Wednesday, July 1, 2009

WAWASAN 2020 TIDAK MUSTAHIL

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia masih boleh mencapai Wawasan 2020 yang diilhamkannya pada 1991 sekiranya ia berubah daripada sebuah negara berorientasikan eksport kos rendah kepada ekonomi kos tinggi yang berasaskan kepada aktiviti ekonomi domestik.

Wawasan 2020 bertujuan meletakkan Malaysia mencapai status sebuah ekonomi maju dan matang menjelang 2020.

Bekas Perdana Menteri itu berkata dengan memulakan "pemikiran yang di luar kebiasaan" ini, kapasiti kuasa beli rakyat juga akan meningkat seperti di kebanyakan negara Eropah yang mempunyai kos ekonomi tinggi namun merupakan sebuah negara maju.

Menurutnya, Malaysia sejak sekian lama bergantung kepada pertumbuhan berorientasikan eksport di mana ia mengeluarkan barangan murah untuk dijual di pasaran dunia.

"Sudah sampai masanya untuk membangunkan negara kita daripada aktiviti perniagaan dalaman. Kita boleh melakukannya sekiranya kerajaan dan sektor swasta bekerjasama membangunkan sebuah ekonomi baharu yang berasaskan kepada pertumbuhan domestik dan kurang bergantung kepada eksport," katanya.

"Oleh itu ada harapan untuk mencapai wawasan 2020 sekiranya kita semua berganding bahu," katanya dalam ucap tama beliau bertajuk "Vision 2020, is it a mission possible? 1Malaysia, is it the driving force", di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Dr Mahathir juga melancarkan Siri Syarahan Tun Dr Mahathir-The BrandLaureate Asia Pacific Brands Foundation (APBF).

Siri Syarahan The BrandLaureate itu menampilkan personaliti jenama -- tokoh terkemuka dari Malaysia dan antarabangsa yang dianugerahkan BrandLaureate Hall of Fame Award dan BrandLaureate Brand Personality Award.

Dalam ucapan beliau, Dr Mahathir menjelaskan kebanyakan negara Eropah merupakan negara kos tinggi namun sebuah negara maju dengan pendapatan perkapita yang lebih tinggi.

Dalam kes Jepun, beliau berkata kuasa ekonomi besar itu merupakan sebuah negara dengan kos yang sangat tinggi tetapi berkembang maju.

"Kita perlu membangunkan kapasiti kuasa beli rakyat kita dan mengembangkan ekonomi kita menerusi aktiviti ekonomi domestik," katanya.

Dr Mahathir berkata dalam sebuah ekonomi berorientasikan domestik kos tinggi, margin keuntungan tinggi kerana lebih ramai orang boleh membeli barangan dan perkhidmatan dan kuasa beli rakyat juga tinggi.

Semasa menjawab soalan daripada para peserta kemudiannya, Dr Mahathir berkata Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengetahuan dan penemuan-penemuan baharu juga mustahak untuk membantu negara mencapai Wawasan 2020.

"Dengan Belajar Bahasa Inggeris tidak bermakna anda akan menjadi orang Inggeris," katanya.

Pada majlis hari ini, Dr Mahathir dianugerahkan "The Father of Vision 2020" oleh APBF.

DUA ANGGOTA TERIMA ANUGERAH INTEGRITI

Ini adalah antara contoh yang patut diketegahkan. Walaupun setengah juta ringgit cuba disuap, mereka menolaknya.

Selain menolak suapan, dua anggota polis ini turut membantu memerangi penyebaran syabu yang kesannya bukan kecil, khususnya kepada anak-anak muda.

Dengan menolak rasuah, mereka ini menjayakan satu operasi penting polis yang ternyata menjadi kebangaan kita seluruh rakyat Malaysia.

Syabas. Perkara baik seperti ini perlu dihebahkan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewajarnya memikirkan ‘habuan’ untuk mereka kerana memberikan perkhidmatan sebegini. Bukan mudah dan bukan selalunya kejadian seperti ini berlaku!

Dengan kata lain, bukan ramai kakitangan yang cekap selain amanah seperti ini.

Kerana adanya sikap ‘bersih dan amanah’ dua anggota polis yang menolak rasuah lebih setengah juta ringgit daripada dua pengedar dadah bagi mengelak 480 bungkusan syabu bernilai RM280 juta dirampas pada Mei lalu, dianugerahkan Anugerah Integriti hari ini.

