Tuesday, June 12, 2012

LAJIM 'KATAK BESAR' AKAN MELOMPAT JIKA DIRASAKAN PERLU MELOMPAT...


Di kalangan pemimpin veteran UMNO Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin saya sifatkan sebagai ‘katak paling besar’.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak marah pun kepada saya jika berkata demikian.

Malah beliau yang saya kenali sejak 1980-an, mengakui ‘sifat katak’ pada dirinya lebih hebat daripada ‘katak-katak lain’ umpamanya Datuk Ibrahim Ali dan sekutu-sekutunya!

Apa tidaknya, Lajim bukan sahaja berani ‘melompat’ tetapi dia antara yang pertama melompat, termasuk beberapa kali melompat sebelum lompatan perdananya ke dalam UMNO. Jadi lompat melompat ini bukan sesuatu yang baru dan Lajim tidak teragak-agak melompat kalau dia merasakan perlu untuk melompat.

Namun ramalan kelmarin tidak menjadi dan Lajim masih dalam UMNO dan Barisan Nasional.

Semalam beliau menyangkal spekulasi pada hujung minggu lalu tentang lompat parti menyertai PKR, tetapi menegaskan 'apa saja boleh berlaku' dalam politik.

Bagi beliau ia hanya hanya spekulasi yang disensasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Lajim mengakui beliau adalah seorang ahli politik kanan, tetapi menegaskan apa saja boleh berlaku.

Ini kerana pengundinya mahu beliau berbuat demikian maka "beliau akan lakukan apa yang mereka mahu beliau lakukan."

 "Saya tidak pernah beritahu saya akan tinggalkan Barisan Nasional. Ini (berita tersebut) cuma andaian kerana apabila saya bercakap seolah-olah macam pembangkang. Saya hanya bawa suara orang Sabah. Rakyat Sabah mahukan penambahbaikan," katanya.

Lajim berkata, tindakannya yang lantang bersuara tidak semestinya menggambarkan beliau mahu meninggalkan Umno dan BN.

Namun ditanya sama ada jawapannya itu muktamad, Lajim seolah-olah berteka-teki apabila menegaskan ianya belum muktamad. "Dalam politik macam-macam boleh jadi," katanya.

Malah dalam politik Sabah, Lajim tidak hairan.

Dia berani menyuarakan kebimbangan rakyat yang diwakilinya. Lajim tidak hairan dikatakan gelagatnya seperti pembangkang.

Yang penting melakukan terbaik untuk pengundinya. Maknanya Lajim membuat keputusan selepas berunding dengan pengundinya.

Baginya pengundi di Parlimen Beaufort penting buatnya. Lajim berterus terang mengatakan beliau pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang di Sabah.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan pemimpin pembangkang Lajim berkata melalui perbincangan seumpama itu pelbagai perkara penting berkaitan masalah dan kebajikan rakyat Sabah dapat diketahui.

"Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam menangani apa juga masalah dihadapi mereka contohnya di peringkat saya seperti masalah air dan banjir yang tidak sudah-sudah dialami rakyat...ini semua saya suarakan demi rakyat," katanya.

Lajim yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menjelaskan : “"Saya bercakap begitu (berjumpa dengan pemimpin lain di Sabah) supaya ada penambahbaikan, ada jaminan dan ada perubahan dari segi kepimpinan di peringkat negeri dari segi pendekatan dan harapan rakyat sebelum pilihanraya umum ke-13 ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.


Laporan portal berita mengatakan bahawa beliau dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Wilfred Bumburing akan menyertai majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR),sekaligus menyertai pembangkang

Bagi saya, jangan perkecilkan perkembangan ini kerana Lajim 'boleh melompat' ketika suasana tenang dan pandai-pandailah mendekati dia supaya tidak melakukan lompatan sekali lagi.

Lajim ada pengaruh dan pengikut.

Jangan melihat Lajim sebelah mata kerana kebanyakan pemimpin UMNO di Sabah sekarang adalah lebih 'junior' daripada Lajim yang sesetengahnya belum masak dengan suasana politik Sabah sebenarnya!!!