Saturday, November 22, 2008

WANITA UMNO PUN PANDAI ‘MAIN BELAKANG’

Depan lain, belakang lain. Depan kata tidak mahu bertanding, belakang lain pula jadinya.

Itulah kalau sudah pandai ‘main belakang’. Akan makin panas dan berapilah Wanita UMNO yang dulunya menjadi sebuah pergerakan yang ‘cool’ dan sering menjadi rujukan sebagai ketenteraman dalam UMNO.

Selalunya Pergerakan Pemuda UMNO yang berasap-asap kerana ada sahaja pertandingan merebut Ketua Pemuda.

Ada kawan saya berkata, Tan Sri Rafidah Abdul Aziz, 56, akan tergolek sekali lagi kali ini dan jatuh ‘bagai nangka busuk’ (ambil istilah Datuk Seri Rais Yatim).

Nanti dulu, kata saya. Bertenang!

Semua kena ingat, Rafidah biar berumur sedikit tua berbanding Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, tetapi bukan calang-calang pemimpin. Sebagai orang yang pernah kalah dalam pertandingan, ‘Kak Fidah’ tidak hairan kalau terjunam pun.

Dia tidak akan rugi apa-apa. Shahrizat mungkin lebih merasa sakitnya kalau kalah.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menerajui Wanita UMNO sejak 1984 kecuali satu penggal berikutan kekalahannya kepada Datuk Seri Dr. Siti Zaharah Sulaiman pada pemilihan parti 1996 dan pastinya sudah tahu bagaimana peritnya apabila kalah dan dimalukan sedemikian.

Pada Ogos lalu, Rafidah mengumumkan akan menyerahkan jawatannya kepada Shahrizat melalui satu pelan peralihan yang dijadualkan pada Jun 2009.

Orang yang sudah merasai kalah dan menang tidak jadi soal lagi baginya dalam sebarang pertandingan. Namun bagi Shahrizat, pertandingan untuk jawatan no 1 Wanita UMNO ini adalah debut baginya, dia boleh menggeletar sampai ke tumit.

Bagaimana agaknya rupa Shahrizat kalau menggeletar ya?

Mengenai beliau akan ‘dilanggar’ Rafidah berkata: "Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan:

a) bahawa beliau tidak akan bertanding Jawatan Ketua walaupun dicalonkan;

b) beliau patuh kepada pelan peralihan;


c) beliau patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti; dan d) bahkan beliau telah menyatakan bahawa "kata akan dikota" dan "my word is my honour." (semuanya telah disiar dalam media)"

Jelas sekali sejak tiada jawatan, Rafidah tidak lagi boleh kawal Wanita UMNO. Shahrizat pun tidak ada jawatan tetapi kerana menjadi ‘orang penting” Perdana Menteri, dia mempunyai kelebihan.

Semalam, Kak Fidah melepaskan apa yang terbuku di hati: “Saya kecewa kerana pelan peralihan telah dipertikai dan ditolak lebih daripada tiga bulan selepas saya mengumumkannya pada 4 Ogos 2008.

“Semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam Exco Wanita atau di luar yang telah mempertikaikannya. Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri sama ada empat mata atau pun dalam mesyuarat Exco dan dalam sidang media telah berkali-kali menegaskan, beliau tidak akan bertanding jawatan Ketua walaupun dicalonkan,” katanya.

Oleh kerana bukan Menteri dan hanya Ahli Parlimen Kuala Kangsar , kenyataan media tulisan tangannya sendiri di atas memo Ahli Parlimen sahaja.

“Saya memulangkan kepada para perwakilan, yang mewakili akar umbi, untuk menentukan pemimpin yang mereka mahu untuk tempoh 2009-2011 itu,” katanya dalam kenyataan setebal 11 muka surat.

Rafidah berkata, beliau menghargai dan menghormati pencalonan yang diterimanya daripada 117 bahagian Umno.

Itulah nasib apabila pemimpin tidak lagi di kelilingi ramai orang. Yang dulu sangat rapat dan hari-hari duduk bawah dagu pun agaknya dah duduk jauh-jauh sambil memerhati .

Katanya Rafidah lagi: “Jika dalam mana-mana perbincangan ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah. Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua,” katanya.

