Friday, September 17, 2010

POLIS LAMBAT BERTINDAK KES SALAH LAKU PEGUAM?

Polis juga yang menjadi sasaran.

Walaupun Majlis Peguam memecat kira-kira 30 hingga 40 peguam setiap tahun kerana pelbagai kesalahan namun tiada sebarang tindakan lanjut oleh polis walaupun laporan telah dibuat.

Itu ditegaskan oleh Presiden Majlis Peguam, K. Ragunath semalam.

Sehubungan itu beliau meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam yang menyalahi undang-undang seperti terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng," katanya selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia semalam.

Dengan kata lain, Majlis Peguam tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang sebaliknya hanya boleh menghalang mereka daripada mengamalkan profesion undang-undang dengan menyenaraihitamkan mereka.

Majlis Peguam juga tidak mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan peribadi setiap ahlinya termasuk mengenal pasti harta atau aset yang dimiliki mereka.

"Kita tidak ada kuasa untuk memenjarakan peguam yang bersalah kecuali memastikan mereka tidak lagi mengamalkan profesion mereka lagi," katanya.

Ragunath diminta mengulas mengenai gesaan beberapa pihak terhadap Majlis Peguam supaya bertindak terhadap ahlinya yang terlibat dengan jenayah ekoran pembabitan seorang peguam sebagai suspek utama dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi individu baru-baru ini.

Katanya, sebarang laporan mengenai peguam yang melakukan jenayah perlu dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bukan hanya ke balai polis biasa seperti yang dilaksanakan sekarang.

"Dengan ini tindakan terhadap peguam-peguam terbabit akan dilaksanakan secara tegas," katanya.

Menurutnya, Majlis Peguam juga sedia bekerjasama dengan polis dalam memastikan peguam yang terlibat dalam jenayah seperti pecah amanah menerima hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi membincangkan mengenai kes-kes jenayah melibatkan peguam di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kelmarin. Ketua Menteri Melaka itu berkata, sebagai badan tertinggi pengamal undang-undang di negara ini, majlis tersebut perlu membersihkan imej institusi itu yang kini tercemar ekoran pembabitan ahlinya sebagai suspek utama pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

"Kes pembunuhan kejam Sosilawati dan tiga lelaki lain melibatkan seorang suspek utama yang merupakan peguam bergelar Datuk sangat hina. Amat malang bagi negara kita jika seorang peguam boleh melibatkan diri dalam kes jenayah apatah lagi secara berterusan," katanya.

Tambah Mohd. Ali, melalui cara mengaudit dan menyemak kegiatan semua ahlinya, Majlis Peguam secara tidak langsung akan membantu pihak polis menggagalkan mereka yang pernah terlibat dengan kegiatan jenayah daripada mengulanginya.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula mencadangkan agar pengurusan Majlis Peguam diletakkan di bawah kuasa Jabatan Peguam Negara atau diselia oleh suruhanjaya tertentu ekoran sikap selektif majlis tersebut dalam memperjuangkan sesuatu isu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, sikap selektif Majlis Peguam terserlah apabila tiada sebarang kenyataan dibuat berhubung pembunuhan Sosilawati melibatkan suspek utama iaitu seorang peguam bergelar Datuk.

"Saya hairan dan tertanya-tanya kenapa tiada sebarang reaksi daripada Majlis Peguam sedangkan suspek ialah seorang peguam. Jika ini sikap Majlis Peguam, sudah tiba masanya, majlis itu diletakkan di bawah Jabatan Peguam Negara atau sebuah suruhanjaya," katanya.

Menurut Ibrahim, sikap berdiam diri Majlis Peguam itu menimbulkan pelbagai tanda-tanya kerana selama ini, jika terdapat kes pembunuhan berprofil tinggi seumpama itu, badan tersebutlah yang menjadi hero dengan membuat pelbagai desakan dan tuntutan kepada kerajaan.

Katanya, Majlis Peguam sepatutnya bersuara mengenai pembunuhan kejam yang menimpa Sosilawati dan tiga rakannya, apatah lagi perbuatan tidak berperikemanusiaan tersebut dilakukan di ambang Hari Raya Aidilfitri.

Ragunath pula menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.