Showing posts with label Azalina. Show all posts
Showing posts with label Azalina. Show all posts

Monday, May 25, 2009

AZALINA JADI MANGSA?

Kalaulah keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan beliau tidak terlibat dengan rasuah diumumkan sebelum pemilihan UMNO lalu, rasanya Azalina tidak menghadapi masalah ‘tinggi menggunung’ untuk menang.

Mungkin menyedari keadaan inilah Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa SPRM segera menyiapkan siasatan dan jika tiada kes yang membolehkan beliau didakwa, kes berkenaan harus digugurkan segera.
Beliau juga dilaporkan berkata, SPRM dilihat berdiam diri tanpa memberi sebarang alasan terutama selepas selesai Perhimpunan Agung Umno hujung Mac lalu yang menyaksikan beliau tewas dalam merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Apapun, Azalina sendiri sudah merasa lega dan bersyukur selepas disahkan tidak terlibat dengan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Pengerang itu juga berterima kasih kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan kerana menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

"Saya gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana sudah terlepas daripada dugaan ini," demikian lapor Utusan Malaysia kelmarin.

Ke mana haluan Azalina selepas ini?

Hanya cukup sekadar Ahli Parlimen sahaja? Beliau pasti memunyai perancangan sendiri untuk membuat comeback dalam kadar segera.

Beliau tidak boleh terlalu lama ‘menghilangkan diri’.

Sekarang tiada apa lagi perlu dimalu atau disegankan.
Lagipun sumbangannya sebagai Ketua Puteri UMNO sejak merangka penubuhan hinggalah pergerakan itu menjadi kuat, tidak boleh diabaikan. Saya ada menulis mengenai usaha beliau menggerakkan Puteri UMNO dalam buku saya yang diterbitkan pada 2001.

Apa yang pasti, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Pelancongan itu yang dikatakan terbabit dalam rasuah mendapati, tiada kes untuk mendakwa beliau.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap Azalina yang dilengkapkan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati tiada aspek yang membolehkan bekas menteri itu dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, ada kemungkinan pihak lain yang turut terbabit dalam siasatan terhadap kes Azalina yang dikatakan menyalah guna kuasa dan penyelewengan pengagihan projek kementerian itu, boleh dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

"Tiada kes terhadap beliau (Azalina) tetapi ada kemungkinan ia membabitkan orang lain," katanya pada sidang media selepas menutup program Jati Diri Rakan Muda anjuran SPRM, Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Belia dan Sukan, di Pusat Latihan Membakut, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Said enggan mengulas lanjut sama ada pihak lain yang dimaksudkannya itu adalah pegawai Kementerian Pelancongan atau dua pegawai kanan Azalina yang pernah diambil keterangan oleh SPRM berkaitan isu berkenaan Mac lalu.

Siasatan terhadap dakwaan Azalina terbabit dalam rasuah dijalankan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac lalu.

Pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Dua pegawai kanan Azalina turut ditahan SPRM, tetapi dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Bagaimanapun, pada awal April lalu, Azalina menyelar SPRM dengan mendakwa organisasi berkenaan melengahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Ahmad Said pada sidang akhbar di Beaufort, Sabah semalam berkata siasatan SPRM mendapati tiada kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Pengerang itu.

Pada Mac lalu, Azalina disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah melibatkan kementeriannya.
SPRM pada 11 Mac turut menyiasat lapan pegawai kanan Azalina bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO berkata, sepanjang tempoh siasatan kes itu sejak Mac lalu, beliau menumpukan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dengan melawat dan bertemu penduduk di kawasannya.

Sebagai penyokong kerajaan, sudah pasti Azalina kini tidak sabar untuk menghadiri sidang Parlimen pada Jun ini.

Kita akan dapat menyaksikan bagaimana Azalina perform sebagai Ahli Parlimen berbanding sebelum ini sebagai Menteri Belia dan Sukan, selain Menteri Pelancongan.

