Showing posts with label Ahmad said. Show all posts
Showing posts with label Ahmad said. Show all posts

Wednesday, August 10, 2016

AHMAD SAID – “NAK SURUH BERHENTI, NAK MALUKAN SAYA? OK BUATLAH...”


Apa untunganya membuat dakwaan ada video dan gambar bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said terlibat adegan seks dengan seorang wanita?

Lagipun dakwaan ini bukan cerita baru, ia pernah ditimbulkan sekitar 2009.

Apa untungnya kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan menimbulkan isu ini.

Beberapa hari ini, kemelut politik Terengganu dilihat reda. Dengan mencipta atau mengitar semula cerita seks ini akan menyebabkan politik Terengganu akan kembali panas.

Baikkah untuk UMNO dan BN Terengganu? Juga baikkah untuk kedudukan Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman?
  
Apakah cara ini baik untuk UMNO Terengganu melaksanakan ‘damage control’ akibat kekecohan baru-baru ini?


Penguasaan BN di Terengganu tidak kukuh susulan hanya mempunyai 17 kerusi DUN berbanding pembangkang dengan 15 kerusi.

Jika Ahmad Said berpaling tadah dan berjaya menarik hanya seorang lagi wakil BN dalam DUN, BN boleh hilang kerajaan di negeri Pantai Timur itu.

Yang peliknya, dakwaan terhadap Ahmad Said yang  berkhidmat sebagai menteri besar Terengganu sejak 2008 sebelum digantikan secara kontroversi dengan Ahmad Razif pada 2013, tidak ada rekod seburuk itu.

Juga pelik, laporan itu beberapa blog itu muncul semalam, sehari selepas spekulasi usul tidak percaya akan dibuat sekali lagi oleh Ahmad Said  terhadap menteri besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang pada Isnin.

Semalam The Star Online melaporkan, wujud dakwaan video dan gambar seks melibatkan seorang ahli politik kanan Terengganu.

Ahli politik yang tidak dinamakan itu dikatakan yang memberikan sebuah projek pembalakan kepada seorang wanita dan sebagai balasan, mendapat habuan seks pada 2009.

Ahmad Said dipetik Malaysiakini hari ini  menasihatkan masyarakat supaya berhenti membuat fitnah, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan maruah seseorang.


"Saya tak takut. (Kalau) orang serang saya, saya serang balik. Nak suruh saya berhenti? Nak malukan saya? Umno tak untung apa-apa. Kalau sanggup pilihan raya negeri, OK buatlah,” tegasnya.

"Ini maruah orang. Kalau dulu, fitnah mulut ke mulut. Hari ini (boleh) fitnah orang dengan pelbagai cara. Lepas itu, maruah orang, kita nak tanggung dosa orang?

"Tuhan dah beritahu, kalau kita jaga maruah orang, tuhan jaga maruah kita. Apa faedah yang dapat (dengan fitnah)?" ujarnya lagi.

Ahmad Said ditakrifkan sebagai seorang pemimpin lantang Umno, beberapa kali kelihatan dalam acara bersama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengkritik utama kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ahmad Said hari ini enggan melayan 'serangan' terhadap dirinya termasuk dakwaan terdapat video dan gambar seks melibatkannya.

Antara blog yang menyiarkan laporan mengenai
kononnya wujud skandal ini.
Menyifatkan fitnah kini berlaku dengan pelbagai cara, beliau berharap perkara itu tidak akan berpanjangan.

"Itu saya tak mahu komen. Saya malaslah. Sekarang dah mula keluar macam-macam. Tak apa, saya tak mahu komen.

“Kalau kita panjangkan (isu ini) ia akan berpanjangan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kemaman, Terengganu.

Ditanya sama ada beliau takut dengan 'ugutan' berhubung video itu, anggota Dewan Undangan (ADUN) Kijal berkata beliau kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak teragak-agak untuk membuat serangan balas sekiranya perlu.

Pendirian inilah yang kita tidak mahu dibuat oleh Ahmad Said.

Kenapa yang sudah reda cuba digelombangkan semula?

Kali ini dibimbangi ‘ribu dalam cawan’ akan melimpah dan menjadi satu tsunami kepada politik Terengganu dalam masa terdekat.

Seperti kata Ahmad Said, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat dan kita juga ‘tunggu dan lihat’ perkembangan seterusnya.


Saturday, August 6, 2016

FORMULA NAJIB MAMPU REDAKAN PERTELINGKAHAN AHMAD RAZIF, AHMAD SAID?


"Pertelagahan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said dilihat tiada kesudahan namun Najib hari ini menjadi ‘bapa’ kepada 'sepasang suami isteri ' atau 'adik-beradik' yang bertelagah di Putrajaya hari ini."

Hari ini Ahmad Razif Abdul Rahman ditanya oleh wartawan sama ada akan menemui Perdana Menteri dalam masa terdekat berhubung kemelut yang melanda pucuk pimpinan UMNO Terengganu.

Jawapan beliau ialah tidak perlu.

Menurutnya Perdana Menteri sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berhubung isu itu.

"Saya sering berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi keyakinan kepada beliau bahawa keadaan di Terengganu terkawal, tidak ada yang perlu dibimbangkan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Anak Terengganu, di Putrajaya tengah hari ini.
Semua pihak memang mengharapkan Perdana Menteri berbuat sesuatu.

Dan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebenarnya beliau TELAH MELAKUKAN SESUATU.


Biarpun Ahmad Razif cuba menyorok pertemuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO/BN dengan Perdana Menteri pagi ini di Putrajaya dan menggambarkan beliau sering dimaklumkan oleh Perdana Menteri, hakikatnya ADUN UMNO dipanggil pagi ini untuk satu pertemuan di Putrajaya jam 10 pagi tadi.

Kita sangat berharap perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan ADUN UMNO pagi ini di Putrajaya membuahkan hasil.

Ia penting untuk menghapuskan kemelut politik Terengganu yang semakin hangat, walapun cuba didinginkan oleh kenyataan Ahmad Razif.

Usaha ini menguji kebijaksanaan Najib dan juga kebijaksanaan pemimpin ADUN UMNO dan pemimpin UMNO Terengganu. Yang penting kerajaan BN dikekalkan. Jangan sampai ia runtuh.

Ahmad Razif sendiri tidak melakukan seperti apa yang dibuat oleh Najib itu dengan memanggil semua wakil rakyat bagi mendapat sokongan majoriti susulan kemelut berkenaan.

Akibat kegagalannya berbuat demikian maka timbul spekulasi bahawa Sembilan daripada ADUN Terengganu tidak bersama Ahmad Razif. Benar atau sebaliknya hanta Ahmad Razif, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan kalangan ADUN sahaja yang tahu.

Isu pertelagahan antara Ahmad Razif dan Ahmad Said dilihat tiada kesudahan apabila ia gagal diselesaikan di peringkat negeri sehingga memerlukan campur tangan pusat.

