Wednesday, April 23, 2014

TUKAR MB - KENAPA MELATAH & PALITKAN NAJIB DALAM ISU CALON PRU-13 T'GANU?


"Isunya ialah Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) belum berkata apa-apa mengenai andaian atau spekulasi oleh Awang Selamat dan kolumnis itu pun tidak menyebut secara khusus Ahmad Said. Persoalan ialah kenapakah ada blog dan laman web yang bercakap mempertahankan Ahmad Said?"

Kebanyakan persoalan yang ditimbulkan beberapa blog memperkatakan mengenai perkhabaran bahawa Ahmad Said akan digugurkan berkisar sekitar isu kemerosotan keputusan Pilihanraya Umum ke 13 yang diadakan pada Mei 2013.

Kedatangan tarikh 11 Mei 2014 yang menggenapkan setahun Ahmad Said menjadi Menteri Besar penggal kedua bagaikan sesuatu yang menakutkan kepada banyak pihak, terutmanya penyokong kuat dan yang rapat dengannya.

Tarikh itu seolah-olah suatu mala petaka bagi Ahmad Said, apalagi selepas adanya spekulasi oleh Awang Selamat melalui Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Lebih membimbangkan pihak tertentu yang mahukan Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar ialah adanya cakap-cakap bahawa Ahmad Said pernah menandatangani satu surat kononnya ‘surat meletakkan jawatan dengan tarikh terbuka’ yang boleh diisikan tarikh pada bila-bila masa.

Ia mungkin benar, mungkin tidak. Atau mungkin khabar angina semata-mata!

Dalam mengulas isu penggantian Menteri Besar ini, ada blog yang menimbulkan isu pemilihan calon pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Menurut mereka, Ahmad Said yang dikatakan tidak berkuasa 100 peratus terhadap nama calon yang bertanding pada PRU lalu.

The Selangor Chronicle misalnya menyebut: “Senarai nama-nama calon PRU-13 Terengganu akhirnya menunjukkan bahawa percaturan di Terengganu sebenarnya lebih merugikan berbanding keinginan untuk menguasai negeri tersebut. Perubahan pada saat-saat akhir dan ketiadaan kuasa pada Menteri Besar Terengganu yang merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri, menunjukkan bahawa ada pihak yang masih bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar negeri itu.

Pertelingkahan itu masih berpanjangan sehingga sekarang. Individu berkenaan menggunakan kesempatannya rapat dengan Perdana Menteri untuk 'memberi nasihat' tentang penyingkiran Mat Said yang dikatakan tidak mampu menyatukan UMNO Terengganu.”


Cakap-cakap seperti ini yang menuding kepada seseorang, selain seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu lemah dan berpandukan nasihat seorang individu adalah ‘tidak menggambarkan keadaan sebenar’.

The Unspinners pula menyebut, ketika Ahmad Said bertemu Najib  untuk bincang senarai calon, dia dikatakan membawa calon yang mana telah dijalankan survey dan risikan latarbelakang.

Sebaik sebalik sahaja dia masuk (masuk di mana?), Ahmad Said diberitahu ‘senarai Terengganu tak perlu nak bincang dan sudah siap’.

Maka Ahmad Said tidak dapat buat apa-apa dan pertemuan itu memakan masa 15 minit saja

 “Jika Ahmad Said mahu dikambing hitamkan, ianya satu ketidak adilan kerana bukan dia yang patut dipersalahkan hingga majoriti Terengganu hanya tinggal dua kerusi…” demikian kata blog berkenaan.

Rasional yang diperkatakan The Unspinners itu berasaskan bahawa cadangan calon yang bertanding di Terengganu itu pastinya datang daripada seseorang yang telah menasihati Perdana Menteri dan bukan Perdana Menteri sendiri.

“Harus diingat bahawa PM yang membuat keputusan tentang senarai calon dan bukan Ahmad Said atau Penasihat,” kata The Unspinners.

Malah laman TerengganuToday yang dikenal pasti sebagai laman yang ada kaitan langsung dengan pemimpin tertentu di Terengganu memetik sepenuhnya tulisan The Unspinners mengatakan ‘tindakan menyingkir Ahmad Said kerana keputusan piihanraya umum pun tidak bijak kerana pihak yang mengetahui tahu bahawa salahnya adalah PM dan akan timbul desas desus kata PM pun patut diguguran kerana tidak dapat 2/3 Parlimen dan kekalahan Selangor lebih teruk”.