Friday, March 13, 2009

UJIAN BUAT AZALINA!

Khabar angin sudah bertiup kencang bahawa beberapa pegawai Menteri Perlancongan akan ditahan.

Biarpun semalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak khabar angin beberapa lagi pegawai kanan Kementerian Pelancongan akan ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian tersebut, ‘serangan’ SPRM itu antara terbesar sehingga ini.

Ada dua isu di sini. Pertama, SPRM datang untuk menyiasat dua kes – rasuah politik dan isu pengangihan projek serta Pempena.

Kedua, kes pertama memungkinkan Datuk Seri Azalina Othman Said terlibat. Saya mengatakan mungkin sahaja. Dan dalam kes kedua, pegawai Kementerian Pelancongan dan Azalina juga mungkin terlibat. Sekali lagi perkataan ‘mungkin’ di sini.

Dalam kes kedua ini, jika pegawai-pegawai terlibat, apakah Azalina juga akan terpalit serta Menteri terdahulu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga akan dipanggil selepas ini khususnya dalam kes Pempena?

Jika Tengku Adnan dipanggil, Setiausaha Agung UMNO itu akan terpalit dengan beberapa siri siasatan dan semestinya akan ada pula serangan baru terhadap UMNO.

Nampaknya kementerian ini menjadi tempat di mana ‘rasuah’ dikatakan berlaku agak berleluasa akhir-akhir ini.

Malah, selain kes terbaru ini, sebelum ini pegawai kanan kementerian berkenaan turut dituduh rasuah dan kes masih berjalan di mahkamah.

Ketika ia diterajui oleh Sabarruddin Chik (Tan Sri) dan Michael Toyad (Datuk), ia sunyi sahaja daripada perkara-perkara seperti ini dan program menarik pelancong asing dan kesannya kepada industry pelancongan besar juga.

Namun kini, jelas penggalakkan yang membabitkan kos begitu besar sedangkan jika diambil peratusan kedatangan pelancong asing tidaklah sebesar mana!

Apapun, saya tabik Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said kerana bersedia memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan kementerian itu.

Beliau bagaimanapun mengesahkan setakat ini masih belum dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan.

Sebenarnya tiada jawapan lain lebijh diplomatik yang boleh diberikan dalam kes ini selain mengatakan pihaknya akan memberi sepenuh kerjasama terhadap siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

Sedikit mengelirukan ialah apabila Azalina tidak tahu jumlah sebenar pegawainya yang disoal siasat dan dokumen kementerian yang diambil SPRM.

Apakah pegawai kanan kementerian itu belum memaklumkan kepada Azalina atau mereka cuba menyorok sesuatu daripada beliau.

Semalam dilaporkan lapan pegawai kanan Azalina disiasat oleh SPRM sejak Rabu lalu sehingga semalam bagi membantu siasatan satu kes rasuah.

Semalam sahaja, dua pegawai kanan menteri terbabit diambil keterangan kira-kira sejam oleh tiga pegawai SPRM yang datang ke pejabat kementerian tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 11.30 pagi.

Yang pasti dalam kes rasuah politik, jika Azalina terpalit, ia akan memberikan reputasi buruk kepada Azalina dan UMNO.

Dan kalaupun Azalina terlepas ia tetap menjejaskan sedikit reputasinya akibat siasatan ini lebih-lebih lagi ketika pemilihan UMNO semakin hamper.

Tetapi dalam kes kedua, Azalina menunjukkan beliau serius mengenai isu Pampena dan jika tindakan mampu dikenakan kepada mereka yang terbabit, ia akan melonjakkan namanya.

Pertanyaannya ialah, selepas Azalina tidak lagi menjadi Menteri di kementerian berkenaan, apakah akan ada pula aduan ‘rasuah’ terhadap beliau akibat dasar-dasar yang mungkin merugikan kerajaan?

