Thursday, September 17, 2015

PENYUSUTAN RINGGIT MEMBIMBANGKAN, BUKAN UNIK KEPADA MALAYSIA SAHAJA


Malaysia bakal bankrap berikutan kejatuhan nilai ringgit dan penurunan harga minyak?

Apakah Malaysia sahaja yang merasai kemerosotan nilai mata wang dan ekonomi terjejas kerananya?

Ringgit susut melepasi RM4 berbanding dolar Amerika (AS) dan sudah pasti menjejaskan isi rumah akibat kenaikan harga makanan dan lain-lain.

Sehingga 11.50 pagi ini (17 September 2015), ringgit didagangkan pada 4.2540/2630 berbanding dolar AS.

Sejauh ini hutang isi rumah masih stabil manakala kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) pula rendah iaitu 1.5 peratus.

Pertumbuhan hutang tidak bercagar juga telah menyederhana manakala penilaian mengenai pengaliran pendapatan turut diutamakan.

Ekonomi negara ketika ini masih berkembang kukuh pada kadar melebihi lima peratus dan sudah pasti kerajaan akan memperkenalkan pelbagai pembaharuan bagi memastikan kerajaan terus berbelanja secara berhemah.

Kalangan pakar ekonomi turut menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.9 peratus pada suku kedua (Q2) 2015 adalah lebih baik berbanding jangkaan biarpun negara berdepan penyusutan nilai ringgit.

Ekonomi Malaysia tumbuh sederhana sebanyak 4.9 peratus bagi tempoh Q2 2015 berbanding 5.6 peratus pada suku pertama (Q1) 2015, yang sebahagian besarnya dipacu permintaan sektor swasta. 

Malaysia sudah mempelbagaikan sumber pendapatan negara untuk tidak terlalu bergantung kepada kepada hasil minyak dan gas.


Kini 80 peratus sumbangan adalah perkhidmatan dan ini akan terus menyokong ekonomi. Malaysia juga mempunyai asas ekonomi kukuh hasil langkah yang dijalankan selama ini termasuk mempunyai simpanan rizab mencukupi bagi berdepan persekitaran tidak menentu.

Sudah tentu rizab menurun apabila ringgit disokong namun kerajaan kembali berusaha meningkatkan jumlah rizab, dan ia dilakukan sejak krisis 1998.

Juga menarik, Malaysia mempunyai sistem kewangan yang kukuh termasuk pengantaraan wang yang kukuh untuk menyokong aktiviti ekonomi termasuk akses luas kepada pembiayaan perniagaan.

Kerana itu, Bank Negara itu amat yakin, kelemahan ringgit yang disebabkan faktor sentimen domestik dan luaran hanya sementara seperti yang pernah disaksikan sewaktu Amerika Syarikat mengumumkan penghentian program pembelian bon.

Biarpun demikian, dengan masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik yang berlaku serentak, sudah pasti kerajaan Barisan Nassional (BN) berhadapan dengan cabaran yang amat besar ketika ini. 


Kedudukan hari ini mengingatkan kita semua bahawa sebelum ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara berlaku masalah politik, ekonomi dan kejatuhan ringgit serentak namun itulah hakikat hari ini.

Sudah pasti banyak yang perlu disesesaikan.

Dalam konteks ringgit, penyusutan semasa mata wang Malaysia itu bukan sesuatu yang unik memandangkan lebih daripada 120 mata wang dunia susut berbanding dolar AS.

Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz bercakap dalam temubual eksklusif dengan New Straits Times yang diterbitkan hari ini (17 September 2015) berkata fenomena itu lebih menjejaskan pengeluar minyak dan komoditi berikutan mata wang mereka susut lebih rendah berbanding dolar US daripada kumpulan lain.

Bagi kes Malaysia, Zeti berkata beberapa isu dalaman turut menjejaskan sentimen selain keyakinan, dan perlu diselesaikan.

Menjadi harapan kita agar penubuhan Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar mampu meperkenalkan seebahagian langkah kerajaan bagi mengatasi krisis ekonomi negara.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan turut mengumumkan langkah yang perlu dilakukan berdasarkan cadangan daripada jawatankuasa itu tidak lama lagi selain pengumuman Bajet 2016 pada 23 Oktober depan.

Yang pasti, selain Malaysia, banyak negara yang bergantung kepada ekonomi berasaskan komoditi seperti Australia, Rusia dan Brazil mengalami kejatuhan nilai mata wang yang lebih teruk berikutan penurunan harga minyak dunia dan pengukuhan dolar Amerika.

Malah,  cadangaan Zeti agar orang ramai perlu diberi peluang untuk mengikuti latihan atau latihan semula untuk memulakan perniagaan sendiri, sesuatu yang perlu diberikan perhatian.Usaha seperti itu pernah dilakukan pada 2000 apabila kira-kira 4,000 orang meninggalkan sektor perbankan berikutan pelaksanaan langkah pengukuhan dan penggabungan.

Apapun, bagi Zeti – “untuk mengatakan cabaran kini bukan tempoh yang mencabar merupakan satu penafian, dan sebahagian besarnya adalah di luar kawalan kita.”

Hakikat bahawa dolar AS mengukuh berbanding 120 mata wang lain menjelaskan segala-galanya. 

Beliau berkata rakyat Malaysia wajar berusaha mengurus diri semasa tempoh yang mencabar ini. "Rekod baik kita menunjukkan bahawa setiap kali kita berhadapan masalah, setiap kali kita kembali bangkit. Sudah lebih daripada sekali. Kita bangkit dan bangkit dengan cepat."

Dengan kata lain semua pihak, rakyat dan kerajaan mesti menyesuaikan kehidupan dengan kemampuan dan mengkaji semua opsyen yang ada.

Perniagaan juga perlu melakukan yang sama. Sebelum ini, Zeti mengatakan Bank Negara tidak akan menambat nilai ringgit seperti yang pernah dilakukan sewaktu krisis kewangan Asia 1997/98 yang lalu.

Ini kerana Malaysia mempunyai regim tukaran asing yang fleksibel bagi memudahkan penyelarasan ekonomi mengikut perubahan global.

Menurutnya, fokus kini adalah meningkatkan eksport yang sepatutnya menikmati kesan positif ekoran kelemahan ringgit sekaligus memberikan lebihan akaun semasa kepada ekonomi yang menjadi antara faktor terpenting.

Apapun, ekonomi negara tetap berkembang malah lebih kukuh berbanding krisis kewangan 1997/1998 di mana perkembangan ekonomi negara ketika itu adalah negatif.

Itulah jaminan yang ditegaskan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah minggu lalu untuk meyakinkan kita bahawa negara boleh berdepan dengan krisis kejatuhan ringgit walaupun banyak rakyat yang semakin perit!