“My word is my honour”? tidak ada lagi dalam UMNO. Kalau ini ada tidak akan berlaku politik wang yang gila-gila. Kini ahli UMNO pergi kepada yang paling banyak bagi duit biarpun sudah berjanji sebelumnya dengan seseorang yang lain.

Sebenarnya cerita setuju atau berjanji ini sudah tidak boleh pakai lagi dalam, UMNO.

Dulu pun ada orang berjanji dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak membatalkan projek-projek yang dipersetujui bersama.

Kemudian dia langgar perjanjian dengan membatalkan projek Jambatan Bengkok dan juga laluan dua trek ke Ipoh dan banyak lagilah.

Orang kata ikan akan buruk di kepala terlebih dahulu dan kini belang ahli UMNO semakin jelas.

Nampaknya budaya tidak tunai janji dan ingkar janji semakin dibudayakan dalam UMNO dan tiada lagi setiakawan seperti UMNO sebelum ini.

Apa nak buat, apabila budaya sedemikian diterapkan terpaksalah terima Kak Fidah oiii….

Betul juga kata Rafidah “jika ada mana-mana pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan maka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab wajar dibangkitkan dan dibantah.”

Dan apabila tiada bantahan ia bermakna setuju.

Tiba-tiba ada yang mengatakan pencalonan kerana dipaksa dan sebagainya. Apakah pemimpin Wanita UMNO yang sesetengahnya dah nenek tidak faham atau tidak tahu bermain politik?

Tidak setuju kata tidak setuju awal-awal. Budaya UMNO sepatutnya tidak ada perbuatan ‘cakap belakang’ dan ‘main belakang’.

Benar 100 peratus jika Rafidah menyuarakan pendapatnya bahawa “Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan maka pasti Exco akan membatalkan sahaja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan Bahagian-Bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahukan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua.”

Apa nak buat nasi bukan sahaja tidak menjadi bubur tetapi dah basi.Masing-masing kena pandailah bawa diri.

Presiden UMN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya boleh berharap kedua-dua pihak - Rafidah dan Shahrizat - dapat mengelak daripada bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno, pada pemilihan Mac depan.

Abdullah yang juga Perdana Menteri berharap, jika kedua-dua calon terbabit mahu bertanding juga, bertandinglah mengikut amalan demokrasi serta memastikan tiada perpecahan pada sayap parti itu.

Yang pening nanti ialah Presiden UMNO yang baru kerana yang lama boleh ‘cuci tangan’ selepas Mac 2009.

Seruan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Wanita UMNO merapatkan semula perpaduan sayap kanan parti itu selepas selesai pemilihan Ketua Wanita UMNO pada Mac depan, belum pasti akan dihormati atau dipatuhi.

Takut “ya “ di depan dan Najib sebagai Presiden UMNO selepas ini pun ‘kena main belakang’ oleh Wanita UMNO.

SHAFIE BIMBANG SIKAP PULAU PINANG

Bandar Bordeaux di Perancis yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan BangsaBangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia pada 2007 tetapi telah kehilangan status itu tahun ini berikutan pembinaan jambatan Pertuis di bandar itu.

Kerana itu Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata kelmarin, beliau bimbang UNESCO mungkin menarik balik pengiktirafan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia.

Ini jika garis panduan yang ditetapkan berhubung dengan pembangunan kawasan itu tidak dipatuhi.

Kebimbangan ini disuarakan ketika majlis penting penyerahan watikah pengisytiharan Melaka dan Georgetown sebagai tapak warisan dunia akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam esok.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan menyempurnakan majlis tersebut yang akan bermula pada pukul 7.45 malam.

Pengiktirafan UNESCO itu adalah kali pertama ke atas tapak warisan di negara ini di bawah kategori kebudayaan,

Upacara penerimaan plak dan watikah pengiktirafan daripada pihak UNESCO kepada kerajaan Malaysia akan diadakan dengan penuh adat istiadat kerajaan Melayu lama termasuk perarakan bergajah dan berkuda.

Laporan Bernama baru-baru ini menyebut, turut diadakan perarakan dan persembahan kebudayaan dengan penyertaan masyarakat berbilang-bilang kaum dan budaya seperti perarakan Baba Nyonya, Chetti, Portugis, Chingay dan lain-lain.