Detektif Koperal Mohd Surani Sarbini, 44, dan Lans Koperal Mohd Tarmazi Arbayee, 25, juga dinaikkan pangkat masing-masing kepada Detektif Sarjan dan Koperal atas kejayaan terbesar dalam sejarah PDRM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyampaikan anugerah berkenaan kepada kedua-dua anggota polis itu dalam satu upacara selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Bangunan Parlimen di sini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pada kejadian 2 Mei lalu, Mohd Surani dan Mohd Tarmazi yang dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Cenderawasih, Rompin, Pahang pada jam 6.45 pagi, ternampak sebuah lori yang mencurigakan lalu memeriksa dan mendapati lori itu membawa muatan 96 kotak serta 480 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu.

Kedua-dua anggota polis itu bertindak menahan dua suspek lelaki yang kemudiannya menawarkan suapan rasuah sebanyak RM10,000 dan berjanji akan menyerahkan lagi RM500,000 sebagai ganjaran membebaskan mereka.

Musa, ketika ditemui pemberita, berharap masyarakat tidak memberikan rasuah kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa kerana mereka boleh dikenakan hukuman berat.

"Saya minta masyarakat janganlah beri rasuah, kalau hadapi apa-apa masalah terimalah masalah tetapi jangan merasuah kepada pegawai kerajaan kerana kita mempunyai kuasa untuk menangkap kalau orang memberi rasuah," katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada kedua-dua anggotanya itu serta berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengiktirafan itu.

"Saya rasa gembira dan rasa bahawa pegawai dan anggota bawahan saya telah melakukan tugas dengan baik. Alhamdulillah apa yang selama ini saya utarakan untuk membetulkan pasukan polis supaya anggota dan para pegawai mempunyai integriti yang tinggi berhasil," katanya.

Tahniah untuk PDRM dan carilah seberapa ramai lagi kakitangan seperti ini.

SIAPA PUAKA - ROSMAH ATAU SISWA?

Kenapa sampai jadi begini?

Memalukan Universiti Malaya (UM) sebagai universiti tertua di Malaysia.

Seorang pegawai Universiti Malaya berkata semalam. pihaknya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan.

Apa nak jadi dengan mahasiswa sekarang? Apakah tindakan ini boleh dianggap wajar oleh seseorang pelajar universiti atau yang bergelar siswa?

Terorkah sangat mereka ini? Siapa mengajar mereka menjadi ‘kurang ajar’ sedemikian? Pensyarah universiti? Naib Canselor? Atau si Raja Demostrasi tu?

Menconteng dinding dengan perkataan seperti “C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" bukan sahaja tidak wajar sebaliknya perbuatan hina selain menulis di dinding itu sendiri sewajarnya bukan perbuatan mereka yang bergelar siswa.

Bukan itu sahaja, selain menconteng, mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani merah yang bakal dilalui oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagus sangatkah siswa ini? Bijak sangatkah mereka ini? Dari fakulti mana mereka ini? Kejuruteraan? Sains? Atau apa? Akademi Islam? Oh my God!

Menurut laporan Malaysiakini, gara-gara didakwa menconteng perkataan- perkataan "C4", "bini puaka" dan "pembunuh Altantuya" di dinding dewan sebelum kedatangan isteri Perdana Menteri itu, dua pelajar Universiti Malaya dihadapkan ke mahkamah semalam.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.

Selain menconteng, mereka juga dituduh menyimbah petrol di permaidani merah yang bakal dilalui oleh isteri Datuk Seri Najib Razak.

Rosmah sering diburuk-burukkan dengan label nama wanita Mongolia yang mati dibunuh menggunakan bom plastik C4. Beliau bagaimanapun menafikannya.

Sementara label liar "puaka" dipercayai ada kaitan dengan tiga klip video di internet yang melemparkan pelbagai tuduhan, termasuk melupakan adik angkat dan anak sendiri, selain kampung halamannya.

Rosmah atau Najib setakat ini belum memberikan sebarang ulasan.

Bagaimanapun beberapa laman web pro-Umno menafikannya. Satu laman web mendakwa bercakap dengan Rosmah dan beliau menafikan pernah mengabaikan anaknya Azrene Soraya Abdul Aziz - daripada perkahwinan awal sebelum Najib.