Najib hari ini menjadi ‘bapa’ kepada 'sepasang suami isteri ' atau 'adik-beradik' yang bertelagah (mengambil cakap Ahmad Razif) di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media tengah hari ini di Putrajaya, Ahmad Razif berkata beliau sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri untuk memaklumkan mengenai perkembangan terbaru itu.

"Saya telah memberitahu beliau bahawa semuanya di bawah kawalan di Terengganu. Ia adalah perkara biasa (berhadapan masalah) seperti suami dan isteri mempunyai sedikit ketegangan.

"Kami percaya bahawa ia adalah perkara biasa dan hanya akan membantu mengukuhkan perpaduan di antara kami," katanya.


Beliau memberi jaminan bahawa persengketaan dalaman UMNO negeri itu telah diselesaikan dan tidak ada sebarang perkara luar biasa yang akan berlaku semasa persidangan DUN pada Isnin ini.

Beliau berkata keadaan telah reda dan beliau menyifatkan krisis di Terengganu sebagai "pergaduhan di antara adik-beradik."

"InsyaAllah semuanya telah diselesaikan.... tiada apa yang luar biasa akan berlaku semasa persidangan Dewan Undangan Negeri nanti. Tetapi yang paling penting kita mesti bergerak ke hadapan bersama-sama suntuk menggerakkan agenda pembangunan di negeri ini," katanya kepada pemberita semasa majlis Hari Raya untuk Anak Terengganu di Putrajaya.

Beliau yakin,  perkara itu dapat menguatkan lagi solidariti dan pemuafakatan dalam kalangan wakil rakyat UMNO di negeri itu.

"Tak ada. Tak ada (apa-apa akan berlaku pada Isnin depan). Insha Allah saya rasa tak ada apa-apa yang perlu ditimbulkan lagi kerana saya yakin dan percaya tak ada apa-apa," katanya.
  
Ditanya mengenai kenyataan yang dibuat oleh ADUN Ajil, Ghazali Taib, Ahmad Razif berkata, walaupun beliau mungkin telah melampaui batas, "kita mesti bersedia untuk memaafkan satu sama lain."

"Kita mesti mengambil sikap yang positif dan melihat ke hadapan dan keutamaan perlu diberikan kepada rakyat," kata Ahmad Razif.

Kita hanya mampu berdoa apa yang diusahakan oleh Perdana Menteri akan memuaskan hati semua pihak, atau sekurang-kurangnya meredakan sedikit kemelut politik yang melanda Terengganu sekarang.

Mungkin ada formula menarik yang digunakan Najib bukan sahaja untuk melegakan Ahmad Razif tetapi juga ‘memadamkan kemarahan’ Ahmad Said terhadap Menteri besar itu.

Sebagai bapa kita yakin Najib akan berlaku adil kepada kedua-dua mereka dengan menyatakan pendirian dan usaha baiknya di hadapan ADUN UMNO yang bersifat ‘anak-anak’ yang perlu menurut arahan datuk dalam pertikaian ibu dan bapa mereka.

Kini belum jelas formula itu dan belum ada kenyataan di pihak Ahmad Said. Apakah cara Najib itu dipersetujinya?

 Tidak diketahui beliau hadir atau sebaliknya pada pertemuan itu.

Friday, August 5, 2016

KEMELUT - PAS TAMAK HALOBA, AHMAD RAZIF PERNAH SABOTAJ UMNO?


Jalan masih terbuka luas untuk mengelakkan kerajaan Barisan Nasional (BN) gugur walaupun bekas Menteri Besar mengancam keluar UMNO dalam kemelut politik ketika ini.

Biarpun dia membuat ancaman sedemikian, hati Datuk Seri Ahmad Said masih tetap dengan UMNO dan dia sayangkan UMNO.

Jangan cepat buat keputusan dengan kenyataannya.

Memanglah nampak dari luar dan menyedapkan analisis, The Star Online boleh mengatakan krisis UMNO Terengganu semakin meruncing malam tadi apabila Ahmad Said mengancam untuk keluar parti.

Beliau dikatakan akan bekerjasama dengan PAS, malah The Star Online malam tadi melaporkan bekas Menteri Besar itu yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Kijal sudah memberi memberi kata dua kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman supaya meletak jawatan.

Lihat dalam konteks pertikaian mereka berdua dan jangan melihat antara Ahmad Said dengan UMNO.

Walaupun ada pihak dalam UMNO sendiri selain Menteri Besar  yang mengecam Ahmad Said dengan mengatakanAhmad Said sebagai punca utama menyebabkan berlakunya kemelut politik dan kepemimpinan negeri, itu bukan halangan untuk mengatasi krisis.

Sokongan kepada Ahmad Razif pada waktu ini oleh Bahagian UMNO juga tidak matang kerana ia bukan membabitkan parti tetapi personaliti.


Benarkah ADUN Kijal itu hilang budaya hormat kepada ketua seolah-olah menjadi wakil pembangkang?

Yang penting semua pihak perlu mencari jalan agar UMNO dan BN dapat diselamatkan - bukan Ahmad Razif atau Ahmad Said - dalam keadaan terdekat demi menjamin kerajaan BN negeri akan mampu terus memerintah dengan beberapa penyesuaian.

Inilah waktunya UMNO dan BN menguji kebijaksanaan dan kewarasan kepimpinan pusat sama ada Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Putrajaya.

Melainkan jika UMNO dan Putrajaya merasakan cara keluar sudah tiada dan meminta perkenan diadakan pilihan raya negeri (PRN) maka kemungkinan berlakulah ia.

Sangat bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri semalam bahawa  kebijaksanaan pemimpin-pemimpin UMNO Terengganu dalam memelihara kestabilan politik negeri itu akan membolehkan BN kekal memerintah "sekurang-kurangnya" sehingga pilihan raya umum akan datang.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden Umno berkata, beliau tidak nampak masalah di Terengganu itu sesuatu yang tidak dapat diselesaikan.

"Saya harap kepimpinan dan ahli-ahli UMNO tidak terjebak dengan permainan politik luaran atau ahli politik yang melayani 'kekecewaan' mereka yang telah berada di luar Umno," katanya.


Ahmad Zahid berkata, beliau maklum tentang "gerakan" dalaman dan luaran yang sedang berlaku dalam politik Terengganu namun tetap yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan UMNO negeri.

Ahmad Zahid berkata parti-parti pembangkang di Terengganu juga memahami bahawa proses untuk menterjemahkan proses demokrasi di negeri itu dilakukan dalam pilihan raya umum dan bukan menerusi cara lain.

Dalam kemelut ini, yang menjadi sasaran ialah Ahmad Razif dan yang menjadi penyerang ialah Ahmad Said.

Selesaikan isu ini. Apakah mereka bersua tidak boleh bertentang mata atau 'duduk semeja' seperti sebelum ini?


Jika pelantikan Menteri Besar baru dibuat, ia akan dapat mereda dan mengatasi krisis ini.

Namun, jangan pula Ahmad Razif terpelanting begitu sahaja.

Ahmad Razif masih Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus dan ADUN Seberang Takir, satu-satunya DUN dimenangi oleh BN.

