Wednesday, September 20, 2017

ALAHAI PERDANA MENTERIKU, MALAYSIAKU, RAKYAT TURUT TERPALIT...


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah digelar oleh Australia (hanya sebuah negara) sebagai 'recalcitrant' atau ‘keras kepala’ atau lebih tepat,  bekas Perdana Negara itu, Paul Keating.

Maka ramailah menteri dan media pun mempertahankan Dr Mahathir serta menyanggah dan mengkritik balik Keating.

Tapi kini apalah nasib negaraku Malaysia.

Kelmarin 16 September 2017, sambut ulangtahun kelahiran Malaysia.

Rencana penulis di Berita Minggu mengenai kritikan Keating pada 1993. (Gambar pertemuan diambil oleh saya di Cyprus pada Oktober 1993).
Apakah Malaysia hari ini dikenali sebagai negara ‘maju di kalangan negara membangun’ dan pemimpin utamanya dihormati dunia?

Atau Malaysia kini lebih dikenali sebagai negara kleptokrasi yang memalukan rakyatnya di dalam dan di luar negara?

Bukan sekadar itu sahaja.

Perdana Menteri yang memimpin ‘parti suci UMNO’ dan Barisan Nasional (BN) turut dikenali di serata dunia.

Kerana apa?

Selepas dikenali sebagai MO1 atau Malaysia Official 1 yang kemudian diberikan pula gelaran ‘PM Kleptokrat’.

Memalukan lagi, kini satu lagi gelaran disebut oleh majalah antarabangsa Newsweek, iaitu ‘Crook’ atau ‘penjahat’.  Ada pula mengatakan Malaysia ini sebagai paya atau ‘swamp’

Apa dah jadi?


Jika ‘MO1’ lebih berkait rapat dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiasat oleh beberapa negara dunia, selain beberapa tangkapan dan penutupan bank di buat di Singapura, Switzerland serta juga sebuah negara di Asia Barat, ‘kleptokrat’ pula dikaitkan dengan ‘pencuri dan perompak’ yang dibenci dunia.

Akibat pendedahan demi pendedahan mengenai isu RM2.6 bilion dan siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan gelaran dibuat oleh media antarabangsa, pemimpin pembangkang khususnya Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kini menggelar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘perompak, pencuri, penyangak dan penyamun’.

Belum ada sebelum ini seorang Perdana Menteri dihina sebegitu rupa dalam konteks ‘mencuri harta rakyat’.

Kemarahan rakyat sebelum ini kepada Dr Mahathir yang menggelarnya sebagai ‘Mahazalim’ dan ‘Maha Firaun’ lebih kepada isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemenjaraan beliau selepas mahkamah menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Kes gelaran kepada Dr Mahathir itu tidak membabitkan kecurian harta rakyat dan rakyat merasa teraninaya kerana sebab-sebab ekonomi, pendapatan merosot, kenaikan harga barang dan pengangguran.

Antara 'Crook' filem Melayu
Sebaliknya sebahagian besar rakyat memuji langkah Dr Mahathir kerana memerangi ‘penyangak mata wang Geroge Soros’ dan menambat mata wang Ringgit berbanding Dolar Amerika Syarikat.

BN dan UMNO tetap menang pilihan raya umum 1999 dengan kemenangan di Dewan Rakyat yang memuaskan.

Gelaran diberikan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada akhir abad ke 20 lebih kepada isu politik, bukan terpalit dengan isu ekonomi dan pelaburan seperti sekarang.

Lagipun gelaran itu tidaklah terkenal ke seluruh dunia dan jika yang maklum mengenai gelaran itu mungkin rakyat di Singapura atau Indonesia sahaja. Mereka yang faham bahasa Melayu.

Namun gelaran MO1 sangat terkenal di AS dan kleptokrasi pula adalah istilah antarabangsa yang digunakan di seluruh dunia.

Mengejutkan lagi,  sejak balik dari lawatannya ke Washington bertemu Presiden AS, Donald Trump, Najib mendapat gelaran terbaru, iaitu ‘Crook’.

Apa itu ‘Crook’? Dalam filem pastinya watak jahat. Dalam filem Melayu, crook ialah Salleh Kamil, A Rahim, Haji Arshad, Mahmud Jun atau paling tidak pun Shariff Dol iaitu ‘Samseng Kampung Dusun’.

Jika Crook filem Melayu hanya di kampung, tetapi  ‘Perdana Menteri Crook’ yang digambarkan oleh Newsweek berkaitan dengan isu antabangsa.

Menariknya yang memberikan gelaran berkenaan dan digunakan oleh Newsweek ialah bekas pengerusi Bank Dunia, Paul Wolffowitz.


Majalah terbitan AS itu pada edisi 15 September menyiarkan tulisan bekas duta itu selepas Presiden Donald Trump menerima lawatan Najib ke Rumah Putih pada 12 September. (Komentar Wolfowitz itu asalnya mucul di laman sesawang American Enterprise Institute (AEI) tetapi menggunakan judul yang lain - This is not draining the swamp. Newsweek kemudian mengolah semula judul rencana itu menjadi Trump's meeting with Malaysian crook reeks of the swamp.)

Malah seorang pakar Australia di Asia Tenggara dipetik sebagai berkata oleh New York Times bahawa dari sudut pandang perhubungan awam, ia adalah pertemuan yang harus dielakkan Rumah Putih.

Najib mencipta sejarah kerana selepas 60 tahun, orang Melayu terkenal lagi di arena antarabangsa apabila pemimpin mereka digelar sebagai ‘crook’ oleh pemimpin antarabangsa dan majalah antarabangsa.

Mungkin di pihak Pejabat Perdana Menteri dan UMNO menganggap gelaran itu sebagai perkara kecil.

Atau mungkin juga anggota Kabinet Najib dan pemimpin UMNO/BN jadi bisu kerana tergamam atau terpaksa mengakui kedudukan sebenar Najib di mata dunia ketika ini.

Najib dan Malaysia kini sudah tidak lagi memiliki darjat yang murni sebaliknya boleh diberikan gelaran dengan sewenang-wenangnya.

Penyokong Najib pula ramai seperti mengiakan sahaja kerana berdiam diri.

Jika mereka ‘ada telor’ atau memang mahu mempertahankan Najib bermati-matian, langkah menyaman atau membantah tindakan secara besar-besaran kepada media asing daripada AS itu perlu dilakukan.

Mana pergi pemimpin UMNO yang lantang, khususnya Pemuda UMNO. Mana pergi NGO yang menyokong Najib? Kenapa membisu? Turut malu?

Sesuatu  yang pasti, kritikan media Barat terhadap pertemuan Trump dengan ‘penjahat itu’ sebagai sesuatu yang  tersangat "malang" dan memalukan.

Ia pastinya akan meninggalkan kesan lama di hati dan sanubari rakyat bahawa untuk pertama kalinya, seorang Perdana Menteri Malaysia mendapat tiga gelaran dunia yang membawa kesan yang sangat negatif.

