Thursday, June 30, 2016

APAKAH GUAN ENG AKAN HILANG KELAYAKAN ADUN, KETUA MENTERI & AHLI PARLIMEN?


Apakah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan didapati bersalah?

Juga apakah ia akan menjadi penamat bagi karier politiknya selepas dicekup dan akan didakwa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini?

Jika didapati bersalah dan mahkamah pula menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau satu tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, beliau boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Bermakna beliau akan hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dengan sendirinya jawatan Ketua Menteri, serta juga sebagai Ahli Parlimen.

Guan Eng ialah Ketua Menteri Pulau Pinang sejak 2008 menjadi ADUN Air Puteh dan Ahli Parlimen Bagan.

Peruntukan hilang kelayakan memang ada melalui Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Phang Li Khoon turut ditahan semalam.
Malah jika disabitkan kesalahan rasuah, seseorang bukan sahaja hilang kelayakan sebagai ADUN dan Ahli Parlimen, seseorang itu tidak akan dibenarkan bertanding pilihan raya selama lima tahun.

Kes seperti ini pernah berlaku kepada Datuk Yong Teck Lee, bekas Ketua Menteri Sabah (mengikut giiliran) yang hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas dan Ahli Parlimen Gaya sejak September 2002.

Ia berikutan kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya 1954, kerana rasuah. Oleh itu, beliau tidak dibenarkan bertanding pilihan raya selama lima tahun dan terlepas Pilihan Raya Umum
2004.

Guan Eng  ditahan di pejabatnya di tingkat 28 Bangunan Komtar, Pulau Pinang pada pukul 5.45 petang semalam (29 Jun 2015), sementara seorang wanita dikaitkan dengan kes rasuah ini, Phang Li Khoon pula ditahan pada pukul 4.15 petang di pejabatnya di Tingkat 6, Penang Garden.

Tangkapan dibuat selepas mendapat arahan  Pejabat Peguam Negara bagi menuduh mereka di Mahkamah Seksyen Pulau Pinang, pada pukul 10 pagi nanti (30 Jun 2016) mengikut Akta SPRM 2009.

Mungkin kerana kesan inilah, DAP Pulau Pinang menganggap dakwaan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu sebagai konspirasi, sengaja direka untuk membunuh kerjaya politiknya.

Berikutan itu, malam semalam, Exco Kerajaan negeri yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyeru semua penyokong DAP supaya bertenang mengharungi ribut melanda.


Beliau meminta penyokong DAP menunggu kata putus tindakan susulan selepas DAP  Pulau Pinang bermesyuarat hari ini.

Guan Eng turut berpesan kepada Kon Yeow supaya tabah menghadapi dugaan ini. “Beliau beritahu saya supaya tempuhi krisis politik ini dan pastikan kerajaan negeri kekal utuh,” katanya.

Walau apa pendirian dan kata putus, sama ada DAP pusat atau negeri, Guan Eng bakal berdepan pendakwaan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Mahkamah Sesyen hari ini.

Guan Eng tidak didakwa dalam isu Taman Manggis sebaliknya dakwaan adalah berhubung zon semula tanah di Balik Pulau dan pembelian hartanah.

Guan Eng akan didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana meluluskan permohonan zon semula tanah milik syarikat Phang Li Koon, Magnificent Emblem dan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana membeli hartanah pada harga bawah nilai pasaran.

Zon semula tanah itu tiada kaitan dengan isu Taman Manggis, sebaliknya ia berkenaan permohonan oleh Magnificent Emblem Sdn Bhd, dimana Phang Li Koon salah seorang pemiliknya. Permohonan itu ditolak oleh majlis perbandaran, sebelum ini.

Guan Eng juga akan didakwa kerana meluluskan zon semula sebidang tanah pertanian di Balik Pulau kepada tanah perumahan selaku Ketua Menteri.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa barangsiapa, yang menjadi penjawat awam menerima sesuatu benda yang berharga dengan suatu balasan yang ia ketahui tidak mencukupi, daripada seseorang yang ia ketahui ada mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya, melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

Lim kini berada di ibu pejabat SPRM Pulau Pinang setelah penangkapan ke atas beliau dilakukan sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat majlis eksekutif di Komtar.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sendiri akan mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang ini.

Turut ditahan semalam ialah Phang Li Koon, penjual banglo di Jalan Pinhorn , Pulau Pinang kepada Lim pada harga RM2.8 juta. Li Koon merupakan bekas tuan tanah kepada Guan Eng yang membeli sebuah banglo darinya tahun lalu.

Untuk ketika ini, adalah baik mengambil nasihat Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang meminta semua pihak tidak terlalu awal menghukum Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Benar apa yang beliau katakana apabila meminta semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang negara. Ini kerana ada proses perundangan yang dilaksanakan bagi setiap pendakwaan.

"Kita tidak mahu menghukum terlalu awal lagi. Sekiranya ada tindakan susulan... tindakan mahkamah dan sebagainya, beliau (Guan Eng) ada peluang untuk membela diri.’ katanya mengulas kedudukan itu.

Yang pasti, sesiapa pun tidak boleh lepas daripada tindakan undang-undang di Malaysia.