Saturday, November 22, 2008

PEMPENA TIDAK GUNA ‘WANG RAKYAT’?

(ISU SABTU)

Jika diIkutkan laporan oleh firma audit PricewaterhouseCoopers Capital Sdn Bhd (PwC Capital),pada Jun 2008, kumpulan syarikat Pempena sudah melaburkan RM54.4 juta dalam 24 syarikat dan hanya empat yang mendatangkan keuntungan.

Berasaskan laporan PwC Capital itu, ia turut mendedahkan bahawa enam syarikat daripada 24 syarikat yang melabur didalam kumpulan Pampena tidak memiliki maklumat kewangan dan 3 syarikat lagi hanya memiliki separuh maklumat kewangan.PWC .

Berikutan itu ia mencadangkan syarikat ini menarik diri daripada syarikat-syarikat berkenaan yang akan menyebabkan kerugian hampir RM20 juta.

Juga disiasat ialah pelaburan Pempena sebanyak RM18.3 juta dalam projek teksi mewah - Executive Taxi Services (Pets), yang hanya merekodkan pendapatan sekitar RM369,000 pada Jun tahun ini.

Ia juga merekodkan kerugian sebanyak RM7.8 juta.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata di London pada 11 November lalu, Kementerian Pelancongan akan mengambil tindakan tegas atau sebaliknya terhadap Pempena Sdn. Bhd. selepas menerima laporan penuh berhubung dakwaan pembabitannya dalam pelaburan yang diragui.

Menterinya, berkata, beliau juga akan bersemuka dengan wakil-wakil daripada 20 anak syarikat di bawah kelolaan Pempena. Pertemuan itu penting bagi mendapatkan penjelasan atau tunjuk sebab berhubung laporan firma audit PwC Capital yang mendakwa Pempena terbabit dalam pelaburan yang diragui.

Seseorang yang menamakan dirinya painah (jurucakap Pempena atau siapa?) kelmarin memberikan respon melalui komen kepada posting 18 November 2008 bertajuk, “Pempena-Angkara Siapa?”

Menurut Painah, selepas memanggil kesemua individu yang terlibat secara langsung dalam kes ini dan setelah dilakukan siasatan terperinci bahawasanya tiada unsur rasuah atau penyalahgunaan wang rakyat.

Katanya, tiada sesiapa yang akan di dakwa kerana ‘penyelewengan’ ini.

Dan beliau dimaklumkan bahawa lapan laporan polis terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah dibuat oleh pengarah-pengarah syarikat terbabit.

Mereka menuduh Kit Siang cuba melakukan fitnah dengan tujuan untuk memalukan mereka, Kementerian Pelancongan dan kerajaan Malaysia.

“Saya menyeru agar pihak polis akan melakukan siasatan segera lagi maha terperinci bagi mengembalikan maruan mereka yang telah dituduh.

Ini adalah laporan awal siasatan dan selepas siasatan telah 100% selesai kita akan mengadakan satu sidang akhbar tergempar,” kata pengirim berkenaan.

Namun di sebalik kata-kata painah ini, saya agak kehairanan kerana The Star yang membawa tajuk ‘Pempena probe has Azalina fuming’, semalam melaporkan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said sendiri tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku kepada kumpulan syarikat Pempena.

Beliau turut membidas pelaburan yang tidak menguntungkan, dan bagaimana painah boleh mengatakan bahawa Kit Siang cuba memalukan kementerian berkenaan.

Jika rugi akibat pelaburan tidak menguntungkan ia bukan soal memalukan siapa tetapi menjadi tanggungjawab syarikat itu untuk memulih dan memulangkan pelaburan kerajaan kepadanya.

Malah Azalina sendiri bertegas bahawa kementerian perlu mendapatkan semula wang dibelanjakan kalaupun terpaksa menjual saham syarikat berkenaan atau tutup terus.