Ia bagi menonjolkan nilai warisan yang terdapat di kedua-dua negeri terbabit terutama di kawasan yang diiktiraf sebagi warisan dunia oleh UNESCO.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata sebelum ini bahawa kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan empat hotel baru yang melebihi ketinggian yang ditetapkan oleh UNESCO.

Guan Eng mendakwa, pihaknya tidak boleh menarik balik projek pembinaan hotel tersebut kerana pemaju akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerana itu terpaksa berhadapan dengan kehilangan status yang diberikan UNESCO itu.

Jelas ada kewajarannya jika Shafie bimbang terhadap kemungkinan itu.
Shafie berkata, pihaknya tidak boleh berkompromi untuk kehilangan status itu kerana jika ia berlaku, akan menyukarkan kerajaan memohon pengiktirafan untuk tempat lain.

Berkaitan ini, ada wajarnya juga jika Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut bimbang tindakan Guan Eng itu akan menjejaskan Melaka Bandar Bersejarah yang turut diisytiharkan sebagai tapak warisan dunia.

Bagaimanapun, Guan Eng menepis pandangan Mohd Ali dengan mengatakan Melaka juga mengadakan pembinaan dalam zon tapak apabila meluluskan projek Menara Taming Sari setinggi 110 meter.

Mohd. Ali berkata minggu lau, sejak 18 April hingga 31 Oktober lalu sahaja, RM2.5 juta berjaya diperoleh daripada lebih 300,000 pengunjung yang mengunjungi menara berputar setinggi 110 meter itu.

Menurut beliau, bulan Oktober sahaja pihak pengurusan menara tersebut berjaya mengutip RM414,880 daripada sejumlah 52,770 orang yang mengunjunginya.

Beliau percaya jika ia diambil kira dalam masa setahun, ia mampu meraih kutipan sehingga RM4 juta. Manakala janji mereka untuk membayar balik hutang kepada kerajaan negeri RM1.2 juta setahun.

Mengulas lanjut, Mohd Ali berkata: “Penang perlu sedar tindakan mereka akan member kesan. Apa juga tindakan Penang akan memberikan kesan kepada Melaka,’ katanya.

“Bagaimana dia (Guan Eng) boleh mengatakan panduan atau guideline tidak menyatakan secara jelas mengenai tapak warisan apabila Guan Eng sendiri dari Melaka. Dia serta isteri membantah terhadap kita (kerajaan negeri) apabila usaha dilakukan untuk mendapatkan status berkenaan?” tanya Mohd Ali.

Katanya, usaha mendapatkan pengiktirafan itu mengambil masa selama lapan tahun.

Apapun, Shafie berkata pihaknya akan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan Pulau Pinang minggu depan.

Mesyuarat dengan Kerajaan Pulau Pinang untuk melihat semula projek-projek pembinaan hotel yang telah diluluskan sebelum Georgetown diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO.

PEMPENA TIDAK GUNA ‘WANG RAKYAT’?

(ISU SABTU)

Jika diIkutkan laporan oleh firma audit PricewaterhouseCoopers Capital Sdn Bhd (PwC Capital),pada Jun 2008, kumpulan syarikat Pempena sudah melaburkan RM54.4 juta dalam 24 syarikat dan hanya empat yang mendatangkan keuntungan.

Berasaskan laporan PwC Capital itu, ia turut mendedahkan bahawa enam syarikat daripada 24 syarikat yang melabur didalam kumpulan Pampena tidak memiliki maklumat kewangan dan 3 syarikat lagi hanya memiliki separuh maklumat kewangan.PWC .

Berikutan itu ia mencadangkan syarikat ini menarik diri daripada syarikat-syarikat berkenaan yang akan menyebabkan kerugian hampir RM20 juta.

Juga disiasat ialah pelaburan Pempena sebanyak RM18.3 juta dalam projek teksi mewah - Executive Taxi Services (Pets), yang hanya merekodkan pendapatan sekitar RM369,000 pada Jun tahun ini.

Ia juga merekodkan kerugian sebanyak RM7.8 juta.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata di London pada 11 November lalu, Kementerian Pelancongan akan mengambil tindakan tegas atau sebaliknya terhadap Pempena Sdn. Bhd. selepas menerima laporan penuh berhubung dakwaan pembabitannya dalam pelaburan yang diragui.

