Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri
Abdul Aziz semalam menempelak Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang
membidas Bajet 2017 sebagai tidak bermakna kerana kerajaan tidak mempunyai
wang.
Mengulas tulisan Dr Mahathir di blognya, pemimpin UMNO itu
yang sering menempelak Dr Mahathir dengan kenyataan pedasnya berkata seharusnya
bekas Perdana Menteri itu mendiamkan dirinya daripada membuat dirinya kelihatan
bodoh.
"Jika kerajaan tidak ada wang bagaimana kita mahu
mentadbir negara tahun depan?" soal Nazri ketika ditemui wartawan di lobi
Parlimen, semalam.
"Tolong beritahu dia supaya diam. Lebih baik untuk
beliau berdiam diri dan bagi orang ramai berfikir dia adalah bodoh daripada dia
membuka mulut dan mengesahkan bahawa dia benar-benar bodoh," katanya.
Dengan mengatakan demikian, Nazri amat yakin bahawa
kerajaan mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan tahun hadapan ketika
banyak pihak meragui kedudukan kewangan negara ini.
Malah, banyak pihak termasuk Perdana Menteri sendiri
sudah bercakap mengenai ‘ikat perut’. Sama ada ia bertujuan untuk berjimat atau
kerajaan memang kekurangan sumber kewangan untuk tahun hadapan tidaklah
diketahui, apa lagi oleh rakyat biasa.
Semalam juga bekas rakan di New Straits Times (bertaraf
Pengarang), Mustapha Kamil menulis di Facebooknya dengan mengatakan: “apabila dah
nak tersepit begini barulah kita diberitahu supaya kita kenalah ikat perut
sedangkan baru minggu lepas rasanya ada yang kata ekonomi kita ini kuat laksana
Badang.”
Sungguh tak bertanggungjawab kenyataan itu, kata Mustapha.
Sebaliknya, “apabila ada badan penarafan antarabangsa
kata ekonomi kita ini ok hasil dari kira-kira yang mereka jalankan dengan
angka-angka yang tak siapa tahu kebenarannya, kita besar-besarkanlah dalam
media.
Dan bila kita besar-besarkan itu kita mesti akan nyatakan
bahawa penarafan oleh badan antarabangsa ini 'menunjukan pemerintah telah
berjaya bla...bla...bla'.”
Beliau turut mengemukakan beberapa soalan:
1. Anda sudah semakin biasa dengar orang merungut
harga barang keperluan harian sekarang semakin mahal?
2. Anda biasa dengar orang kata susah sekarang ini
sebab projek tak ada? Atau jika ada pun pembayaran amat lambat?
3. Atau adakah anda semakin biasa dengar siswazah
menghadapi kesukaran untuk dapat perkerjaan dan jika dapat pun tak ada kena
mengena dengan apa yang mereka pelajari?
Mustapha menegaskan, anda tidak akan dengar semua ini di media
perdana. Mereka tidak dibenarkan menyiarkan kegusaran rakyat ini. Bukan kerana
apa, tapi takut sokongan politik akan menurun.
Kenyataan Mustapha ini dibuat pada ketika ada mengatakan Bajet 2017 akan berteraskan kepada rakyat, dan
2017 dijangka untuk melaksanakan langkah berhemat yang lebih kukuh.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri
Kewangan akan membentangkan Bajet 2017 di Parlimen Jumaat (21 Oktober ini).
Rakyat dan pemerhati politik tertanya-tanya sama ada ini
adalah belanjawan pilihan raya memandangkan spekulasi bertiup kencang bahawa
pilihan raya mengejut semakin hampir.
Di kalangan rakyat pula, seperti biasa mereka akan
menunggu buah, sama ada akan ranum dan gugur atau buah berkenaan terus memburuk
di dahan – tidak akan gugur sama sekali.
Antara yang penting diberikan perhatian oleh kerajaan
ialah kumpulan kategori M40 dan B40.
Apakah kerajaan mempunyai keberanian politik untuk
menyediakan insentif untuk isi rumah kedua-dua kumpulan ini menangani kenaikan
kos sara hidup.
