Tuesday, January 24, 2017

PAS ‘MASUK BAKUL’ UNTUK BERLAGAK SEBAGAI TUAN, ‘KINGMAKER’…


PAS nampak sekali begitu angkuh, bukan sekadar melalui kata-kata dalam ulasan dan kenyataan akhbar malah menganggap dirinya sebagai ‘Kingmaker’.

Apakah PAS sebuah parti pembangkang sekuat DAP untuk mengatakan ia sebagai parti yang boleh menentukan pihak lain untuk berkuasa?

Juga sejauh mana  kuatnya PAS ketika ini dan masa akan datang, khususnya dalam pilihan raya umum ke-14 dan era selepasnya?

Keangkuhan PAS digambarkan melalui sikap dan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila menegaskan, mana-mana parti pembangkang yang ingin bekerjasama dengan PAS, perlu mengikut cara PAS.

Pemimpin nombor satu PAS itu dipetik sebagai berkata, parti Islam itu telah lama bertapak  dan melalui pengalaman jatuh bangun dalam politik, berbanding parti pembangkang lain.

Di sini jelas, mana-mana parti pembangkang yang mahu bekerjasama perlu menjadi pengikut dan ‘ekor’ sahaja kepada PAS. Tidak mungkin menjadi sama rata 50-50 atau 55-45.


Jika PAS ditakdirkan bekerjasama dengan UMNO/Barisan Nasional (BN), apakah UMNO yang lebih kukuh daripada PAS juga kena ikut rentak dan kemahuan PAS?

Dengan alasan parti Islam itu telah lama bertapak  dan melalui pengalaman jatuh bangun dalam politik, berbanding parti pembangkang lain, ia sebagai alasan kukuh untuk bersikap sedemikian?

Apakah wajar PAS mengggunakan kedudukan itu sebagai lesen untuknya ‘blackmail’ (memeras ugut) parti lain dalam konteks kerjasama politik dan pembahagian kerusi?

Lebih angkuh, Hadi menganggap parti lain hanya mahu menjadikannya sebagai ‘anak tangga’ untuk menang PRU14. “Kalau mereka tahu kekuatan PAS, mereka tak boleh pandangan ringan terhadap PAS. PAS tidak boleh jadi anak tangga untuk naik sahaja. Tak boleh,” katanya.

Di kalangan pemimpin muda PAS, keangkuhan mereka juga dapat terserlah apabila Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki mengatakan kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malasia (PPBM),  Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak memerlukan PAS dalam blok pembangkang sebagai menunjukkan 'ketakutan' pihaknya sendiri.

Kata beliau, Dr Mahathir sememangnya sengaja mengeluarkan kenyataan ini, tetapi bukan kerana ianya memandang rendah terhadap PAS, sebaliknya beliau bimbang dengan pengaruh PAS.


"Dr Mahathir adalah seorang diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua Perdana Menteri yang berada di atasnya daripada Tunku Abdul Rahman sehingga Perdana Menteri sekarang. Kalaupun boleh dikecualikan ialah di zaman Tun Abdul Razak," katanya dalam satu kenyataan medianya semalam.

Benarkah Dr Mahathir dan PPBM Bimbang dengan pengaruh PAS?

Apakah jika bekerjasama dengan DAP, PKR serta AMANAH, PPBM tidak mampu menjadi kuat?

PAS rasa kuat hanya kerana perintah Kelantan dan ada 14 kerusi DUN di Terengganu.

Namun adakah PAS melihat ancaman terhadapnya di Kelantan oleh AMANAH? Jangan perkecilkan pemimpin lawan termasuk Datuk Husam Musa.

Juga PAS jangan mendabik dada di Terengganu kerana walaupun ketika ini meihat hanya UMNO lawannya tetapi perlu diingat bahawa kemungkinan PPBM akan turut melawannya mungkin menjadi kenyataan jika PAS terus angkuh dan merasakan dirinya ‘`TUAN' dalam setiap perundingan kerjasama dan pembahagian kerusi.