Kenyataan itu bersifat amaran terhadap Perdana Menteri dengan mengatakan, “ yang buat silap bukan Ahmad Said dan jangan pula Menteri Besar Terengganu dipersalahkan”.

Isunya ialah Najib belum berkata apa-apa dan andaian atau spekulasi oleh Awang Selamat pun tidak menyebut secara khusus nama Ahmad Said. Persoalan ialah kenapakah blog-blog berkenaan bercakap mempertahankan Ahmad Said? 

 
Berkaitan isu calon ini yang andaiannya dibuat secara pukal, baik diteliti secara satu persatu kawasan-kawasan yang kalah, apakah ia kerana Najib.

Pertama – Kuala Terengganu – Parlimen ditandingi Mohd Zuber Embong, DUN Ladang, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, DUN Batu Buruk oleh Datuk Mat Jusoh, DUN Bandar oleh penyandang, Toh Chin Yau dan DUN Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Kedua – Dungun – Parlimen ditandingi oleh Datuk Rosli Mat Hassan, Bukit Besi oleh Roslee Daud, Ajil oleh Ghazali Taib, Rantau Abang oleh penyandang Datuk Za’aba Mohd Adib, Paka oleh Mautulidi Mat Jusoh dan Sura, Zakaria Ali.

Ketiga – Marang - Parlimen oleh Datuk Yahya Khatib, DUN Pengkalan Berangan oleh Abdul Latif Awang, DUN Alor Limbat oleh penyandang, Alias Abdullah, DUN Rhu Rendang oleh Nik Dir Wan Ku dan DUN Bukit Payung, Zaidi Muda.

Keempat - Kuala Nerus – Datuk Nasir Ibrahim Fikri mempertahankan kerusi Perlimen,DUN Bukit Tunggal Ismail Nik, Ahmad Razif Abdul Rahman mempertahankan DUN Seberang Takir, DUN Tepuh Ramli Nuh serta DUN Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said sebagai penyandang.

Kelima - Kuala Berang – Parlimen oleh Datuk Jailani Johari (kanan), DUN Telemong oleh penyandang Rozi Mamat, DUN Kuala Berang oleh penyandang Tengku Putera Tengku Awang dan DUN Manir oleh Yusuf Awang Hitam.

Keenam - Kemaman – Yang berubah hanya di Cukai apabila Datuk Mohd Awang Tera digantikan dengan Datuk Wan Mohd Nizam Wan Abdul Hamid, sebaliknya kalah.

Ketujuh -  Setiu - Semula calon dikatakan ditentukan oleh Ketua Bahagian dan semuanya menang, termasuk calon Ahli Parlimen iaitu Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang kalau mahu dikatakan ‘orang Najib’ pun kita boleh terima.

Calon pilihan Najib yang kesemuanya muka baru, kecuali bekas Ahli Parlimen Datuk Mohd Jidin Shafie (kiri) yang bertanding di DUN Permaisuri, semuanya menang.

Kelapan - Besut - Semua calon adalah orang Datuk Seri Idris Jusoh yang dipersetujui Najib , termasuk Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar di DUN Kuala Besut, Pehemi Yusof (DUN Jerteh) (kanan), Nawi Mohamad penyandang di DUN Hulu Besut dan di DUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, semuanya menang. Idris menang di Parlimen.

Jika dilihat kepada warna biru di atas iaitu calon yang boleh dianggap sebagai calon Najib, berapakah yang kalah? Tidakkah calon pilihan Najib di Besut, Setiu dan Hulu Terengganu semuanya menang?

Sementara calon pilihan Perhubungan UMNO Terengganu (bertanda merah) semuanya kalah, kecuali Roslee Daud, Ghazali Taib dan Abdul Latiff Awang.

Sementara calon tajaan Perhubungan UMNO Terengganu yang mempertahankan jawatan yang menang selain yang kalah di DUN Rantau Abang, DUN Tepoh, DUN Alor Limbat dan DUN Tepuh ialah di DUN Seberang Takir, Kemasik, Ayer Puteh, Telemong dan Kuala Berang.

Jadi kalau mahu membuat andaian mengenai pemilihan calon yang dikatakan ada campur tangan daripada Najib yang dikatakan sebab kalah, rasanya tidak logik sama sekali.