Kategori M40 terdiri daripada kumpulan berpendapatan
antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan sementara kategori B40 merupakan kumpulan
dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.
Insentif oleh kerajaan itu mungkin perlu pada kitaran
jangka pendek, berikutan penting untuk mempelajari daripada pelaksanaan
insentif lalu untuk menentukan keberkesanan dan mengurangkan pembaziran.
Dalam konteks bajet kerajaan ini mungkin kita boleh
merenung sejenak apa yang berlaku dua tahun lalu, iaitu pada 8 Oktober 2014, apabila
Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan gaji Ahli Parlimen perlu dinaikkan kerana
sering ‘ikat perut’.
Beliau menyatakan ‘perubahan’ gaji bagi 222 Ahli Parlimen
wajar dilakukan ekoran perubahan ekonomi yang berlaku di negara. Ketika itu
gaji bagi semua Ahli Parlimen adalah sebanyak RM6,500. Kali terakhir Ahli
Parlimen menikmati kenaikan gaji ialah pada 2004 iaitu 11 tahun lalu.
Gaji Ahli Parlimen pada masa itu telah diguna pakai sejak
1 Januari 2004. Gaji bulanan mereka ialah RM6,500 tetapi mencecah kira-kira
RM13,000 jika ditambah dengan gaji.
Kini, tidak lagi. Hanya mereka yang tahu berapa
pendapatan mereka. Malah yang gemok dan boroi mungkin daripada kalangan Ahli
Parlimen.
Rakyat pula semakin merasa kesempitan hidup yang tidak
perlu dinyatakan apa sebabnya kerana ia ia adalah pengetahuan umum yang
diperkatakan setiap hari.
Cuma kadangkala ada sesuatu yang aneh apabila elaun bekas
tentera diterima lambat, tiada lagi bayaran lebihan masa bekerja di kalangan
penjawat awam atau pelajar matrikulasi
lambat menerima elaun makan mereka.
Rakyat pula merungut semuanya naik, kecuali ‘hujan sahaja
yang turun yang menyebabkan banjir kilat’.
Apa petandanya?
Dua hari lalu, kita diberitahu oleh Perdana Menteri
bahawa masa ini ialah masa untuk 'ikat perut'.
Walapupun Datuk Seri Najib Abdul Razak merujuk ‘ikat
perut’ itu sebagai arahan agar menteri bersedia menghadapi masa terkehadapan
yang mencabar namun pastinya kesan akan menjunam terus kepada rakyat.
Jika peruntukan kementerian dan agensi dipotong lagi dan
amalan 'mengikat perut' dilaksanakan
dengan mengambil kira keperluan kewangan kementerian masing-masing, pastinya
banyak perkara yang merisaukan rakyat akan berlaku.
Sebagai bekas Perdana Menteri 22 tahun dan turut menjadi Menteri Kewangan, Tun
Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bajet akan datang, pelan fiskal kewangan
kelapan di bawah Najib sebagai tidak bermakna, memandangkan tabung kerajaan
kini menghadapi kemarau kewangan.
Menurutnya, di atas kertas, tidak dinafikan sejumlah
besar wang akan diperuntukkan kepada kementerian dan agensi-agensi kerajaan.
Parlimen pasti akan meluluskan bajet itu kerana ia adalah
bajet yang dibentangkan oleh pihak kerajaan yang mempunyai majoriti di Parlimen.
Namun di pihak rakyat bagaimana?
"...rakyat tahu bahawa kerajaan tidak mempunyai wang
untuk dibelanjakan. Mereka tahu sejak dua tahun lalu, kementerian telah
diberitahu bahawa tidak ada wang dan oleh itu mereka perlu membelanjakan kurang
daripada apa yang diperuntukkan.
"Bajet itu sebenarnya tidak bermakna kerana kerajaan
tahu ia tidak mempunyai wang," katanya dalam blog post pagi ini.