Dengan nada tegas beliau menekankan” Pempena sperlu ditutup jika ia tidak mampu melabur secara berhemah. Jika ia gagal, ia gagal. Kemudian kita akan memulakannya semula dan menguruskannya,” katanya.

Lebih jelas Azalina berkata adalah menjadi tanggungjawab syarikat untuk memulangkan pelaburan sebelum ini jika gagal menghasilkan keuntungan seperti dijanjikan.

Beliau juga hairan dengan jawapan dan kenyataan pihak tertentu dengan mengatakan yang diberikan itu adalah duit kerajaan (pelaburan) dan ‘kenapa patut kami ambil berat’, seolah-olah menunjukkan kerajaan terikat untuk melabur dengan mereka.

“Adalah dikesalkan kerana jelas tidak ada yang mahu ambil tahu. Bagaimana boleh tidak diambil tahu sedangkan ia adalah duit rakyat?” tanya Azalina.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh PwC Capital, Pampena melabur RM54 juta daripada Mac 1977 hingga November 2007 dan terlibat dalam projek-projek yang boleh dipersoalkan dan tidak sepatutnya dibuat.

Katanya sebanyak RM30 juta peruntukan kerajaan telah diagihkan kepada Pampena untuk mempromosikan Malaysia melalui makanan di luar negeri.

“Sehingga 15 Oktober lalu, RM9.1 juta telah dibelanjakan dan bakinya sebanyak RM0.9 juta akan dibelanjakan sehingga akhir tahun depan.

“Manakala bakinya sebanyak RM20 juta masih ada di Kementerian untuk tahun 2009 dan 2010.”kata Azalina di Parlimen ketika menjawab soalan Wakil Ipoh Timur, Lim Kit Siang di Parlimen baru-baru ini.Isu ini bermula pada 24 Mac 2008 lalu apabila aduan dibuat oleh kakitangan Pempena kepada Azalina melalui satu memorandum.

Antara aduan ialah tatacara pengambilan pekerja dan pengurusan pekerja yang berkecamuk, dakwaan wujudnya penipuan dan kronisme serta ada gaji pekerja tidak dibayar berbulan-bulan.

Turut menghairankan, semalam Pengerusi Eksekutif Pempena, Datin Paduka Chew Mei Fun Chew menganggap semua itu sebagai ‘surat layang bertujuan memfitnah’.

Chew mempertahankan kenyataannya apabila diberitahu bahawa ia ditandatangan oleh 20 kakitangan syarikat dan salinan dihantar kepada empat ahli lembaga pengarah Pempena selain 11 pengarah Lembaga Pelancongan Malaysia.

Lebih jauh beliau menafikan kenyataan Kit Siang bahawa Pempena memerlukan tambahan RM5 juta untuknya bernafas.

Kelmarin, Kit Siang turut membuat laporan polis mendakwa berlakunya pecah amanah, pembohongan dan penyalahgunaan kuasa oleh kementerian dan syarikat Pempena.
Antara anak syarikat yang terletak di bawah Pempena ialah Malaysia Kitchen, Biro Nation Travel, PEPS dan Restoran Awana Chelsea.

Restoran Awana Chelsea disahkan berjaya menguruskan kewangan dengan baik.
Antara restoran yang disenaraikan di bawah kelolaan Malaysia Kitchen termasuk Awana Chelsea, Champor-Champor di London, Bunga Raya di Weisbaden, Germany; Banana Leaf di Helsinki; Malakka di Rotterdam dan China Garden di Moscow.

Sehingga kini beberapa anak syarikat Pempena termasuk Malaysia Kitchen disiasat Badan Pencegah Rasuah.

Cuma yang menghairankan ialah kenapa menteri sebelum ini mengunci mulut rapat-rapat seolah-olah perkara yang berlaku ini tidak ada kena mengena dengannya.

Atau apakah wartawan belum menggerudi beliau kerana ketika ini sibuk mengurus dan mentadbir pemilihan UMNO?