Dua pelajar Akademi Pengajian Islam dihadapkan bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.

Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara. Kesalahan itu juga boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan hakim Rosbiahanim Arifin.

Seorang pegawai penyiasat memberitahu Malaysiakini petang semalam, kedua-dua pelajar itu dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 3 petang semalam.

Kesalahan-kesalahan tersebut dipercayai dilakukan oleh lima orang, termasuk dua menconteng, dua mengawasi kawasan sekeliling sewaktu kejadian dan seorang lagi dianggap dalang perbuatan itu, kata pegawai polis tersebut yang enggan dikenali.

Polis sedang mencari tiga lagi suspek, termasuk presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin.

Mohd Izzuddin ditahan 4 pagi Rabu lalu, hari lawatan wanita pertama negara untuk menutup kempen derma 'Power of 10 Sen: Gaza Dibela' bagi anak-anak Palestin di dewan utama Akademi Pengajian Islam (foto: perkataan telah dipadamkan).

Sementara rakannya Mohd Syahruldeen pula ditahan keesokannya di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, kata pegawai penyiasat itu lagi.

Kedua-dua pelajar kini ditahan di penjara Sungai Buloh sementara diikat jamin RM5,000 setiap seorang esok.

Timbalan pendakwaraya Mazelan Jamaludin asalnya meminta jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh untuk semua pertuduhan, termasuk Seksyen 447 kanun yang sama atau kesalahan menceroboh.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum enam bulan penjara atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Rosbiahanim menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes itu.

SPRM AKAN DEDAH BANYAK KES BESAR

Buktikanlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jangan lagi menggunakan kata-kata ‘akan’ tetapi hasil siasatan yang dituntut rakyat.

SPRM dilaporkan akan mendedahkan beberapa kes besar termasuk yang melibatkan sindiket rasuah tidak lama lagi.

Yang menariknya, enam orang ahli politik turut disiasat yang turut melibatkan politik wang.
Apakah kita berpeluang untuk mengetahui siapa dan sejauh mana politik wang dijalankan oleh mereka.

Jika ada pendakwaan, ia akan menjadi pengajaran. Tetapi kalau SPRM hanya caka-cakap, rakyat akan hilang kepercayaan.

Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah berkata hari ini pendedahan itu penting demi tuntutan rakyat.

"Pendedahan ini penting untuk memenuhi tuntutan rakyat yang hendak melihat keberkesanan peranan SPRM sebagai sebuah Suruhanjaya berintegriti tinggi, selepas dinaik taraf dari Badan Pencegah Rasuah," katanya kepada pemberita pada majlis serah dan terima tugas Pengarah SPRM Kedah, di pejabat SPRM di Alor Setar semalam.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai keskes besar yang sedang dirisik kerana menurutnya SPRM tidak akan mendedahkan sebarang kes tanpa terlebih dahulu mempunyai bukti kukuh.

Timbalan Pengarah SPRM Pulau Pinang, Idrus Jaafar kini menyandang jawatan Pengarah SPRM Kedah, mengambil alih tugas daripada Nooraziah Abdul Manaf yang ditukarkan ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menjawat jawatan baru sebagai Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM.

Mohd Jamidan berkata berkata hasil perisikan yang dibuat berdasarkan maklumat orang ramai, pihaknya telah dapat menembusi sindiket-sindiket tertentu dan mendapati ada kes yang perlu didedahkan.

"Walaupun ada kes yang sukar untuk dibuktikan tetapi SPRM mempunyai sistem, keupayaan, kepakaran dan kebijaksanaan menembusi sindiket terbabit dan dapat mengatasi kebijaksanaan mereka.

"Saya berharap orang ramai akan terus menyalurkan maklumat dan bekerjasama dengan kami bagi membanteras rasuah atau sebarang penyelewengan," katanya.

Menurutnya, menerusi kerjasama orang ramai, SPRM mencapai banyak kejayaan tahun lepas antaranya kes rasuah yang melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, sindiket rasuh yang melibatkan Jabatan Hutan Sabah dan sindiket mencuri besi di Pahang.

Idrus pula berkata enam penjawat awam dalam kumpulan sokongan di Kedah adalah antara 19 orang yang ditahan oleh SPRM sejak Januari lalu yang membabitkan rampasan wang sogokan keseluruhan berjumlah RM20,518.