Wednesday, September 13, 2017

NAJIB KEPADA TRUMP - MUSUHMU MUSUHKU JUA, DUITKU DUITMU JUA...


Pada pertemuan di Cabinet Room, Rumah Putih Washington semalam, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memuji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana sama-sama mahu membantu memerangi pengganas Islam, khususnya Daesh.

Pada pertemuan itu, Najib bukan ‘minta wang’ AS tetapi menawarkan wang termasuk dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Khazanah Nasional Berhad.

Trump kelihatan begitu bangga kerana Malaysia berikrar mahu  membantu mengukuhkan ekonomi negara kuasa besar itu.

Apakah kita sebuah negara lebih kaya atau setanding dengan Uncle Sam sehingga kita mampu untuk mengukuhkan ekonomi AS?

Apa pula tukaran atau balasan yang akan diberikan AS dalam bentuk ekonomi kepada kita?

Sehingga kini, TIADA!!!

Ini kerana dalam kenyataan Trump semalam di hadapan Najib dan delegasi Malaysia semalam, di pihak Trump tidak menjanjikan apa-apa.

Malah, Najib juga mendapat pujian kerana berjanji akan membantu AS untuk menjadikan rantau sebelah Timur sebagai rantau ‘stabil’ dan akan terus menjadi rakan karib Washington.

"Perdana Menteri telah memainkan peranan besar untuk tidak membenarkan ISIS, atau anda gelar Daesh, dan lain-lainnya untuk wujud. Beliau benar-benar berpendirian tegas dalam menentang keganasan di Malaysia dan merupakan penyokong kuat bagi pendirian itu, “ demikian kata Trump.


Dengan kata lain, Kuala Lumpur bangga kerana berjaya menangani ancaman Negara Islam (IS) melalui promosi wasatiyah dan melalui program antiradikalisasi yang di sebut Najib merekodkan kadar kejayaan 90 peratus.

Dengan kata lain juga , bagi Trump, musuhnya juga musuh Malaysia. Bagi Najib, 'musuhmu musuhku jua’.

Suatu penegasan yang pastinya menggembirakan Trump, apalagi baru kelmarin mengenakan sekatan terhadap Korea Utara kerana ujian senjata yang tanpa henti oleh Pyongyang.

Namun di sebalik itu, apakah yang menuntungkan Malaysia selain janji diplomatik dan kepuasan yang ditawarkan Najib kepada Trump?

Melalui siaran CNN semalam yang menunjukkan pertemuan dua delegasi – Malaysia dan AS -  jelas sekali Najib menunaikan janjinya seperti disebut pada wawancara dengan Utusan Malaysia baru-baru ini bahawa pertemuannya dengan Presiden itu ‘bukanlah untuk meminta wang’.

Najib sebelum ini mengatakan tujuannya ke Washington bertujuan menunjukkan Malaysia adalah sebuah negara penting kepada AS dan dijadikan  rakan memerangi keganasan.

Seperti kata Najib, “Kita datang bukan untuk meminta wang tetapi datang sebagai sebuah negara yang sedang berkembang pesat dan bakal berada dalam kalangan 20 negara maju.

'Kita datang untuk beritahu bahawa kita boleh dijadikan rakan untuk memerangi keganasan dengan kita mengamalkan Islam sebenar,” beliau dipetik Utusan Malaysia 12 Sep 2017sebagai berkata.

Jelas dan benar.

Najib mengotakan kata-katanya apabila beliau membuat komitmen, antaranya membuat pelaburan untuk membantu negara itu lebih maju.

Malaysia mahu membuktikan kita bermaruah dan mempunyai banyak wang untuk melabur di negara itu sebagai rakan rapat.


Trump begitu gembira bertemu Najib dan selepas mengucapkan selamat datang, menyebut Malaysia memang rakan dagangan dan pelaburan penting kepada AS, selepas Malaysia bersetuju membeli pesawat Boeing (buatan AS) berjumlah AS$10 bilion.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata delegasi Malaysia mempunyai tiga cadangan khusus. Siapa delegasi Malaysia?

Delegasi Malaysia ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Delegasi AS yang mendengar janji dan ikrar Najib dan delegasi Malaysia, selain Trump ialah Naib Presiden, Mike Pence; Setiausaha Negara, Rex Tillerson; Menteri Pertahanan James Mattis; Ketua Staf, Jeneral John Kelly; Penasihat Keselamatan Negara Leftenan, Jeneral HR McMaster dan Penasihat Kanan, Jared Kushner.

Apakah kesemua anggota delegasi Malaysia bersama Najib itu bertanggungjawab dengan kesemua pelaburan yang dicadangkan Najib dan apakah mereka juga bertanggungjawab untuk semua itu jika ada sebarang masalah?

Malaysia berhasrat menambah bilangan pesawat Boeing yang akan dibeli oleh Malaysia Airlines Bhd (MAB).

"Kami komited untuk membeli 25 pesawat 737-MAX 10, lapan 787 Dreamliners dan ada kebarangkalian besar, bukan kemungkinan, yang kami akan menambah 24 (atau) 25 lagi 737-MAX 10 dalam masa terdekat."

Jadi, dalam masa lima tahun, dengan pembelian tambahan itu, janji niaga tersebut akan bernilai melebihi US$10 bilion

Dengan jumlah AS$10 bilion atau RM42 bilion itu pastinya Malaysia sangat dialu-alukan untuk bersahabat dengan AS, malah kedatangan Najib ‘memang dinanti’.


Selain itu, Najib turut mengatakan, Malaysia bersedia melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Bhd merancang meningkatkan pelaburan mereka di AS dengan membeli lebih banyak pesawat Boeing bagi membantu mengukuhkan ekonomi negara itu.

Perdana Menteri berkata  KWSP sahaja dijangka melabur antara US$3 bilion dan US$4 bilion (US$1 = RM4.19) di negara tersebut.

"Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS," kata Najib semasa pertemuan delegasi Malaysia dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, semalam.

Hebat sekali kita di mata dunia.

Kita menawarkan wang kira-kira AS$17 bilion untuk kukuhkan ekonomi AS tetapi sejauh ini belum ada laporan komitmen Washington membantu mengukuhkan ekonomi kita.

Tidak tahulah apa bentuk pelaburan AS yang akan dijanjikan selepas ini.

Namun yang pasti sehingga saat ini, hasil lawatan  itu, bagi Najib ‘duitku, duitmu jua...’ dalam konteks hubungan AS-Malaysia.

Saturday, September 9, 2017

LAWATAN KE AS - NAJIB 'CEMARKAN' PEJABAT OVAL, RUMAH PUTIH???


Sebaik menjejakkan  sahaja kaki di Malaysia selepas lawatan ke Washington selepas 12 September 2017 nanti, Najib Razak akan memberitahu akhbar Malaysia bahawa ‘lawatannya berjaya dan hubungan Malaysia-AS semakin kukuh’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memberitahu wartawan di Malaysia bahawa lawatannya ke Amerika Syarikat (AS) memberikan keyakinan kepada Washington bahawa Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai.