Menterinya, berkata, beliau juga akan bersemuka dengan wakil-wakil daripada 20 anak syarikat di bawah kelolaan Pempena. Pertemuan itu penting bagi mendapatkan penjelasan atau tunjuk sebab berhubung laporan firma audit PwC Capital yang mendakwa Pempena terbabit dalam pelaburan yang diragui.

Seseorang yang menamakan dirinya painah (jurucakap Pempena atau siapa?) kelmarin memberikan respon melalui komen kepada posting 18 November 2008 bertajuk, “Pempena-Angkara Siapa?”

Menurut Painah, selepas memanggil kesemua individu yang terlibat secara langsung dalam kes ini dan setelah dilakukan siasatan terperinci bahawasanya tiada unsur rasuah atau penyalahgunaan wang rakyat.

Katanya, tiada sesiapa yang akan di dakwa kerana ‘penyelewengan’ ini.

Dan beliau dimaklumkan bahawa lapan laporan polis terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat terbabit.

Mereka menuduh Kit Siang cuba melakukan fitnah dengan tujuan untuk memalukan mereka, Kementerian Pelancongan dan kerajaan Malaysia.

“Saya menyeru agar pihak polis akan melakukan siasatan segera lagi maha terperinci bagi mengembalikan maruan mereka yang telah dituduh.

Ini adalah laporan awal siasatan dan selepas siasatan telah 100% selesai kita akan mengadakan satu sidang akhbar tergempar,” kata pengirim berkenaan.

Namun di sebalik kata-kata painah ini, saya agak kehairanan kerana The Star yang membawa tajuk ‘Pempena probe has Azalina fuming’, semalam melaporkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku kepada kumpulan syarikat Pempena.

Beliau turut membidas pelaburan yang tidak menguntungkan, dan bagaimana painah boleh mengatakan bahawa Kit Siang cuba memalukan kementerian berkenaan.

Jika rugi akibat pelaburan tidak menguntungkan ia bukan soal memalukan siapa tetapi menjadi tanggungjawab syarikat itu untuk memulih dan memulangkan pelaburan kerajaan kepadanya.

Malah Azalina sendiri bertegas bahawa kementerian perlu mendapatkan semula wang dibelanjakan kalaupun terpaksa menjual saham syarikat berkenaan atau tutup terus.

Dengan nada tegas beliau menekankan” Pempena sperlu ditutup jika ia tidak mampu melabur secara berhemah. Jika ia gagal, ia gagal. Kemudian kita akan memulakannya semula dan menguruskannya,” katanya.

Lebih jelas Azalina berkata adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memulangkan pelaburan sebelum ini jika gagal menghasilkan keuntungan seperti dijanjikan.

Beliau juga hairan dengan jawapan dan kenyataan pihak tertentu dengan mengatakan yang diberikan itu adalah duit kerajaan (pelaburan) dan ‘kenapa patut kami ambil berat’, seolah-olah menunjukkan kerajaan terikat untuk melabur dengan mereka.

“Adalah dikesalkan kerana jelas tidak ada yang mahu ambil tahu. Bagaimana boleh tidak diambil tahu sedangkan ia adalah duit rakyat?” tanya Azalina.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh PwC Capital, Pampena melabur RM54 juta daripada Mac 1977 hingga November 2007 dan terlibat dalam projek-projek yang boleh dipersoalkan dan tidak sepatutnya dibuat.

Katanya sebanyak RM30 juta peruntukan kerajaan telah diagihkan kepada Pampena untuk mempromosikan Malaysia melalui makanan di luar negeri.

“Sehingga 15 Oktober lalu, RM9.1 juta telah dibelanjakan dan bakinya sebanyak RM0.9 juta akan dibelanjakan sehingga akhir tahun depan.

“Manakala bakinya sebanyak RM20 juta masih ada di Kementerian untuk tahun 2009 dan 2010.”kata Azalina di Parlimen ketika menjawab soalan Wakil Ipoh Timur, Lim Kit Siang di Parlimen baru-baru ini.Isu ini bermula pada 24 Mac 2008 lalu apabila aduan dibuat oleh kakitangan Pempena kepada Azalina melalui satu memorandum.

Antara aduan ialah tatacara pengambilan pekerja dan pengurusan pekerja yang berkecamuk, dakwaan wujudnya penipuan dan kronisme serta ada gaji pekerja tidak dibayar berbulan-bulan.