Ketika menang Pilihan Raya Umum ke-13, PAS hanya ada 19 kerusi Parlimen yang kebanyakannya berpusat di Kelantan. Bertanding lebih 70 kerusi tetapi menang sebanyak itu sahaja.

Kini tujuh kerusi sudah berubah kepada AMANAH.

Sementara kerusi DUN pula ia juga berpusat di Kelantan dan negeri jirannya Terengganu, selain di Kedah. 

Jika demikian, PAS bukanlah pembangkang yang kuat dibandingkan dengan PKR dan DAP. Jadi apa kekuatan PAS untuk jadi ‘Kingmaker'?


Pertanyaan ialah apaakaah pemimpin DAP bersikap sombong dan angkuh seperti PAS hingga sukar membuka pintu rundingan dengan parti lain?

Kini PAS hanya ada 14 kerusi Parlimen sebaliknya DAP memiliki 37 kerusi, PKR 28, AMANAH 6 kerusi (selepas 5 melompat dari PAS dan satu dari Keadilan), PPBM (1), Warisan (2), Parti Tenaga Rakyat Sarawak atau TERAS (1), Parti Sosialis Malaysia (1) dan BEBAS (1).

Bermakna, pembangkang kini memiliki seluruhanya 71 kerusi dan jika ditolak 14 kerusi PAS, pembangkang lain memiliki 57 kerusi.

Bebanding dengan DAP dan PKR sahaja pun, PAS sebenarnya memiliki kerusi Dewan Rakyat yang jauh lebih kecil.

Pemimpin PAS jangan nak angkat bakul sendiri. Di kerusi DUN, kedudukannya seperti berikut:

Perlis (PAS 1, PKR 1)
Kedah (PAS 9, PKR 4 dan DAP 2),
Kelantan (PAS 32, PKR 1)
Terengganu (PAS 14, PKR 1)
Pulau Pinang (PAS 1, DAP 19, PKR 10)
Perak (PAS 5, DAP 18, PKR 5)
Pahang (PAS 3, DAP 7, PKR 2,)
Selangor (PAS 15, DAP 15, PKR 14)
Negeri Sembilan (`PAS 0, DAP 11, PKR 3)
Melaka (PAS 1, DAP6, PKR 7)
Johor (PAS 4, DAP13, PKR 1,)
Sabah (PAS 0, DAP 4, PKR 7, Star1 ).


Pada pilihan raya negeri Sarawak 2016, PAS turut meletakkan calonnya seramai 11 orang yang kesemuanya tewas. DAP bertanding 31 kerusi sementara PKR 40 dan keputusannya PKR 3, dan DAP 7.

Jika melihat kepada keputusan pilihan raya mengikut DUN, PAS hanya kuat di Kelantan (32 kerusi), Terengganu 14 kerusi dan Selangor 15 kerusi srta Kedah 9.

Kemenangan di tiga negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah boleh disifatkan melalui undi Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, selain kerusi di Perlis (1), undi kepada PAS di negeri lain khususnya di Selangor banyak dibantu parti gabungan dalam Pakatan Rakyat sebelum ini, iaitu PKR dan DAP.

Begitu juga di beberapa negeri lain seperti Perak, Melaka dan Pulau Pinang.

Hanya Kelantan yang mampu PAS menjadi pemerintah secara bersendirian ketika ini sementara di Selangor khususnya, ia menjadi gabungan kerajaan Pakatan Rakyat. Begitu juga di Pulau Pinang.

Dengan kata lain, menumpanglah tu. Sedarlah diri sikit!

Apa akan jadi selepas ini terhadap PAS di Selangor apabila DAP menarik sokongan untuk mereka? Apa kesannya jika bukan Islam marahkan PAS akibat Akta 355?

PAS tidak usah mendabik dada dan mungkin juga sokongan daripada penyokong PKR akan jauh berkurangan kali ini jika PAS masih kekal dengan sikap angkuhnya.