Dalam bidang apa? Ia pastinya membabitkan hubungan dua hala, pelbagai hala perdagangan, pelaburan dan hal ehwal keselamatan.

Malah, yang paling penting, Najib mahu meyakinkan rakyat Malaysia, terutamanya pengundi,  beliau ialah pemimpin bersih dan bebas rasuah serta bukan Perdana Menteri negara Kleptokrasi.

Maknanya di sini, jika beliau cuba memberitahu - jika benar membuat kesalahan, sudah pati beliau hanya dapat pergi dan tidak mungkin kembali ke tanah air.

Najib mahu kemenangan moral untuk dirinya dan Barisan Nasional, apa lagi dengan kedudukan ‘bebasnya’ beliau di AS,  menggambarkan dirinya bebas dan 'seputih kapas'.

Hakikat yang rakyat umum sudah ketahui ialah Najib memang bebas daripada siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS sejauh ini, namun bagaimana dengan ahli keluarga dan kroninya?

Najib dijadual terbang ke AS pada 12 September depan atas undangan Presiden AS,  Donal Trump sempena 60 tahun hubungan dua hala Malaysia-AS.


Walaupun diserang teruk oleh media asing kerana dasar kerasnya terhadap pembangkang, kepada pemberi maklumat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta beberapa pihak lain, Najib pastinya akan berbangga-bangga  mengatakan hubungan Malaysia dan AS semakin baik.

Beliau akan menegaskan sedemikian sebagai salah satu langkah kempen politiknya untuk menambat hati rakyat agar menyokongnya dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Malah Pejabat Oval akan dijadikan ‘senjata’ oleh Najib kononnya Trump merestui beliau dalam hubungan dengan isu memerangi keganasan selain kerjasama ekonomi di rantau sebelah Timur.

Malah Malaysia juga akan dikatakan oleh Najib membantu AS dalam banyak perkara.
Semestinya antara perkara ialah usaha Malaysia menyertai AS memerangi keganasan dan ancaman tentera pelampau Islam sama ada di rantau sebelah sini atau juga di Asia Barat.

Segalanya perlu ditunjukkan baik, mesra dan menyebelahi Najib, namun hakikatnya jika menurut The Wall Street Journal (WSJ), Najib sudah ‘tercemar’:

1    
1. 
Tiga akhbar utama AS, WSJ, The Washington Post dan New York Times sedang menunggu kedatangan Najib untuk membuka lebih banyak ‘rahsia’ kerakusan dan perbuatan salah laku Najib;
 
2.  Najib dikatakan akan mencemarkan Pejabat Oval yang masih dilihat bersih oleh rakyat AS dan masyarakat dunia kerana disitulah Presiden AS membuat kenyataan penting memerangi rasuah dunia, pengubahan wang haram, memerangi keganasan, memerangi senjata nuclear, termasuk menentang kleptokrasi;
 
3.    Seperti Presiden AS sebelumnya, Barrack Obama, Trump dilihat melakukan kesilapan besar kerana melayan Najib yang ternyata terbabit dalam beberapa perkara, termasuk demokrasi, hak asasi manusia dan  yang menyebabkan berlakunya perkara buruk kepada institusi kewangan AS sendiri dan beberapa bank-bank bertaraf dunia;
 
4.    Trump dilihat tidak mempedulikan seruan dan permintaan jangan melayan Najib kerana tingkah laku Najib  yang jelas ‘tidak memainkan peranan menyekat syarikat Korea Utara dalam isu senjata dari Korea Utara’ serta menggunakan ‘buruh paksa dari Korea Utara di Sarawak’; dan
 
5.     Najib turut berhadapan dengan serangan media AS di negara itu dan seluruh dunia yang sudahpun menggelarnya sebagai “Perdana Menteri Malaysia yang terpalit skandal” (WSJ), “pemimpin Malaysia yang terlibat skandal berbilion dolar” (The New York Times) dan “PM Najib, antara pemimpin Asia paling kontroversi” (The Washington Post).


Akhbar seperti WSJ yang sebelum ini ternyata   mencetuskan keberangan Najib dan penyokong BN berhubung laporannya mengenai 1MDB, kini tidak akan berdiam diri dan akan menjadikan lawatan pemimpin negara itu ke White House dan perjumpaan dengan Presiden AS itu sebagai sasarannya.

      WSJ sudah mengingatkan pentadbiran Trump kelmarin (7 September 2017) bahawa ia  berhadapan risiko jika berjumpa dengan Najib. Apakah peringatan itu?

Trump akan  "dihina" dengan cara yang sama seperti Presiden Barack Obama, sebelum ini apabila kes yang sama di mana penentang kerajaan akan dihukum atau dihumbankan ke penjara.

Sejarah tidak mudah dilupakan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dihumban ke dalam penjara hanya dua bulan selepas Obama bermain golf dengan Najib di Hawaii dan lawatan bersejarah presiden Amerika itu ke Malaysia pada April 2014.

Rumah Putih  diingatkan, pada pertemuan itu, kelebihan mungkin akan diperolehi oleh Najib kerana pastinya Trump dilihat menyekutukan diri mereka bersama seorang pemimpin yang sedang disiasat sendiri oleh DOJ AS.

Media dan pihak tertentu di AS ‘mengalu-alukan kedatangan Najib’  yang menyifatkan mereka tahu siapa dan perbuatan Najib dan anggota keluarga serta kroninya. Mereka memberi amaran, ‘semua pakar dasar luar di negara itu tahu siapa Malaysian Official 1’.

Lawatan Najib itu disifatkan tidak bermakna dan tidak akan membantu Najib, termasuk dalam usaha DOJ  AS menyita aset berkaitan 1MDB yang didakwa 'dicuci' ke dalam sistem kewangan negara itu.


Sebelum ini pada 3  September 2017, The Washington Post melalui lidah pengarangnya menyifatkan Najib dan Trump banyak persamaan.

Dengan menyifatkan Najib sebagai ‘nasionalis dengan kecenderungan autoritarian’, Najib dan Trump sama-sama terlibat dalam siasatan besar Jabatan Keadilan (DOJ) AS.

Isunya ialah kedua-duanya memecat penguatkuasa kanan dalam kerajaan masing-masing untuk cuba mempengaruhi siasatan siasatan itu.

Selain itu  menurut kolumnis The Washington Post, Josh Rogin, kedua-dua mereka  memainkan politik etnik dan menggunakan retorik nasionalis untuk membangkitkan kemarahan terhadap golongan lain.

Di sebalik persamaan, ada perbezaan di mana walaupun Trump mahukan musuh politiknya dipenjarakan, di Malaysia perkara itu telah menjadi rutin.

Ketika Trump menggunakan retorik untuk melemahkan kewibawaan media bebas, Najib menggunakan undang-undang jenayah untuk mendiamkan mereka.

Malah, yang tiada di AS ialah, dalam siasatan jenayah terhadap 1MDB di Malaysia, pihak berkuasa Malaysia seperti didedahkan oleh  Penyiasat AS menghadapi masalah kerana beberapa individu yang mungkin menjadi saksi, terlalu takut untuk bercakap.