Ketika pilihan raya umum, Ketua Bahagian UMNO ialah Datuk Nasir Ibrahim Fikri dan kerana kalah di Parlimen dalam pilihan raya umum 2013, beliau turut hilang jawatannya dalam parti sebagai Ketua Bahagian.

Persoalannya apakah beliau sengaja dikalahkan dalam PRU-13 supaya 'hilang taring' ketika pertandingan parti di bahagian selepas pilihan raya umum?

Yang menariknya semalam, Akhmad Said mengatakan dalam menyelar Ahmad Razif kerana menyalahkan pemimpin terdahulu (rujukan kepada Ahmad Said) atas kegawatan politik di negeri itu sekarang, mengatakan "Saya ada banyak rahsia. Jangan buat saya buka mulut."

"Beliau (Ahmad Razif) bercakap mengenai prestasi saya dan bahawa kerana saya, kerajaan negeri hilang sebahagian besar kerusi semasa pilihan raya dan hanya menang tipis," Ahmad Said dipetik sebagai berkata.

Bekas menteri besar Terengganu itu dilaporkan berkata Ahmad Razif perlu tahu bahawa semasa ada usaha untuk menyingkirkannya (Ahmad Said), BN hampir pasti akan kalah kepada PAS, "dia tahu siapa yang menyelamatkan dan memberikan kemenangan."

Dengan tegas, Ahmad Said mengatakan  beliau boleh memecatkan Ahmad Razif ketika beliau berkuasa atas dakwaan sabotaj, tetapi tidak berbuat demikian.

Kenapa pula Ahmad Said menyelamatkannya walaupun Ahmad Razif sabotaj UMNO? Ini kes berat. Tetapi kenapa Ahmad Said tetap mahukan Ahmad Razif?


Oleh itu, Ahmad Said menegaskan,  sekiranya Ahmad Razif tidak meletak jawatan sekarang, beliau mungkin keluar UMNO dan bekerjasama dengan PAS untuk membentuk kerajaan baru.

Kerajaan UMNO Terengganu pernah dilanda krisis pada 2014 apabila Ahmad Said dan dua ADUN lain meletak jawatan, dan mengurangkan majoriti 17 kerusi parti pemerintah, berbanding 15 kerusi Pakatan Rakyat.

Keruntuhan kerajaan negeri itu akhirnya dapat dielakkan melalui formula  ADUN Seberang Takir Ahmad Razif mengambil alih jawatan menteri besar.

Apa yang juga menarik dalam kenyataan awal Ahmad Said mahu bekerjasama dengan PAS, tiba-tiba sahaja pemimpin Pas Pusat dan negeri tiba-tiba seperti ‘beruk mendapat bunga’.

Malah, dilaporkan, PAS begitu  berkobar-kobar untuk kembali memerintah Terengganu dan akan menyokong usaha Adun Kijal itu untuk menggulingkan Ahmad Razif.

Itu baru cadangan Ahmad Said, entah ia atau tidak.

Tetapi itulah sikap PAS sebenarnya. Mereka mengharapkan akan ada undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif atau menuntut peletakan jawatannya sebagai menteri besar.

Tuan Ibrahim...harap undi tidak percaya
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melihat kenyataan Ahmad Said akan menyertai "pihak lain" yang akan membolehkan dibentuk kerajaan jika Ahmad Razif berundur.

Apakah Ahmad Said ada mengatakan untuk membuat langkah dramatik dengan meletak jawatan daripada UMNO?

Barisan Nasional kini mempunyai 17 kerusi daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala PAS mempunyai 14 dan PKR (1).

Jika Ahmad Said dan Ghazali menjadi wakil rakyat bebas, BN akan kehilangan majoriti.

Sebelum ini PAS memerintah Terengganu selama dua penggal dari Jun 1959 hingga November 1961, dan Disember 1999 hingga Mac 2004.

Amat nyata sejuah ini hanya Tuan Ibrahim yang mengatakan Ahmad Said hanya perlu meninggalkan UMNO bagi membolehkan PAS untuk mengambil alih pentadbiran.

"Kami bersedia untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu," bagaimanapun menyelar Ahmad Said kerana membuat ancaman.

"Beliau tidak boleh hanya buat bising mengenainya. Jika UMNO akan memecat Ahmad Razif, maka beliau harus meletak jawatan," katanya sambil menambah bahawa sekutu Ahmad iaitu Adun Ajil, Ghazali Taib juga perlu keluar daripada UMNO.

Itu pendapat Tuan Ibrahim tetapi Ahmad Said dan Ghazali tiada niat pun mahu berundur daripada UMNO.

Apapun, Tuan Ibrahim agak rasional berbanding sifat tamak yang ditunjukkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed apabila mengatakan ‘tidak ada keperluan untuk PAS membentuk kerajaan campuran dengan UMNO.’

"Jika Ahmad meletakkan jawatan, dia akan menjadi Adun bebas dan PAS akan memegang majoriti," katanya.

Satiful...tamak
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat yang sudah kesekian lama menunjukkan nafsu besar untuk membentuk kerajaan PAS di Terengganu  turut mencabar Ahmad meletak jawatan.

"Beliau tidak mengambil sebarang tindakan untuk melakukannya. Jangan hanya buat bising, tinggalkan UMNO, "katanya.

Satiful yang juga ADUN  Paka juga menunjukkan sikap tamaknya apabila mengatakan soal menjemput Ahmad Said atau Ghazali untuk menyertai PAS dalam kerajaan baru itu tidak timbul.

"Peletakan jawatan mereka dari UMNO adalah mencukupi untuk PAS mengambil alih Terengganu," katanya.

Untung juga Ahmad Said mengatakan akan bekerjasama dengan PAS, sekurang-kurangnya dapat melihat gelagat dan nafsu gelojoh mereka.

PAS mahu mengambil kesempatan dan menggunakan Ahmad Said dan Ghazali untuk memenuhi cita-cita mereka dan selepas itu ‘habis manis sepah dibuang.’ Apakah Ahmad Said begitu bodoh untuk menerima atau termakan dengan ‘umpah PAS berkenaan’?

Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam PAS, Mohd Abdul Wahid Endut yang lebih berpengalaman dan faham dengan politik Terengganu dan kerenah Ahmad Said mengatakan beliau  tidak menolak kemungkinan Ahmad cuba untuk mengemukakan usul tidak percaya walaupun tidak memberi notis 14 hari kepada Speaker, Datuk Mohd Zubir Embong.

"Kali ini, jika ada usul undi tidak percaya dan Speaker menolaknya, maka kita mungkin mencadangkan undi tidak percaya terhadap Speaker," katanya.

Semalam Zubir mengesahkan bahawa Dewan Undangan Negeri  tidak menerima notis usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

Bagaimanapun Yang Dipertua DUN Terengganu itu berkata walaupun tiada notis usul dikemukakan, ahli Dewan dibolehkan mengemukakan usul atau cadangan mengikut peruntukan serta Undang-Undang Peraturan Tetap Dewan ketika persidangan.