Turut menghairankan, semalam Pengerusi Eksekutif Pempena, Datin Paduka Chew Mei Fun Chew menganggap semua itu sebagai ‘surat layang bertujuan memfitnah’.

Chew mempertahankan kenyataannya apabila diberitahu bahawa ia ditandatangan oleh 20 kakitangan syarikat dan salinan dihantar kepada empat ahli lembaga pengarah Pempena selain 11 pengarah Lembaga Pelancongan Malaysia.

Lebih jauh beliau menafikan kenyataan Kit Siang bahawa Pempena memerlukan tambahan RM5 juta untuknya bernafas.

Kelmarin, Kit Siang turut membuat laporan polis mendakwa berlakunya pecah amanah, pembohongan dan penyalahgunaan kuasa oleh kementerian dan syarikat Pempena.
Antara anak syarikat yang terletak di bawah Pempena ialah Malaysia Kitchen, Biro Nation Travel, PEPS dan Restoran Awana Chelsea.

Restoran Awana Chelsea disahkan berjaya menguruskan kewangan dengan baik.
Antara restoran yang disenaraikan di bawah kelolaan Malaysia Kitchen termasuk Awana Chelsea, Champor-Champor di London, Bunga Raya di Weisbaden, Germany; Banana Leaf di Helsinki; Malakka di Rotterdam dan China Garden di Moscow.

Sehingga kini beberapa anak syarikat Pempena termasuk Malaysia Kitchen disiasat Badan Pencegah Rasuah.

Cuma yang menghairankan ialah kenapa menteri sebelum ini mengunci mulut rapat-rapat seolah-olah perkara yang berlaku ini tidak ada kena mengena dengannya.

Atau apakah wartawan belum menggerudi beliau kerana ketika ini sibuk mengurus dan mentadbir pemilihan UMNO?

UMNO TANAH MERAH YANG ‘BERDARAH’

Bahagian Kedua

Tunggu, ada perkembangan menarik mengenai isu Bahagian UMNO Tanah Merah yang semakin ‘berdarah’.

1. Kelmarin Mahkamah Tinggi Kota Bharu menangguhkan kes rayuan 32 ahli yang disekat menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah dan akan didengar pada 3 Disember 2008.

Ini bermakna mesyuarat perwakilan bahagian akan hanya dibuat selepas tarikah itu, jika kes ini memihak kepada 32 anggota berkenaan.

2. Dilaporkan di kalangan 32 ahli yang dihalang menghadiri mesyuarat itu, 9 (Sembilan) daripadanya dijangka membuat akaun bersumpah bahawa mereka tidak pernah membayar yuran. Jadi siapa yang bayar yuran untuk mereka? Bukankah menjadi syarat atau peraturan dalam UMNO bahawa ahli perlu membayar yuran dengan wang dari saku sendiri.

3. Ahli jawatankuasa Bahagian Umno Tanah Merah, Abdul Rahman Ibrahim yang dipecat daripada Umno akan kembali ke mahkamah. Kali ini ke Mahkamah Rayuan dengan beberapa perkara termasuk:

a. Pertikai tindakan Setiausaha Agung memecat beliau daripada UMNO;

b. Mencabar Perlembagaan UMNO dengan menggunakan Artikel 4 Perlembagaan Malaysia; dan


c. Mencabar keputusan memecatnya sedangkan surat tunjuk sebab kepada Setiasusaha Kerja sudah dihantar dan pemecatan dilakukan sebelum tamatnya tempoh 7 hari yang diberikan untuk menjawab surat tunjuk sebab.

Berkaitan perkara ahli, apakah ada orang ‘mentipu’ Setiausaha Agung dengan maklumat salah – mengatakan 32 ahli membayar yuran dan tidak ada apa yang boleh dipertikaikan. Apakah Setiausaha Agung akan terperangkap kerana maklumat salah?

Juga Setiausaha Agung sudah membuat kenyataan bersifat ‘mengelirukan’ dalam Utusan Malaysia pada apabila mengatakan Abdul Rahman mengemukakan kes di Mahkamah Kota Bharu, sedangkan beliau hanya cuba menghalang 32 ahli UMNO menghadiri mesyuarat perwakilan Bahagian UMNO Tanah Merah – bukan menghalang mesyuarat diadakan.

Tunggu ulasan lebih lanjut...