Laporan  rangkaian media AS, Bloomberg menyebut, sesetengan  di "negara-negara asing" (termasuk Malaysia) yang telah membantu siasatan jenayah, bimbang dengan keselamatan mereka.

Yang lain mengatakan ia terlalu berbahaya untuk bekerjasama, kata Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam satu pemfailan di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles 5 September lalu.

FBI dikatakan  meminta supaya dirahsiakan nama-nama pemberi maklumat daripada pihak yang didakwa dalang konspirasi 1MDB itu.

Individu-individu berkenaan berkata mereka bimbang untuk meletakkan "keselamatan diri mereka dan keluarga mereka dalam risiko yang serius, kata FBI dalam pemfailannya itu.

Berbalik kepada media Malaysia, sama ada yang membuat laporan dari sana atau di Malaysia sendiri, Najib pastinya akan ‘bercakap besar’  bahawa syarikat-syarikat AS akan lihat Malaysia antara negara-negara utama untuk pelaburan.

Namun yang pasti, walaupun Najib dan kumpulannya berusaha membersihkan dirinya melalui lawatan ke Washington ini, hakikat sebenar ialah, imej Najib dan kerajaannya akan semakin buruk dan parah.

Banyak lagi isu yang belum terdedah akan didedahkan oleh media AS.

Pasukan media Najib akan berdepan dengan tugas menyuci dan membersihkan imej Najib yang semakin ‘tercemar’ hasil lawatannya bertemu Triump.

Najib bukan setakat gagal menyekat dirinya ‘dicemarkan’ oleh media dan pihak tertentu di AS tetapi Pejabat Oval dan Rumah Putih juga ‘turut tercemar dengan lawatan Najib’ itu. 

Saturday, September 2, 2017

SIAPA TERKESAN JIKA TIADA LAGI ‘BAYARAN UNTUK PENGUNDI LUAR’?


Kenyataan menarik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini ialah “beri pengundi elaun perjalanan ialah rasuah”.

Selepas berkali-kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil di negara ini, kenyataan ini bukan sahaja perlu diambil perhatian berat oleh parti pembangkang tetapi lebih penting kepada parti pemerintah, khususnya Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Isu ‘bayaran  elaun untuk  pengundi' khususnya 'bayaran untuk pengundi luar’ ini sering menjadi isu dalam UMNO dan PAS. Ini kerana dua parti inilah paling banyak menyediakan peruntukan kepada pengundi luar.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, parti lain juga turut terlibat. Hanya bukti yang mampu menyerlahkan siapa yang paling banyak dan yang siapa pula yang untung daripadanya.

Selepas terlibat dalam setiap pilihan raya umum secara langsung sejak 1986, penulis melihat isu ‘peruntukan untuk pengundi luar’ ini bukan sesuatu yang asing. Ia peruntukan dimestikan, khususnya oleh UMNO dan PAS.

Malah faktor kepulangan pengundi luar bukan isu kecil.

Ada Parlimen di Terengganu yang dikuasai oleh PAS melimpah dengan 'pengundi luar' yang menyokong calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri datangnya dari seluruh pelusuk tanah air.

Mereka 'digelar pengundi haram' tetapi sebenarnya mereka adalah bekas pelajar di sebuah masjid yang oleh seseorang yang terkenal. Tidak diketahui berapa jumlah bayaran diberikan kepada pengundi berkenaan.


UMNO juga sering mengeluh di Kelantan dan Terengganu, khususnya pada sebelah petang hari pilihan raya apabila pulangnya ‘perantau’ untuk mengundi, khususnya menyokong pembangkang – PAS.

PAS diketahui umum turut  menyediakan peruntukan ini dan mereka tidak boleh menafikannya.

Cuma PAS lebih bijak kerana mereka membayar kepada mereka di Pantai Barat, khususnya di Lembah Kelang.

Juga ramai ‘pengundi luar untuk UMNO dan PAS’ dari Johor dan selatan Thailand dan bayaran juga dibuat di sempadan umpamanya di Merapoh dan Gua Musang atau di Gambang dan Kuantan jika ke Terengganu atau di sempadan Malaysia-Thailand.

Kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki bahawa  penawaran sebarang bentuk dorongan kepada pengundi, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.

Malah menurutnya, tindakan menawarkan elaun perjalanan kepada pengundi pulang ke kampung halaman mengundi ialah satu bentuk rasuah.

Perkara ini sering diremehkan oleh pembangkang, tidak kiralah di negeri mana pun, sedangkan bagi
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang dipetik Sin Chew Daily berpendapat  penawaran sebarang bentuk dorongan, tidak kira wang tunai atau hadiah, dianggap rasuah.

Isunya kenapa baharu sekarang SPRM timbulkan isu ini?

Kenapa ia tidak dikuatkuasakan melalui kesalahan Akta Pilihanraya sebelum ini  yang akan membolehkan parti politik membuat bantahan atau memohon perintah mahkamah?

Dengan jelas Azam menegaskan calon atau ahli parti politik menawarkan elaun kepada pengundi untuk mengundi mereka, walaupun hanya RM50 ialah tindakan merasuah.



Isu peruntukan untuk pengundi luar bukan sedikit, malah melibatkan jutaan ringgit.

Apa yang menarik, kadangkala wang dijanjikan tidak pernah diterima oleh pengundi luar akibat ‘disamun oleh pemimpin tertentu’.

Ada juga banyak kes jumlah yang dibayar jauh lebih kecil daripada dijanjikan.

Berikutan itu berbagai masalah timbul  namun, tiada sebarang tindakan dibuat oleh kepimpinan parti UMNO dan PAS dalam isu ‘wang untuk pengundi luar ini’.

Ada juga yang ‘kaya’ hasil daripada melesap dan ‘mencuri peruntukan untuk pengundi luar ini’.

Akibatnya parti yang mengharapkan sokongan pengundi luar menjadi mangsa pada pilihan raya akan datang kerana mereka yang terkena atau yang dinafikan hak mereka tidak lagi pulang mengundi atau kalau pulang pun tidak mengundi lagi parti yang pernah menipu mereka.

Kali ini, menjelang pilihan raya umum ke-14, semua parti politik tidak dibenrakan lagi  menggunakan wang untuk pengundi luar dan membeli undi.

Jika didapati sedemikian, kelayakan calon sesebuah parti akan dibatalkan.

Isunya, cukupkah kakitangan SPRM untuk memantau perbuatan ini?

Atau apakah ia juga akan bergantung kepada laporan parti tertentu terhadap parti yang lain?

Apakah nanti selepas pilihan raya SPRM akan dibebankan pula dengan isu ‘wang untuk pengundi luar’ dan kesalahan berkaitan membeli undi?

Janji Azam,  sebaik sahaja Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh PRU14, sebuah pasukan penguatkuasaan yang terdiri daripada SPRM dan polis akan ditubuhkan untuk memantau aktiviti rasuah di kalangan ahli politik.

