Tuesday, May 22, 2018

ROYALTI – PAS JANGAN BERSIKAP ‘LEBIH SUDU DARIPADA KUAH’



Sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad mudah lupa atau Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mahu mengambil hati Perdana Menteri - tidaklah dapat dipastikan.

Tetapi yang dapat dipastikan ialah Perdana Menteri pada pertemuan peribadi atau berkumpulan sama ada di Putrajaya atau di Terengganu sebelum ini, tidak pernah menyatakan jika ada royalti minyak untuk kerajaan Terengganu, ia  boleh melebihi 10 peratus.

Malah dalam membentuk Manifesto HARAPAN, Dr Mahathir meminta supaya jangan diletakkan persen atau peratus dalam tuntutan royalti. Perkataan lebih sesuai ialah ‘value equivalent’ atau nilai setimpal.

Maknanya ialah royalti akan dibayar mengikut harga petroleum semasa.

Berikutan itu dengan permintaan HARAPAN Terengganu untuk memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat - menggunakan royalti sebanyak 10 peratus bukan value equivalent - bagi memudahkan rakyat memahami dipersetujui oleh HARAPAN Pusat bahawa 10 peratus adalah nilai paling baik untuk tuntutan royalti di Terengganu.

Jadi persoalannya ialah apakah Timbalan Presiden PAS itu mahu menunjukkan bahawa Dr Mahathir lupa dan ‘nyanyuk’ apabila dipetik sebagai berkata royalti minyak untuk negeri pembangkang – termasuk Terengganu akan dibayar sebanyak  20 peratus?

Sebagai rakyat Terengganu bodohlah saya kalau menolak jika benar Kerajaan Pusat dan Petronas bersedia membayar 20 peratus.

Dr Mahathir pernah menjelaskan dalam pertemuan peribadi dengan beliau di Yayasan Perdana sebelum ini bahawa Putrajaya dan Petronas tidak mampu untuk berbuat sebanyak itu.

Jadi sedikit pelik apabila Timbalan Presiden PAS berkata pada 20 Mei lalu bahawa “Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyambut baik dan penuh syukur di atas kesediaan Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia untuk meneruskan pemberian royalti minyak sebanyak 20 peratus sebagaimana kenyataannya yang terbaru.”

Di manakah Perdana Menteri membuat kenyataan kesediaan untuk memberikan royalty sehingga 20 peratus?

Malah, menurut Tuan Ibrahim, persetujuan itu selaras dengan janji Manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam PRU14 lepas dan disahkan oleh Dr Mahathir..

“Dengan kesediaan YAB Tun M ini, PAS berharap amalan politik balas dendam sebagaimana yang diamalkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu tidak lagi diikuti,” kata beliau.

Bagi PAS, kesediaan (kononnya) terbaharu daripada Dr Mahathir  itu memungkinkan bermulanya era baharu dalam budaya politik secara matang meneruskan momentum menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi contoh di peringkat antarabangsa susulan peralihan kuasa yang damai selepas PRU14.

Persoalannya, apakah hanya kerana ‘dapat royalti minyak sebanyak 20 peratus’ baharu PAS merasakan akan wujud hubungan baru antara kerajaan negeri pimpinan Pusat dengan Putrajaya.

Sedangkan hakikatnya, banyak lagi projek-projek yang dirancang dan sedang dilaksana memerlukan tumpuan Putrajaya dan jika sebaliknya, mungkin projek-projek itu akan tergendala atau dibatalkan terus.


Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu perlu menerima hakikat bahawa kerajaan Posit sejauh sudah menghormati Konsep Federalisme, berlapang dada dan tidak pernah menghukum Terengganu, gara-gara penarikan bayaran royalti dahulu.

Ia bersebab dan nyata, gara-gara kehilangan RM432 juta ketika pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Putrajaya tidak lupa kepada semua peruntukan-peruntukan perkapita lain yang layak diterima oleh Kelantan dan Terengganu.

Malah, PAS sewajarnya tidak terlalu menekan bagaikan  ‘terlebih sudu daripada kuah’ dalam projek-projek sedia ada dan telah  diluluskan melalui Rancangan Malaysia ke-11.

Ini termasuk LPT3, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, lebuhraya jajaran tengah (Central Spine Road) dan juga projek keretapi Pantai Timur (ECRL).

Kerajaan Pusat, sesuai dengan Manifesto HARAPAN, mempunyai hak dan tanggungjawab untuk ditunaikan termasuk kajian semula terhadap ECRL.

Jadi, PAS tidak sewajarnya terlalu ‘laju untuk menasihat atau mencabar Putrajaya’ walaupun dengan kata-kata manis dan pujukan seperti projek ECRL yang kononnya bagi PAS tidak harus dibatalkan tapi dirunding semula kos dan perjanjiannya agar ia menepati piawaian kewangan yang sihat.

Jangan cuba menimbulkan persepsi bahawa Kerajaan Pusat tidak mengamalkan prinsip dan amalan menghormati konsep demokrasi dan Federalisme kerana Dr Mahathir yang pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dan kini mewakili parti berbagai kaum dan fahaman tahu menilai dan menghormati pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan  yang telah dipilih secara demokratik oleh rakyat.

