada saya apabila ketika itu sebagai stringer kepada Berita Harian dan Utusan Malaysia saya boleh membuat rezeki melalui berita dan rencana saya.
Biarpun dibayar dengan harga antara RM15 dan RM20 satu rencana ketika itu tetapi dengan kedudukan saya sebagai pelajar tingkatan lima dan enam, ia sudah cukup lumayan.
Dengan meminjam mesin taip abang saya, Hasbullah Latif dengan dengan galakan daripadanya, saya menghantar berita dan rencana.
Bolehlah saya belanja kawan-kawan makan ‘mi kuah’ (mi sup) di kedai Isa atau teh halia telur puyuh di kedai Salam Nor (Allahyarham) di Taman Serendah Sekebun Bunga (tapak Hotel Riverview di Kota Bharu ketika ini).
Sedikit sebanyak, rakan serumah saya ketika belajar di tingkatan enam di Maktab Adabi Kota Bharu ketika itu Sayuti Mokhtar (kini di RTM), Shamsuddin Abdullah (kini tinggal di Kampung Bakap, Jabi) dan seorang lagi saudara Umar (tidak dapat di kesan di mana beliau berada sekarang) dapat juga merasa rezeki yang begitu besar bagi saya ketika itu.
Selain itu antara ‘kawan minum’ saya yang rapat ketika di Kota Bharu ialah penyair Wadi Leta S.A., Allahyarham Abdul Aziz H.M (guru dan kawan ketika di Maktab Adabi Kota Bharu) serta penyanyi S.M. Buang (juga tidak diketahui di mana beliau kini).
Ketika itu kami antara kumpulan yang disebut sebagai ‘Perenang Malam’ kerana hanya keluar pada sebelah malam, termasuk musim banjir. Antara meraka yang sering menjadi teman perbualan ialah Talib Y.K. (Allahyarham) dan sesekali Norhisham Mustaffa (penyair dan penulis terkenal hingga kini).
Tetapi selepas itu saya tidak banyak merasai kesan banjir besar sejak berhijrah ke Pulau Pinang pada 1970an dan awal 1980an dan di Kuala Lumpur bermula 1983.

Bagaimanapun, tahun lepas saya turut menikmati suasana hujan lebat dan banjir yang tidaklah sebegitu besar apabila menyertai kumpulan yang menyampaikan bantuan kepada orang ramai.
Dan dengan kemungkinan datangnya banjir sekali lagi, biarpun mungkin tidak menjadi mangsa banjir, saya merasakan kerja-kerja membantu dan menyelamat mangsa hendaklah diberikan tumpuan yang sewajarnya.
Harapan ialah kita tidak mahu lagi mendengar suara-suara yang ‘marah’ dan ‘geram’ umpamanya terhadap Perdana Menteri dan Menteri yang berada di luar negara ketika banjir melanda penduduk di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
Saya cukup kagum dengan usaha-usaha yang dijalankan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Kerajaan Pas Negeri Kelantan yang bertungkus-lumus. Kebetulan pula ketika itu

Maka ramailah turun padang untuk bertemu mangsa banjir (pengundi?). Kali ini jika berlaku banjir tidaklah diketahui apakah ‘rezeki masih murah’ atau sebaliknya. Saya berdoa usaha murni ini diteruskan oleh semua pihak kerana ia kerja kebajikan, kerja untuk rakyat.
Saya masih ingat pada 16 Disember 2007, Datuk Shaari Mat Husin ketika itu masih ADUN Gual Periok bersama 11 yang lain melalui detik cemas apabila bot yang membawa mereka hanyut dibawa arus selama hampir lima jam.
Kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 6.30 petang ketika kumpulan itu dalam perjalanan pulang menyampaikan bantuan banjir di Kampung Rahmat dekat Rantau Panjang. Bot berkenaan mengalami kerosakan enjin menyebabkan mereka dihanyutkan arus sejauh lima kilometer. Bot berkenaan beberapa kali nyaris terbalik apabila merempuh pohon-pohon kayu yang dihanyutkan arus.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, itu Azizuddin dan pengendali bot berkenaan, Hashim Mohd Salleh, 55, tercampak sebaik bot itu melanggar kabel merintangi Sungai Nal dekat Kampung Tanjung Kala. Nasib menyebelahi mereka. Kedua-duanya Berjaya berpaut pada bot yang terbalik itu sebelum diselamatkan sebuah lagi bot yang mengekori mereka.
Semalam, semua anggota polis di Kelantan sudah diarahkan berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir.Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II, Amir Hamzah Ibrahim berkata, segala persediaan telah dibuat bagi menyalurkan perkhidmatan dan bantuan terutama di kawasan yang sering membabitkan banyak mangsa.
Jabatan Meteorologi semalam meramalkan hujan sederhana dan kadangkala lebat di Pantai Timur yang bermula semalam akan berlarutan sehingga petang esok dan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah dan tebing sungai.
Jabatan itu menaik taraf amaran hujan lebat daripada peringkat kuning kepada jingga bagi ketiga-tiga negeri itu.
Kawasan yang terlibat di Kelantan termasuk daerah Kota Baharu, Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Kuala Krai.
Di Terengganu, kawasan terlibat termasuk daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang dan Hulu Terengganu dan di Pahang, ia meliputi daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Bera dan Temerloh.
Kerja-kerja menyelamat ini bukan mudah kerana saya sendiri pernah merasainya ketika ‘tersangkut’ (terkandas) ketika perjalanan pulang sewaktu hitch-hike antara Besut- Kuala Lumpur – Kangar pada cuti penggal kedua 1973, di Temerloh.
Akibat banjir besar pada tahun itu, saya terpaksa menumpang di pusat penempatan banjir di salah sebuah kilang papan dekat Temerloh dan bekerja dengan agensi penyelamat antarabangsa.
Kebetulan ketika itu saya terpaksa menunggu rakan hitch-hike, Wan Hussein Wan Hassan (kini pegawai tinggi di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) yang tiba-tiba jatuh demam. Beliau terpaksa di hantar ke Hospital Mentakab untuk hampir dua minggu.
Kebetulan boleh cakap ‘orang putih’ saya diajak untuk mengedarkan selimut banjir dengan menaiki kenderaan ‘amphibia’ ke beberapa pusat penempatan. Bagus juga pengalaman ini kerana inilah kali pertama saya berinteraksi secara dekat dengan ‘Mat-Mat Saleh’ yang slang mereka kadangkala membuatkan saya jadi bingung! Maklumlah yang datang dari Australia dan Britain.
Di akhir perkhidmatan’ saya, dihadiahkan sehelai selimut dan ia menjadi kegemaran emak saya. Selimut ini digunakan emak saya sehinggalah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1978.