“Pasukan penguatkuasa akan mengambil tindakan berdasarkan aduan orang ramai, termasuk menggunakan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta SPRM dan Kanun Keseksaan untuk menyiasat aduan,” katanya.

Menarik untuk melihat apa kesan janji SPRM ini selepas PRU14.

Siapa akan terkesan jika SPRM benar-benar menguatkuasa dan mengambil tindakan? UMNO, PAS atau parti-parti lain?

Cumanya,  apakah SPRM mendapat nasihat daripada pihak tertentu bahawa pergerakan pengundi untuk parti pembangkang juga besar yang mengakibatkan calon parti pemerintah di negeri  tertentu tewas sebelum ini?

SPRM jangan memerangkap pihak tertentu sahaja.

Sebaliknya laksanakan penguatkuasaannya secara menyeluruh. Ini  kerana semua tahu bahawa BN melalui UMNO menyediakan peruntukan besar hingga berjuta-juta ringgit bagi tujuan membeli undi dan ‘membawa pulang perantau untuk mengundi mereka’.


Persoalan paling penting ialah terkesankan BN/UMNO?

Thursday, August 3, 2017

BAGAIMANA SCORPENE DAPAT DIBELI TANPA PERSETUJUAN KABINET?


Sejauh mana pentingnya mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis?

Apakah Dr Mahathir sudah terlalu ‘nyanyuk’ dan tidak ingat mengenai persetujuan Kabinetnya mengenai perkara itu?

Juga apakah ini antara ‘pembaziran pertama’ besar yang dilakukan Najib Razak’ walaupun ketika pembelian itu beliau hanya menteri?

Ini kerana jika menurut Dr Mahathir, beliau tidak berminat dan merasakan pmbelian kapal selam untuk digunakan Tentera Laut tidak begitu penting.

Kedudukan ini menyebabkan bekas Perdana Menteri itu tidak memberikan perhatian mendalam terhadap pembelian Scorpene.
Malah, menurut Dr Mahathir yang tidak pula lupa ingatan mengenai Scorpene itu, mengatakan kapal selam tidak berkesan dalam melawan musuh negara.
“Kapal selam bukanlah untuk pertahanan. Ia untuk tujuan serangan,” katanya kepada The Malaysian Insight baru-baru ini.

Pembelian dua kapal selam Scorpene dan sebuah lagi kapal selam Agosta menjadi kontroversi sejak beberapa tahun selepas ia dikaitkan dengan Abdul Razak Baginda, penganalisis politik yang rapat dengan Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan menteri pertahanan di bawah Kabinet Dr Mahathir.


Dijangkakan isu Scorpene ini berkait dengan rakan rapat  Najib itu yang diadili di Perancis berhubung dakwaan menerima sogokan dalam penjualan japal selam kepada Malaysia pada 2002 akan 'menghantui' semula politik negara ini.

Sumber badan kehakiman berkata Abdul Razak menjadi penasihat Najib semasa beliau menjadi menteri pertahanan antara 2000 dan 2008.

Memang ada siasatan di Malaysia terhadap urusjanji dilancarkan pada 2010 ttapi ia sebagai respon kepada aduan daripada kumpulan hak asasi Malaysia, Suaram.
Dengan kata lain, tekanan hanya datang daripada sebuah NGO.
Kenapa isu seperti ini tidak dibuka semula dan ditubuhkan badan siasatan khas mengenainya. Apakah jumlah pembelian dan wang kerajaan yang digunakan ini kecil?
Isu penting ialah bagaimana pembelian dibuat tanpa persetujuan Kabinet dan apakah wujud ‘penyalahgunaan kuasa’ dan pembaziran wang rakyat dalam isu ini?
Dilaporkan, sebahagian daripada urusjanji itu, sebuah syarikat iaitu unit limbungan tentera laut Perancis, DCN bersetuju untuk membayar €30 juta (RM151.81 juta) kepada unit Thales di Asia, Thales International Asia (Thint Asia).
Siasatan mendapati  sebuah syarikat lain, Terasasi, di mana pemegang utama syarikat itu ialah Razak, menerima bayaran untuk kerja perundingan.
Bagaimanapun, penyiasat percaya ia sebenarnya sogokan.
Dengan Razak didakwa di Perancis pada 18 Julai dengan tuduhan “persubahatan secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat”, isu ini menjadi semakin penting dalam konteks politik dan ekonomi Malaysia.

Malah kontroversi juga membabitkan pembunuhan model Mongolia yang dibunuh kejam di Malaysia.

Isu di sini ialah bagaimana Najib ‘dapat mempengaruhi kerajaan’ untuk membeli kapal selam berkenaan jika kerajaan ketika pentadbiran dan Kabinet Dr Mahathir tidak membuat keputusan membelinya?


Apakah ia buat ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi atau ketka tempoh ‘perpindahan kuasa antara dua Perdana Menteri’ berkenaan?

Persoalan penting sekarang ialah, jika kerajaan tidak berminat, bagaimana pembelian itu dapat dibuat juga oleh kementerian yang diketuai oleh Najib?

Apalagi pembelian itu jauh sekali daripada sesuatu yang boleh dianggap ‘penting untuk kepentingan rakyat dan keselamattan negara’.

Kenapa ia tidak mendapat bantahan kerajaan pada ketika itu?

Jumlahnya bukan kecil.

Najib dikatakan menyelia urusjanji bernilai hampir €1 billion (RM5.06 bilion) untuk membeli dua kapal selam kelas Scorpene dan satu kapal selam kelas Agosta daripada DCN, yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pertahanan Perancis, Thales.

Bagaimana ia boleh berlaku dan berlalu begitu sahaja?

Bukan sahaja isu dikaitkan dengan ‘rasuah’ tetapi paling penting ialah jika pembelian kapal selam tidak penting dan lebih malang jika ‘kurang digunakan’, apakah ia projek gajah putih?

Jika ia gajah putih ia bukanlah suatu keutamaan dan boleh dikategorikan sebagai ‘pembaziran’?

Dengan kata lain, pembaziran dan perbelanjaan besar oleh Najib bukan sahaja bermula sejak beliau menjadi Perdana Menteri, tetapi lebih awal iaitu sejak 2002 lagi?


Mugkin juga pemakluman bekas Menteri Pertahanan itu kepada Kabinet mengenai perlu dan pentingnya pembelian Scorpene tidak diberikan perhatian mendalam oleh Perdana Menteri dan menteri Kabinet lain.

Namun di sebalik ‘lupa ingatan’ itu, bagaimana Dr Mahathir dapat ingat dengan jelas keputusannya tidak membeli kapal selam?
Menurut Dr Mahathir, beliau memang tidak mahu beli (kapal selam) kerana tidak boleh digunaakan.
“Kapal selam itu kita tak boleh guna di Selat Melaka. Dan kita tidak ada duit, kosnya tinggi.
“Tetapi tiba-tiba setelah saya bersara, saya dapat tahu menteri pertahanan sudah buat pesanan untuk mendapatkan dua buah Scorpene,” kata Dr Mahathir yang bersara dari kerajaan pada 2003.
Najib yang  merupakan menteri pertahanan ketika itu dan Abdullah yang pernah menjadi Perdana Menteri pasti ‘tidak lupa ingatan’ seperti Tun Dr Mahathir mengenai pembelian ini.