Katanya, persidangan DUN negeri dijadualkan pada Isnin (8 Ogos)  dan ahli Dewan yang bercadang mengemukakan usul atau cadangan,  tidak perlu mengemukakan notis awal, sebaliknya pada hari persidangan dengan mematuhi undang-undang dan peraturan tetap DUN.

Kenyataannya ini menjelaskan kenyataan Ahmad Razif yang mengatakan untuk kemukakan usul perlu notis 14 hari.

Untuk hari ini hingga Isnin, diharapkan pemimpin UMNO Pusat, khsuusnya Presiden UMNO dan Perdana Menteri segera melakukan sesuatu.

Buatlah yang terbaik untuk rakyat Terengganu selain mengukuhkan kembali UMNO dan BN.


Selamatkan negeri dan rakyat daripada kemelut berterusan dan tidak kurang penting, selamatkan kerajaan UMNO dan BN daripada pemimpin PAS yang tamak dan rakus!!!!

Saturday, May 3, 2014

ISU GANTI MB - APABILA BERLAKUNYA TINDAKAN 'LEBIH SUDU DARIPADA KUAH'

"Menjadi seperti ‘orang lemas’ dalam politik dan pentadbiran akan hanya menonjolkan peribadi seseorang itu sendiri. Akan ada pertanyaan, kenapa orang Ahmad Said takut sangat ‘MB mereka diganti? Apakah mereka ada berbuat salah? "

Menurut laporan Terengganu Today, “di sana sini di seluruh Terengganu, banner-banner dan pemidang-pemidang yang menyatakan sokongan kepada Mat Said (Datuk Seri Ahmad Said) dapat dilihat dengan jelas dan mudah!”

Katanya lagi, “walaupun ada yang cuba memutarbelitkan kenyataan tentang calon-calon PRU13, ternyata sekarang, pembohongan tersebut tidak berkesan, memandangkan mereka sendiri terutama calon-calon yang tidak ada dalam senarai Mat Said tetapi tetap juga diangkat sebagai calon PRU13, terlibat dalam gerakan menumbangkan Mat Said.

Golongan ini sedang bergerak ke sana ke mari, mengaku mereka adalah dari kem Mat Said tetapi kemudian meracun akar umbi supaya menolak Mat Said.”

 Lebih ketara pada laporan itu berbunyi: “Ironinya, mereka terlupa tentang perkenan DYMM Sultan Terengganu kepada Mat Said sebagai peneraju utama negeri Terengganu berbanding calon-calon yang mereka cuba tonjolkan.”

Bagi saya – Hambali Abdul Latif - (tidak berselindung di sebalik nama samaran), - berpada-padalah menyatakan sokongan. Ia akan membahayakan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar!

Memang kita wajar menyokong dan memberikan sokongan kepada ketua kita apabila dalam keadaan ‘tersepit’.

Namun sokongan yang diberikan jangan berlebihan:


Tidak perlu ada sepanduk – sepanduk boleh jika kita berperang dengan ‘musuh’ seperti PAS atau pembangkang lain tidak apa. Apa maknanya apabila sepanduk sokongan dipasang?

Untuk membawa mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib supaya jangan tukar Menteri Besar? Sedangkan:

1. Jawatan Menteri Besar bukan hak hakiki seseorang seperti juga Perdana Menteri.

2. Jangan libatkan nama DYMM Sultan Terengganu dalam isu penggantian atau pertukaran ini. Ini kerana Tuanku Sultan Terengganu banyak dikaitkan dengan soal pelantikan. Jangan libatkan sampai untuk ‘mempertahankan’ Ahmad Said, dikait-kaitkan nama Tuanku. Ini tidak baik dan perkenan itu adalah dalam kes 2008 dan pelantikan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

3. Ingat dan bermuhasabahlah!


Sebagai orang Islam kita perlu mempercayai dan yakin bahawa apabila Allah berkehendak serta menghendakinya, dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah dia.

Begitulah beberapa ungkapan ayat-ayat kun [jadi] maka faya kun [jadilah] dalam al-Quran.

Peringatan al-Quran  adalah sesuatu yang penting supaya jangan melawan takdir, jangan gedebe, jangan angkuh, jangan rasa besar, rasa berkuasa dan segala-galanya. Ini kerana Allah boleh melakukankan bila-bila dan di mana saja, selain tiada tempat berlindung dan tiada tempat bersembunyi dari-Nya.

a. [Al Baqarah:117] Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak sesuatu, maka Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia."

b.  [An Nahl:40] Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan kepadanya: "kun (jadilah)", maka jadilah ia".

c. [Yaasiin:82] Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" maka terjadilah ia".

d.  [Al An'aam:73] Dan Dialah yang menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataan-Nya di waktu Dia mengatakan: "Jadilah, lalu terjadilah", dan di tangan-Nyalah segala kekuasaan di waktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui

e. [Al Mu'min:68] Dia-lah yang menghidupkan dan mematikan, maka apabila Dia menetapkan sesuatu urusan, Dia hanya bekata kepadanya: "Jadilah", maka jadilah ia".


4.  Perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ oleh ‘orang kuat Mad Said’ tidak baik dalam konteks UMNO dan pentadbiran Terengganu. Kalaupun mahu membela Ahmad Said, belalah dengan ‘point counter point’ mengenai dasar dan program yang dilaksanakan oleh beliau terhadap kritik-kritik terhadap Menteri Besar itu. Banyak contohnya, bukan sekadar dasar perumahan sahaja. Mengambil satu dasar tidak mencukupi. Bagaimana dengan dasar pendidikan, termasuk Anjung Ilmu, program e-Book, pertanian dan yang lain? Kenapa penyokong Ahmad Said sendiri boleh lupa?

5. Jangan kita menyerang individu atau tokoh tertentu dengan menimbulkan isu peribadi. Contohnya dalam konteks seseorang yang dijadikan ‘bahan serangan’ media kerajaan negeri dan yang dikawal oleh Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT). Tidak baik mendedahkan keburukan peribadi seseorang, apalagi orang itu, (seperti dilaporkan sudah pun berkahwin dengan wanita yang didedahkan itu).

Saya bimbang dalam kita mendedahkan peribadi orang lain, peribadi kita pun tidak kurang ‘hebatnya’. Apakah ‘orang yang menyokong kuat Ahmad Said’ atau media sosial berpihak kepada Ahmad Said serta agensi-agensi yang mempertahankan Ahmad Said’ itu bersih, beriman dan ‘bebas skandal’? Skandal tidak semestinya dengan wanita sahaja. Skandal macam-macam. Jangan buka ruang untuk dibuka pekong oleh orang lain, kelak pentadbiran dan UMNO Terengganu yang akan mendapat malu dan rugi.

6. Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah mengatakan tiada pertukaran Menteri Besar. Cukuplah dengan kenyataan itu. Kalau berlaku juga selepas ini, ia berlaku bukan kerana kemahuan Perdana Menteri semata-mata tetapi pastinya mesti mendapat restu istana. Apakah kelak, jika atau sekiranya benar berlaku, pagar istana akan digoncang sekali lagi? Apakah kali ini oleh kumpulan yang sama pada 2008 atau kumpulan baru?

7. Menjadi seperti ‘orang lemas’ dalam politik dan pentadbiran akan hanya menonjolkan peribadi seseorang itu sendiri. Akan ada pertanyaan, kenapa orang Ahmad Said takut sangat ‘MB mereka diganti? Apakah mereka ada membuat salah? Apakah mereka salahguna kuasa sebelum ini? Apakah mereka melakukan rasuah? Apakah mereka mengamalkan kronisme? Atau apakah bimbang akan kehilangan ‘kedudukan dan kekayaan’? Jika seseorang tidak melakukan kesalahan, bersih, berintegriti, mereka tidak perlu.


Ambillah contoh bagaimana Ahmad Said sudah beberapa kali bersumpah dengan nama Allah yang beliau ‘bebas rasuah’ termasuk dalam isu balak serta isu-isu lain. Contohi dan ambilnya sebagai teladan. Apa yang hendak ditakutkan?

Lebih terkilan lagi apabila kritik-kritik turut dilemparkan kepada orang di luar Terengganu yang kononnya berperanan untuk menjatuhkan Menteri Besar. Siapa mereka? Orang di Ibu Pejabat UMNO Malaysiakah? Atau orang di Pejabat Perdana Menteri kah? Menyedihkan ada yang bercakap kononnya individu tertentu yang ‘rapat’ dengan Perdana Menteri memulakan ini semua.

Cuba amati balik. Yang mulakan cerita ini Awang Selamat melalui Mingguan Malaysia. Kalau nak marah, marahlah Awang Selamat, jangan orang lain jadi mangsa.

Awal-awal saya sebutkan, Awang Selamat buat spekulasi. Mungkin benar, mungkin tidak. Tidak pasal-pasal beberapa orang penting UMNO Terengganu jadi mangsa.

Damage has been done kepada Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman serta beberapa yang lain. Sepatutnya tuduhan orang itu atau orang ini nak jadi Menteri Besar tidak timbul. Walau segila atau semeroyan manapun seseorang mahu menjadi Menteri Besar kalau pucuk pimpinan dan istana tidak bersetuju, tidak akan berlaku. Paling utama yang di Atas sana itu Maha Berkuasa dan Mana Mengetahui!

Persoalan ialah kenapa nama Ahmad Said sahaja yang jadi tumpuan? Tidakkah kerana adanya tindak balas dan sikap  tindakan tidak bijak orang sekeliling Menteri Besar Terengganu.


Sepanduk dan banner sebenarnya mengeruhkan keadaan dan bersifat mencabar

Ahmad Said sendiri mengatakan malas nak ulas tetapi kenapa ada individu serta laman sosial rasmi kerajaan negeri Terengganu selain orang tertentu yang bersikap ‘lebih sudu daripada kuah’?

Thursday, May 1, 2014

ISU PERTUKARAN MB - KENAPA TAKUT SANGAT DENGAN AHMAD RAZIF?


"Jangan jatuhkan status Ahmad Said sebagai Pengerusi Barisan Nasional dan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu berkedudukan sama dengan Ahmad Razif yang hanya Ketua Bahagian Kuala Nerus...Juga, Ahmad Said jauh lebih tinggi. Dia Menteri Besar dan Ahmad Razif hanya Exco, jauhnya kedua-dua mereka bagai awan dengan langit."

Tidak salah mempertahankan seseorang pemimpin.

Adalah baik jika kerja-kerja mempertahankan seseorang pemimpin itu secara terang, bukan menggunakan nama samaran, berselindung di sebalik blog atau laman berita di talian.

Kenyataan yang jelas daripada pemimpin yang dipetik secara tidak berselindung oleh blog dan laman sosial, termasuk portal berita lebih bermaruah, benar dan berkredibiliti daripada ulasan berselindung.

Namun, jika ada pihak yang menyamar atau menggunakan nama palsu melalui laman sosial seperti Facebook (FB), ia amat tidak bermaruah.

Ia juga akan memberikan implikasi tidak baik kepada orang yang dipertahankan.

Perbuatan menggodam laman orang lain atau mencipta akaun palsu adalah perbuatan jahat, penakut dan pengecut.

Akan ada yang bertanya, kenapa takut sangat mahu mendedahkan diri jika untuk mempertahankan ketua atau seseorang pemimpin yang memang berwibawa

Juga, kenapa tunjukkan sikap takut sangat dengan sesorang lain, jika memang yang dipertahankan itu kuat dan menjadi pilihan pemimpin pusat dan digemari istana? Menyerang seseorang dengan berselindung di sebalik akaun palsu adalah perbuatan ‘melontar batu, sembunyi tangan’. 

Malah seperti kata Datuk Seri Ahmad Said apabila akaun FBnya digodam, perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu bagai fitnah yang sengaja diadakan untuk ‘membunuh karier politiknya’.

Sedangkan dalam Islam, fitnah itu lebih kejam daripada membunuh

Saya terjumpa sebuah akaun di FB menggunakan nama Nik Omar yang kebetulan sedang meminta untuk menjadi ‘rakan FB’ saya.

Selepas berusaha mendapatkan jawapan apakah akaun ini benar-benar milik Nik Omar, saya disahkan bahawa ia akaun palsu.

Sebelum itu siapakah sebenarnya ‘Nik Omar’ yang original seperti gambar berikut?

Beliau ialah Prof. Dr Nik Wan bin Omar, Timbalan Naib Canselor HEPA, UniSZA.

Mengejutkan.

Hasil siasatan terhadap diri orang yang menamakan dirinya Nik Omar ini, lantas saya terbaca sebuah postingya yang merupakan puisi seperti di atas?

Bacalah sendiri maksud tersirat melalui kata-kata ‘Nik Omar’ palsu ini.

Apa tujuan sebenar penggendali palsu ini cuba ketengahkan?

Pertahankan Ahmad Said dengan tuduhan-tuduhan untuk melagakan?

Selain itu benarkah apa yang ditulis itu?

Apakah ia suatu persepsi semata-mata?

Kenapakah pemilik palsu ini memilih cara ini mempertahankan Ahmad Said sedemikian rupa?

Jangan jatuhkan status Ahmad Said sebagai Pengerusi Barisan Nasional  dan Ketua Perhubungan UMNO Terengganu berkedudukan sama dengan Ahmad Razif hanya Ketua Bahagian Kuala Nerus.

Juga, Ahmad Said jauh lebih tinggi. Dia Menteri Besar dan Ahmad Razif hanyalah Exco, jauhnya kedua-dua mereka bagai awan dengan langit.

Sedarlah, Ahmad Razif tidak mungkin akan dapat menggantikan Ahmad Said tanpa persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan istana Terengganu.

Soalannya, apakah Perdana Menteri sudah memilih Ahmad Razif dan istana sudah mempersetujuinya?