Malah, pertelingkahan yang dilihat semakin nyata antara PAS dan PPBM serta kritikan pedas pemimpin muda PAS terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyebabkan penyokong PPBM akan secara total menolak untuk mengundi PAS di mana-mana kerusi yang akan turut disertai oleh parti pembangkang lain.

Kenyataan Presiden PAS bahawa terdapat sikap tertentu dalam parti pembangkang yang tidak digemarinya menggambarkan juga bahawa PAS meletakkan syaratnya sendiri awal-awal lagi dalam sebarang perundingan.

“Perundingan dari segi kerjasama, penyelarasan kempen supaya tak bertembung, itu boleh dibuat. Kerjasama bersifat politik masih terlalu jauh dengan sikap-sikap sedemikian rupa pada mereka.

Jika dengan parti contohnya seperti PPBM, Hadi dan PAS bersikap demikian – apa lagi dengan keadaan DAP yang disnggap cauvinis dan AMANAH yang lebih oportunis, pintu rundingan seolah-olah sudah tertutup.

“Perundingan (kita terbuka) sepanjang masa. PAS boleh buat rundingan termasuk sesiapa sahaja, termasuk NGO. Kita parti terbuka, matang, sejahtera. Apa pun keputusan akan berbalik pada pimpinan kita.

Biarpun  PAS mengatakan ia terbuka mengadakan rundingan dengan mana-mana NGO, mahupun parti politik untuk menghadapi PRU14 kecuali dengan `AMANAH, menganggap parti lain mahu mnggunakannya sebagai anak tangga awal-awal lagi, ia sebenarnya sikap `TERTUTUP’ yang diamalkan oleh PAS.

PPBM dan PKR nampaknya tidak begitu mahu mengulas kenyataan Hadi itu tetapi Setiausaha Organisasi AMANAH, Suhaizan Kayat menegaskan beliau memohon maaf kepada Hadi kerana gagal sependapat dengan pemimpin itu berhubung kenyataan PAS yang mahu pembangkang yang lain mengikut rentak PAS sekiranya mahu bekerjasama dengan parti itu.

"Saya berbeza pendapat dengan Tok Guru. Kita tidak boleh paksa orang lain menerima cara kita. Kita hanya boleh beri pilihan pada mereka. Terpulang pada mereka untuk menerima atau menolaknya. Dari segi menilai pula, biarlah orang lain menilai parti kita dan tidak perlu kita menilai parti kita sendiri bagi pihak mereka," katanya.

Ini kenyataan berterus terang dan benar kata Suhaizan bahawa biar orang lain menilai parti kita.

Juga untuk menilai pemimpin PAS, usahlah yang di keliling Hadi menilai mereka. Mungkin ramai kalangan pemimpin PAS sekarang, kecuali yang dalam ‘kelompok kecil Hadi’ mngangung-agungkan mereka.

Yang lain sudah semakin jelas bahawa Hadi rapat dengan Perdana Menteri dan apa tujuannya.

Tindak tanduknya ke Iran yang menimbulkan berbagai kontoversi, menyerlahkan sikap Hadi dan kumpulannya yang ternyata semakin ‘membuka pekong di dada’ mengenai siapa sebenarnya Hadi dan yang sedang menyokong Hadi sekarang.


'Orang lama dalam PAS’ semakin tersisih dan digantikan oleh orang baru, termasuk dalam perundingan kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain, termasuk PPBM.

Natijahnya, pemimpin PAS tidak wajar ‘masuk bakul, angkat sendiri’.

Sebagai pemimpin kepada parti Islam mereka wajar menunjukkan sikap merendah diri dan tahu menilai kedudukan sebenar diri mereka bukan berlagak angkuh daan sombong.


Sudahlah sokongan rakyat tidaklah sekuat mana sebaliknya  mendakwa berlagak menjadi `TUAN’ dengan hanya bersandarkan kepada sejarah kewujudannya.

Namun hakikatnya ia sebuah parti ‘yo-yo’ yang kemenangannya tidak pernah konsisten di negara ini sejak 1959, kecuali menang dan kalah di Kelantan dan Teregganu sebagai kerajaan negeri.