Sebagai rakyat tidkkah  wajar bagi kita menuntut jawaan mereka berdua kerana kos pembelian ini sebenarnya sekali ganda lebih besar jumlahnya daripada kontroversi wang RM2.6 bilion yang dikataan derma dari Raja Arab itu?

Friday, July 14, 2017

PERJUANGAN ‘KE PUNCAK GUNUNG’ TAWARAN HARAPAN KEPADA RAKYAT...


Ini hanyalah permulaan. Namun langkah pertama inilah membawa harapan seterusnya...

Perjuangan sebenar Pakatan Harapan (PH) sudah jelas namun masih banyak perkara yang perlu difikir, dinilai dan dijadikan dasar sebenar pakatan itu  dalam meyakinkan rakyat bahawa inilah pakatan sebenar yang mampu memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Dengan logo rasmi PH diumumkan melambangkan puncak gunung, ia menggambarkan berapa gabungan berwarna merah dengan perkataan “HARAPAN” yang dibahagikan oleh sebuah segitiga di tengahnya merupakan lambang  harapan sebuah perjuangan dalam mememuhi kehendak dan tuntutan rakyat.

Ia daripada HARAPAN untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Inilah kunci sebenar perjuangan PH.

Warna merah digunakan itu sebenarnya adalah warna asas tiga parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP, kecuali AMANAH yang menggunakan warna oren.

Namun  segi tiga digunakan oleh AMANAH untuk logonya dan pastinya kombinasi warna dan ‘A’ yang dibesarkan itu menjadi satu gunung puncak yang tinggi – melambangkan perjuangan padu dan bersasar PH.


Logo baharu itu jika diluluskan pendaftaranya akan digunakan buat kali pertama oleh pembangkang pada pilihan raya umum. Dijangkakan logo akan didaftarkan dengan  Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS)  selewat-lewatnya dalam tempoh seminggu dari sekarang.

Ini satu perkembangan menggalakan berbanding Pakatan Rakyat yang kini dibubarkan sebelum ini,  menyertai pilihan raya dengan logo masing-masing.

Yang nyata, setidak-tidaknya, semalam tiga (bukan dua) perkara asas sudah dipersetujui dalam PH

Isu kepimpinan PH dan logo yang diperkatakan dengan meluas oleh pengkritik PH sudah dapat diselesaikan malam semalam. Juga mengenai isu pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Struktur dan logo PH itu  akhirnya berjaya dimuktamadkan selepas mesyuarat majlis presiden bersidang lebih empat jam yang  berlansung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Kejayaan ini pastinya mengejutkan Barian Nasional (BN) yang sebelum ini menggunakan berbagai cara – media sosial dan kenyataan pemimpin mereka -  untuk pecahbelahkan PH dengan berbagai perang saraf mereka kononnya wujud perebutan kepimpinan, selain memperlekehkan mengenai logo PH yang diviralkan sebelum ini.

Namun usaha itu ternyata gagal dan cita-cita pemimpin BN untuk memporak-perandakan pakatan kepimpinan dalam PH,  jelas gagal.


Pastinya ‘pemikir strategi BN’ ketika ini sedang merangka strategi baru untuk cuba melaga-lagakan PKR dan PPBM  agar berlaku pula perselisihan lain, termasuk isu siapa bakal Perdana Menteri selepas PRU14.

Pemimpin atasan PKR dan PPBM perlu pastikan pemimpin bawahan mereka serta penyokong tidak melakukan sesuatu yang boleh mengeruhkan keadaan demi kerancakan PH menggempur BN.

Mereka perlu akur dan mendapatkan maklumat jelas mengenai sesuatu isu dan tidak percaya dengan sebarang maklumat tidak sahih dan yang cuba di’spin’kan oleh musuh mereka.

Untuk AMANAH dan DAP, mereka  perlu berusaha untuk menjamin penyokong mereka dapat menerima lantikan ini dengan baik kerana Setiausaha Agong DAP serta Presiden dan Timbalan Presiden AMANAH, turut berada dalam kedudukan penting.

Sejauh ini secara ringkas PH sudah mengatakan dengan jelas bahawa dalam masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang, akan memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat.

Perkara ini menjadi perjuangan asas semua parti gabungan PH sebelum ini, termasuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mula dilaksanakan pada April 2015.


Selain itu PH juga komited  komited untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:

·        1. Memulakan proses reformasi institusi secara menyeluruh;
·        2. Memerangi rasuah hingga ke akar umbi;
·        3. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan di-Raja skandal 1MDB;
·        4. Memulihkan FELDA, serta.
·        5. Menstabilkan harga petrol.

Apa yang menarik di sebalik persetujuan mengenai struktur dan logo PH, PH juga berikrar memberi komitmen bahawa proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas PH membentuk kerajaan.

Daripada kenyataan yang  dibacakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi PH, amat nyata pakatan itu akan mengemukakan permohonan baru untuk mendapatkan pengampunan bagi Anwar (Anwar  dilarang bertanding sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman lima  tahun penjara pada 2015 dan amat nyata beliau akan terlepas untuk bertanding pada PRU14.)

Malah, membaca kenyataan PH yang ditandatangani pemimpin tertinggi PKR, DAP, AMANAH dan PPBM, Dr Mahathir menyatakan bahawa: “Permohonan yang dikemukakan mengikut proses undang-undang ini, dengan perkenan…Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya.”


Sama ada struktur baharu itu merestui Anwar sebagai calon perdana menteri atau sebaliknya, Dr Mahathir menjelaskan semalam, yang penting Anwar mendapat pengampunan pengampunan diraja dan selepas itu sebarang tindakan perlu melalui proses undang-undang.

Soal siapa Perdana Menteri PH sekiranya menang PRU14 pernah diperkatakan dengan meluas sebelum ini di mana timbul beberapa desakan supaya Dr Mahathir menjawat perdana menteri yang kemudian  melantik Anwar.

Yang nyata, dalam isu ini, masih banyak perkara perlu dilakukan. Kerana itu Dr Mahathir mengatakan
“Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi.”

Malah beliau mengakui isu Anwar sebagai Perdana Menteri ini  sesuatu yang tidak dapat dilakukan serta merta “kerana perdana menteri yang akan mengambil alih ini mempunyai tugas yang banyak”.

Apapun, selepas perkara asas PH dapat diselesaikan semalam, tugas mereka ialah menjamin apa yang dirancang berjalan lancer.

Sewajarnya rakyat dan penyokong PH perlu yakin dengan pencapaian ini. Tugas selanjutnya tidak begitu sukar dirancang dan dilaksanakan memandangkan mereka yang memimpin PH kini bukan calang-calang pemimpin.

Selain berpengalaman dalam politik dan pentadbiran, organisasi PH dan pemimpinnya  dilihat  mampu menjayakan harapan rakyat.