Berpada-padalah dalam kerja memberi sokongan atau mempertahankan kedudukan seseorang, nanti kerana perbuatan tidak ‘panjang akal’ itu akan memberikan kelebihan dan mendatangkan simpati kepada mereka yang dianianya!


Friday, April 25, 2014

The Unspinners - MASALAH UTAMA DI KABINET, IBU PEJABAT, PENASIHAT DAN GLC..

Ada dua tulisan The Unspinners (ini dan ini) sebagai reaksi terhadap tulisan saya bertajuk 'TUKAR MB - KENAPA MELATAH & PALITKAN NAJIB DALAM ISU CALON PRU-13 T'GANU?'(23 April 2014).

Terima kasih kerana memberikan reaksi yang saya anggap menarik dan polimik berguna dalam memperkatakan politik Terengganu dan kedudukan Datuk Seri Ahmad Said (bekas Bos saya).

Saya hormati pandangan rakan blogger yang jauh mendahului blog saya dari segi ulasan dan jumlah penjenguknya.

Saya lebih berminat dengan ulasan pertama beliau bertajuk 'Masalah Utama Bukan Di Negeri, Tapi Di Kabinet, Ibu Pejabat, Penasihat Dan GLC' yang saya perturunkan di sini:

 

Rakyat Malaysia di SINI seolah-olah menegur The Unspinners kerana mendahului Dato Najib dalam menuntut dikekalkan Dato Ahmad Said.

Mungkin ada tujuan tersirat yang lain. Namun perlu difahamkan bahawa Unspinners bukan mahu mendahului Dato Najib tapi hanya memainkan peranan dalam demokrasi dan keterbukaan bersuara yang diamaklakan Perdana Menteri.

Seperti yang sering diulangnya, government does not know everything.

Maka baik kerajaan mahu pun pucuk kepimpinan perlu mendengar suara orang biasa supaya tindak tanduk kerajaan dan kepimpinan tepat, diterima bawah dan bukan keputusan yang berdasarkan tujuan dan membawa impak yang salah.

Jika penambah baikan yang mahu dicapai, kita harus berlaku ikhlas dan hadapai kebenaran dengan hati terbuka.

Menghukum Ahmad Said di atas sesuatu yang bukan dia penyebabnya adaah salah. Menuduhnya melakukan sesuatu yang bukan dia yang mulakan pun salah.


Banyak pihak menganggap dan menuduh Ahmad Said yang mengatur rampasan kuasa dan menikam belakang mantan Menteri Besar Dato Idris Jusoh untuk dilanik DYMM Sultan Terengganu menjadi Menteri Besar.

Anggapan sedemikian amat jelas sekali meleret.

Ahmad Said adalah pilihan Sultan dan Tuanku sendiri yang memanggil Ahmad Said untuk datang mengadap dan nyatakan hasrat mahukan Ahmad Said menjadi Menteri besar ketika itu.

Tak payah nak dengar suara-suara kedai kopi yang penuh konspirasi. Orang yang dikerah membawa Ahmad Said ke istana sendiri yang menghubung Unspinners untuk menjelaskan.

Kini Dato Idris Jusoh menerima realiti itu di atas tindak tanduknya dan antara kedua-dua mereka sudah tidak ada buruk sangka.

Ketika PRK Kuala Besut, Ahmad Said merelakan Idris Jusoh dilantik Pengarah dan dia turun dengan sedia untuk berkempen bersama.

Tidak perlu ada lagi perseteruaan dalam mempertahankan Terengganu. Nampaknya Idris Jusoh pun sudah berperanan di pusat dalam Kementeriaan yang amat penting. Dia juga ada peranan dalam war room parti.

Malah Idris Jusoh pun bagai tidak berminat lagi dengan politik tempatan Terengganu apabila dia tidak lagi bertanding sebagai ketua Bahagian.
 

Sebarang keputusan Dato Najib harus ingat bahawa dari segi transformasi mahu polisi yang lebih menjurus kepada merakyatkan ekonomi, Ahmad Said lebih jauh ke hadapan dalam menghayati falsafah pembangunan sedemikian.

Tiada negeri lain yang begitu fokus, prihatin dan melengkapi dalam hal kebajikan rakyat dan kemajuan modal insan seperti dilakukan di Terengganu.

Kalau dibenarkan calun yang winnable kepada rakyat bertanding, sepatutnya BN boleh pukul habis Terengganu.

Jawatankausa penasihat tertentu dalam parti tidak berpijak dibumi nyata yang telah masuk campur dan mengubah sesuka hati.

Ianya banyak menjejaskan negeri-negeri seperti Terengganu, Pahang, Selangor dan Perak.

Malah tuduhan yang mengatakan Ahmad Said letak orang dia untuk cantas orang Derih pun tak betul kerana bukan Ahmad Said yang putuskan senarai calun.

Jika ada anggapan demikian, maknanya orang dipusat yang mahu cantas orang Derih.

Untuk Dato Najib mahu menambah baikkan BN, sebenarnya lebih elok dimulakan di peringkat kabinet dan ibu pejabat UMNO serta pasukan Penasihat PM sendiri.

Baca Apanama SINI

Banyak Menteri-Menteri yang tidak berfungsi dan agak lewa dalam tanggungjawab mereka.

Rata-rata rakyat mahu lihat PM tukar mereka-mereka seperti Dato Hasan Malek. Dato Shahidan Kassim lebih menembak kaki sendiri dari menempis serangan pembangkang di Parlimen.

Dato Shaberry Cheek pun tidak kelihatan efektif dan RTM lagi kerap menyiarkan salah nama, dan jawatan Menteri.

Polisi yang dijana oleh Dato Idris jala dan PEMANDU hanya membuat rakyat marah dan benci kerajaan dari menghargai dan menghormati parti.

Di peringkat ibupejabat, ada pemegang jawatan penting yang hebuh kini dikatakan lebih mengisi poket sendiri dengan kontrak-kontrak persediaan PRK dari memantapkan parti untuk berhadapan pembangkang.

Parti kini kelihatan lesu dan tak tersusun.

Akibat terlalu banyak birokrasi dan kepentingan tertentu, gerak kerja politik di peringkat bahagian dan cawangan terjejas. Gambar hiasan dari kejadian terkini.

Tahap perkhidmatan parti tidak seperti dulu malah membuat orang ramai mengangggap parti tidak prihatin dengan masaalah rakyat dan hanya menambahkan marah baik penyokong mahupun orang ramai kepada parti.

Terlampau ramai Penasihat dan Ketua-Ketua GLC yang tidak berpijak dibumi nyata dan melakukan tindak tanduk yang terus menghilangkan keyakinan dan sokongan penyokong yang ada pada parti..

Belum cakap lagi atas pagar yang bertambah membenci parti.

Pada kami bukan kepentingan apa melainkan mahu melihat juga anak rakyat marhaen yang bapa hanya panjat kelapa kumpul ayer nyiur pun boeh jadi pemimpin agar hasrat dan harapan rakyat di bawah juga dapat sampai ke telinga pucuk kepimpinan.