Berikutan itu, Dr Mahathir mendakwa kerajaan kekurangan
dana kerana kewangan negara tidak digunakan untuk tadbir urus yang baik,
pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Ini kerana wang yang ada sedang digunakan untuk memenangi
populariti bagi perdana menteri sebaliknya. Dengan kata lain, kerajaan tidak
membelanjakan wang untuk rakyat, tetapi sebaliknya, untuk meningkatkan
populariti Najib.
Sejauh mana benar dakwaan Tun Dr Mahathir itu tidaklah
dapat dipastikan namun, menurut laporan The Star Online kelmarin (18 Oktober 2016), Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed telah bertemu
dengan Perdana Menteri pada minggu lepas bagi membincangkan cadangan
kementerian itu untuk mengukuhkan ekonomi.
"MITI meminta peruntukan tambahan. Kami memahami
keadaan tetapi kami berharap agar dapat sokongan bagi pelaburan dan promosi
perdagangan. Kami dimaklumkan bahawa keadaan adalah sukar tetapi adalah penting
bagi kerajaan dan Perbendaharaan memutuskan apa yang menjadi keutamaan.
"Ada yang anda dapati terpaksa dilepaskan. Anda
dapat sedikit, anda terlepas sedikit," beliau dipetik sebagai berkata.
Jika anda dapat sedikit dan terlepas sedikit tidak apa,
berbaloi juga.
Tetapi apakah rakyat juga akan menikmati seperti
sedemikian?
Seperti kata Mustapha (bukan Mustapa).“Ramai yang sudah
lama tahu keadaan kita ini tak lah seperti yang digambarkan sebenarnya. Ramai
yang bercakap melalui pengalaman mereka sendiri dimana kenyataan seperti kadar
inflasi masih 2 % itu langsung tak ada maknanya pada mereka.
Mana mungkin semuanya ok? Dengan melihat rendahnya harga
minyak dipasaran antarabangsa itu sahaja kita tahu yang wang kita tak sebanyak
dulu lagi. Dengan munculnya berita-berita bahawa beberapa pembayaran terpaksa
ditangguhkan itu menambah syak orangramai bahawa ada yang tak kena dengan
keadaan kita ini.”
Oleh kerana amaran sudah dikeluarkan rakyat pastinya keluh kesah dan
berada dalam kerisauan?
Sebaliknya apakah “pemerintah mahu terus menunjukkan
mereka kelihatan handal dan betul sentiasa”?
Apakah pertanyaan ini dirujukkan oleh Mustapha terhadap
kenyataan yang ‘membela kerajaan’ seperti yang disebutkan oleh Nazri?
.
Apa yang nyata, Najib kini berdepan dengan ujian dan
cabaran sebenar bahawa pada ketika beliau menteri berjimat cermat dan "mengikat
perut", perkara itu perlulah dibuktikan olehnya terlebih dahulu, termasuk
Bajet 2017 untuk Jabatan Perdana Menteri.
Malah, jika Bajet 2017 adalah bajet pilihan raya, sudah
pasti kerajaan perlu menunjukkan memang ia berkemampuan untuk menunjukkan
kepada rakyat mengapa kerajaan Barisan Nasional perlu terus memerintah selepas
pilihan raya umum akan datang.
Persoalannya, apakah perbelanjaan kurang penting umpamanya
‘memberi makan’ kepada penasihat kerajaan yang entah apa-apa
itu akan dinilai semula.
Perdana Menteri juga perlu jujur kepada dirinya sendiri
dengan sedia untuk "mengikat perut" dengan melalui keutamaan
peruntukan kepada rakyat ramai yang berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup
yang tinggi dan tekanan-tekanan seperti kenaikan harga barang dan pelaksanaan
GST masih tidak dikawal dengan baik.
Bersediakan Perdana Menteri, menteri, pemimpin kerajaan
serta mereka yang berpengaruh di kalangan masyarakat menunjukkan bahawa mereka
serius dan istiqamah untuk sama-sama ‘mengikat perut’ bersama rakyat?
Atau hanya rakyat serta isi rumah mereka yang perlu ‘ikat
perut’ tetapi pemimpin kenyang dan boroi
bersama keluarga.