Struktur dipersetujui semalam selepas dirundingkan beberapa bulan selain Dr Mahathir ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Tiga Timbalan Presidan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (AMANAH).

Empat naib presiden daripada setiap parti ialah Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir , Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan Timbalan Presiden AMANAH,  Salahuddin Ayub.

Bekas timbalan menteri Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai ketua setiausaha, manakala ahli Parlimen DAP, M Kula Segaran sebagai  bendahari.

Pengumuman ini menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa Muhyiddin dilantik sebagai presiden, sementara Anwar sebagai  penasihat dan Wan Azizah sebagai timbalan pengerusi. Azmin pula disepekulasikan  sebagai timbalan presiden, manakala Guan Eng dan Mohamad Sabu pula sekadar menjadi naib presiden Pakatan Harapan.

Malah persetujuan dan pengumuman semalam juga pastinya akan merancakkan lagi momentum menekan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak apabila rasuah dan penyelewengan akan dijadikan antara perkara penting dalam strategi PH menundukkan BN.

Di sebalik kejayaan awal ini, pastinya rakyat lega dengan ‘kesepaduan’ itu pastinya mahu melihat dan mengetahui apa yang akan ditawarkan seterusnya oleh pakaran ini menjelang PRU14. nanti.

Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, AMANAH dan PPBM yang sudah tercapai kini, ia akan menggembleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan jauh lebih baik daripada BN.

Thursday, July 6, 2017

1MDB – PAS SEPATUTNYA MEMERANGI KEMUNGKARAN, BUKAN TERUS…


Jelas sekali Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr. Khairuddin Aman Razali bermain dengan retorik dalam ulasan terbarunya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenapa penulis mengatakan demikian?

Berdasarkan kenyataannya semalam yang disiarkan oleh portal berita rasmi PAS Terengganu bertajuk "Kemungkaran 1MDB Bermula Apabila Menggunakan Kaedah Hutang ‘Riba’ Haram'", jelas Dr Khairuddin tidak 'menetapi sasaran'.

Kenapa boleh dianggap tersasar dan tidak mengena sasarannya?

Dengan menyebut kemungkaran 1MDB bermula apabila syarikat milik kerajaan itu menggunakan kaedah hutang riba yang diharamkan oleh Islam bagi mendapatkan modal sehingga berpuluh bilion ringgit, tidak membawa makna apa-apa terhadap usaha mengejar ‘pencuri, perompak dan penyamun’ wang dana itu.

Isu sekarang bukan lagi bagaimana ia dimulakan kerana rakyat Malaysia sudah sangat maklum mengenainya.

Yang perlu dilakukan Dr Khairuddin sebagai Ahli Majlis Syura Ulama PAS ialah mengemukakan nas dan hadith mengenai haram bagi kerajaan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melindungi maklumat tepat dan benar mengenai 1MDB daripada diketahui oleh rakyat.

Maksud di sini ialah, keluarkan fatwa apa hukumnya pemerintah, termasuk Perdana Meenteri dan Kabinetnya yang bersekongkol  meletakkan laporan Ketua Audit Negara sebagai bahan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kenapa ‘menyorotkan kebenaran’ isu laporan itu daripada diketahui rakyat sedangkan 1MDB ditubuhkan dengan hasrat untuk memberikan kebaikan kepada rakyat.

Rakyat perlu tahu apa masalah, apa penipuan  dan sejauh mana penyelewengan yang berlaku.

Dan jika benar berlaku penyelewengan dan perbuatan pengubahan wang haram, ia perlu dibentaras. Ini lebih baik daripada Dr Khairuddin mempersoalkan mengenai modal awal 1MDB kerana ia memang dibuat melalui ‘jalan yang salah’.

Maklumat dalam laporan audit itu penting untuk rakyat bandingkan dengan laporan dan kandungan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk suatu kebenaran yang hakiki.

Dr Khairuddin yang sebelum ini Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat dan kini menjadi Bendaharinya, tidak usah bermain sengan sentimen agama dalam isu ini secara berbelit-belit kerana akan menimbulkan lebih banyak persoalan kepada integrity beliau dan pemimpin PAS sendiri.

Orang Islam dan bukan Islam pun maklum bahawa perniagaan berasaskan ‘modal ‘haram’ tidak akan diberkati Allah, menyebabkan pelbagai isu melingkari 1MDB sehingga ke hari ini.

Ketika ulama kita membisu mengenai 1MDB, adalah elok jika Dr Khairuddin dan  Dewan Ulama PAS mengorak langkah untuk mendesak kerajaan supaya telus dan berterus terang dengan rakyat mengenai apa masalah sebenar berkaitan 1MDB.

Malah, jika ia turut melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN), PAS perlu berterus terang dan jangan dilihat cuba menyembunyi sesuatu atau bersekongkol dengan mereka yang cuba menutup kelemahan dan penyelewengan dalam 1MDB.

PAS akan dihormati oleh rakyat dan semua pmbangkang jika ulamanya bercakap secara berani dan tidak memihak dalam dalam isu ini.

Apakah retorik oleh Dr Khairuddin ini hanya gambaran bahawa satu sandiwara sedang dimainkan oleh PAS dan UMNO untuk mengelirukan rakyat?

Apakah PAS mahu menjadi parti ‘klu-klek’ di mana pada suatu sudut ia mempersoalkan kerajaan dalam isu modal 1MDB tetapi perjalanan syarikat itu yang dilihat berceluru dan banyak wang lesap tidak pula dikritik oleh PAS?


Dr Khairuddin juga perlu lebih tegas dan jelas dalam menyatakan pendirian jika benar ‘pengurusan kewangan 1MDB sedang bergelut dengan pelbagai pelan bagi menyelesaikan kemelut hutang ini.

Beliau sewajarnya bertanyaa kerajaan bagaimana 1MDB mahu membayar baki hutangnya yang boleh mencecah kira-kira RM40 bilion sementara jumlah bayaran dibuat 1MDB bernilai hampir RM3.9 bilion.
Perlu ditanya dari mana wang untuk bayar hutang itu diperolehi.
Juga Dr Khairuddin sebagai pemimpin Islam wajar mengemukakan pertanyaan apakah status dan kedudukan dana agensi pelaburan milik kerajaan itu yang kini bernilai RM7.07 bilion sedangkan jumlah hutang yang ditanggung oleh 1MDB adalah RM50 bilion setakat Januari 2016.
Dan jika kerajaan tidak bercakap benar, Dr Khairuddin wajar persoal kerajaan kenapa tidak ada keteluasan. Apakah Islam membenarkan pemimpinnya ‘tidak bercakap benar’ dan ‘melindungi maklumat mengenai harta kerajaan daripada diketahui rakyat’?

Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu memberikan pandangan yang bernas bagi menyelesaikan hutag yang beliau sendiri berpendapat ‘jika tidak diselesaikan bakal melibatkan kewangan kerajaan kerana hutang-hutang 1MDB dijamin oleh Kerajaan Persekutuan.”