Takkan kepimpinan hanya monopoli anak aristokrat dan orang kaya saja?

Penyokong pembangkang langsung tiada usaha dan keupayaan untuk ditarik dan dipujuk kembali. Ikan usuk dari kepala dan bukan dari ekor. Pereyulkan dulu di atas, barulah cuba membaiki di bawah. Jangan pula tersalah baiki yang sedang elok hingga akhirnya seperti tikus membaiki labu.

Sekali lagi terima kasih The Unspinners!

Wednesday, April 23, 2014

TUKAR MB - KENAPA MELATAH & PALITKAN NAJIB DALAM ISU CALON PRU-13 T'GANU?


"Isunya ialah Najib (Datuk Seri Mohd Najib Razak) belum berkata apa-apa mengenai andaian atau spekulasi oleh Awang Selamat dan kolumnis itu pun tidak menyebut secara khusus Ahmad Said. Persoalan ialah kenapakah ada blog dan laman web yang bercakap mempertahankan Ahmad Said?"

Kebanyakan persoalan yang ditimbulkan beberapa blog memperkatakan mengenai perkhabaran bahawa Ahmad Said akan digugurkan berkisar sekitar isu kemerosotan keputusan Pilihanraya Umum ke 13 yang diadakan pada Mei 2013.

Kedatangan tarikh 11 Mei 2014 yang menggenapkan setahun Ahmad Said menjadi Menteri Besar penggal kedua bagaikan sesuatu yang menakutkan kepada banyak pihak, terutmanya penyokong kuat dan yang rapat dengannya.

Tarikh itu seolah-olah suatu mala petaka bagi Ahmad Said, apalagi selepas adanya spekulasi oleh Awang Selamat melalui Mingguan Malaysia, Ahad lalu.

Lebih membimbangkan pihak tertentu yang mahukan Ahmad Said kekal sebagai Menteri Besar ialah adanya cakap-cakap bahawa Ahmad Said pernah menandatangani satu surat kononnya ‘surat meletakkan jawatan dengan tarikh terbuka’ yang boleh diisikan tarikh pada bila-bila masa.

Ia mungkin benar, mungkin tidak. Atau mungkin khabar angina semata-mata!

Dalam mengulas isu penggantian Menteri Besar ini, ada blog yang menimbulkan isu pemilihan calon pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Menurut mereka, Ahmad Said yang dikatakan tidak berkuasa 100 peratus terhadap nama calon yang bertanding pada PRU lalu.

The Selangor Chronicle misalnya menyebut: “Senarai nama-nama calon PRU-13 Terengganu akhirnya menunjukkan bahawa percaturan di Terengganu sebenarnya lebih merugikan berbanding keinginan untuk menguasai negeri tersebut. Perubahan pada saat-saat akhir dan ketiadaan kuasa pada Menteri Besar Terengganu yang merupakan Pengerusi Perhubungan Negeri, menunjukkan bahawa ada pihak yang masih bercita-cita untuk menjadi Menteri Besar negeri itu.

Pertelingkahan itu masih berpanjangan sehingga sekarang. Individu berkenaan menggunakan kesempatannya rapat dengan Perdana Menteri untuk 'memberi nasihat' tentang penyingkiran Mat Said yang dikatakan tidak mampu menyatukan UMNO Terengganu.”


Cakap-cakap seperti ini yang menuding kepada seseorang, selain seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu lemah dan berpandukan nasihat seorang individu adalah ‘tidak menggambarkan keadaan sebenar’.

The Unspinners pula menyebut, ketika Ahmad Said bertemu Najib  untuk bincang senarai calon, dia dikatakan membawa calon yang mana telah dijalankan survey dan risikan latarbelakang.

Sebaik sebalik sahaja dia masuk (masuk di mana?), Ahmad Said diberitahu ‘senarai Terengganu tak perlu nak bincang dan sudah siap’.

Maka Ahmad Said tidak dapat buat apa-apa dan pertemuan itu memakan masa 15 minit saja

 “Jika Ahmad Said mahu dikambing hitamkan, ianya satu ketidak adilan kerana bukan dia yang patut dipersalahkan hingga majoriti Terengganu hanya tinggal dua kerusi…” demikian kata blog berkenaan.

Rasional yang diperkatakan The Unspinners itu berasaskan bahawa cadangan calon yang bertanding di Terengganu itu pastinya datang daripada seseorang yang telah menasihati Perdana Menteri dan bukan Perdana Menteri sendiri.

“Harus diingat bahawa PM yang membuat keputusan tentang senarai calon dan bukan Ahmad Said atau Penasihat,” kata The Unspinners.

Malah laman TerengganuToday yang dikenal pasti sebagai laman yang ada kaitan langsung dengan pemimpin tertentu di Terengganu memetik sepenuhnya tulisan The Unspinners mengatakan ‘tindakan menyingkir Ahmad Said kerana keputusan piihanraya umum pun tidak bijak kerana pihak yang mengetahui tahu bahawa salahnya adalah PM dan akan timbul desas desus kata PM pun patut diguguran kerana tidak dapat 2/3 Parlimen dan kekalahan Selangor lebih teruk”.

Kenyataan itu bersifat amaran terhadap Perdana Menteri dengan mengatakan, “ yang buat silap bukan Ahmad Said dan jangan pula Menteri Besar Terengganu dipersalahkan”.

Isunya ialah Najib belum berkata apa-apa dan andaian atau spekulasi oleh Awang Selamat pun tidak menyebut secara khusus nama Ahmad Said. Persoalan ialah kenapakah blog-blog berkenaan bercakap mempertahankan Ahmad Said? 

 
Berkaitan isu calon ini yang andaiannya dibuat secara pukal, baik diteliti secara satu persatu kawasan-kawasan yang kalah, apakah ia kerana Najib.

Pertama – Kuala Terengganu – Parlimen ditandingi Mohd Zuber Embong, DUN Ladang, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, DUN Batu Buruk oleh Datuk Mat Jusoh, DUN Bandar oleh penyandang, Toh Chin Yau dan DUN Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Kedua – Dungun – Parlimen ditandingi oleh Datuk Rosli Mat Hassan, Bukit Besi oleh Roslee Daud, Ajil oleh Ghazali Taib, Rantau Abang oleh penyandang Datuk Za’aba Mohd Adib, Paka oleh Mautulidi Mat Jusoh dan Sura, Zakaria Ali.

Ketiga – Marang - Parlimen oleh Datuk Yahya Khatib, DUN Pengkalan Berangan oleh Abdul Latif Awang, DUN Alor Limbat oleh penyandang, Alias Abdullah, DUN Rhu Rendang oleh Nik Dir Wan Ku dan DUN Bukit Payung, Zaidi Muda.

Keempat - Kuala Nerus – Datuk Nasir Ibrahim Fikri mempertahankan kerusi Perlimen,DUN Bukit Tunggal Ismail Nik, Ahmad Razif Abdul Rahman mempertahankan DUN Seberang Takir, DUN Tepuh Ramli Nuh serta DUN Teluk Pasu, Datuk Abdul Rahin Mohd Said sebagai penyandang.

