Monday, May 25, 2009

AZALINA JADI MANGSA?

Kalaulah keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan beliau tidak terlibat dengan rasuah diumumkan sebelum pemilihan UMNO lalu, rasanya Azalina tidak menghadapi masalah ‘tinggi menggunung’ untuk menang.

Mungkin menyedari keadaan inilah Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa SPRM segera menyiapkan siasatan dan jika tiada kes yang membolehkan beliau didakwa, kes berkenaan harus digugurkan segera.
Beliau juga dilaporkan berkata, SPRM dilihat berdiam diri tanpa memberi sebarang alasan terutama selepas selesai Perhimpunan Agung Umno hujung Mac lalu yang menyaksikan beliau tewas dalam merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Apapun, Azalina sendiri sudah merasa lega dan bersyukur selepas disahkan tidak terlibat dengan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Parlimen Pengerang itu juga berterima kasih kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Said Hamdan kerana menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

"Saya gembira dan bersyukur kepada Ilahi kerana sudah terlepas daripada dugaan ini," demikian lapor Utusan Malaysia kelmarin.

Ke mana haluan Azalina selepas ini?

Hanya cukup sekadar Ahli Parlimen sahaja? Beliau pasti memunyai perancangan sendiri untuk membuat comeback dalam kadar segera.

Beliau tidak boleh terlalu lama ‘menghilangkan diri’.

Sekarang tiada apa lagi perlu dimalu atau disegankan.
Lagipun sumbangannya sebagai Ketua Puteri UMNO sejak merangka penubuhan hinggalah pergerakan itu menjadi kuat, tidak boleh diabaikan. Saya ada menulis mengenai usaha beliau menggerakkan Puteri UMNO dalam buku saya yang diterbitkan pada 2001.

Apa yang pasti, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Menteri Pelancongan itu yang dikatakan terbabit dalam rasuah mendapati, tiada kes untuk mendakwa beliau.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan terhadap Azalina yang dilengkapkan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur baru-baru ini mendapati tiada aspek yang membolehkan bekas menteri itu dikaitkan dengan rasuah.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, ada kemungkinan pihak lain yang turut terbabit dalam siasatan terhadap kes Azalina yang dikatakan menyalah guna kuasa dan penyelewengan pengagihan projek kementerian itu, boleh dikaitkan dengan dakwaan terbabit.

"Tiada kes terhadap beliau (Azalina) tetapi ada kemungkinan ia membabitkan orang lain," katanya pada sidang media selepas menutup program Jati Diri Rakan Muda anjuran SPRM, Biro Tatanegara (BTN) dan Jabatan Belia dan Sukan, di Pusat Latihan Membakut, Khamis lalu.

Bagaimanapun, Ahmad Said enggan mengulas lanjut sama ada pihak lain yang dimaksudkannya itu adalah pegawai Kementerian Pelancongan atau dua pegawai kanan Azalina yang pernah diambil keterangan oleh SPRM berkaitan isu berkenaan Mac lalu.

Siasatan terhadap dakwaan Azalina terbabit dalam rasuah dijalankan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak Mac lalu.

Pada 12 Mac lalu, akhbar melaporkan SPRM merampas sejumlah fail dan menyoal siasat beberapa pegawai Kementerian Pelancongan bagi membantu siasatan berhubung rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek kementerian itu.

Dua pegawai kanan Azalina turut ditahan SPRM, tetapi dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Bagaimanapun, pada awal April lalu, Azalina menyelar SPRM dengan mendakwa organisasi berkenaan melengahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Ahmad Said pada sidang akhbar di Beaufort, Sabah semalam berkata siasatan SPRM mendapati tiada kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Pengerang itu.

Pada Mac lalu, Azalina disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah melibatkan kementeriannya.
SPRM pada 11 Mac turut menyiasat lapan pegawai kanan Azalina bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan.

Azalina yang juga bekas Ketua Puteri UMNO berkata, sepanjang tempoh siasatan kes itu sejak Mac lalu, beliau menumpukan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat dengan melawat dan bertemu penduduk di kawasannya.

Sebagai penyokong kerajaan, sudah pasti Azalina kini tidak sabar untuk menghadiri sidang Parlimen pada Jun ini.

Kita akan dapat menyaksikan bagaimana Azalina perform sebagai Ahli Parlimen berbanding sebelum ini sebagai Menteri Belia dan Sukan, selain Menteri Pelancongan.

No comments:

Post a Comment