Janganlah mudah untuk menyalahkan Perdana Menteri dalam isu pemilihan calon ini kerana ada calon pilihan Perhubungan UMNO Terengganu yang dicadangkan oleh Ketua Bahagian yang boleh dianggap sudah ‘expired’ pun tetap bertanding. Salah Najib juga?

Sementara ada kawasan yang dicampurtangan oleh Ketua Bahagian dan dipersetujui oleh Perhubungan UMNO Terengganu termasuk di Parlimen mengalami kekalahan. Kesilapan percaturan sebegini pun mahu disalahkan kepada Najib?

Kita berharap Perhubungan UMNO Terengganu kena belajar mengambil tanggungjawab dan bersedia mengatakan kelemahan mereka.

Malah kekalahan di begitu banyak kawasan sepatutnya menyebabkan beberapa orang penting yang menjalankan survey, kajian strategic atau yang bertanggungjawab mencadangkan calon agar  menerima hakikat dan mengundurkan diri. Mereka adalah panglima kalah perang. Di Jepun pasti sudah ada yang bunuh diri!

Ini tidak, kesalahan sendiri seolah-olah diletakkan di bahu Perdana Menteri.

Jika ada teori mengatakan Kelantan yang hampir kalah pada pilihan raya pada 2004 tidak pun mendesak Datuk Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan, ia adalah dangkal.

Kekuatan UMNO yang tiba-tiba memuncak di Kelantan pada 2004 adalah kerana faktor penerimaan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri baru. Ia diluar kawalan Nik Aziz dan penasihatnya, termasuk Datuk Husam Musa.

Namun, PAS bangkit semula pada 2008 dan tidak memandang belakang lagi selepas itu.

Di Terengganu, kemerosotan undi kepada Barisan Nasional lebih kepada ‘kemusnahan yang diakibatkan oleh faktor ‘Terengganu Darul Runtuh’; kebijaksanaan pembangkang menggunakan media baru; pemilihan dan pertukaran calon oleh Perhubungan UMNO Terengganu; selain sikap sesetengah rakyat yang tidak menghargai jasa dan kebaikan yang diperkenalkan oleh Ahmad Said.

Dengan kata lain, semua sudah diberikan kepada rakyat. Jika mereka menolak apa yang boleh dilakukan seterusnya?

Bagi mereka pemberian dan dana yang disediakan oleh kerajaan negeri dilihat sebagai ‘tugas sesebuah kerajaan’ bukannya ‘kesedaran, keikhlasan dan kesungguhan Ahmad Said untuk membantu rakyat yang memerlukan’.

Selain itu pengaruh kakitangan kerajaan, pekerja di GLC seperti Petronas, guru dan penjawat awam lain turut membantu PAS menang dengan lebih baik berbanding PRU ke-12 pada 2008.

Jadi tidak adillah untuk menyalah Najib dalam isu pemilihan calon kerana kebanyakan calon yang kalah, sama ada calon baru atau yang bertanding lagi (sudah kalah pada PRU-12) adalah dipilih oleh Perhubungan UMNO Terengganu.

Sepatutnya, jangan ada perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ dan jangan main politik ‘mulut manis, jubor masam’ dengan Najib kerana Najib pastinya ada fakta-fakta tertentu dalam memperkatakan politik Terengganu.


Saya memuji sikap Ahmad Said yang tidak mahu ‘mengambil pusing’ dan melayani sebarang khabar angin serta dakwaan yang hangat diperkatakan mengenai peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri Terengganu.

“Saya tidak mahu komen. Itu tulisan di blog. Macam-macam berlaku. Saya pun tidak tahu. Tiada komen. Itu sahaja yang boleh saya kata. Nak kata macam mana. Kita kan 17-15, kita kena tumpukan persiapan untuk pilihan raya akan datang dan bukan bercakap soal-soal itu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Tindakan Ahmad Said itu tepat kerana sejauh ini tiada rujukan khusus kepada beliau dan hanya mereeka yang takut tidak tentu pasal mungkin ‘meminta blog-blog tertentu’ cuba mempertahankan Ahmad Said.

Hakikatnya, Ahmad Said tidak perlu dipertahankan.

Ini kerana rekod pekhidmatan dan jasanya kepada UMNO dan pembangunan Terengganu adalah suatu transformasi dalam pelbagai bidang perlu diakui oleh kepimpinan Pusat, hatta Najib sendiri!