Kita berharap PAS bersabar dan pastinya Putrajaya tidaklah begitu teruk dan zalkim sehingga sanggup untuk mengenepikan peruntukan yang perlu disalurkan  mengikut sistem dan undang-undang sedia ada.

Sunday, May 13, 2018

BIARKAN ‘KATAK PEMBELOT’ JATUH KE LONGKANG, BIARKAN-BIARKAN.......


Bukan mahu mengajar Perdana Menteri atau pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mengenai penghijrahan beramai-ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen ke dalam HARAPAN.

Sekadar mahu mengingatkan bahawa politik di Semenanjung, khususnya di Putrajaya,  bukan seperti apa yang sering berlaku di Sabah.

Juga bukan sekali-kali berniat menghina pemimpin politik di Sabah. Namun isu ‘katak’ - katak kecil atau katak besar di Sabah - hendaknya jangan menjadi ikutan di Semenanjung.

Mungkin bagi negeri seperti Perak dan Kedah, kedatangan dua atau tiga ADUN ke HARAPAN tersangat penting untuk membentuk kerajaan negeri.

Namun untuk membuka pintu penghijrahan beramai-ramai perlu diteliti apakah penghijrahan ADUN atau Ahli Parlimen itu mendatangkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan.

Jaminan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa HARAPAN tidak akan mudah menerima ‘pembelot’ sesuatu yang sangat-sangat dihargai.


Bagi yang bekerja kuat dan bersungguh-sungguh menegakkan ‘bendera HARAPAN’ bagi membolehkan ia mencapai ‘kemenangan luar biasa’ akan kecewa jika ‘pendatang’ diterima dengan begitu mudah.

Apalagi, pendatang dan ‘katak’ yang datang itu bukannya kawan kerana sebelum ini mereka adalah musuh ketat, terutamanya daripada Barisan Nasional yang menyokong kepimpinan kleptokrat.

Bukan mudah untuk melupakan segala pengorbanan sama ada tenaga atau wang ringgit untuk membolehkan HARAPAN menang.

Tiba-tiba berduyun-duyun pula datang meminta ihsan dan menunjukkan tanda sokongan kepada HARAPAN (bekas musuh mereka). Pastinya banyak pihak melihat gerakan nini dengan penuh berhati-hati.

Yand di dalam PKR, DAP, AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pastinya akan memerhati kedatangan mereka itu dengan berhati-hati.

Benar seperti kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (kanan) yang mahukan HARAPAN tidak sewenang-wenangnya menerima wakil rakyat bn yang 'melompat'.

Memang benar pendapat bahawa kemasukan mereka akan menguatkan sokongan kepada HARAPAN.

Namun hakikat yang perlu dinyatakan dengan jelas ialah mereka kini melompat ke ‘bahtera yang sedang belayar megah’, sedangkan bahtera mereka (BN) sudah karam dan tenggelam.

HARAPAN tidak memerlukan pemimpin yang menyokong bekas pemimpin yang membuat banyak kesilapan dalam pengurusan negara – aset, harta, rakyat, pentadbiran dan sebagainya – kerana yang nyata,  yang sedang melompat adalah kumpulan yang baru terjaga daripada tidur mereka.

HARAPAN bertanggungjawab kepada penyokong dan pengundi. Apakah mereka di bawah gembira dengan ‘katak-katak’ berkenaan?

Jangan dikompromikan pembaharian dan hasrat melakukan reformasi dalam banyak perkara membabitkan pentadbiran hanya kerana memerlukan kemasukan ADUN dan Ahli Parlimen BN itu.

Mungkin benar juga apa yang dilakukan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang melalui teknik 'anti lompat parti' yang diperkenalkan pada tahun  2012.

Usaha itu memperuntukkan mana-mana ADUN mesti mengosongkan kerusi jika dia meletak jawatan, dipecat atau berhenti menjadi ahli parti (dengan beberapa pengecualian).

Apapun, dengan jaminan bahawa hanya mereka yang “bebas daripada  sebarang pertuduhan” akan dilayan membawa sedikit kelegaan.

Janji Dr Mahathir juga ialah HARAPAN juga akan mengkaji  setiap satu-satu kes selain penglibatan mereka dalam kerajaan terdahulu.

Soalnya apakah jika bekas Exco menjadi ‘katak’ mereka akan diberikan tempat istimewa seperti sebelumnya?

Rasanya tidak. Dan sekiranya sekadar untuk mencukupkan bilangan bagi membentuk sesebuah kerajaan negeri, mungkin tidak akan menimbulkan masalah untuk menerima mereka.

Cumanya perlu beringat, sekiranya sekali menjadi ‘pembelot’ dia atau mereka mungkin boleh menjadi pembelot sekali lagi. Pastinya jika itu berlaku, pastinya akan menyusahkan HARAPAN.

Jika mahu mengelakkan ia benar-benar berlaku, maka baik dibiarkan ‘katak-katak’ itu melompat ke longkangdaripada jatuh ke halaman kita yang sudahpun terbina dengan indah dan jayanya!