Kelima - Kuala Berang – Parlimen oleh Datuk Jailani Johari (kanan), DUN Telemong oleh penyandang Rozi Mamat, DUN Kuala Berang oleh penyandang Tengku Putera Tengku Awang dan DUN Manir oleh Yusuf Awang Hitam.

Keenam - Kemaman – Yang berubah hanya di Cukai apabila Datuk Mohd Awang Tera digantikan dengan Datuk Wan Mohd Nizam Wan Abdul Hamid, sebaliknya kalah.

Ketujuh -  Setiu - Semula calon dikatakan ditentukan oleh Ketua Bahagian dan semuanya menang, termasuk calon Ahli Parlimen iaitu Che Mohamad Zulkifly Jusoh yang kalau mahu dikatakan ‘orang Najib’ pun kita boleh terima.

Calon pilihan Najib yang kesemuanya muka baru, kecuali bekas Ahli Parlimen Datuk Mohd Jidin Shafie (kiri) yang bertanding di DUN Permaisuri, semuanya menang.

Kelapan - Besut - Semua calon adalah orang Datuk Seri Idris Jusoh yang dipersetujui Najib , termasuk Allahyarham Dr Abdul Rahman Mokhtar di DUN Kuala Besut, Pehemi Yusof (DUN Jerteh) (kanan), Nawi Mohamad penyandang di DUN Hulu Besut dan di DUN Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, semuanya menang. Idris menang di Parlimen.

Jika dilihat kepada warna biru di atas iaitu calon yang boleh dianggap sebagai calon Najib, berapakah yang kalah? Tidakkah calon pilihan Najib di Besut, Setiu dan Hulu Terengganu semuanya menang?

Sementara calon pilihan Perhubungan UMNO Terengganu (bertanda merah) semuanya kalah, kecuali Roslee Daud, Ghazali Taib dan Abdul Latiff Awang.

Sementara calon tajaan Perhubungan UMNO Terengganu yang mempertahankan jawatan yang menang selain yang kalah di DUN Rantau Abang, DUN Tepoh, DUN Alor Limbat dan DUN Tepuh ialah di DUN Seberang Takir, Kemasik, Ayer Puteh, Telemong dan Kuala Berang.

Jadi kalau mahu membuat andaian mengenai pemilihan calon yang dikatakan ada campur tangan daripada Najib yang dikatakan sebab kalah, rasanya tidak logik sama sekali.

Janganlah mudah untuk menyalahkan Perdana Menteri dalam isu pemilihan calon ini kerana ada calon pilihan Perhubungan UMNO Terengganu yang dicadangkan oleh Ketua Bahagian yang boleh dianggap sudah ‘expired’ pun tetap bertanding. Salah Najib juga?

Sementara ada kawasan yang dicampurtangan oleh Ketua Bahagian dan dipersetujui oleh Perhubungan UMNO Terengganu termasuk di Parlimen mengalami kekalahan. Kesilapan percaturan sebegini pun mahu disalahkan kepada Najib?

Kita berharap Perhubungan UMNO Terengganu kena belajar mengambil tanggungjawab dan bersedia mengatakan kelemahan mereka.

Malah kekalahan di begitu banyak kawasan sepatutnya menyebabkan beberapa orang penting yang menjalankan survey, kajian strategic atau yang bertanggungjawab mencadangkan calon agar  menerima hakikat dan mengundurkan diri. Mereka adalah panglima kalah perang. Di Jepun pasti sudah ada yang bunuh diri!

Ini tidak, kesalahan sendiri seolah-olah diletakkan di bahu Perdana Menteri.

Jika ada teori mengatakan Kelantan yang hampir kalah pada pilihan raya pada 2004 tidak pun mendesak Datuk Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan, ia adalah dangkal.

Kekuatan UMNO yang tiba-tiba memuncak di Kelantan pada 2004 adalah kerana faktor penerimaan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri baru. Ia diluar kawalan Nik Aziz dan penasihatnya, termasuk Datuk Husam Musa.

Namun, PAS bangkit semula pada 2008 dan tidak memandang belakang lagi selepas itu.

Di Terengganu, kemerosotan undi kepada Barisan Nasional lebih kepada ‘kemusnahan yang diakibatkan oleh faktor ‘Terengganu Darul Runtuh’; kebijaksanaan pembangkang menggunakan media baru; pemilihan dan pertukaran calon oleh Perhubungan UMNO Terengganu; selain sikap sesetengah rakyat yang tidak menghargai jasa dan kebaikan yang diperkenalkan oleh Ahmad Said.

Dengan kata lain, semua sudah diberikan kepada rakyat. Jika mereka menolak apa yang boleh dilakukan seterusnya?

Bagi mereka pemberian dan dana yang disediakan oleh kerajaan negeri dilihat sebagai ‘tugas sesebuah kerajaan’ bukannya ‘kesedaran, keikhlasan dan kesungguhan Ahmad Said untuk membantu rakyat yang memerlukan’.

Selain itu pengaruh kakitangan kerajaan, pekerja di GLC seperti Petronas, guru dan penjawat awam lain turut membantu PAS menang dengan lebih baik berbanding PRU ke-12 pada 2008.

Jadi tidak adillah untuk menyalah Najib dalam isu pemilihan calon kerana kebanyakan calon yang kalah, sama ada calon baru atau yang bertanding lagi (sudah kalah pada PRU-12) adalah dipilih oleh Perhubungan UMNO Terengganu.

Sepatutnya, jangan ada perbuatan ‘baling batu sembunyi tangan’ dan jangan main politik ‘mulut manis, jubor masam’ dengan Najib kerana Najib pastinya ada fakta-fakta tertentu dalam memperkatakan politik Terengganu.


Saya memuji sikap Ahmad Said yang tidak mahu ‘mengambil pusing’ dan melayani sebarang khabar angin serta dakwaan yang hangat diperkatakan mengenai peralihan kuasa pucuk pimpinan negeri Terengganu.

“Saya tidak mahu komen. Itu tulisan di blog. Macam-macam berlaku. Saya pun tidak tahu. Tiada komen. Itu sahaja yang boleh saya kata. Nak kata macam mana. Kita kan 17-15, kita kena tumpukan persiapan untuk pilihan raya akan datang dan bukan bercakap soal-soal itu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Tindakan Ahmad Said itu tepat kerana sejauh ini tiada rujukan khusus kepada beliau dan hanya mereeka yang takut tidak tentu pasal mungkin ‘meminta blog-blog tertentu’ cuba mempertahankan Ahmad Said.

Hakikatnya, Ahmad Said tidak perlu dipertahankan.

Ini kerana rekod pekhidmatan dan jasanya kepada UMNO dan pembangunan Terengganu adalah suatu transformasi dalam pelbagai bidang perlu diakui oleh kepimpinan Pusat, hatta Najib sendiri!