Sebagai Ahli Majlis Syura Ulama itu, beliau perlu tegas menyatakan juga hukum dan pandangan Islam dalam menyelesaikan segera hutang 1MDB kerana membabitkan kepentingan rakyat.

Sebagai ahli Parlimen daripada ‘parti Islam’ beliau wajar bertanya kenapa Kementerian Kewangan tidak boleh mendedahkan butiran proses timbang tara antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi?

Benarkah ia terikat dengan garis panduan kerahsiaan?

Kes timbang tara antara pihak IPIC dan 1MDB masih berlangsung di London Court of International Arbitration (LCIA) memanglah perlu dihormati garis apanduan kerahsiaannya, namun kenapa lansung berdiam diri mengenainya?

Dr Khairuddin diyakini peka mengenai perkara ini tetapi enggan bersuara? Kenapa?

Jika PAS pejuang rakyat, apa lagi rakyat Islam di negara ini yang rata-ratanya berada dalam keadaan yang dihimpit berbagai masalah, kesusahan akibat tekanan hidup dan masa depan tidak menentu akibat 1MDB, Dr Khairuddin  hendaklah diperkatakan dengan jelas dan berterus terang, bukan secara sipi.

Sebagai orang bijak pandai dalam PAS, jangan bermain di bahagian sayap tetapi jadilah pemain yang ‘menyumbat gol’ demi kepentingan penyokong PAS dan rakyat amnya.

Dan jika Dr Khairuddin beretuju bahawa 1MDB juga terpalit dengan dakwaan kebocoran dan ketirisan perbelanjaan, apa pula hukum dan pandangan Islam mengenai perkara ini?

Malah, dengan beliau mengakui bahawa perbelanjaan 1MDB yang dikatakan mengalir kepada beberapa syarikat milik individu tertentu mengundang kepada penyiasatan dan saman sivil oleh DOJ, jangan pula beliau seakan bermain ‘di dua kolam’.

Membiarkan ia terus berlaku tanpa adanya usaha untuk menghentikannya, selain  berdolak-dalik  tindakan untuk mendedahkan kebocoran dan ketirisan jelas perbuatan bersubahat dengan kebejatann?

Apa pula hukumnnya bagi mereka yang bersubahat, apa lagi menyokong perbuatan yang menyebabkan ketirisan?

Sewajarnya sebagai Ahli Parlimen yang mendapat gaji dan berbagai ‘laba’ daripada undi rakyat, Dr Khairuddin memulangkan semula hasil undi rakyat, bukan sahaja di Kuala Nerus dan Terengganu tetapi juga Malaysia amnya untuk menyatakan perkara yang benar dan sebenar-benarnya dalam isu 1MDB ini.

Mengingatkan DoJ dengan kata-kata, “Jangan pula tindakan hanya menjadi modal politik tanpa kesudahan untuk kepentingan pihak tertentu..” bunyinya seakan kata-kata pemimpin UMNO’

Kenapa kita tidak boleh teruja dengan siasatan DoJ? Siapa yang mencemarkan nama negara? Pemimpin BN?UMNO atau rakyat?

Apakah Dr Khairudddin rela bersekongkol dan bersubahat dalam perkara mungkar seperti ini?

Siapa sebenarnya yang mencemarkan nama negara dan meletakkan isu 1MDB ini disiasat oleh banyak negara di dunia? Pembangkang, rakyat atau pemimpin BN/UMNO?

Sepatutnya Dr Khairuddin menasihat pemimpin BN/UMNO jangan cemarkan nama negara dan jangan menyebabkan negara ini digelar ‘kleptokrasii’.

Dr Khairuddin sebagai pemimpin Islam jangan bermain dengan andaian apabila mengatakan ‘dakwaan ada individu rakyat Malaysia yang melobi negara luar untuk mengambil tindakan terhadap aliran kewangan 1MDB juga tidak boleh dipandang ringan’.

Malah beliau menegaskan tindakan individu yang melobi itu ‘bererti membawa masalah negara sendiri untuk campurtangan luar’.

Bukankah andaian seperti ini mirip kepada tuduhan?

Bagaimana Dr Khairuddin boleh yakin dengan itu semua? Maklumat daripada Perdana Menteri, pemimpin UMNO dan yang sewaktu dengannya?

Jika Dr Khairuddin mahu masalah negara sendiri perlu diselesaikan dengan cara kita sendiri tanpa melibatkan orang luar, sewajarnya beliau menasihati Najib, Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar serius dalam menyelesaikan kemelut 1MDB.

Penulis bersetuju jika dibentuk Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat tuduhan ketirisan dana 1MDB ini. Namun apakah ia diambil peduli oleh Najib dan Putrajaya?

Selain itu berapa lama lagi siasatan akan mengambil masa?

Jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dianggap begitu cekap dalam menjalankan tugas pun belum selesai mmbuat siasatan, apa lagi RCI berkenaan.

Berikutan itu berapa lama lagi Dr Khairuddin mahu membiarkan isu 1MDB dan masalah berkaitan dengannya terus disiasat oleh negara luar?

Berapa lama lagi rakyat mahu dibelenggukan dengan isu ini sedangkan mereka yang ‘merompak dan mencuri’ bermewah dan bersenang-senang di luar negara.

Mengaitkan skandal ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dengan 1MDB boleh disifatkan sbagai tindakan bersama Dr Khairuddin dengan BN/UMNO untuk melarikan isu sebenar daripada rakyat.

Kata-kata bahawa pelbagai kemelut dan skandal di era Dr Mahathir akibat pengurusan oleh jiwa yang tidak meletakkan pertimbangan syurga dan neraka’ adalah kenyataan berpihak.

Apakah isu 1MDb yang diakibatkan oleh Najib ini meletakkan pertimbangan ‘syurga dan neraka’? Kenapa Dr Khairuddin tidak menghalakan juga ‘peluru syurga dan neraka’ in kepada Najib?

Kata-kata bahawa pembangkang hanya berhasrat menukar pemimpin BN sahaja tanpa menukar dasar-dasar pentadbiran dan pemerintahan yang menjadi sebab negara terpalit dengan pelbagai kemelut ekonomi, sosial dan politik ini menunjukkan Dr Khairuddin ini berada dalam dunia khayalannya sendiri.

Tidakkah beliau membaca dan memahami perjuangan Pakatan Harapan (PH) yang suatu ketika pernah disertai PAS dalam memerangi penyelewengan, rasuah, guna kuasa dan pelbagai kekalutan oleh Najib dan kerajaan BN/UMNO?

Retorik Dr Khairuddin akan memakan diri dan pastinya PAS akan terpalit  sama.

Jelas sejauh ini Ahli Parlimen Kuala Nerus ini hanyut dalam khayalannya mencari nas dan dalil melalui al-Quran dan hadith untuk perkara yang berbangkit di awal penubuhan 1MDB.

Beliau memang ‘tertinggal kereta api’ kerana isu 1MDB kini sudah menjangkau kepada pada peringkat menunggu pendakwaan, bukan lagi isu ‘haram dan halal’ penubuhan dana yang sarat dengan hutang dan penyelewengan itu.