Tuesday, May 8, 2018

APAKAH PENGUNDI MUDA AKAN SOKONG HADI DI PARLIMEN MARANG KALI INI?



Parlimen Marang memiliki lebih 60 peratus pengundi bawah 40 tahun.

Apakah kerana faktor ini calon penyandang Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan golongan muda penting kepada PAS?

Jika demikian, amat nyata Hadi bergantung kepada undi orang muda di Marang untuk membolehkan beliau mempertahankan kerusi berkenaan pada hari pegundian Pilihanraya Umum ke-14 esok..

Namun apakah Hadi seseorang yang wajar dikembalikan semula ke kerusinya?

Persoalannya juga, apakah orang muda yang sedang dilanda berbagai masalah seperti mendapatkan biasiswa untuk melnjutkan pelajaran ke luar negara, pekerjaan, peluang berniaga, mendapatkan rumah dan sebagainya boleh berharap kepada Hadi?

Juga penting, apakah Hadi boleh diharap untuk menyelesaikan masalah pinjaman PTPTN dan institusi pinjaman lain untuk yang berdepan dengan masalah membayar balik hutang melanjutkan pelajaran.

Rakyat bukan sahaja di Marang tetapi seluruh negara juga amat tahu beliau adalah ‘rakan politik’ Perdana Menteri sementara, Najib Razak.


Hadi sangat mesra malah dilihat sangat menyokong Najib dalam banyak perkara – walaupun dalam isu tertentu melibatkan rakyat, beliau diketahui tidak senang dengan Perdana Menteri, banyak kali beliau hanya berdiam diri

 Apakah Hadi benar-benar memainkan peranannya sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat?

Beliau memang dilihat sebagai tokoh, apalagi sebagai Presiden PAS tetapi persoalannya, apakah ada perubahan beliau bawa ke daerah itu sejak menjadi Ahli Parlimen Marang 1990 sehingga 2004?

Kemudian, selepas tewas sekali beliau kembali semula pada 2008 dan menang lagi pada PRU13 dengan majoriti bertambah kepada 5,124 undi.

Sekali lagi apa isu tempatan yang disuarakan oleh beliau?

Sikap beliau yang banyak membisu juga berlaku dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu selaku ADUN Rhu Rendang.

Malah, sikap PAS yang dingin dan dilihat tidak berpihak dalam isu-isu penting di Dewan Rakyat diserlahkan melalui sikap Hadi yang sering tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat.

Diketahui juga bahawa sikap PAS yang jauh berbeza dengan keadaannya ketika Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, turut mempengaruhi rakyat dan penyokong PAS untuk menilai sejauh mana sikap dan pengaruh Hadi.


Bukan suatu rahsia lagi bahawa UMNO sebenarnya tidak begitu berminat untuk meletakkan calonnya di Parlimen Marang.

Dan dikatakan juga – sekiranya diletakkan juga calon BN di parlimen itu, ia hanya sebagai pelengkap.

Dikatakan, jauh di sudut hati Najib, beliau lebih suka sekiranya Hadi menang percuma.

Pada ketika Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif seakanmahu patuh sahaja kepada saranan Najib, ada pihak UMNO di Marang enggan melayan hasrat Najib itu.

Pemimpin UMNO Marang mahu Hadi dilawan seperti biasa dan tiada istilah ‘menang percuma’ untuk Najib.

Persoalannya, apakah calon Parlimen BN untuk Parlimen Marang - Mohamad Nor Endot – hanya calon pelengkap dan sudah bersedia untuk kalah?

Bagi Pakatan Harapan pula, berlaku sedikit kekecohan apabila pemimpin muda Parti Amanah Negara (AMANAH), Miqdad Zakaria tidak dicalonkan.
Penggantinya, Zarawi Sulong (Dr) adalah ahli PKR yang diletakkan oleh  `AMANAH sebagai calon yang menurut pendapat pemimpin politik AMANAH Marang sebagai  tidak berpengaruh berbanding Miqdad.

Jadi, walaupun Hadi dilihat tidaklah sekuat sebelum ini kerana tergantungnya pembentangan undang-undang persendirian RUU355, beliau mempunyai sedikit kelebihan kerana ‘arahan Najib’ dan perselisihan faham antara AMANAH Marang dan kepimpinan AMANAH negeri.

Namun bagi pengundi muda yang diharapkan oleh Hadi untuk menyokongnya, mereka turut mnilai besar manakah sumbangan Hadi kepada perbahasan dan  pembuaan dasar dan undang-undang di Dewan Rakyat, selain sumbangan beliau kepada anak muda di Parlimen Marang?

Sekiranya mereka merasakan Hadi hanya menjadi ‘boneka’ di Dewan Rakyat seperti sebelum ini apabila beliau jrang hadir persidangan, seperti juga pada persidangan DUN Terengganu, wajarkah beliau dipiih semula?

Apakah cukup dengan ‘rapatnya beliau dengan Najib’ untuk melayakkan beiiu dipilih sebagai ahli Parlimen sekali lagi?